Sejak kecil kita diajar untuk menabung. Ada ibu bapa yang mendorong anak-anak kecil mereka untuk menabung dengan membelikan tabung-tabung yang comel dan menarik sebagai hadiah.
Baru-baru ini seorang netizen berkongsi sebuah video di TikTok di mana dia menunjukkan sebuah tong besar yang digunakan oleh bapanya untuk menyimpan duit syiling. Menurutnya, syiling tersebut telah dikumpul selama lima tahun lamanya.
Dia dan keluarganya kemudian mula mengira wang yang ada di dalam tong besar tersebut dan mereka mengambil masa beberapa jam dari maghrib hingga jam 9 malam barulah selesai.
Banyak bukan? Dengan wang sebanyak ini banyak keperluan lain yang boleh dibeli. Pengajarannya ialah mulalah menabung sedikit demi sedikit. Siapa tahu akan datang kita akan memerlukan wang tabungan untuk sesuatu yang penting atau kecemasan.
Taktik licik sindiket pengedaran dadah dengan menyembunyikan bahan terlarang itu dalam permainan kanak-kanak untuk dieksport ke luar negara terbongkar susulan tangkapan tiga warga tempatan di Lembah Klang baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kegiatan itu dikesan selepas menerima maklumat daripada seorang pekerja dari sebuah pusat kurier di Petaling Jaya pada 2 Jun yang menemui empat kotak dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, pemeriksaan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya mendapati kotak itu mengandungi barang permainan berisi serbuk putih yang disyaki heroin seberat 408.35 gram.
“Susulan itu, pada kira-kira jam 12.30 tengah hari, polis telah menyerbu sebuah kedai serbaneka di Batu 9, Cheras pada hari yang sama dan menahan seorang lelaki. Dua paket plastik lut sinar yang disyaki mengandungi heroin dijumpai di dalam kotak permainan kanak-kanak,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambahnya, soal siasat kemudian membawa kepada serbuan di sebuah kondominium di Bandar Damai Perdana, Cheras kira-kira jam 1.30 petang dan merampas dua kotak alat permainan berisi 606 gram heroin, 0.42 gram syabu dan 0.56 serbuk ekstasi.
Pelbagai barangan yang disyaki digunakan untuk membungkus dadah turut dirampas.
Pada keesokan harinya iaitu pada 3 Jun, dua suspek yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah telah ditangkap di sebuah pangsapuri di Jalan Kepong, Kuala Lumpur dan Taman Taming Jaya, Balakong.
Dalam serbuan tersebut, polis telah merampas wang tunai berjumlah RM188,942 dan sejumlah mata wang asing serta beberapa barang termasuk tujuh jam tangan pelbagai jenama dan dua kereta Nissan GT-R35 dan Mazda dengan nilai keseluruhan berjumlah RM1.14 juta.
Siasatan mendapati kesemua dadah bernilai RM42,455 akan diseludup ke luar negara dengan menggunakan perkhidmatan kurier. Suspek juga akan menerima upah RM1,000 untuk setiap bungkusan.
Kesemua suspek, berusia antara 24 dan 32 tahun, kini direman selama tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Setelah disahkan sebagai kontak rapat kepada individu positif COVID-19, Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein difahamkan tidak akan menyertai Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN-CHINA yang diadakan di Chongqing, China.
Dalam satu kenyataan, Wisma Putra memaklumkan bahawa beberapa lawatan susulan ke Mesir, Kuwait dan Qatar juga turut akan ditangguhkan.
“Walaupun Menteri Luar telah menjalani dua ujian saringan PCR yang didapati negatif – berdasarkan garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Menteri Luar diwajibkan menjalani kuarantin dan pengasingan diri”.
Perkara itu juga turut diumumkan oleh beliau menerusi akaun rasminya di Twitter.
Saya telah dikenalpasti oleh @KKMPutrajaya sebagai kontak rapat kepada individu yang disahkan positif #COVID19. Walaupun kedua-dua ujian PCR saya negatif, namun saya tetap akan jalani kuarantin wajib seperti diarahkan KKM. pic.twitter.com/CdYXCuClqK
— Hishammuddin Hussein 🇲🇾 (@HishammuddinH2O) June 6, 2021
Ini susulan insiden pencerobohan pihak tentera udara China di ruang udara tanah air baru-baru ini. Manakala Kementerian Luar juga sedang menetapkan tarikh baru untuk lawatan ke Mesir, Kuwait dan Qatar.
Wisma Putra menjelaskan bahawa lawatan ke negara-negara Asia Barat itu bertujuan untuk menegaskan pendirian Malaysia terhadap konflik yang berlaku antara Palestin-Israel.
Dia turut membuat laporan polis namun telah ditahan untuk siasatan lanjut.
Menurut Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri, lelaki itu mendakwa bahawa dia menangkap kucing itu lalu mahu membuangnya di kawasan kedai berhampiran rumahnya.
Tambah Ahmad Adnan, dia kemudian telah dibebaskan dengan jaminan polis pada 5 Jun dan kes dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan atas kesalahan berniat mahu membunuh atau mematikan haiwan dan Seksyen 29 (1) (e) Akta Kesejahteraan Haiwan 2015.
Seksyen 428 memperuntukkan hukuman penjara maksimum 3 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Manakala Seksyen 29 membawa hukuman denda antara RM20,000 hingga 100,000 atau penjara hingga 3 tahun atau kedua-duanya sekali.
Dalam menghadapi cabaran terkini, kita semua sedang bergelut dalam memastikan kehidupan dapat diteruskan dengan baik dan lancar. Namun, terdapat golongan memerlukan yang telah sedia ada bergelut dengan kesukaran setiap hari malahan lebih lagi.
Seorang pemuda bernama Daniel Cheng, 30 tahun yang dilahirkan dengan keadaan Cerebral Palsi memiliki jiwa murni yang memberi inspirasi kepada semua.
Walaupun keadaan fizikalnya yang sukar untuk bergerak dengan terpaksa menggunakan kerusi roda, Daniel masih dapat bertahan melalui kesulitan yang dihadapi dengan terus melakukan yang terbaik untuk mencari nafkah dan meneruskan kehidupan.
Oleh kerana menghidap Cerebral Palsi sejak dilahirkan, Daniel tidak dapat menggerakkan salah satu kaki dan tangannya. Cerebral Palsi (CP) adalah gangguan pergerakan kekal yang dihadapi pada awal usia kanak-kanak dan mempengaruhi kemampuan seseorang untuk bergerak serta mengekalkan keseimbangan dan postur tubuh. Keadaan CP adalah kekal seumur hidup tetapi terdapat rawatan sedia ada untuk membantu menguruskannya.
Daniel kehilangan ibu ketika dia dilahirkan dan bapanya meninggalkannya ketika usianya 5 tahun. Sehingga hari ini, Daniel masih mencari bapa kandungnya. Daniel dibesarkan di pusat jagaan anak yatim dan kini tinggal sendirian hidup berdikari.
Demi menyara kehidupan dan mencari nafkah lebih, Daniel memulakan perniagaan kecil-kecilan dengan menjual biskut, kerepek dan keropok.
Selain menjual makanan ringan itu yang dia perolehi daripada pembekal, Daniel juga ada menjual pelitup muka untuk golongan dewasa, penapis air dan daging deng deng bakar halal.
“Saya menjual kerepek dan biskut yang sedap untuk menjana pendapatan demi menampung perbelanjaan harian kehidupan saya. Saya anak yatim. Wang yang saya kumpulkan untuk membayar sewa bilik, membeli makanan dan membayar bil,” tulis Daniel di Facebook.
Seorang warga yang baik hati bernama Joash telah berkongsi kisah Daniel di WOB setelah mengunjunginya rumahnya di Kuala Lumpur.
“Saya boleh katakan dia seorang yang sangat positif dan memiliki jiwa penuh kasih sayang untuk diberikan. Daniel tidak memiliki masa membesar ketika kecil yang baik, sejak mula lagi, kerana dia masih mencari bapanya sejak kecil,” jelas Joash.
“Saya memeriksa profilnya dan ia menunjukkan kepada saya walaupun dia kadangkala berasa lemah semangat, dia masih mampu bangkit untuk melihat kehidupan di sisi lain yang lebih cerah,” tambah Joash.
Joash yang kagum berkata, Daniel juga sangat penyayang, mampu membuat amal dan bersedekah walaupun dalam keadaannya yang tidak mengizinkan, boleh memberi makan kepada orang miskin, dan semua sikap mulia ini harus diberi pujian, kerana dia golongan kelainan upaya (OKU).
“Selain itu, saya suka dengan hakikat dia menghargai bantuan saya, malahan telah mengundang untuk menyertai sambutan hari jadinya. Saya rasa personalitinya sahaja sudah cukup menyentuh hati saya. Kisahnya membuat saya ingin membantunya lebih banyak lagi,” tambah Joash.
Sokong Daniel dan perniagaan kecil-kecilannya. Anda boleh menghubungi Daniel di talian 016-275 8379 atau menghantar mesej di laman Facebook miliknya.
Biasanya kita hanya mendengar tentang kisah-kisah betapa nakalnya kucing berwarna oren.
Rasanya hampir setiap hari ada sahaja cerita mereka di media sosial. Gelagat mereka yang lucu dan nakal sering mendapat perhatian ramai orang.
Kali ini Oyen sekali lagi muncul di media sosial tetapi dengan cerita yang lebih baik. Apa yang berlaku ialah kucing ini telah muncul menjadi ‘hero’ yang telah menyelamatkan orang lain!
Kucing ini dikatakan telah membunuh seekor ular seperti yang diceritakan oleh seorang netizen. Menurut netizen tersebut ular tersebut berada betul-betul berhampiran dengan tingkap biliknya. Namun, mujur tiada apa yang berlaku kerana seekor kucing jalanan oren yang sering datang ke situ telah membunuh ular tersebut terlebih dahulu.
Menurut netizen itu lagi, kucing oren tersebut sering datang ke tempatnya dan dia juga selalu memberi makan kepada kucing tersebut. Kucing itu juga sering tidur di laman setiap hari.
Siapa sangka begini cara si Oyen membalas jasa orang yang sering menjaganya…
Ribuan e-mel peribadi daripada ketua penyakit berjangkit Amerika Syarikat Dr Anthony Fauci telah mendedahkan kebimbangan dan kekeliruan pada awal pandemik.
Pakar Institut Kesihatan Negara dengan kerjaya bersama tujuh Presiden Amerika Syarikat, Dr Fauci menjadi wajah tindak balas COVID-19 negara dan menjadi subjek pujian menggunung dan kritikan hebat sejak itu.
Lebih 3,000 halaman e-mel, yang diperoleh oleh Washington Post, Buzzfeed News dan CNN melalui permintaan Freedom of Information Act (FOIA), bermula dari Januari hingga Jun 2020.
Perbualannya menerusi e-mel itu memberikan gambaran awal mengenai pandemik COVID-19 di Amerika Syarikat dan cara pengendaliannya dengan kerajaan, pegawai kesihatan asing dan domestik, media, selebriti dan rakyat secara keseluruhannya.
Dr Fauci dan rakan-rakannya sedia maklum, pada awal teori yang pandemik COVID-19 mungkin telah dibocorkan bermula dari makmal di Wuhan, China.
Dakwaan kontroversi itu telah ditolak oleh pakar pada tahun lalu, yang menyatakan ia “sangat tidak mungkin”. Kerana tiada bukti yang menyokongnya.
Tetapi dalam beberapa hari kebelakangan, di tengah kritikan terhadap penyiasatan antarabangsa yang tidak meyakinkan mengenai asal usul virus dan laporan terbaru mengenai penyakit yang berkaitan dengan COVID-19 di rantau ini beberapa minggu sebelum ia dikenal pasti secara rasmi, teori ini sekali lagi mencetuskan perdebatan.
Mengapa teori kebocoran makmal dipandang serius?
E-mel pada Januari 2020 kepada Dr Fauci dari pengarah fasiliti penyelidikan bioperubatan terbesar di negara itu mencadangkan “ciri luar biasa” virus itu yang menunjukkan bahawa ia secara “kejuruteraan direka”, yang mendorong Dr Fauci menyatakan yang beliau akan berhubung melalui telefon.
Pada bulan April 2020, e-mel dari Pengarah Institut Kesihatan Negara, Francis Collins menarik perhatian Dr Fauci dengan tajuk “konspirasi mendapat momentum”. Tindak balas doktor terhadap perkara ini telah ditolak sepenuhnya.
Pada bulan Mei tahun ini, Dr Fauci menyatakan yang beliau ‘tidak yakin’ virus itu berasal secara semula jadi dan menyatakan sokongan untuk penyiasatan.
Berkenaan pelitup muka
Pada bulan-bulan awal pandemik tercetus, pentadbiran Amerika Syarikat masih mengusahakan mencari garis panduan pemakaian pelitup muka – tindakan yang dikritik kerana ia telah menambah kekeliruan.
Dalam pertukaran e-mel pada bulan Februari 2020 dengan bekas setiausaha kesihatan Amerika Syarikat, Dr Fauci berkata, “Pelitup muka adalah untuk individu yang dijangkiti bagi mencegah mereka daripada menyebarkan jangkitan kepada individu yang tidak dijangkiti berbanding melindungi individu yang tidak dijangkiti daripada mendapat jangkitan.”
Beliau menambahkan pelitup muka yang dibeli di kedai “tidak begitu berkesan untuk mencegah virus, yang sudah cukup dapat menembusi bahan”.
Pada bulan berikutnya, seorang rakannya dari China dalam bidang kesihatan awam menulis dengan menyatakan bahawa kenyataan Dr Fauci telah disalah sebut dalam media kerana mengatakan Barat melakukan “kesalahan besar” dengan tidak mengesyorkan penggunaan pelitup muka.
Dr Fauci menjawab, “Saya faham. Tidak ada masalah. Kami akan menyelesaikannya bersama-sama.”
Soalan daripada pelbagai pihak
Ketika orang awam mula mencari jawapan untuk krisis yang semakin buruk, Dr Fauci menimbulkan pertanyaan dari seluruh Amerika Syarikat termasuk Hollywood dan Silicon Valley.
Ketua Pegawai Eksekutif Facebook Mark Zuckerberg menjemput para doktor untuk mengambil bahagian di platform media sosial pusat maklumat COVID-19 untuk menjawab semua persoalan pengguna.
Aktres Morgan Fairchild yang dilaporkan pernah bekerjasama dengan Dr Fauci semasa wabak AIDS tahun 1980-an telah menghubunginya pada bulan Februari dengan bertanya bagaimana beliau dapat membantu.
Dr Fauci menyarankan dalam Tweet Fairchild, “Masyarakat Amerika seharusnya tidak perlu takut, tetapi perlu bersiap sedia untuk mengurangkan wabak di negara ini dengan langkah-langkah termasuk penjarakan sosial, kerja melalui telekomunikasi, penutupan sementara sekolah, dan lain-lain.”
Dan, tidak lama selepas panggilan telefon dengan Bill Gates, seorang eksekutif kanan di Yayasan Bill dan Melinda Gates menulis dengan menyatakan yang Bill Gates ‘sangat bimbang’ dengan kesihatan dan keselamatan Dr Fauci.
E-mel itu juga mendedahkan Dr Fauci sering bertegas untuk menutup khabar angin bahawa beliau telah ditapis oleh Presiden Trump.
“Saya sama sekali tidak dikelirukan,” tulisnya kepada seorang peminat tidak dikenali pada Februari 2020.
E-mel tersebut menunjukkan Dr Fauci mengaku berasa tidak selesa dengan pujian yang datang dari pelbagai sudut di alam maya.
Ketika rakan sekerja menghantar e-mel kepadanya dengan kisah bagaimana sebuah kedai menjual donut dihiasi dengan wajahnya, Dr Fauci menjawab, “Benar tidak percaya. Mudah-mudahan semua ini segera berhenti … Ini sama sekali kurang menyenangkan, ini yang pasti.”
Dalam e-mel lain, beliau berkongsi mengenai ‘Fauci Fever’ dengan alasan, “Ini akan mengujakan anda. Masyarakat kita benar-benar hilang akal.”
Ketika aktor Brad Pitt melakonkan wataknya dalam ‘Saturday Night Live’, Dr Fauci dengan senang hati memberitahu rakannya bahawa seorang pengulas mengatakan Pitt “kelihatan ‘serupa macam saya’. Kenyataan itu melengkapkan tahun saya.”
Reaksi politik yang berlaku
Beberapa ahli politik konservatif dan pakar media menyebut e-mel dalam panggilan mereka untuk memecat Dr Fauci kerana tugasnya ketika beliau bertindak balas menangani pandemik.
Senator Amerika Syarikat dari Republikan, Rand Paul yang sering berbalah dengan Dr Fauci dalam perbicaraan di Capitol Hill, berkata e-mel itu menjadikannya “sangat jelas” bahawa doktor itu adalah pembuat “penipuan secara besar-besaran”.
Manakala para liberal berpendapat kedudukan Dr Fauci disesuaikan dengan bukti saintifik yang didapatinya pada masa itu. Yang lain meraikan gaya dan nada tidak balasnya terhadap pelbagai e-mel yang diajukan.
Analisis oleh Tara McKelvey, wartawan BBC di Rumah Putih menyatakan e-mel Dr Fauci adalah seperti titik dakwat Rorschach. Apa yang terlihat di dalamnya mendedahkan lebih banyak tentang diri anda daripada titik dakwat, atau dalam kes ini, e-mel itu sendiri.
Bagi penyokong Trump di bandar kecil Kansas dan kawasan luar bandar yang lain, Dr Fauci adalah penjahat. Beliau menyiarkan pelbagai mesej yang bertentangan tentang virus itu dan memutarbalikkan sains. Penyokong Republikan ini juga mengatakan bahawa Dr Fauci telah melemahkan Presiden Trump ketika itu.
Konservatif enggan memakai pelitup muka, bahkan pada ketika hari-hari terburuk pandemik, kerana kata mereka, garis panduan saintifik terus berubah, dan Dr Fauci telah terbalik.
E-melnya akan mengukuhkan pendapat mereka. Dr Fauci memang berubah fikiran tentang petunjuk kesihatan, seperti pemakaian pelitup muka, kerana lebih banyak maklumat muncul mengenai virus itu. Beliau memberitahu seseorang pada Februari 2020 bahawa mereka tidak perlu memakai pelitup muka semasa mengembara. Kemudian, beliau menggalakkan semua orang untuk memakainya.
Sebaliknya, kumpulan liberal di Midwest dan di wilayah lain menganggap Dr Fauci sebagai wira. E-melnya menguatkan pandangan mereka yang beliau berubah fikiran tentang apa yang perlu dilakukan oleh seseorang untuk memerangi virus itu, bergantung pada data saintifik, dan bukan kepada apa yang Trump mahukan untuk orang lain mendengar.
Seorang lelaki di timur China telah dijangkiti virus selesema burung jenis H10N3, yang disahkan sebagai manusia pertama menerima jangkitan tersebut, menurut laporan pegawai rejim China.
Lelaki berusia 41 tahun, yang tidak dikenal pasti itu dimasukkan ke hospital pada akhir April selepas disahkan dijangkiti H10N3 di Zhenjiang, Wilayah Jiangsu, yang terletak berhampiran Shanghai, menurut Suruhanjaya Kesihatan Negara China dalam satu kenyataan di laman webnya.
Suruhanjaya itu menyatakan bahawa tidak ada kes lain yang dilaporkan.
“Jangkitan ini adalah penularan spesies silang yang tidak disengajakan,” menurut kenyataan itu, sementara yang lain mendakwa “risiko penularan berskala besar adalah rendah”.
Seorang jururawat menguruskan ubatan untuk pesakit selesema burung di Wuhan pada 12 Februari 2017 (Gambar STR/AFP/Getty Images)
Agensi tersebut menyatakan bahawa lelaki itu mengalami demam dan gejala lain dan dia didiagnosis menghidap H10N3 kira-kira sebulan kemudian iaitu pada 28 Mei.
Filip Claes, koordinator makmal serantau Pertubuhan Makanan dan Pertanian, memberitahu agensi berita Reuters bahawa strain selesema burung ini ‘bukan virus yang sangat biasa’.
Selama bertahun-tahun, beberapa jenis selesema burung telah dijumpai di kalangan haiwan di China, walaupun laporan mengenai wabak besar-besaran menjangkiti manusia adalah jarang berlaku.
Wabak ini yang menjangkiti manusia terakhir melibatkan strain selesema burung, H7N9 yang berlaku di China pada tahun 2016 dan 2017. H7N9 yang mempunyai kadar kematian yang agak tinggi, telah menjangkiti kira-kira 1,700 orang dan membunuh 613 orang sejak tahun 2013, menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian di bawah PBB.
Tahun lalu, pegawai kesihatan China melaporkan wabak selesema burung H5N1, termasuk yang terpaksa melupuskan 18,000 ekor ayam di Wilayah Hunan.
Laporan mengenai H10N3 yang menjangkiti manusia di China muncul ketika Parti Komunis China (PKC) menghadapi peningkatan penyiasatan daripada pegawai Amerika Syarikat mengenai asal-usul virus PKC, atau koronavirus yang menyebabkan COVID-19, dan apakah ia bocor melalui penyelidikan di makmal yang berada di Wuhan. Pegawai PKC telah lama menyatakan bahawa virus itu ditularkan daripada haiwan kepada manusia dari pasar basah di Wuhan, tetapi rejim tidak memberikan bukti akan dakwaan tersebut dan belum dapat mengenal pasti haiwan apakah yang dimaksudkan.
Akhir bulan lalu, Presiden Amerika Syarikat Joe Biden mengeluarkan kenyataan bahawa kalangan komuniti perisik dari 17 agensi perisikan Amerika Syarikat percaya bahawa virus itu berasal dari Institut Virologi Wuhan, sebuah makmal dengan kemudahan tahap keselamatan tertinggi, dan meminta mereka untuk mengeluarkan laporan dalam jangka waktu beberapa bulan terdekat mengenai asal-usul virus PKC atau COVID-19.
Sebelum itu, sepanjang tahun 2020, media korporat dan laman sesawang pemeriksa fakta cuba merendahkan kenyataan dan bukti yang mendedahkan bahawa virus itu mungkin berasal dari makmal, yang kadangkala menggambarkan dakwaan tersebut sebagai sebahagian daripada ‘teori konspirasi’.
Tetapi pada minggu lalu, wartawan terkemuka termasuk Jonathan Karl dari ABC News mengakui bahawa teori kebocoran virus yang berpunca dari makmal di Wuhan adalah masuk akal dan menyatakan ia tidak dianggap serius hanya kerana Presiden Donald Trump dan pegawai pentadbirannya sering membuat dakwaan tersebut.
“Ya, saya rasa ramai orang mempunyai telur di wajah mereka. Ini adalah idea yang pertama kali dikemukakan oleh Mike Pompeo, bekas setiausaha negara juga Donald Trump, dan lihatlah, beberapa perkara mungkin benar walaupun Donald Trump mengatakannya. Kerana Trump menyatakannya banyak kali sehingga tidak terkawal … beliau menyatakan secara terang-terangan virus ini berasal dari makmal itu, dan ia ditolak secara meluas … tetapi sekarang orang serius mengatakan bahawa ia kini memerlukan siasatan yang serius,” kata Jonathan Karl.
Para pegawai dari Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat tidak segera bertindak balas terhadap permintaan oleh The Epoch Times untuk memberi sebarang komen.
WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden memaklumkan rancangan untuk mengagihkan sejumlah 80 juta dos vaksin virus COVID-19 ke seluruh dunia.
Memetik maklumat daripada Rumah Putih, sebanyak 75% daripada jumlah berkenaan akan diagihkan menerusi fasiliti COVAX khususnya kepada negara di Amerika Latin dan Caribbean, Asia Selatan, Asia Tenggara serta Afrika.
Peralatan perubatan dari Perancis tiba di lapangan terbang antarabangsa di Kathmandu, Nepal. Sumber: AFP
“Kami berkongsi vaksin ini bukan untuk mendapat sokongan atau konsesi. Kami mahu menyelamatkan nyawa dan mengetuai usaha menamatkan pandemik ini dengan menjadikan nilai kami sebagai contoh,” jelas Biden dalam satu kenyataan pada Khamis lalu.
Usulan ini dibuat selepas AS menerima desakan daripada beberapa negara untuk menggunakan lebihan vaksin dan membantu negara lain yang sedang bergelut dalam menentang penularan wabak berkenaan. Hal ini kerana pengagihan vaksin di AS telah mencapai tahap memberangsangkan.
Penduduk di Karachi, Pakistan sedang menunggu giliran untuk menerima suntikan vaksin. Sumber: AFP
“Kami akan memastikan komitmen Presiden AS untuk menghantar 80 juta dos menjelang akhir Jun,” jelas Jeff Zients, penyelaras maklum balas COVID-19 Rumah Putih.
Kini, AS dalam proses untuk mengeksport sebanyak 25 juta dos pertama vaksin di mana sekitar 7 juta daripadanya dikhususkan untuk negara di Asia seperti India, Nepal, Bangladesh, Pakistan, Sri Lanka, Afghanistan, Vietnam, Papua New Guinea dan juga Taiwan. Enam juta dos lagi diperuntukkan untuk negara di Amerika Selatan dan Amerika Tengah serta Caribbean termasuk Brazil, Argentina, Colombia, Costa Rica, Peru, Guatemala dan Haiti. Sebanyak lima juta dos lagi diagihkan khusus untuk negara Afrika.
COVAX merupakan skim antarabangsa yang diwujudkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bertujuan untuk memastikan akses vaksin mencukupi kepada 30% populasi di 92 wilayah termiskin termasuk India (20%) dengan kos dibiayai penderma.
KUALA LUMPUR – Penularan wabak COVID-19 semakin hari semakin membimbangkan dengan jumlah kes kematian mencecah 3,291. Serangan virus ini membawa kesan yang sangat teruk terutamanya kepada organ dalaman manusia.
Menurut Pakar Perubatan Forensik Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi, COVID-19 merupakan sejenis penyakit yang akan menyerang bahagian organ dalaman. Hasil bedah siasat yang telah dijalankan ke atas pesakit-pesakit COVID-19, pihak beliau menemui tanda-tanda keradangan paru-paru yang kronik.
Imbasan sinar-X menunjukkan keadaan paru-paru normal, pneumonia serta selepas dijangkiti COVID-19. Sumber: Harian Metro
“Ini menunjukkan paru-paru tidak dapat berfungsi dan mangsa mati akibat daripada kegagalan fungsi paru-paru itu. Jika dilihat daripada luaran, memang tiada apa-apa tanda menunjukkan seseorang itu menghidap COVID-19”.
Tambah beliau lagi, “Kes-kes bedah siasat terhadap mayat COVID-19 yang dijalankan di IPFN HKL kebiasaannya menunjukkan radang paru-paru teruk dan tanda kegagalan organ utama seperti jantung dan buah pinggang”.
Mengulas tentang peranan IPFN HKL dalam pengurusan mayat COVID-19, ianya dilakukan dengan mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Kontena khas yang digunakan Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sungai Buloh untuk menyimpan mayat COVID-19. Sumber: Free Malaysia Today
“Ia berpandukan arahan kesihatan awam berdasarkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). Pengurusan mayat COVID-19 boleh dibahagikan kepada dua iaitu mayat Islam dan mayat bukan Islam”.
Setiap mayat akan dibungkus dengan menggunakan dua lapisan beg mayat yang telah disinfeksi bagi mengelakkan penularan kepada individu yang menguruskan mayat. Bagi jenazah orang Islam, mayat akan ditayamum pada permukaan luar beg mayat manakala mayat bukan Islam pula akan dihantar ke krematorium atau dikebumikan mengikut agama masing-masing.
Mengimbas isu kapasiti penyimpanan mayat sementara diuruskan untuk disemadikan, peti mayat dan kontena mayat di IPFN HKL dikatakan memiliki kapasiti untuk menyimpan 52 mayat pada satu-satu masa.
“COVID-19 adalah sesuatu yang benar dan ia penyakit yang boleh membunuh. Kami di Jabatan Perubatan Forensik menguruskan banyak mayat akibat COVID-19 daripada pelbagai usia, kaum dan anutan. COVID-19 yang melanda bukan perkara yang boleh diambil mudah”.