Malaysia telah menerima satu juta dos vaksin AstraZeneca (AZ) yang disumbangkan oleh kerajaan Jepun bagi memperhebatkan lagi keupayaan proses vaksinasi di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Bekalan vaksin tersebut tiba di Pintu C32 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur melalui penerbangan Japan Airlines JAL723 (Boeing 787) pada jam 5.20 petang 1 Julai.
Ketibaan sejuta vaksin AZ telah disambut dan disaksikan oleh Duta Besar Jepun ke Malaysia, Hiroshi Oka; Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi selaku Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Dengan sumbangan ini, Malaysia telah menerima 1,828,000 dos vaksin AstraZeneca sehingga 1 Julai.
Sebelum itu, Duta Besar Malaysia ke Jepun Datuk Kennedy Jawan berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Chiba, Jepun pada jam 10.20 pagi (waktu Malaysia) untuk menyaksikan penghantaran vaksin.
Vaksin AstraZeneca akan dihantar ke pusat vaksinasi di Kuala Lumpur, Selangor, Johor Bahru, Pulau Pinang dan Sarawak di bawah program PICK.

Jepun telah bersetuju menyumbangkan jumlah yang sama vaksin AstraZeneca ke Filipina, Thailand dan Indonesia.
Sementara itu, Oka berkata sumbangan vaksin AZ dari Jepun ke Malaysia adalah simbol terbaharu persahabatan yang telah lama terjalin di antara kedua-dua negara.
“Dalam perutusannya kepada Perdana Menteri Malaysia, Perdana Menteri Yoshihide Suga berkata sumbangan vaksin kepada Malaysia adalah sebagai tanda persahabatan yang erat antara Jepun dan Malaysia,” kata Oka.
Tambahnya lagi, tahun hadapan menandakan ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik Jepun-Malaysia serta ulang tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur.