KUALA LUMPUR – Penularan wabak COVID-19 semakin hari semakin membimbangkan dengan jumlah kes kematian mencecah 3,291. Serangan virus ini membawa kesan yang sangat teruk terutamanya kepada organ dalaman manusia.
Menurut Pakar Perubatan Forensik Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi, COVID-19 merupakan sejenis penyakit yang akan menyerang bahagian organ dalaman. Hasil bedah siasat yang telah dijalankan ke atas pesakit-pesakit COVID-19, pihak beliau menemui tanda-tanda keradangan paru-paru yang kronik.

“Ini menunjukkan paru-paru tidak dapat berfungsi dan mangsa mati akibat daripada kegagalan fungsi paru-paru itu. Jika dilihat daripada luaran, memang tiada apa-apa tanda menunjukkan seseorang itu menghidap COVID-19”.
Tambah beliau lagi, “Kes-kes bedah siasat terhadap mayat COVID-19 yang dijalankan di IPFN HKL kebiasaannya menunjukkan radang paru-paru teruk dan tanda kegagalan organ utama seperti jantung dan buah pinggang”.
Mengulas tentang peranan IPFN HKL dalam pengurusan mayat COVID-19, ianya dilakukan dengan mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Ia berpandukan arahan kesihatan awam berdasarkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). Pengurusan mayat COVID-19 boleh dibahagikan kepada dua iaitu mayat Islam dan mayat bukan Islam”.
Setiap mayat akan dibungkus dengan menggunakan dua lapisan beg mayat yang telah disinfeksi bagi mengelakkan penularan kepada individu yang menguruskan mayat. Bagi jenazah orang Islam, mayat akan ditayamum pada permukaan luar beg mayat manakala mayat bukan Islam pula akan dihantar ke krematorium atau dikebumikan mengikut agama masing-masing.

Mengimbas isu kapasiti penyimpanan mayat sementara diuruskan untuk disemadikan, peti mayat dan kontena mayat di IPFN HKL dikatakan memiliki kapasiti untuk menyimpan 52 mayat pada satu-satu masa.
“COVID-19 adalah sesuatu yang benar dan ia penyakit yang boleh membunuh. Kami di Jabatan Perubatan Forensik menguruskan banyak mayat akibat COVID-19 daripada pelbagai usia, kaum dan anutan. COVID-19 yang melanda bukan perkara yang boleh diambil mudah”.