GEORGETOWN- Seorang kanak-kanak maut akibat terhidu asap dalam kebakaran di sebuah kondominium. Kejadian tersebut dilaporkan berlaku di Kondominium The Rise Collection II, Jalan Dr Wu Lien Teh.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak, Aazelan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berkenaan pada jam 9.05 pagi tadi.

Aazelan berkata, kanak-kanak yang berusia enam tahun itu ditinggalkan di rumah dalam keadaan pintu berkunci oleh ibunya yang mahu ke kedai bersama seorang lagi anak.
Beliau berkata, ibunya membuat panggilan video dengan mangsa sebaik tiba di kedai dan terlihat kepulan asap menerusi panggilan itu sebelum bergegas pulang.
Ibu kanak-kanak terbabit tiba di rumah 10 minit kemudian dan berjaya menyelamatkan mangsa yang ketika itu berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dipercayai akibat terhidu asap.

Anggota bomba kemudian memberi bantuan pernafasan dan rawatan awal sebelum mangsa dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dan kemudian disahkan meninggal dunia.
Api berjaya dikawal pada jam 9.36 pagi dengan kemusnahan kebakaran sehingga 70 peratus.
Menurut Aazelan lagi, sistem penyelenggaraan bangunan tersebut berada pada tahap baik sehingga memudahkan anggota bomba untuk memadamkan kebakaran.