KUALA LUMPUR- Awal pagi Sabtu, 3 Julai lalu pihak berkuasa telah memasang kawat duri di tangga pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kuala Lumpur.
Kawat duri dipasang oleh pihak berkuasa di Blok C PPR Kampung Baru Air Panas di pusat bandar Kuala Lumpur setelah 14 lokaliti di bandar itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan yang Diperketatkan (PKPD) mulai 3 Julai lalu.
Namun, tindakan tersebut telah menimbulkan kritikan orang ramai kerana dianggap sebagai bahaya jika berlakunya hal-hal kecemasan seperti kebakaran.
Ekoran tindakan itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, mengarahkan kawat duri yang dipasang di laluan tangga itu dibuka serta-merta.
Dalam laman Twitternya, beliau berkata pemasangan kawat duri sedemikian adalah tidak dibenarkan di pangsapuri walaupun kawasan itu dikenakan PKPD dan arahan untuk membuka kawat tersebut telah dikeluarkan serta-merta.
Bercakap mengenai perkara itu, Ketua Pengarah Balai Bomba dan Penyelamat, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata bahawa langkah berjaga-jaga telah diambil untuk memastikan keselamatan orang ramai terjamin sekiranya berlaku kecemasan.
“Kawat berduri kini hanya dipasang di tingkat bawah, dan di pintu keluar terakhir,” katanya. Menurutnya lagi, tiada halangan yang terdapat pada laluan kecemasan jika berlakunya kebakaran.
Selain iru, dalam mengulas perkara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah, hari ini, berkata pemasangannya dipersetujui dalam mesyuarat penyelarasan PKPD yang turut dihadiri Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Menurutnya lagi, terdapat laluan lain yang boleh digunakan oleh penduduk bagi tujuan keluar masuk dari bangunan itu sekiranya berlaku sebarang kecemasan.
Selain itu, pihak polis dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dan bersiap sedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan.