KUALA LUMPUR- Awal pagi Sabtu, 3 Julai lalu pihak berkuasa telah memasang kawat duri di tangga pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kuala Lumpur.
Kawat duri dipasang oleh pihak berkuasa di Blok C PPR Kampung Baru Air Panas di pusat bandar Kuala Lumpur setelah 14 lokaliti di bandar itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan yang Diperketatkan (PKPD) mulai 3 Julai lalu.
Namun, tindakan tersebut telah menimbulkan kritikan orang ramai kerana dianggap sebagai bahaya jika berlakunya hal-hal kecemasan seperti kebakaran.
Ekoran tindakan itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, mengarahkan kawat duri yang dipasang di laluan tangga itu dibuka serta-merta.
Dalam laman Twitternya, beliau berkata pemasangan kawat duri sedemikian adalah tidak dibenarkan di pangsapuri walaupun kawasan itu dikenakan PKPD dan arahan untuk membuka kawat tersebut telah dikeluarkan serta-merta.
Tidak di benarkan pasang kawat duri di tangga rumah pangsa kawasan PKPD. Arahan buka serta merta telah di keluarkan..harap maklum. pic.twitter.com/EiGJj0Itfr
Bercakap mengenai perkara itu, Ketua Pengarah Balai Bomba dan Penyelamat, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata bahawa langkah berjaga-jaga telah diambil untuk memastikan keselamatan orang ramai terjamin sekiranya berlaku kecemasan.
“Kawat berduri kini hanya dipasang di tingkat bawah, dan di pintu keluar terakhir,” katanya. Menurutnya lagi, tiada halangan yang terdapat pada laluan kecemasan jika berlakunya kebakaran.
Selain iru, dalam mengulas perkara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah, hari ini, berkata pemasangannya dipersetujui dalam mesyuarat penyelarasan PKPD yang turut dihadiri Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Menurutnya lagi, terdapat laluan lain yang boleh digunakan oleh penduduk bagi tujuan keluar masuk dari bangunan itu sekiranya berlaku sebarang kecemasan.
Selain itu, pihak polis dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dan bersiap sedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan.
“Ini bukan India, atau Indonesia. Ini sebenarnya berlaku di Malaysia, negara saya!” Dr. Arisman, seorang doktor memuat naik sebuah video yang menunjukkan realiti yang terjadi di wad kecemasan (ICU) di sebuah hospital kerajaan di Klang.
Ribuan kes COVID-19 dilaporkan setiap hari di Malaysia sehingga membuatkan banyak hospital terpaksa menerima kemasukan pesakit yang ramai. Kaki tangan hospital juga bertungkus lumus, berusaha sebaik mungkin untuk menyelamatkan nyawa pesakit dan pastinya ianya bukan sesuatu yang mudah.
Melihat pada video ini jelas menunjukkan betapa kritikalnya keadaan di hospital sekarang. Bilangan pesakit semakin ramai, jumlah mereka yang meninggal dunia juga semakin meningkat dan apa yang lebih menyedihkan mereka yang berada di barisan hadapan juga semakin letih dan tertekan.
Dr Arisman kemudian menasihati orang ramai untuk terus mengikuti prosedur operasi standard yang telah ditetapkan. Duduk di rumah jika tiada keperluan bagi mengelakkan dikangkiti wabak berbahaya ini.
Bayangkan ini baru sebuah hospital… bagaimana pula dengan keadaan di hospital-hospital lain? Jadi, jaga diri, jaga keluarga dan kita perlu bekerjasama dalam memutuskan rangkaian wabak ini.
Umum mengetahui bahawa keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) baru sahaja diumukan pada 1 Julai yang lalu. Seorang penghantar makanan sambilan walau bagaimanapun tidak menyangka dia berjaya memperoleh keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif 4.00 dalam peperiksaan awam tersebut.
Muhammad Izzuddin Amirrudin, 20, yang sudah bekerja sebagai penghantar makanan GrabFood sejak dua bulan lalu berkata, keputusan tersebut disemak secara dalam talian ketika dia sedang menunggu pesanan makanan pelanggan di sebuah restoran.
Muhammad Izzudin berkata, dia berhasrat untuk mengikuti jurusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti Malaya (UM).
“Saya terkejut dan sangat gembira selepas mengetahui memperoleh 4A dengan PNGK 4.00 dan sangat bersyukur kerana usaha serta pengorbanan selama ini akhirnya membuahkan hasil.
“Ibu bapa sentiasa memberi dorongan dan semangat kepada saya untuk menghadapi peperiksaan terutama ketika negara kini dilanda pandemik Covid-19. Tidak lupa juga kepada jasa guru-guru yang selama ini tanpa lelah mengajar dan berkongsi ilmu kepada saya serta rakan-rakan,” katanya lagi.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Forest Heights itu berkata, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) adalah antara cabaran perlu dilalui kerana dia memerlukan masa untuk menyesuaikan diri belajar tanpa bersemuka dengan guru-guru dan rakan-rakan lain.
“Capaian internet lemah juga menyukarkan PdPR. Ada masa saya rasa patah semangat tetapi sokongan daripada ibu bapa menyuntik kembali semangat untuk berusaha bersungguh-sungguh dalam pelajaran,” tambahnya lagi.
Antara resipi kejayaannya dalam memperolehi keputusan cemerlang dalam STPM ialah rajin mengulang kaji selain rajin membaca nota tambahan. Selain itu, dia juga melakukan penyelidikan di internet serta memperuntukkan antara dua hingga tiga jam sehari bagi mengulang kaji pelajaran.
Berkongsi pengalaman sebagai penghantar makanan, Muhammad Izzuddin berkata, ia banyak mengajar dirinya untuk mengenal masyarakat yang pelbagai ragam di samping dapat mempersiapkan diri menjadi seorang yang lebih matang.
Katanya, bekerja sambilan sebagai penghantar makanan juga mendidik menjadi seorang yang amanah serta dapat memperkuat dirinya dari aspek mental dan fizikal kerana situasi kerja yang tanpa mengira keadaan hujan atau panas.
Setiap makhluk yang bernyawa berhak kepada kehidupannya, dan takdir kehidupan anak kucing bernama Brutiss dengan tekad menakjubkan untuk terus hidup dan bertahan adalah bersama pemiliknya, Shannan.
Anak kucing kurang upaya dengan masalah pergerakan yang langsung sungguh berbeza seperti mana kucing lain, akhirnya menjalani kehidupan terbaiknya.
Brutiss dilahirkan dengan masalah gangguan neurologi Cerebellar hypoplasia yang melemahkan bahagian otak untuknya mengawal keseimbangan dan koordinasi ketika bergerak.
Sementara kebanyakan doktor haiwan yang merawat serta melihat keadaannya berterus terang mengatakan yang kucing ini tidak akan pernah boleh berjalan buat seumur hidupnya.
Sesuatu yang menghampakan apabila tiada semangat pemberi harapan pernah diberikan kepada si bulus malang ini.
Ketika Shannan pertama kali mengadopsi Brutiss, bapa Shannan telah mencipta sebuah kerusi roda asas yang diperbuat dengan menggunakan paip PVC dan beberapa roda sekerap.
Tetapi apa yang lebih menggembirakan ialah apabila anak kucing ini penuh semangat dan berkemahuan untuk menunjukkan kemajuan diri mencapai kejayaan dan bertahan dalam kehidupan.
Ramai yang berpendapat Brutiss tidak mampu melakukan perkara-perkara tertentu, tetapi itu bukan masalahnya.
Kecuali masalah kelainan upaya dan Brutiss bukan kucing yang biasa, dia kini boleh berenang dengan jaket keselamatan yang mungkin kucing normal lain tidak mungkin boleh lakukan kerana mereka takut.
Kerana Shannan berada di sisi Brutiss, apa sahaja boleh dilakukannya di sebalik keadaan kucing ini yang kurang upaya.
Kedua-dua pemilik dan kucingnya dengan hubungan erat tidak dapat dipisahkan!
Manusia dengan kucing peliharaan kesayangannya ini mempunyai kisah yang luar biasa, membuat kita merenungkan sejenak kehidupan ketika sedang melalui masa sukar.
Jika seekor kucing tidak pernah berputus asa, seorang manusia patut lebih lagi. Jalani kehidupan itu walaupun anda berasa ia sangat sakit dan memeritkan, berikan harapan dan warna yang cerah dalam kehidupan anda setiap hari.
Semuanya bermula apabila Thomas ke sekolah memakai baju Superman pada suatu hari, di mana murid pada ketika itu diminta bercerita mengenai keluarga masing-masing.
Malah guru Thomas turut mempersoalkan mengapa Thomas memakai pakaian tersebut. Tambah guru itu, Superman tidak wujud.
“Kerana bapa saudara saya adalah Superman”, jawab Thomas berulang-ulang kali dengan yakin. Thomas akhirnya dipanggil untuk ke pejabat dan dinasihati agar tidak ‘hidup dalam khayalan’.
Ketika waktu pulang, guru terbabit telah meminta ibu Thomas berbincang dengan anaknya mengenai perkara itu.
“Sekarang anak kamu menipu semua orang dan berkata bahawa bapa saudaranya adalah Superman”, kata guru terbabit. “Itulah yang sebenarnya”, jawab ibu Thomas.
Memandangkan warga di sekolah masih meraguinya, ibu Thomas kemudian telah meminta Henry untuk ke sekolah dan ‘menyelamatkan’ anaknya.
Jika anda perasan, kucing mempunyai tabiat tersendiri. Walaupun tidak suka bermanja setiap masa, namun mereka gemar juga menggosokkan tubuh ke badan kita.
Mengapa agaknya ya? Kelakuan itu sebenarnya bermakna mereka sedang menandakan bahawa anda adalah milik mereka.
Ini kerana terdapat kalenjar feromon pada wajah mereka dan jika disebarkan kepada manusia mahupun objek, kucing anda sebenarnya sedang menandakan ‘wilayah’ mereka.
Tetapi apa yang jadi jika anda mengelakkan diri daripada digosok oleh mereka? Apa agaknya reaksi mereka ya?
Walaupun restoran dan kedai makan kini diberi kebenaran untuk dibuka sehingga jam 10 malam, penjaja makanan dan pemilik perniagaan kecil terus menderita untuk bertahan meneruskan kelangsungan hidup.
Begitu menekan dan kesempitan, sehinggakan seorang penjaja bernama Ah Soon baru-baru ini telah menyerah kalah dan berputus asa apabila terpaksa menaikkan bendera putih di luar rumahnya.
Ahli politik Steven Sim Chee Keong, menerusi hantaran di Facebooknya telah berkongsi bagaimana beliau berjaya meyakinkan penjaja makanan ini untuk terus bertahan dan memperjuangkan perniagaannya.
Tulis Steven, “Ah Soon seorang penjaja. PKP berulang kali bukan sahaja menyebabkan dia kehilangan perniagaannya, malahan dia juga terpaksa menanggung hutang – sewa gerai, perbelanjaan motosikal, sewa rumah, bil elektrik dan air gagal dibayar selama empat hingga lima bulan. Bahkan dia terpaksa menjual mesin basuh dan kipas di rumahnya untuk membeli beras.”
Terus dihimpit dengan bebanan kewangan sehingga tertekan, kesempitan hidup lelaki itu akhirnya membuatkan dia meletakkan bendera putih di luar rumahnya.
“Dia telah berputus asa. Dia memberitahu jirannya jika dia meninggal dunia, mereka boleh ambil motosikalnya,” tulis Steven Sim.
Tetapi, syukurlah, ahli politik ini berjaya memujuknya untuk tidak membiarkan perjuangannya yang terus bertahan itu menjadi sia-sia, yang mana sepatutnya berakhir dengan mencapai kemenangan.
“Bukannnya dia tidak mencuba. Dia tekun berusaha untuk kembali bangkit setelah jatuh berkali-kali. Tetapi PKP yang berulang kali telah menyebabkannya menjadi keliru dan hilang arah. Semua usahanya tidak membuahkan hasil. Dia sudah penat,” jelas Steven.
“Saya katakan kepadanya, jangan berputus asa. Hidup ini ada pasang surutnya, harapan itu tetap ada. Paling tidak, seseorang telah melihat bendera putihnya dan inilah saya datang. Saya bertanya kepada Ah Soon, apa yang dia perlukan? Jawabnya, ‘Saya hanya mahu cari makan. Saya boleh bekerja, tetapi bagaimana saya boleh berusaha dalam keadaan begini?’,” tulis Steven.
Ah Soon yang malang itu juga menambah terdapat lot penjaja yang baru dan lebih baik berdekatan rumahnya tetapi katanya dia sudah tidak ada upaya untuk mencuba dan terus berusaha.
Tetapi, demi memberi sokongan kepada penjaja ini dan mengalihkan kesedihannya, Steven Sim memutuskan untuk melunaskan hutang Ah Soon dan menyewakan tempat penjaja baru itu agar dia dapat memulakan perniagaan makanannya dengan semangat baru. Malahan beliau turut berjanji akan menanggung kos sewa gerai itu hingga akhir tahun, asal sahaja Ah Soon berjanji untuk bangkit kembali dan memulakan hidup baru dengan terus berusaha.
“Ketika saya bertanya kepada Ah Soon apa yang akan dia jual di premis gerai baru itu, saya perhatikan dia kembali bersemangat dan kelihatan gembira menerangkan menunya. Dia bersungguh-sungguh mahu berusaha untuk dirinya sendiri,” tambah Steven.
Setelah membincangkan menu, mereka pergi membeli bahan-bahan untuk persiapan pembukaan gerai baru itu pada hari juga.
“Ah Soon seakan tidak mempercayainya. Dia terus mengucapkan terima kasih berkali-kali. Saya memberitahunya untuk berjanji kepada saya tiga perkara: pertama jangan fikir untuk berputus asa, kedua bantu orang lain kalau dia mampu dan ketiga, untuk makan malam malam, dia mesti memasak untuk saya kerana saya hendak cuba menu dia di gerai barunya,” tulisnya.
“#KempenKibarBenderaPutih bukan main-main. Rakyat sedang susah. Gunakan apa sahaja cara untuk menghubungi saya, saya akan turun segera. Hanya dalam beberapa jam, Ah Soon sudah dapat bangkit kembali, dan dia telah menurunkan bendera putih itu dari depan rumahnya,” tambah Steven Sim.
Malaysia telah menerima satu juta dos vaksin AstraZeneca (AZ) yang disumbangkan oleh kerajaan Jepun bagi memperhebatkan lagi keupayaan proses vaksinasi di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Bekalan vaksin tersebut tiba di Pintu C32 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur melalui penerbangan Japan Airlines JAL723 (Boeing 787) pada jam 5.20 petang 1 Julai.
Ketibaan sejuta vaksin AZ telah disambut dan disaksikan oleh Duta Besar Jepun ke Malaysia, Hiroshi Oka; Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi selaku Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Dengan sumbangan ini, Malaysia telah menerima 1,828,000 dos vaksin AstraZeneca sehingga 1 Julai.
Sebelum itu, Duta Besar Malaysia ke Jepun Datuk Kennedy Jawan berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Chiba, Jepun pada jam 10.20 pagi (waktu Malaysia) untuk menyaksikan penghantaran vaksin.
Vaksin AstraZeneca akan dihantar ke pusat vaksinasi di Kuala Lumpur, Selangor, Johor Bahru, Pulau Pinang dan Sarawak di bawah program PICK.
Jepun telah bersetuju menyumbangkan jumlah yang sama vaksin AstraZeneca ke Filipina, Thailand dan Indonesia.
Sementara itu, Oka berkata sumbangan vaksin AZ dari Jepun ke Malaysia adalah simbol terbaharu persahabatan yang telah lama terjalin di antara kedua-dua negara.
Thank you to the government & people of Japan for the contribution of one million doses of the AZ vaccine. Testament to our strong bilateral ties. Malaysia will also receive 586,700 doses of our direct AZ purchase tonight from the AZ facility in Thailand. pic.twitter.com/JRQpcfiUju
“Dalam perutusannya kepada Perdana Menteri Malaysia, Perdana Menteri Yoshihide Suga berkata sumbangan vaksin kepada Malaysia adalah sebagai tanda persahabatan yang erat antara Jepun dan Malaysia,” kata Oka.
Tambahnya lagi, tahun hadapan menandakan ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik Jepun-Malaysia serta ulang tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur.
Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa mukim di Selangor dan beberapa lokaliti di Kuala Lumpur, bermula 3 Julai selama 14 hari.
Menurut data, keputusan ini dibuat memandangkan unjuran kadar nilai kebolehjangkitan (R-naught) di kedua-dua negeri ini masih dalam lingkungan 1.0 dan tidak menunjukkan trend penurunan.
Berikut adalah intipati penting mengenai pelaksanaan PKPD :
Sebarang pergerakan merentas daerah atau negeri untuk vaksinasi COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di luar daerah atau negeri tempat tinggal dibenarkan, dengan menunjukkan butiran janji temu aplikasi MySejahtera, laman sesawang atau SMS
Aktiviti dan perkhidmatan pengangkutan awam (kereta api, komuter, bas, lapangan terbang, teksi, feri, e-hailing) dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 50%. Hanya 2 orang penumpang dibenarkan untuk perkhidmatan teksi dan e-hailing termasuk pemandu.
Hanya seorang sahaja dibenarkan untuk keluar daripada kediaman bagi membeli barangan keperluan asas dalam radius 10 kilometer. Sebarang pergerakan tidak perlu selepas jam 8 malam tidak dibenarkan, kecuali bagi kes-kes kecemasan atau mendapat kebenaran PDRM
Sektor perkhidmatan perlu dibenarkan beroperasi bermula 8 pagi hingga 8 malam meliputi hanya sektor utiliti, pembersihan dan kumbahan
Hanya kilang bahan makanan dan keperluan asas harian seperti beras, roti putih, gula, minyak masak, tepung gandum, susu segar, susu tepung bayi, ubat-ubatan dan topeng muka dibenarkan beroperasi
Pekerja selain daripada perkhidmatan perlu tidak dibenarkan keluar daripada kawasan PKPD dan tidak boleh bekerja sepanjang tempoh PKPD.
Restoran, kedai atau gerai makan, kenderaan bersaji (food truck), penjaja tepi jalan, penjaja beredar, medan selera atau pusat penjaja, gerai makan tepi jalan atau kiosk, dibenarkan beroperasi bermula 8 pagi hingga 8 malam
Pembelian makanan secara bawa pulang (take away), pandu lalu atau penghantaran ke rumah sahaja dibenarkan
Kedai runcit, serbaneka, kedai barangan keperluan harian dibenarkan beroperasi antara 8 pagi hingga 8 malam
Hospital, klinik dan makmal perubatan dibenarkan beroperasi 24 jam atau mengikut lesen kebenaran
Kedai farmasi, kedai penjualan ubat-ubatan, klinik haiwan, kedai makanan haiwan, dibenarkan beroperasi antara 8 pagi hingga 8 malam.
Stesen minyak dibenarkan beroperasi bermula 6 pagi hingga 8 malam, kecuali stesen minyak di lebuh raya bertol yang beroperasi selama 24 jam
Pasar borong dibenarkan beroperasi bermula 12 tengah malam hingga 6 pagi
Pasar awam, pasar tani kekal (PTK) dan MyFarm Outlet (MFO) dibenarkan beroperasi bermula jam 6 pagi hingga 2 petang
Sebarang aktiviti sukan, sosial, rekreasi dan budaya adalah tidak dibenarkan.
Untuk maklumat terperinci mengenai prosedur operasi standard PKPD, anda boleh merujuk laman sesawang Majlis Keselamatan Negara di pautan ini.
Hutan hujan di Malaysia sesungguhnya dipenuhi keajaiban dengan pelbagai spesies flora dan fauna yang menakjubkan, dan ada di antaranya yang masih belum pernah ditemui oleh manusia.
Salah satu spesies tumbuhan baharu yang hanya ditemui baru-baru ini di hutan hujan Terengganu dan diterbitkan dalam jurnal sains PhytoKeys oleh sekumpulan saintis dari Malaysia dan Universiti Oxford.
Universiti Oxford menerusi laman Facebook mereka telah mempamerkan spesies tumbuhan baharu dikenali ‘fairy lanterns’ yang ditemui buat pertama kali di Hutan Rizab Hulu Nerus di Terengganu.
Video dengan kapsyen, “Para saintis menemui tumbuhan unik dan luar biasa di hutan hujan Malaysia.”
Tumbuhan unik ini pertama kali ditemui oleh pengembara hutan hujan, penyelidik bebas dan jurugambar Suzairi Zakaria atau lebih mesra dikenali Dome Nikong pada tahun 2019, yang menemui tumbuhan luar biasa itu tumbuh di sepanjang trek pelancong di Gunung Sarut.
Malangnya, ketika Dome Nikong kembali bersama pasukan ahli botani dan penyelidik Dr Siti-Munirah pada bulan Februari 2020, tumbuhan ‘fairy lanterns’ itu didapati telah dimusnahkan oleh babi hutan kecuali terdapat satu sahaja spesimen yang berhasil diambil.
Dr Siti-Munirah Mat Yunoh dari Insititut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Dr Chris Thorogood, yang merupakan Timbalan Pengarah dan Ketua Sains di Oxford Botanic Garden and Arboretum dan juga pensyarah di Jabatan Sains Tumbuhan, Universiti Oxford berjaya menyelidik struktur dan seni bina tumbuhan ini dengan sedikit sampel yang mereka kumpulkan.
Mereka telah menamakannya tumbuhan unik dan luar biasa ini dengan nama saintifik, Thismia sitimeriamiae(Thismiaceae) sempena nama ibu Dome Nikong yang amat dikasihi, Siti Meriam.
“Struktur dan seni bina bunga yang luar biasa menimbulkan pertanyaan menarik tentang bagaimana ia didebungakan,” kongsi Dr Chris Thorogood di laman Facebook dan Twitter.
Satu perkara yang mereka amat pasti dan yakin adalah tumbuhan ini amat unik dan jarang ditemui dan mungkin hanya dapat dilihat sebanyak dua kali dan berkemungkinan juga pupus kerana usaha untuk memindahkan tumbuhan ini ternyata gagal.
Oleh itu, status pemuliharaan untuk spesies tumbuhan atau tanaman ‘fairy lanterns Thismiaceae’ adalah ‘Critically Endangered’ (CR) atau Terancam Kritikal menurut kriteria International Union for Conservation of Nature (IUCN).
Dengan penemuan yang begitu unik, wajar untuk kita menganggap hakikatnya terdapat pelbagai spesies tumbuhan yang jarang ditemui malahan belum lagi pernah ditemui yang sesuai menjadikan hutan hujan di Malaysia sebagai ‘kediaman’ mereka.
Oleh itu, adalah amat penting kita yang berada di Malaysia berasa bersyukur dan perlu bertindak mengambil langkah perlu dalam memastikan hutan simpan dan hutan rizab yang menempatkan pelbagai spesies flora dan fauna sentiasa terpelihara, dan tidak tersentuh oleh aktiviti pemusnah alam sekitar seperti pembalakan dan pembangunan.