Menurunkan taraf hidup bukanlah satu keputusan mudah namun bagi sesetengah orang itu adalah langkah berani ke arah kehidupan lebih bermakna.
Baru-baru ini menerusi satu audio siar (podcast) DekatMic di TikTok, seorang wanita berkongsi pengalamannya yang telah menurunkan taraf hidup.
Menurut wanita itu, sebelum ini dia memiliki kereta mewah. Namun selepas itu dia menjual kereta tersebut dan membeli kereta buatan Malaysia.
“Saya tak malu cakap, saya dah downgrade my lifestyle.”
“Kalau dulu saya ada kereta mewah, saya jual dan saya beli kereta local,” Kata wanita tersebut.
Tambah wanita itu lagi, ketika kawan-kawan menganggap kereta tempatan yang digunakannya itu sebagai kereta kedua, dia tidak malu untuk mengaku bahawa kereta berkenaan adalah kereta pertamanya.
Wanita itu juga menambah bahawa walaupun dia tidak lagi memiliki kereta mewah namun dia berasa gembira dan fikirannya tenang.
Panel audio siar tersebut turut memberikan buah fikiran yang mana sebaiknya adalah mengukur baju di badan sendiri.
Hal ini dikatakan demikian kerana apa yang penting adalah kemampuan diri menguruskan kehidupan daripada segi kewangan termasuklah kesihatan mental.
Menurut panel wanita itu lagi, kita hendaklah hidup secara bersederhana.
Ini kerana, jika terlalu mengejar kehendak, kita terpaksa bekerja keras yang mana akhirnya akan memberi kesan kepada kesihatan diri dan mental.
Tahukah anda menurunkan taraf hidup bukan sekadar langkah urus kewangan tetapi merangkumi aspek kehidupan yang lain. Antaranya adalah:
- Mengurangkan tekanan kewangan.
Dengan mengurangkan perbelanjaan, anda boleh menggunakan wang tersebut untuk membayar hutang dan mencapai kestabilan kewangan. Selain itu, mengurangkan kos hidup memberi anda peluang untuk menabung lebih banyak dan melabur untuk masa depan. - Meningkatkan kualiti hidup.
Ketenangan hidup dapat dicapai menerusi kehidupan yang lebih sederhana. Apabila anda mengamalkan gaya hidup yang lebih sederhana, anda akan mempunyai lebih banyak masa dan tenaga untuk dicurahkan kepada keluarga anda khususnya. - Kesihatan mental dan fizikal.
Apabila anda menurunkan taraf hidup, kesihatan mental dan fizikal anda juga lebih terjaga. Anda juga mempunyai lebih banyak masa untuk melakukan aktiviti fizikal yang lebih sihat seperti berjalan kaki, berkebun atau aktiviti luar yang lain. - Kebebasan dan fleksibiliti.
Menurunkan taraf hidup juga dapat membuka peluang untuk anda mengambil cuti, melancong dengan bajet rendah atau bahkan mengambil masa untuk merehatkan diri. Jika perbelanjaan anda menjadi semakin rendah, anda akan mempunyai lebih banyak kebebasan untuk membuat pilihan hidup seperti bekerja dalam bidang yang anda minati tanpa tekanan kewangan yang besar. - Nilai dan kepercayaan peribadi.
Dengan menurunkan taraf hidup juga anda dapat menilai semula kepercayaan peribadi. Tindakan ini dapat memberi peluang kepada anda untuk fokus kepada perkara yang benar-benar penting.
Ingatlah bahawa menurunkan taraf hidup bukanlah bererti anda gagal. Malah, perjalanan untuk mencapainya mungkin mencabar pada awalnya, tetapi dengan perancangan yang baik dan penetapan minda yang positif, anda mampu melaluinya.