Pada Julai ini, Sotheby’s akan menampilkan “Apex”, spesimen Stegosaurus terbaik yang dianggarkan bernilai lebih RM18.8 juta.
Fosil yang dianggarkan bernilai antara RM18.8 juta hingga RM28.2 juta ini merupakan salah satu fosil dinosaur paling berharga yang pernah ditawarkan.
Dengan ketinggian kira-kira 11 kaki dan panjang 27 kaki, fosil luar biasa ini hampir lengkap dan dipelihara dengan sangat baik.
Sotheby’s mendokumentasikan keseluruhan proses, daripada penemuan, penggalian, pemulihan, persiapan, hingga pemasangan dengan kerjasama pemilik fosil tersebut.
Tujuan Sotheby’s berbuat demikian adalah demi memastikan dokumentasi dan penjualan spesimen ini dikendalikan dengan piawaian tertinggi dan penuh ketelusan.
“Apex” bukan sahaja merupakan pencapaian besar dalam bidang paleontologi tetapi merupakan kesinambungan legasi Sotheby’s dalam lelongan Sejarah Alam.
Sebelum lelongan ini diadakan pada 17 Julai nanti, “Apex” akan dipamerkan di galeri Sotheby’s di New York. Pameran tersebut adalah percuma dan terbuka kepada orang ramai.
Untuk makluman, nama “Apex” dipilih untuk menekankan kedudukannya dalam keluarga Stegosaurus dan memperkuatkan penghormatan tinggi Stegosaurus dalam kalangan dinosaur.
“Apex” ditemui pada Mei 2022 di Formasi Morrison, yang terletak di Moffat County, Colorado, berhampiran Bandar Dinosaur oleh seorang ahli paleontologi komersial yang terkenal dan dihormati.
Ahli paleontologi tersebut telah menemui banyak spesimen dinosaur di Amerika Syarikat yang kini boleh ditemui di institusi di seluruh dunia dengan sebahagian besar telah didermakan olehnya.
Beliau telah menyediakan spesimen ini dengan begitu teliti mengikut piawaian tertinggi, mempamerkan keindahan semula jadi fosil dan memelihara maklumat penting.
Penggalian “Apex”selesai pada Oktober 2023. Menurut ahli paleontologi tersebut, “Apex” ditemui bersendirian tanpa fosil lain yang berdekatan.
Katanya lagi, spesimen ini tidak menunjukkan tanda-tanda kecederaan akibat pertempuran atau pemangsaan. Namun, bukti artritis menunjukkan bahawa ia hidup hingga usia tua.
Terdahulu, fosil bernama “Sophie” ditemui pada tahun 2003 oleh pemburu fosil, Bob Simon yang kini dipamerkan di Muzium Sejarah Alam di London.
Menurut Profesor Paul Barrett, pakar dinosaur di Muzium selama hampir 15 tahun, kehadiran “Sophie” sangat bermakna dan penting.
Hal ini dikatakan demikian kerana, “Sophie” merupakan fosil yang sangat istimewa bukan hanya disebabkan ia lengkap, tetapi juga kerana tulang-tulangnya terpelihara dalam bentuk tiga dimensi dan tidak leper seperti kebanyakan fosil lain.
Walau bagaimanapun, apabila dibandingkan saiz “Apex” adalah 30 peratus lebih besar daripada “Sophie” dengan panjang femur yang mengagumkan berukuran 45 inci.
Pembeli “Apex” akan menerima salinan data imbasan dinosaur, bersama dengan lesen penuh untuk menggunakan sebarang data 3D termasuk imbasan dan pembentukan (moulding).
Dengan berbuat demikian, penjualan “Apex” akan membolehkan maklumat utama mengenai dinosaur ini kekal dengan spesimen.
Selain itu, ia bertujuan menggalakkan kerjasama dalam penyelidikan dan pendidikan masa depan terhadap spesimen Stegosaurus ini.
Sotheby’s adalah syarikat lelongan antarabangsa yang terkenal dengan lelongan barang-barang seni, barang antik, barang kemas, dan pelbagai koleksi barangan mewah yang lain.
Ditubuhkan pada tahun 1744, Sotheby’s adalah antara syarikat lelongan tertua dan terbesar di dunia yang masih mempromosikan akses dan pemilikan seni serta objek mewah yang luar biasa.
Pasaran global yang dipercayai ini meliputi 40 buah negara dan 70 kategori termasuklah Seni Kontemporari, Seni Moden dan Impresionis, Seni Master Lama, Seni Cina, Barang Kemas, Jam Tangan, Wain dan Minuman Keras serta banyak lagi.
Sotheby’s percaya kuasa transformasi seni dan budaya mampu menjadikan industri ini lebih inklusif, mampan dan kolaboratif.