Hutan hujan di Malaysia sesungguhnya dipenuhi keajaiban dengan pelbagai spesies flora dan fauna yang menakjubkan, dan ada di antaranya yang masih belum pernah ditemui oleh manusia.
Salah satu spesies tumbuhan baharu yang hanya ditemui baru-baru ini di hutan hujan Terengganu dan diterbitkan dalam jurnal sains PhytoKeys oleh sekumpulan saintis dari Malaysia dan Universiti Oxford.
Universiti Oxford menerusi laman Facebook mereka telah mempamerkan spesies tumbuhan baharu dikenali ‘fairy lanterns’ yang ditemui buat pertama kali di Hutan Rizab Hulu Nerus di Terengganu.
Video dengan kapsyen, “Para saintis menemui tumbuhan unik dan luar biasa di hutan hujan Malaysia.”
Tumbuhan unik ini pertama kali ditemui oleh pengembara hutan hujan, penyelidik bebas dan jurugambar Suzairi Zakaria atau lebih mesra dikenali Dome Nikong pada tahun 2019, yang menemui tumbuhan luar biasa itu tumbuh di sepanjang trek pelancong di Gunung Sarut.
Malangnya, ketika Dome Nikong kembali bersama pasukan ahli botani dan penyelidik Dr Siti-Munirah pada bulan Februari 2020, tumbuhan ‘fairy lanterns’ itu didapati telah dimusnahkan oleh babi hutan kecuali terdapat satu sahaja spesimen yang berhasil diambil.
Dr Siti-Munirah Mat Yunoh dari Insititut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Dr Chris Thorogood, yang merupakan Timbalan Pengarah dan Ketua Sains di Oxford Botanic Garden and Arboretum dan juga pensyarah di Jabatan Sains Tumbuhan, Universiti Oxford berjaya menyelidik struktur dan seni bina tumbuhan ini dengan sedikit sampel yang mereka kumpulkan.
Mereka telah menamakannya tumbuhan unik dan luar biasa ini dengan nama saintifik, Thismia sitimeriamiae (Thismiaceae) sempena nama ibu Dome Nikong yang amat dikasihi, Siti Meriam.
“Struktur dan seni bina bunga yang luar biasa menimbulkan pertanyaan menarik tentang bagaimana ia didebungakan,” kongsi Dr Chris Thorogood di laman Facebook dan Twitter.
Satu perkara yang mereka amat pasti dan yakin adalah tumbuhan ini amat unik dan jarang ditemui dan mungkin hanya dapat dilihat sebanyak dua kali dan berkemungkinan juga pupus kerana usaha untuk memindahkan tumbuhan ini ternyata gagal.
Oleh itu, status pemuliharaan untuk spesies tumbuhan atau tanaman ‘fairy lanterns Thismiaceae’ adalah ‘Critically Endangered’ (CR) atau Terancam Kritikal menurut kriteria International Union for Conservation of Nature (IUCN).
Dengan penemuan yang begitu unik, wajar untuk kita menganggap hakikatnya terdapat pelbagai spesies tumbuhan yang jarang ditemui malahan belum lagi pernah ditemui yang sesuai menjadikan hutan hujan di Malaysia sebagai ‘kediaman’ mereka.
Oleh itu, adalah amat penting kita yang berada di Malaysia berasa bersyukur dan perlu bertindak mengambil langkah perlu dalam memastikan hutan simpan dan hutan rizab yang menempatkan pelbagai spesies flora dan fauna sentiasa terpelihara, dan tidak tersentuh oleh aktiviti pemusnah alam sekitar seperti pembalakan dan pembangunan.
Tonton video di sini.