25.2 C
Kuala Lumpur
Friday, September 12, 2025
Utama Blog Laman 30

Lelaki pinjam ‘Ah Long’ RM50,000 namun hutang menjadi RM4 juta

0

Gara-gara tidak mampu membayar hutang sedia ada, seorang lelaki yang pada awalnya meminjam ‘Ah Long’ RM50,000 terpaksa membayar RM4 juta.

CHINA PRESS

Berdasarkan laporan daripada Chinese Press, peminjam yang berbangsa Cina itu meminjam wang daripada Ah Long sebanyak RM50,000 tersebut untuk menjalankan perniagaan.

Perkara itu didedahkan oleh Setiausaha Agung Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur, See Foo Hoong.

Menurut See, pemberi pinjam wang tidak berlesen itu mengumpan orang ramai dengan menggunakan logo bank tempatan. Mereka menyamar sebagai institusi kredit dan menunjukkan sistem pembayaran semula yang kelihatan meyakinkan.

Mangsa kemudiannya tertarik untuk membuat pinjaman dengan Ah Long tersebut memandangkan dia memerlukan wang untuk menyelesaikan masalah kewangan dalam perniagaannya.

Pada mulanya, mangsa meminjam RM50,000 sahaja. Namun faedah pinjaman meningkat sehingga mencecah RM4 juta. Keluarga mangsa berjaya membayar penuh jumlah tersebut.

CHINA PRESS

Sangkaan mereka semuanya sudah selesai sehinggalah pihak Ah Long mengatakan mangsa masih mempunyai hutang sebanyak RM4 juta.

Perkara itu disedari mangsa di mana cara pengiraan pembayaran semula hutang berlainan daripada apa yang dipaparkan dalam iklan.

Difahamkan, pemberi pinjam wang tidak berlesen itu juga meminta mangsa untuk memberikan salinan kad pengenalan, bil air, bil elektrik dan gambar bahagian depan rumah sebelum mereka meluluskan permohonan pinjaman wang.

Walaupun pada dasarnya mangsa meminjam RM50,000 namun dia hanya mendapat RM27,000 selepas dikatakan baki wang pinjaman dipotong untuk “yuran pemprosesan”.

“Dia hanya menerima 40 hingga 60 peratus daripada jumlah yang dipinjam. Apabila dia tidak dapat membayar jumlah tersebut kerana kadar faedah yang tinggi, dia terus meminjam daripada Ah Long lain untuk menutup hutang sebelumnya,” Kata See.

Disebabkan tidak mampu untuk membayar RM4 juta yang seterusnya, mangsa telah menemui See untuk mendapatkan khidmat nasihat.

See menasihati mangsa supaya membuat laporan polis dengan mengemukakan semua bukti termasuk akaun bank yang digunakan untuk membuat pembayaran semula hutang, mesej ugutan dan lain-lain.

CHINA PRESS

Pihak polis melakukan siasatan terhadap kes itu.

Ikan Paus Pilot muncul di Pulau Tioman, pelancong teruja

0

Sekumpulan pelancong begitu teruja sekali apabila melihat ikan Paus Pilot semasa mereka sedang menikmati keindahan Pulau Tioman.

SAYS

Kumpulan pelancong itu sedang mengembara bersama-sama dengan pengendali pelayaran pengembaraan Sea Rascals.

Menurut SAYS, ketua anak kapal, Zai sempat merakam detik indah yang menyaksikan sekumpulan ikan paus pilot yang muncul di perairan air.

SAYS

Terdahulu sekumpulan paus pilot sirip pendek pernah ditemui berenang berhampiran Pulau Perhatian dekat Jertih, Terengganu.

Dikatakan mamalia marin bersaiz besar dan banyak itu menjadikan Laut China Selatan sebagai laluan migrasi mereka.

Ketua Cawangan Mamalia Marin, Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang Jabatan Perikanan Malaysia Mohd Tamimi Ali Ahmad dalam satu kenyataan berkata, mamalia itu sering bergerak dalam bilangan antara 10 hingga 50 ekor.

Menurut Tamimi lagi, seekor mamalia marin dewasa dianggarkan seberat 1,000 hingga 3,000 kilogram manakala seekor anak pula dianggarkan seberat 60 hingga 500 kilogram.

Sementara itu, jangka hayat ikan paus pilot ini dianggarkan boleh mencapai antara 40 hingga 45 tahun serta usia kematangannya pula adalah antara 10 hingga 20 tahun.

Kali terakhir mamalia marin ini dilaporkan terdampar mati di Sarawak ialah pada tahun 2013 dan di Labuan, Sabah pada tahun 2015.

Ikan paus pilot sirip pendek tersenarai dalam kumpulan mamalia marin dan merupakan satu spesies marin terancam di Malaysia.

Mamalia ini ialah pemangsa dalam rantaian pemakanan di ekosistem lautan dan juga haiwan karnivor yang kebiasaannya memburu dan memakan ikan, sotong, penyu dan burung laut.

Malangnya, mamalia marin ini juga gemar memakan sampah sarap dan plastik yang bertebaran di lautan dan disebabkan itu terdapat beberapa kes haiwan ini terlantar sakit dan akhirnya mati di luar negara.

Tonton video ikan Paus Pilot yang ditemui di Pulau Tioman tersebut di bawah.

Pendaki bongkar air terjun terkenal di China rupanya palsu yang keluar dari paip

0

Satu video yang memaparkan pemandangan air terjun popular di China menjadi tular baru-baru ini selepas ia mendedahkan bahawa airnya keluar dari paip.

Air terjun Yuntai Tian, ​​yang terletak di Taman Geo Gunung Yuntai, melata dari ketinggian 314 meter dan menyandang gelaran “air terjun tertinggi di Asia”.

Gambar Trip.com

Berjuta-juta pengunjung melawat Taman Geo Global UNESCO itu pada setiap tahun untuk menyaksikan dengan kekaguman formasi geologi yang wujud sejak lebih daripada satu bilion tahun.

Walau bagaimanapun, baru-baru ini ia mencetuskan kontroversi dan perdebatan tentang keaslian air terjun berkenaan kerana penggunaan paip air untuk menambah aliran semasanya terutama ketika musim kemarau.

Seorang pendaki lelaki baru-baru ini merakam rakaman air terjun berkenaan, mendedahkan paip air terbina dari celah batu yang membekalkan sumber air di bahagian atas air terjun.

Gambar Douyin

Video itu, yang memperoleh berjuta tontonan di Weibo dan Douyin telah mencetuskan kekecohan yang mendorong pegawai kerajaan tempatan untuk menyiasat.

Mengulas kepada CCTV, pihak pengurusan taman menjelaskan tanpa menafikannya bahawa air yang digunakan untuk mengepam air adalah air mata air, dan memberi jaminan bahawa ia tidak akan merosakkan landskap semula jadi.

Pegawai taman juga mendakwa mereka membuat “penambahbaikan kecil” ini supaya pelancong tidak berasa kecewa semasa berkunjung di musim kemarau.

“Kami membuat sedikit penambahbaikan semasa musim kemarau untuk memberikan anda pengalaman lebih baik,” kata mereka dalam kenyataan itu pada Selasa, 4 Jun.

Gambar Douyin

Setelah disiasat, pegawai kerajaan tempatan telah menasihatkan pengurusan taman itu untuk mengambil iktibar daripada insiden berkenaan dan memaklumkan kepada para pelancong tentang “penambahbaikan” ini lebih awal.

Walaupun beberapa orang mengkritik penambahbaikan itu, tetapi yang lain merasakan sebaliknya dengan menyatakan bahawa ia adalah tarikan terindah tidak kira bagaimana caranya:

“Saya fikir ia adalah perkara yang baik untuk dilakukan. Jika tidak, ramai akan kecewa jika mereka akhirnya tidak dapat melihat apa-apa di sana,” kata pengguna Weibo.

“Mengapa perlu peduli ia keluar dari paip? Ia masih nampak indah pada pandangan saya.”

“Jadi apa masalahnya? Ia masih nampak cantik tidak kira macam mana pun.”

“Palsu atau tidak, ia masih air terjun. Peduli apa! Ia masih air, bukan? Dan ia masih terjun.. Itu yang penting!”

Gambar BBC

Manakala yang lain merasakan bahawa ia merosakkan pengalaman menyaksikan keindahan alam semula jadi.

“Ia tidak menghormati aturan alam semula jadi, dan tidak menghormati pelancong,” tulis seorang pengguna Weibo.

“Bagaimana ia boleh dipanggil air terjun No. 1 lagi?” pengguna lain bertanya pada Douyin.

Harga diesel tanpa subsidi RM3.35 seliter bermula 10 Jun

0

PUTRAJAYA: Kerajaan menetapkan harga diesel di Semenanjung pada kadar RM3.35 seliter bermula jam 12 tengah malam Isnin, 10 Jun selaras dengan pelaksanaan penyelarasan semula subsidi bahan api tersebut.

Menteri Kewangan Il, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, penetapan dibuat mengikut harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula ‘Automatic Pricing Mechanism’.

Berita Harian Online / Facebook

Menurutnya, untuk tempoh seterusnya, harga diesel semasa akan diumumkan pada setiap minggu (Rabu), mengikut amalan semasa Kementerian Kewangan.

“Namun, kerajaan akan terus memantau keadaan semasa bagi mengelakkan ketidakstabilan harga.

“Kerajaan sudah bertahun-tahun mengawal harga di stesen-stesen minyak. Ada kaedah yang kita boleh stabilkan harga. Jadi, kalau ada lonjakan harga kita akan cuba stabilkan harga.

“Bagaimanapun jika kenaikan harga drastik dijangka dalam tempoh lama, kita akan lihat bagaimana kaedah terbaik yang kita boleh buat,” katanya pada Sidang Media Penyasaran Subsidi Diesel di Putrajaya pada Ahad, 9 Jun.

Beliau menegaskan, penyasaran semula subsidi yang dilakukan kerajaan adalah memastikan ia memanfaatkan golongan yang benar-benar layak sahaja dan mahu ketirisan yang amat merugikan rakyat dan negara dihentikan.

Berita Harian Online / Facebook

Katanya, dengan langkah itu juga, kerajaan menjangkakan pengurangan serta-merta kerugian daripada aktiviti ketirisan yang boleh membawa kepada penjimatan sebanyak RM4 billion setahun.

“Penjimatan yang diperoleh kerajaan daripada langkah penting ini akan memastikan terdapat lebih banyak sumber untuk disalurkan ke dalam sektor kritikal lain yang secara langsung akan meningkatkan kualiti hidup rakyat termasuk infrastruktur awam, penjagaan kesihatan dan pendidikan untuk anak-anak kita,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, tiada tarikh tutup ditetapkan bagi permohonan bantuan subsidi tunai di bawah inisiatif Budi Madani.

Katanya, seramai 30,000 pemilik kenderaan diesel akan menerima RM200 bantuan tunai bulanan pertama bawah inisiatif tersebut pada Isnin.

@bharianmy / X

“Sekali lagi, saya ingin mengingatkan rakyat Malaysia yang layak untuk memohon bantuan tunai ini. Mereka yang memohon pada bulan Jun akan layak menerima bantuan tunai untuk bulan Jun dan seterusnya.

“Mereka yang terlepas membuat permohonan pada bulan Jun akan layak menerima bantuan tunai untuk bulan permohonan dan seterusnya,” katanya.

Harga diesel di Malaysia dengan jumlah subsidi sebelum pelarasan semula, dijual pada empat harga yang berbeza mengikut subsidi iaitu RM1.65 bagi nelayan; RM1.88 bagi pengangkutan awam darat; RM2.15 bagi kenderaan komersial dan persendirian, serta pernah mencecah RM3.60 bagi sektor komersial tanpa subsidi.

Menurunkan taraf hidup bukan sekadar langkah urus kewangan

0

Menurunkan taraf hidup bukanlah satu keputusan mudah namun bagi sesetengah orang itu adalah langkah berani ke arah kehidupan lebih bermakna.

Baru-baru ini menerusi satu audio siar (podcast) DekatMic di TikTok, seorang wanita berkongsi pengalamannya yang telah menurunkan taraf hidup.

Menurut wanita itu, sebelum ini dia memiliki kereta mewah. Namun selepas itu dia menjual kereta tersebut dan membeli kereta buatan Malaysia.

“Saya tak malu cakap, saya dah downgrade my lifestyle.”

“Kalau dulu saya ada kereta mewah, saya jual dan saya beli kereta local,” Kata wanita tersebut.

TIKTOK

Tambah wanita itu lagi, ketika kawan-kawan menganggap kereta tempatan yang digunakannya itu sebagai kereta kedua, dia tidak malu untuk mengaku bahawa kereta berkenaan adalah kereta pertamanya.

Wanita itu juga menambah bahawa walaupun dia tidak lagi memiliki kereta mewah namun dia berasa gembira dan fikirannya tenang.

TIKTOK

Panel audio siar tersebut turut memberikan buah fikiran yang mana sebaiknya adalah mengukur baju di badan sendiri.

Hal ini dikatakan demikian kerana apa yang penting adalah kemampuan diri menguruskan kehidupan daripada segi kewangan termasuklah kesihatan mental.

Menurut panel wanita itu lagi, kita hendaklah hidup secara bersederhana.

Ini kerana, jika terlalu mengejar kehendak, kita terpaksa bekerja keras yang mana akhirnya akan memberi kesan kepada kesihatan diri dan mental.

Tahukah anda menurunkan taraf hidup bukan sekadar langkah urus kewangan tetapi merangkumi aspek kehidupan yang lain. Antaranya adalah:

  1. Mengurangkan tekanan kewangan.
    Dengan mengurangkan perbelanjaan, anda boleh menggunakan wang tersebut untuk membayar hutang dan mencapai kestabilan kewangan. Selain itu, mengurangkan kos hidup memberi anda peluang untuk menabung lebih banyak dan melabur untuk masa depan.
  2. Meningkatkan kualiti hidup.
    Ketenangan hidup dapat dicapai menerusi kehidupan yang lebih sederhana. Apabila anda mengamalkan gaya hidup yang lebih sederhana, anda akan mempunyai lebih banyak masa dan tenaga untuk dicurahkan kepada keluarga anda khususnya.
  3. Kesihatan mental dan fizikal.
    Apabila anda menurunkan taraf hidup, kesihatan mental dan fizikal anda juga lebih terjaga. Anda juga mempunyai lebih banyak masa untuk melakukan aktiviti fizikal yang lebih sihat seperti berjalan kaki, berkebun atau aktiviti luar yang lain.
  4. Kebebasan dan fleksibiliti.
    Menurunkan taraf hidup juga dapat membuka peluang untuk anda mengambil cuti, melancong dengan bajet rendah atau bahkan mengambil masa untuk merehatkan diri. Jika perbelanjaan anda menjadi semakin rendah, anda akan mempunyai lebih banyak kebebasan untuk membuat pilihan hidup seperti bekerja dalam bidang yang anda minati tanpa tekanan kewangan yang besar.
  5. Nilai dan kepercayaan peribadi.
    Dengan menurunkan taraf hidup juga anda dapat menilai semula kepercayaan peribadi. Tindakan ini dapat memberi peluang kepada anda untuk fokus kepada perkara yang benar-benar penting.
PEXELS

Ingatlah bahawa menurunkan taraf hidup bukanlah bererti anda gagal. Malah, perjalanan untuk mencapainya mungkin mencabar pada awalnya, tetapi dengan perancangan yang baik dan penetapan minda yang positif, anda mampu melaluinya.

Budak autisme 11 tahun pandu kereta, bapa disaman dan sekumpulan lelaki dikecam kerana memukul menampar

0

Baru-baru ini, tular satu video yang memaparkan sekumpulan lelaki di Sibu, Sarawak bertindak memukul dan menampar seorang budak lelaki berusia 11 tahun kerana memandu kereta bersendirian tanpa mengetahui keadaan kesihatan sebenar kanak-kanak itu.

Video itu, yang asalnya dimuat naik dalam kumpulan Facebook awam, kini telah dipadamkan. Bagaimanapun, ia kemudiannya dimuat naik semula di platform X.

Dalam video, kedengaran jeritan dan pekikan budak itu apabila salah seorang lelaki menerkam dan memukulnya dengan sehelai kain. Yang lain dalam kumpulan berkenaan tidak berbuat apa-apa untuk menghalangnya daripada terus mengherdik dan menampar kanak-kanak itu.

Gambar Facebook

Selepas budak lelaki itu berjaya berlari masuk ke dalam kereta, kumpulan itu mengejarnya.

“Dia lari masuk ke dalam kereta lagi,” jerit salah seorang lelaki dalam bahasa Mandarin.

Mereka kemudian menghalangnya daripada menutup pintu di bahagian pemandu ketika budak itu terus meraung.

Video berdurasi 30 saat itu kemudian menunjukkan salah seorang lelaki menampar dan menjerit kepada budak lelaki itu, sambil berkata, “Jangan hanya menjerit! Mahu lebih lagi? Berapa kali saya mesti kata ni? Mengapa kamu masih mahu bermain? Boleh tak kamu duduk di tempat duduk penumpang dan biarkan ayah kamu memandu?”

Gambar Facebook

Budak lelaki itu kemudian menjawab, “Tidak!”, menyebabkan lelaki itu menamparnya sekali lagi.

Ekoran insiden, bapa kepada kanak-kanak lelaki yang memandu kereta jenis Hyundai I10 secara bersendirian di Jalan Kampung Nyabor, Sibu itu telah dikenakan tindakan saman oleh polis.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, tindakan saman di bawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 itu dibuat ke atas bapanya setelah kanak-kanak berkenaan berjaya dikesan kira-kira jam 6.50 petang Rabu, 6 Jun.

Katanya, kanak-kanak itu dan ibu bapanya dibawa ke Pejabat Trafik Polis Sibu untuk siasatan.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili (Gambar Bernama)

“Hasil siasatan mendapati pemandu kereta tersebut iaitu kanak-kanak lelaki berkenaan menghidap autisme dan mempunyai rekod perubatan di Klinik Pakar Psikiatri Hospital Sibu.

“Polis mendapat maklumat berhubung video berdurasi 30 saat yang tular di laman sosial kira-kira pukul 3 petang semalam (Rabu) yang menunjukkan kanak-kanak berkenaan memandu kereta secara bersendirian di Jalan Kampung Nyabor,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis, 7 Jun.

Sementara itu, Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) menggesa PDRM untuk mempertimbangkan bagi menarik balik saman yang dikenakan terhadap bapa kanak-kanak autisme yang memandu secara berbahaya itu.

Naib Pengerusi NASOM, Mohd Nazrul Mohd Amin berkata, pihak berkuasa seharusnya melihat kejadian itu dalam pelbagai aspek.

Naib Pengerusi NASOM, Mohd Nazrul Mohd Amin (Gambar Majoriti)

“Kejadian tersebut adalah hasil daripada kesilapan yang tidak disengajakan dan mendesak PDRM untuk mengambil kira keadaan keluarga tersebut serta sifat autisme yang dihidapi oleh kanak-kanak tersebut.

“Mereka yang menghidap autisme kadang-kadang mempunyai kecenderungan untuk melakukan tindakan secara impulsif tanpa menyedari bahaya yang mungkin timbul,” katanya kepada Majoriti.

Tambahnya, kejadian itu harus dilihat dari perspektif kebajikan dan pemahaman yang lebih mendalam terhadap cabaran yang dihadapi oleh keluarga yang menjaga anak-anak dengan autisme.

“Kanak-kanak istimewa ini tidak boleh membuat penilaian sendiri dan menilai bahaya. Mereka juga boleh bertindak di luar kawalan dan kadang-kadang ibu bapa boleh ‘terlepas’ pandang.

“Kami berharap pihak PDRM dapat menunjukkan belas ihsan dan menarik balik saman ini kerana ia juga kes terpencil dan saya juga berharap ia akan dijadikan pengajaran buat semua,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Nazrul turut mengecam tindakan orang awam yang memukul serta menampar kanak-kanak autisme berkenaan seperti yang tular di media sosial.

@MoMoT_Nadine / X

“Mungkin mereka tak sedar dia kanak-kanak istimewa tetapi pada masa sama mereka tidak berhak mengasari kanak-kanak itu,” kataya.

Tegasnya, orang awam sepatutnya menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut dan jangan mengambil tindakan sendiri yang mungkin menjurus kepada perkara lebih buruk berlaku.

“Saya juga berharap agar masyarakat di luar sana untuk tidak mengecam insan autisme dan keluarga mereka kerana ia akan memberi lebih tekanan daripada yang sedia ada sebaliknya belajar untuk memahami serta menerima insan autisme dalam kehidupan mereka,” katanya.

Tindakan pempengaruh beri kerusi pada wanita mengandung dipuji

0

Tindakan pempengaruh beri kerusi pada wanita mengandung dipuji dan video di TikTok itu telah diulang tonton sebanyak 2.1 juta kali.

Difahamkan wanita mengandung itu sedang menunggu suaminya mengambil payung dari kereta memandang hari sudah hujan lebat.

Sebaik sahaja pempengaruh TaufikBakri melihat wanita yang sarat mengandung itu menunggu sambil berdiri, dia terus mendapatkan kerusi dan menghulurkan kerusi tersebut kepada wanita berkenaan.

Menerusi ruang komen, ramai yang memuji tindakan pempengaruh TaufikBakri tersebut.

simple but fully of kindness.. may in allah blessed always bro

– NJngah

tengok gini pun boleh sebak tau. terima kasih orang baik!

-Ila Hasni

Bagus anak muda

-Maymey

Menurut segelintir warga siber di TikTok itu, mungkin ada yang beranggapan tindakan itu kecil sahaja tetapi sebenarnya amat bermakna bagi wanita mengandung.

Hal ini dikatakan demikian kerana, rata-rata wanita mengandung sudah tidak mempunyai kudrat yang banyak untuk berdiri dalam tempoh yang lama.

Malah, berdiri terlalu lama boleh memberi kesan terhadap wanita mengandung seperti:

  1. Menyebabkan sakit belakang. Berdiri meningkatkan lagi beban terhadap tulang belakang wanita mengandung kerana tulang tersebut memberi ruang kepada bayi yang sedang membesar di dalam rahim si ibu.
  2. Darah tinggi. Wanita mengandung yang mempunyai rutin kerja berdiri lebih lama mempunyai lebih risiko untuk mendapat darah tinggi.
  3. Bengkak kaki (edema). Sesetengah wanita mengandung akan mengalami bengkak kaki apabiila berdiri lama.

Oleh yang demikian, sekiranya anda melihat mana-mana wanita mengandung lebih-lebih lagi yang sarat mengandung berdiri lama, berikanlah kerusi padanya.

Kesimpulan yang dapat kami kongsikan di sini ialah, gunakan platform media sosial untuk menyebarkan mesej yang positif dan memberi inspirasi kepada orang ramai.

Pesanan ini bukan sahaja untuk mereka yang bergelar pempengaruh, tetapi kepada semua orang. Berbuat baiklah kepada sesiapa pun lebih-lebih lagi bagi mereka yang memerlukan.

Anda tidak akan tahu jika pertolongan kecil anda itu sebenarnya memberi makna yang besar kepada penerima.

Lebih separuh rakyat dewasa Malaysia alami masalah berat badan berlebihan atau obes

0

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan lebih separuh daripada masyarakat dewasa Malaysia mengalami sama ada berat badan berlebihan atau obesiti.

Memetik statistik daripada Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023, KKM mendapati 54.4% orang dewasa Malaysia mempunyai Indeks Jisim Badan (BMI) yang tidak sihat dan membimbangkan.

@KKMPutrajaya / X

New Straits Times melaporkan angka rakyat Malaysia yang mempunyai berat badan berlebihan menunjukkan peningkatan sebanyak 10% berbanding 44.5% pada 2011.

Obesiti dan berlebihan berat badan adalah faktor risiko kepada diabetes, hipertensi, kolesterol tinggi dan penyakit jantung.

KKM memberi peringatan kepada rakyat Malaysia untuk mengutamakan pemakanan sihat, melakukan aktiviti fizikal secara aktif, dan menjauhi tabiat merokok dan alkohol.

@KKMPutrajaya / X

Kajian empat tahun NHMS telah mengumpulkan statistik dan pandangan tentang penyakit tidak berjangkit, faktor risiko, dan kesannya terhadap permintaan penjagaan kesihatan di Malaysia.

Tahun lalu, tinjauan telah dilakukan terhadap lebih 13,616 rakyat Malaysia merentasi semua kumpulan umur.

Lebih membimbangkan, NHMS 2023 mendapati tiga penyakit tidak berjangkit utama – diabetes, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi di Malaysia juga semakin meningkat.

@KKMPutrajaya / X

Tinjauan mendapati 15.6% orang dewasa di Malaysia menghidap diabetes, 29.2% mempunyai tekanan darah tinggi, dan 33.3% mempunyai kolesterol tinggi.

Tinjauan itu mendapati ia mungkin kerana rakyat Malaysia tidak mengamalkan gaya hidup sihat.

Satu daripada dua orang dewasa Malaysia dilaporkan menjalani gaya hidup tidak aktif.

Sekadar Gambar Hiasan / Copilot

Tinjauan itu juga mendapati 84% rakyat Malaysia tidak aktif dalam sukan dan kecergasan, juga tidak melakukan aktiviti berjalan kaki secara tetap.

Sementara itu, hanya 4.9% orang dewasa mengambil hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran yang disyorkan secara harian.

Terdahulu, data terkini The World Factbook-Central Intellange Agencie dari 2016 hingga 2024 mendedahkan Malaysia muncul sebagai negara kedua di Asia Tenggara yang mempunyai rakyat bermasalah berat badan berlebihan selepas Brunei.

Spesimen Stegosaurus terbaik, “Apex” akan dilelong Julai ini

0

Pada Julai ini, Sotheby’s akan menampilkan “Apex”, spesimen Stegosaurus terbaik yang dianggarkan bernilai lebih RM18.8 juta.

Sotheby’s

Fosil yang dianggarkan bernilai antara RM18.8 juta hingga RM28.2 juta ini merupakan salah satu fosil dinosaur paling berharga yang pernah ditawarkan.

Dengan ketinggian kira-kira 11 kaki dan panjang 27 kaki, fosil luar biasa ini hampir lengkap dan dipelihara dengan sangat baik.

Sotheby’s mendokumentasikan keseluruhan proses, daripada penemuan, penggalian, pemulihan, persiapan, hingga pemasangan dengan kerjasama pemilik fosil tersebut.

Tujuan Sotheby’s berbuat demikian adalah demi memastikan dokumentasi dan penjualan spesimen ini dikendalikan dengan piawaian tertinggi dan penuh ketelusan.

“Apex” bukan sahaja merupakan pencapaian besar dalam bidang paleontologi tetapi merupakan kesinambungan legasi Sotheby’s dalam lelongan Sejarah Alam.

Sotheby’s

Sebelum lelongan ini diadakan pada 17 Julai nanti, “Apex” akan dipamerkan di galeri Sotheby’s di New York. Pameran tersebut adalah percuma dan terbuka kepada orang ramai.

Untuk makluman, nama “Apex” dipilih untuk menekankan kedudukannya dalam keluarga Stegosaurus dan memperkuatkan penghormatan tinggi Stegosaurus dalam kalangan dinosaur.

“Apex” ditemui pada Mei 2022 di Formasi Morrison, yang terletak di Moffat County, Colorado, berhampiran Bandar Dinosaur oleh seorang ahli paleontologi komersial yang terkenal dan dihormati.

Ahli paleontologi tersebut telah menemui banyak spesimen dinosaur di Amerika Syarikat yang kini boleh ditemui di institusi di seluruh dunia dengan sebahagian besar telah didermakan olehnya.

Beliau telah menyediakan spesimen ini dengan begitu teliti mengikut piawaian tertinggi, mempamerkan keindahan semula jadi fosil dan memelihara maklumat penting.

Penggalian “Apex”selesai pada Oktober 2023. Menurut ahli paleontologi tersebut, “Apex” ditemui bersendirian tanpa fosil lain yang berdekatan.

Sotheby’s

Katanya lagi, spesimen ini tidak menunjukkan tanda-tanda kecederaan akibat pertempuran atau pemangsaan. Namun, bukti artritis menunjukkan bahawa ia hidup hingga usia tua.

Terdahulu, fosil bernama “Sophie” ditemui pada tahun 2003 oleh pemburu fosil, Bob Simon yang kini dipamerkan di Muzium Sejarah Alam di London.

Menurut Profesor Paul Barrett, pakar dinosaur di Muzium selama hampir 15 tahun, kehadiran “Sophie” sangat bermakna dan penting.

Hal ini dikatakan demikian kerana, “Sophie” merupakan fosil yang sangat istimewa bukan hanya disebabkan ia lengkap, tetapi juga kerana tulang-tulangnya terpelihara dalam bentuk tiga dimensi dan tidak leper seperti kebanyakan fosil lain.

Natural History Museum

Walau bagaimanapun, apabila dibandingkan saiz “Apex” adalah 30 peratus lebih besar daripada “Sophie” dengan panjang femur yang mengagumkan berukuran 45 inci.

Pembeli “Apex” akan menerima salinan data imbasan dinosaur, bersama dengan lesen penuh untuk menggunakan sebarang data 3D termasuk imbasan dan pembentukan (moulding).

Dengan berbuat demikian, penjualan “Apex” akan membolehkan maklumat utama mengenai dinosaur ini kekal dengan spesimen.

Selain itu, ia bertujuan menggalakkan kerjasama dalam penyelidikan dan pendidikan masa depan terhadap spesimen Stegosaurus ini.

Sotheby’s adalah syarikat lelongan antarabangsa yang terkenal dengan lelongan barang-barang seni, barang antik, barang kemas, dan pelbagai koleksi barangan mewah yang lain.

Ditubuhkan pada tahun 1744, Sotheby’s adalah antara syarikat lelongan tertua dan terbesar di dunia yang masih mempromosikan akses dan pemilikan seni serta objek mewah yang luar biasa.

Pasaran global yang dipercayai ini meliputi 40 buah negara dan 70 kategori termasuklah Seni Kontemporari, Seni Moden dan Impresionis, Seni Master Lama, Seni Cina, Barang Kemas, Jam Tangan, Wain dan Minuman Keras serta banyak lagi.

Sotheby’s percaya kuasa transformasi seni dan budaya mampu menjadikan industri ini lebih inklusif, mampan dan kolaboratif.

Rumah Botol Ayahku, galeri koleksi botol-botol menarik

0

Baru-baru ini pemilik akaun TikTok Senok Perut berkongsi pengalamannya berkunjung ke Rumah Botol Ayahku yang terletak di Setiu, Terengganu.

TIKTOK

Senok Perut telah berkongsi video pengalamannya berkunjung ke galeri yang mempamerkan bermacam-macam jenis botol kaca khususnya.

Menurut pemilik galeri yang mesra disapa sebagai Tokki, dia telah mengumpul botol-botol tersebut sejak 20 tahun yang lalu.

Pada asalnya Tokki mengumpul botol-botol tersebut dengan tujuan untuk memelihara kawasan pantai setempat selain menjaga keselamatan orang awam.

TIKTOK

Namun siapa sangka, niat murni itu telah mencetuskan idea Tokki sekeluarga untuk menjadikan rumahnya sebagai galeri koleksi botol dan dibuka kepada orang ramai.

Sebaik sahaja melangkah masuk ke galeri tersebut, jelas terpapar pelbagai jenis koleksi botol yang dipamerkan di rak terbuka atau rak kaca tertutup.

Galeri itu juga dihias indah dengan lampu kelip-kelip selain daripada bendera negeri-negeri di seluruh Malaysia yang digantung dalam galeri tersebut.

TIKTOK

Tahukah anda selain koleksi botol yang pelbagai, ada satu lagi keunikan yang kami kira tidak terdapat di mana-mana galeri lain.

Kebiasaannya mana-mana galeri akan menggunakan permaidani sebagai hamparan bukan?

Namun di Rumah Botol Ayahku, Tokki menggunakan pasir pantai sebagai hamparan dalam galeri tersebut.

Memang unik!

TIKTOK

Tokki dilihat begitu ramah menceritakan sebanyak mungkin sejarah penemuan botol-botol yang kebanyakannya hanyut di laut.

Menurut Tokki lagi, dia pernah menjumpai botol yang mengandungi mercun yang diletakkan oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab.

Tujuan Tokki mengutip botol tersebut adalah untuk memberi kesedaran kepada orang ramai tentang bahaya perbuatan sedemikian.

Selain menceritakan hal-hal berkaitan sejarah penemuan botol-botol tersebut, Tokki juga tidak jemu dalam memberikan nasihat berkaitan kehidupan dan kematian.

Kata Tokki, sebagai rakyat Malaysia kita perlu menjaga alam sekitar, jangan membuang sampah di merata-rata tempat serta jangan melakukan perkara-perkara yang ditegah agama Islam khasnya.

Jika anda berkunjung ke sana, anda akan dipelawa untuk menulis dalam buku pengunjung.

TIKTOK

Kata Tokki itu adalah kenangan buat dirinya yang menerima kunjungan daripada pelbagai orang baik dari dalam negara mahupun pelancong luar.

Menerusi video yang telah dimainkan sebanyak 1.7 juta kali itu, kelihatan pemilik akaun Senok Perut juga tidak melepaskan peluang untuk menulis di dalam buku pengunjung tersebut.

Jika anda berhajat untuk melawat galeri unik ini, anda bolehlah berkunjung ke alamat yang tertera seperti berikut:

Rumah Botol Ayahku, Jalan Penarik-Mangkuk, Kampung Penarik, 21010 Setiu, Terengganu.

Untuk makluman anda, terdapat dua sesi masa lawatan. Sesi pagi bermula dari pukul 8.30 pagi hingga 12.00 tengah hari dan sesi petang pula bermula dari pukul 2.00 petang hingga 4.00 petang.

TIKTOK

Saksikan video perkongsian Senok Perut ke Rumah Botol Ayahku seperti berikut di sini.