Sebut sahaja mengenai adiwira ‘Superman’, pasti minda kita akan teringat akan sosok tampan dan sasa Henry Cavill bukan?
Baru-baru ini, kisah Henry bersama anak buahnya bernama Thomas menjadi bualan warga di Twitter.
Ini kerana, Thomas yang berusia 7 tahun pada 2013 telah dituduh menipu kerana mengatakan bahawa bapa saudaranya adalah Superman.
Henry Cavill/Instagram
Semuanya bermula apabila Thomas ke sekolah memakai baju Superman pada suatu hari, di mana murid pada ketika itu diminta bercerita mengenai keluarga masing-masing.
Malah guru Thomas turut mempersoalkan mengapa Thomas memakai pakaian tersebut. Tambah guru itu, Superman tidak wujud.
“Kerana bapa saudara saya adalah Superman”, jawab Thomas berulang-ulang kali dengan yakin. Thomas akhirnya dipanggil untuk ke pejabat dan dinasihati agar tidak ‘hidup dalam khayalan’.
Ketika waktu pulang, guru terbabit telah meminta ibu Thomas berbincang dengan anaknya mengenai perkara itu.
Henry Cavill/Instagram
“Sekarang anak kamu menipu semua orang dan berkata bahawa bapa saudaranya adalah Superman”, kata guru terbabit. “Itulah yang sebenarnya”, jawab ibu Thomas.
Memandangkan warga di sekolah masih meraguinya, ibu Thomas kemudian telah meminta Henry untuk ke sekolah dan ‘menyelamatkan’ anaknya.
Barulah semua percaya!
nerdvr/Instagram
Menurut ibu Thomas, dia meminta Henry untuk ke sekolah bertujuan untuk mengelakkan anaknya diberi hukuman dan terus dituduh sebagai penipu.
Kisah itu sebenarnya dikongsi Henry sewaktu diwawancara menerusi rancangan The Tonight Show yang dihoskan oleh Jay Leno.