Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan lebih separuh daripada masyarakat dewasa Malaysia mengalami sama ada berat badan berlebihan atau obesiti.
Memetik statistik daripada Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023, KKM mendapati 54.4% orang dewasa Malaysia mempunyai Indeks Jisim Badan (BMI) yang tidak sihat dan membimbangkan.

New Straits Times melaporkan angka rakyat Malaysia yang mempunyai berat badan berlebihan menunjukkan peningkatan sebanyak 10% berbanding 44.5% pada 2011.
Obesiti dan berlebihan berat badan adalah faktor risiko kepada diabetes, hipertensi, kolesterol tinggi dan penyakit jantung.
KKM memberi peringatan kepada rakyat Malaysia untuk mengutamakan pemakanan sihat, melakukan aktiviti fizikal secara aktif, dan menjauhi tabiat merokok dan alkohol.

Kajian empat tahun NHMS telah mengumpulkan statistik dan pandangan tentang penyakit tidak berjangkit, faktor risiko, dan kesannya terhadap permintaan penjagaan kesihatan di Malaysia.
Tahun lalu, tinjauan telah dilakukan terhadap lebih 13,616 rakyat Malaysia merentasi semua kumpulan umur.
Lebih membimbangkan, NHMS 2023 mendapati tiga penyakit tidak berjangkit utama – diabetes, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi di Malaysia juga semakin meningkat.

Tinjauan mendapati 15.6% orang dewasa di Malaysia menghidap diabetes, 29.2% mempunyai tekanan darah tinggi, dan 33.3% mempunyai kolesterol tinggi.
Tinjauan itu mendapati ia mungkin kerana rakyat Malaysia tidak mengamalkan gaya hidup sihat.
Satu daripada dua orang dewasa Malaysia dilaporkan menjalani gaya hidup tidak aktif.

Tinjauan itu juga mendapati 84% rakyat Malaysia tidak aktif dalam sukan dan kecergasan, juga tidak melakukan aktiviti berjalan kaki secara tetap.
Sementara itu, hanya 4.9% orang dewasa mengambil hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran yang disyorkan secara harian.
Terdahulu, data terkini The World Factbook-Central Intellange Agencie dari 2016 hingga 2024 mendedahkan Malaysia muncul sebagai negara kedua di Asia Tenggara yang mempunyai rakyat bermasalah berat badan berlebihan selepas Brunei.