28.9 C
Kuala Lumpur
Friday, September 12, 2025
Utama Blog Laman 31

Pekerja di China tanam buah dalam pejabat untuk meredakan stres kerja

0

Pekerja pejabat di China sedang memerangi stres dan keletihan berkaitan kerja dengan menanam pisang dan buah-buahan lain di tempat kerja mereka.

Di China, sistem jam kerja 996 yang diamalkan oleh kebanyakan syarikat di China telah menekan pekerja untuk bekerja dari 9 pagi hingga 9 malam, enam hari seminggu.

Secara keseluruhan, pekerja pejabat di China dilaporkan bekerja selama 72 jam seminggu, atau 12 jam sehari.

Gambar Sixth Tone

Ramai yang menggelarnya sebagai “perhambaan moden” kerana ia ternyata melanggar undang-undang buruh China.

Terkini, menanam pisang di pejabat semakin popular di kalangan pekerja pejabat yang tertekan dan keletihan di China.

Gambar verychinese_jessie / Instagram

Menurut South China Morning Post, hantaran berkaitan pisang ditanam dalam pejabat menjadi popular dan tular di Xiaohongshu, platform media sosial serupa Instagram versi China.

Pisang akan dibeli bersama tandannya semasa ia masih hijau, dan kemudian buah itu diletakkan di dalam pasu atau jag berisi air.

Gambar verychinese_jessie / Instagram

Ramai yang menganggapnya sebagai simbolik kerana dalam bahasa Mandarin, proses pematangan buah-buahan hijau itu dipanggil “ting zhi jiao lu”, yang bermaksud hentikan pisang hijau apabila diterjemahkan.

Bagi kebanyakan pekerja pejabat generasi muda, frasa lucu itu terdengar hampir seperti “hentikan kebimbangan”.

Pisang itu akan dimakan sebaik sahaja ia masak dalam masa kira-kira seminggu.

Gambar Sixth Tone

Ia kini menjadi trend apabila ramai yang menanam pisang, nanas, pisang kaki, oren, tomato, buah biji teratai dan beri hawthorn di pejabat sekadar suka-suka bagi membantu mengatasi masalah kebimbangan mereka.

Sesetengah pejabat juga menyediakan ruang berkebun yang khusus di mana pekerja boleh menanam buah-buahan dan sayur-sayuran kegemaran mereka. Ramai yang mendakwa menjaga buah-buahan ini dan kemudian memakannya adalah satu terapi.

Buah-buahan itu juga dikongsi di kalangan kakitangan, yang menurut beberapa orang, telah membantu mengeratkan hubungan di pejabat. Ia juga merupakan pemula perbualan yang menyeronokkan.

Sesetengah kakitangan pejabat juga menulis nama rakan sekerja masing-masing pada kulit buah-buahan sebagai simpanan khas untuk mereka.

Gambar verychinese_jessie / Instagram

Taobao, platform e-dagang di China, kini menjadi perantara kepada ratusan kedai yang menjual pisang untuk disesuaikan dengan trend ini.

Kedai paling laris itu nampaknya menjual lebih 20,000 tandan pisang.

Ramai di China percaya trend itu adalah gimik pemasaran yang bijak untuk membantu petani dan penanam pisang yang kini bergelut dengan jualan yang rendah.

Pisang yang dijual di kedai dalam talian itu nampaknya lebih mahal berbanding yang dijual sendiri secara fizikal.

Ibu bapa dikecam kerana mengkritik guru yang bercuti ke Paris di luar musim cuti sekolah

0

Umum sering menganggap guru akan menikmati kebebasan mereka ketika musim cuti sekolah, sama seperti pelajar mereka juga (walaupun, hakikatnya guru mungkin sibuk menggunakan masa itu bagi merancang sukatan pelajaran, berada di sekolah kerana tugasan khas atau menanda kertas peperiksaan).

Jadi, adakah ini bermakna mereka tidak boleh mengambil cuti dan pergi bercuti semasa sesi persekolahan?

Laman Facebook SJK(C)Fees Monitoring Forum  华小收费和家协财务调查  baru-baru ini berkongsi aduan ibu bapa, yang mengecam guru sekolah anak mereka yang pergi bercuti ke luar negara ketika sesi persekolahan sedang berlangsung.

Gambar Hiasan / Pexels

Ibu bapa itu mengeluh, “Hello, saya ibu bapa kepada sebuah sekolah terkenal di SS2, Petaling Jaya, Selangor. Saya ada soalan nak tanya. Bulan lalu, anak saya pulang dan memberitahu saya bahawa guru sekolahnya tidak hadir ke kelas dan pergi ke luar negara untuk melancong. Saya kemudian memberitahu anak saya bahawa guru tidak akan pergi ke luar negara semasa sesi persekolahan, dan saya tidak mengambil serius tentang perkara itu selepas dimaklumkan.”

“Sehinggalah pada satu hari, ketika saya sedang menatal telefon, tiba-tiba saya ternampak wajah yang dikenali, tetapi gambar itu diambil di luar negara. Saya sangat terkejut kerana apa yang dikatakan oleh anak saya adalah benar. Saya tidak percaya, guru itu berada jauh di Paris kerana dia menyertai lawatan untuk syarikat jualan langsung.”

Mereka terus membidas guru dan pihak sekolah kerana tindakan kurang peka guru itu yang tergamak melancong ke luar negara semasa sesi persekolahan.

Gambar Hiasan / Pexels

“Saya terkejut dan marah. Saya benar-benar ingin tahu mengapa sekolah boleh meluluskan guru melancong ke luar negara semasa waktu bekerja mereka. Dan ia boleh dipamerkan dengan berani di media sosial. Tidakkah mereka takut dilihat oleh kami ibu bapa? Atau adakah mereka sengaja cuba memberitahu kami betapa berjaya kerjayanya?

“Malah pihak sekolah boleh membenarkan dia meninggalkan kerja dan melancong ke luar negara semasa waktu bekerja. Anak saya berada di gred senior dan akan mengambil peperiksaan. Saya tertanya-tanya bagaimana anak saya boleh diajar oleh guru yang tidak bertanggungjawab yang mengabaikan pelajaran anak saya dan menyiarkan gambar perjalanannya ke luar negara di media sosial,” tambah mereka.

Ibu bapa itu juga mengecam hakikat bahawa guru itu berada di luar negara kerana pekerjaan lain.

“Saya tertanya-tanya adakah guru ini, yang bekerja keras untuk perniagaan sampingan mereka, masih ingat bahawa tugas hakikinya ialah seorang guru?”

Ibu bapa itu seterusnya menjelaskan bahawa guru tersebut telah mengambil cuti selama 7 hari bekerja dan percaya ketidakhadirannya akan menyebabkan kejatuhan pendidikan anaknya.

“Adakah pihak sekolah membenarkan guru bercuti ke luar negara pada hari bekerja? Untuk tidak menjejaskan pelajaran anak saya, kami juga mengatur perjalanan ke luar negara semasa cuti sekolah. Tambang penerbangan lebih mahal dalam tempoh itu, tetapi kami masih boleh melakukannya. Mengapa pihak sekolah atau kerajaan boleh meluluskan seorang guru untuk melakukan perkara sebegini?” soal mereka.

SJK(C)Fees Monitoring Forum  华小收费和家协财务调查 / Facebook

Kecaman ibu bapa itu nampaknya tidak disenangi oleh kalangan warganet kerana bagi mereka, guru juga manusia biasa dan berhak untuk mengambil cuti yang mereka fikirkan patut:

“Guru juga manusia biasa dan berhak mendapatkan cuti mereka! Guru juga hanyalah pekerja biasa!”

“Sesetengah orang benar-benar fikir menjadi seorang guru bermakna mereka menjadi pengasuh peribadi anak mereka.”

“Jika guru itu mengajar anak anda dengan tambahan 10 hari lagi, rasanya anak anda akan mendapat A kah?”

“Ibu bapa zaman dinosaur! Tidakkah guru juga berhak mempunyai kehidupan mereka sendiri?”

Jepun pertimbang penghadang Gunung Fuji baru selepas pelancong mula tebuk jaring untuk mengambil gambar

0

Jepun merancang untuk memasang penghadang yang lebih kukuh selepas pelancong merosakkan hadangan sedia ada yang baru dibina untuk menghalang pemandangan Gunung Fuji.

Bandar Fujikawaguchiko, Jepun yang merupakan tempat tontonan popular Gunung Fuji, baru-baru ini memasang penghadang jaringan untuk menghalang pelancong yang tidak dapat dikawal dan gagal mengikut peraturan.

Gambar AFP

Penduduk tempatan mengadu para pelancong membuang sampah, menceroboh premis, dan melanggar peraturan lalu lintas di bandar itu, mendorong pegawai bertindak dengan memasang penghadang jaringan hitam.

Bagaimanapun, dalam masa seminggu sahaja, penghadang berjaring itu dikatakan sudah rosak, dengan orang ramai telah menebuk kira-kira 10 lubang kecil di dalamnya.

Gambar Reuters

Walaupun pegawai tempatan mengambil inisiatif dengan menampal lubang itu kembali, namun lubang yang baru tetap muncul setiap hari.

SoraNews24 melaporkan bandar itu merancang untuk menggantikan penghadang jaringan sedia ada dengan penghadang yang lebih kuat, kukuh dan estetik.

Gambar Reuters

Mereka sedang mempertimbangkan warna yang lebih cerah untuk skrin baharu, seperti biru, hijau, perak atau coklat, untuk menjadikan kawasan itu kelihatan lebih ceria dan menunjukkan bahawa ia bukan sekadar ukuran jangka masa pendek.

Datuk Bandar bandar itu, Hideyuki Watanabe, berkata walaupun penghadang masa kini telah menyebabkan kurang sedikit pelancong berkumpul di tempat mengambil gambar, beliau menyifatkan punca lubang-lubang itu dibuat sebagai “kekurangan moral yang mengecewakan”.

Gambar SoraNews24

Beliau memberitahu pemberita dengan harapannya untuk “mengubah hadangan dengan secepat mungkin”, sebelum musim panas menjelma.

Bandar ini juga merancang untuk memasukkan kod QR pada penghadang untuk menggalakkan pelancong melawat tarikan lain, termasuk lokasi alternatif untuk merakam gambar Gunung Fuji.

Seorang pegawai menyebut mereka akan mempertimbangkan untuk menurunkan penghadang apabila tempat itu mula menjadi kurang popular.

Gambar Hiasan / Pexels

Jepun menyaksikan peningkatan ketara dalam kehadiran pelancong setakat tahun ini. Dalam bulan Mac sahaja, bilangan pelawat antarabangsa melepasi tiga juta orang buat pertama kali dalam sebulan, melebihi paras pra-pandemik pada 2019.

Secara keseluruhan, jumlah pelancong untuk 2023 juga kukuh, mencecah 25 juta pelawat, iaitu 80 peratus lebih tinggi berbanding rekod yang dicatat pada 2019.

Lelaki berusia 80 tahun dikurniakan anak selepas 10 tahun menanti

0

Seorang lelaki berusia 80 tahun dan isterinya yang berusia 42 tahun bersyukur kerana selepas 10 tahun menanti mereka dikurniakan anak sulung.

TIKTOK

Menurut pengguna TikTok ummimakhapakyob atau mesra disapa Ummi, dia melahirkan puteri sulungnya itu pada pukul 9.30 malam, 31 Mei yang lalu.

Sejak Ummi berkongsi berita gembira tersebut, video berkenaan telah dimainkan sebanyak 3.9 juta kali dengan 154,000 tanda suka.

Ramai warga siber yang mengambil peluang untuk mengucapkan tahniah buat pasangan suami isteri itu atas kurniaan zuriat sulung mereka.

TIKTOK

tahniah puan… saya pun baru dapat anak 15/4 setelah 17 tahun…umur 41.

– SHAMSEENAR

tahniah puan sama tarikh dengan anak saya.

– anakabah821

alhamdulillah…selamat berpantang buat ummi dan baby sentiasa sihat selalu. amin.

– IDABAHARI

ALHAMDULILLAH… TAHNIAH KAK. TUMPANG SERONOK TENGOK ORANG DAPAT BABY.

– MAMATO2M

masyaallah… alhamdulillah… tahniah untuk awak suami isteri… selamat datang permata hati ayah bonda.

– NORHAYATI MUHMAD

Dalam pada itu ramai warga siber yang turut berkongsi pengalaman berkaitan mengandung selepas usia 40 tahun, baik pengalaman sendiri, kakak atau ibu mereka.

TAK ADA YANG MUSTAHIL… UMUR BUKAN PENGHALANG. MAK SAYA LAHIRKAN SAYA PUN KETIKA USIA DIA 47 TAHUN. ALHAMDULILLAH OK JE. SEKARANG MAK SAYA DAH USIA 91 TAHUN SIHAT LAGI.

– IDAZAIDAH87

SAYA LAHIRKAN BABY PADA USIA 40 TAHUN. PENANTIAN 15 TAHUN.

– SYAZZ

SAYA LAHIRKAN ANAK BONGSU MASA UMUR 43. SEKARANG DIA DAH 5 TAHUN.

– ROSE

UMUR SAYA PUN 42 TAHUN, MENGHITUNG HARI UNTUK BERSALIN ANAK NO.6. DOAKAN SAYA DAN BABY SELAMAT DAN SIHAT YE.

– FARAH HANA

TAHNIAH PUAN… KAKAK SAYA PUN TENGAH MENGHITUNG HARI UNTUK LAHIRKAN ZURIAT PERTAMA DIA DI USIA 45 TAHUN. PENANTIAN SELAMA 18 TAHUN.

– ANAK KEDAH

Sungguh mengujakan apabila membaca pelbagai pengalaman warga siber di ruang komen. Namun tidak ketinggalan juga dengan mereka yang masih berharap dikurniakan zuriat satu hari nanti.

DOAKAN SAYA. UMUR 40 MASIH LAGI BERUSAHA. BELUM ADA REZEKI LAGI.

– EYDA_MIA15

TAHNIAH, SAYA DAH 43 TAHUN. BAYANG-BAYANG NAK MERASA JADI IBU PUN BELUM TIBA

– MISMJ

SAYA MASIH MENANTI MASUK TAHUN KE-8. DOAKAN SAYA DAN SUAMI JUGA

– SOTTTTTTTDOT

TAHNIAH… DOAKAN SAYA JUGA DAPAT MERASA MENJADI IBU.

– FYENAZAM

Buat Ummi dan suami, kami ucapkan tahniah atas kelahiran anak sulung anda.

Buat mereka yang sedang menunggu hari melahirkan, semoga dipermudah urusan kalian.

Buat mereka yang belum dikurniakan anak dan masih berusaha, semoga Allah perkenankan doa anda.

Tiananmen Mothers ulang tiga tuntutan utama sempena 4 Jun

0

Tiananmen Mothers sebuah kumpulan mangsa Peristiwa 4 Jun baru-baru ini mengeluarkan surat terbuka, mengulangi tiga tuntutan utama.

Tiga tuntutan utama tersebut adalah kebenaran, pampasan dan pertanggungjawaban.

Pemerhati percaya bahawa mustahil bagi pemimpin Parti Komunis China (PKC), Xi Jinping untuk mengesahkan Peristiwa 4 Jun kerana ia akan menyebabkan keruntuhan parti tersebut.

Namun, jenayah PKC itu sebenarnya begitu serius sehingga boleh membawa kepada kejatuhannya pada masa hadapan.

Pada malam menjelang 4 Jun, Tiananmen Mothers memuat naik video pendek di luar negara dan membacakan surat terbuka. Surat itu mengandungi rayuan mereka untuk bercakap dengan kerajaan.

Menerusi surat terbuka itu, mereka menyatakan bahawa PKC harus menjelaskan mengenai tragedi “4 Jun” yang penuh sejarah dan tragik kepada rakyat tanpa mengelakkannya lagi.

Sepanjang 35 tahun lalu, keluarga mangsa tragedi “4 Jun” menderita kerana kehilangan orang tersayang. Ramai ibu bapa yang kehilangan anak-anak mereka telah meninggal dunia.

Jika kerajaan benar-benar memasukkan tragedi tersebut ke dalam agenda, ia akan menjadi satu berita gembira kepada ibu bapa yang masih hidup.

Pada awal pagi 4 Jun 1989, PKC telah menghantar tentera mereka menyerang pelajar dan penduduk Beijing yang berjuang untuk kebebasan dan demokrasi.

Tragedi berkenaan telah menggemparkan seluruh masyarakat baik dalam negara mahupun luar negara.

Kumpulan Tiananmen Mothers turut menyatakan jumlah mangsa yang terbunuh, mangsa yang cedera dan mereka yang terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai itu dalam surat terbuka tersebut.

Sehubungan itu, kerajaan digesa untuk memberi penjelasan fakta dengan menyenaraikan mangsa yang terbunuh dan memohon maaf secara terbuka kepada seluruh masyarakat secara telus.

Tiananmen Mothers turut menzahirkan rasa tidak puas hati mereka terhadap kebisuan kerajaan mengenai tragedi tersebut sejak 35 tahun lalu.

Sejak 1989, kebanyakan pegawai PKC menggunakan istilah “kemelut politiik pada penghujung musim semi dan musim panas 1989” untuk merujuk kepada “Insiden 4 Jun”.

Selain itu, pada masa yang sama, mereka sentiasa mengekalkan penggambarannya sebagai “kemelut (politik)” dan “rusuhan (kontra-revolusi)”.

Pada 16 November 2021, siaran rasmi mengumumkan resolusi sejarah ketiga Sixth Plenary Session Jawatankuasa Pusat ke-19 PKC. Ia menggunakan 97 patah perkataan untuk menggambarkan gerakan demokrasi “4 Jun” dan Pembunuhan Besar-besaran di Tiananmen pada tahun 1989. Mereka turut menggunakan istilah “kemelut politik”, “melawan keganasan”, dan perkataan lain untuk menggambarkannya.

Zheng Xuguang, seorang sarjana yang menetap di Amerika Syarikat dan saksi peristiwa 4 Jun memberitahu Radio Free Asia bahawa dari perspektif PKC, jika ia mengaku bahawa penembakan 4 Jun itu adalah jenayah serius, pasti mereka tidak boleh mengelak lagi.

“Sanggupkah anda mengaku yang anda salah kerana membunuh seseorang? Xi Jinping mempunyai hubungan simbiotik dengan Parti Komunis.”

“Sebagai contoh, saya datang untuk mengesahkan Gerakan 4 Jun dan membuat keputusan bijak, tetapi kesannya PKC akan berundur (hilang kuasa pemerintahan).”

“Adakah anda fikir dia mungkin akan mengesahkan Gerakan 4 Jun? Dia tidak akan mengambil langkah ini (untuk memulihkan “Gerakan 4 Jun”) kerana ideologi dan tahap pengetahuannya tidak membolehkannya mempunyai kesedaran ini.”

Semasa Gerakan 4 Jun, Xi Jinping bertanggungjawab ke atas kawasan Ningde di Wilayah Fujian.

Menurut laporan media rasmi, Xi bekerjasama dengan Jawatankuasa Pusat PKC untuk menghalang pelajar dari Wenzhou, Zhejiang, daripada merentas provinsi ke Fujian untuk terlibat dalam perhubungan antara provinsi.

Pada masa itu, Xi Jinping juga meminta badan keselamatan awam seluruh wilayah agar memberi perhatian khusus kepada perkembangan berkaitan di wilayah itu dan melakukan “pengekalan kestabilan” dengan baik.

Selepas gerakan pelajar, Xi Jinping bertemu dengan pegawai polis berkaitan dan mengambil gambar berkumpulan pada 30 Julai 1989.

Ketika itu, Xi Jinping sekali lagi menekankan bahawa dia “mengekalkan keselarasan yang tinggi dalam Jawatankuasa Pusat Parti dan mematuhi arahan Jawatankuasa Pusat Parti dengan tegas”.

Berbanding dengan Xi Jinping yang dinaikkan pangkat menjadi Setiausaha Jawatankuasa Parti Bandaraya Fuzhou pada tahun berikutnya, sekumpulan pegawai PKC yang tidak menyokong penindasan gerakan pelajar dipecat atau dipinggirkan.

Tiananmen Mothers adalah kumpulan hak asasi manusia yang dibentuk oleh keluarga mangsa Insiden 4 Jun. Pengasas dan pemimpin utama ialah Ding Zilin. Manakala Jurucakapnya ialah You Weijie.

Gambar Pengasas dan Pemimpin Utama Tiananmen Mothers, Ding Zilin

Pada 4 Jun setiap tahun, Tiananmen Mothers akan mengeluarkan surat terbuka kepada pihak berkuasa, menuntut agar kebenaran peristiwa tersebut didedahkan, pampasan dibayar kepada keluarga mangsa dan penjahat dipertanggungjawabkan.

Surat terbuka tahun 2024 ini telah ditandatangani oleh 114 keluarga mangsa.

Keratan surat terbuka tahun 2024

Biarpun namanya surat terbuka, namun surat tersebut hanya boleh diterbitkan di luar Great Firewall PKC. Malah lebih mengecewakan lagi apabila semua rangkaian Tanah Besar China menyekat surat tersebut.

Zhang Xianling yang merupakan salah seorang ahli Tiananmen Mothers yang kehilangan anaknya Wang Nan dalam Insiden 4 Jun menulis bahawa dia telah berulang kali menceritakan penderitaannya yang bukan semata-mata untuk dirinya tetapi mewakili seluruh negara China.

Suami Zhang Xianling, Wang Fandi, seorang profesor universiti masih mengingatkannya sebelum meninggal dunia agar terus menuntut keadilan bagi anaknya.

Penganalisis politik Du Zheng berpendapat bahawa tiada pemimpin yang mengekalkan kediktatoran PKC yang benar-benar dapat memulihkan Gerakan 4 Jun.

Sebaliknya, jenayah PKC yang serius itu hanya akan membawa kepada kejatuhannya pada masa depan.

Ini jelas menunjukkan, walaupun sudah 35 tahun berlalu, namun tragedi 1989 itu masih memberi kesan mendalam kepada mangsa dan rakyat China yang mencari keadilan dan kebenaran.

Dato’ Seri Vida kagumkan ramai apabila fasih berbahasa Mandarin ketika melayan pelanggan di Sabah

0

Usahawan dan selebriti popular Malaysia Dato’ Seri Vida, yang lebih mesra dengan panggilan DSV, baru-baru ini mendapat perhatian warganet selepas beliau berkongsi video dirinya berinteraksi dengan pelanggan di Kota Kinabalu, Sabah.

Menerusi video TikTok, DSV, yang membuka booth menjual makanan ringan Salmon Salted Egg Skin dan produk makanan lain di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), mengejutkan rakyat Malaysia apabila fasih berbual dalam bahasa Mandarin dengan keluarga Cina tempatan yang merupakan peminat tegarnya.

TikTok

Pada permulaan video, DSV bertanya kepada keluarga dari mana mereka berasal, yang mana si ibu berkongsi mereka berasal dari Sarawak tetapi telah lama menetap di Sabah.

Wanita itu kemudian mendedahkan mereka sekeluarga sentiasa ingin membeli Salmon Salted Egg DSV dan produk makanan lain dalam talian tetapi tidak berjaya.

TikTok

Memandangkan DSV sedang membuka booth berhampiran kediaman mereka, keluarga itu memutuskan untuk datang ke SICC untuk membeli produk makanan ringan berkenaan dan bertemu dengan DSV secara peribadi.

TikTok

DSV kemudian bertanya bagaimana keluarga itu mengetahui dia membuka gerai di SICC, dan ibu itu menjawab mereka sentiasa mengikuti strim langsung DSV di TikTok.

Keluarga itu kemudiannya dengan gembira membeli beberapa produk makanan daripada DSV, berjumlah RM565.

TikTok

Menjengah di ruangan komen, ramai menyatakan rasa kagum dengan kemahiran berbahasa Mandarin DSV, sesuatu yang tidak pernah dia nyatakan sebelum ini.

Sehubungan itu, beberapa warganet terkejut apabila DSV bercakap Mandarin secara tiba-tiba dan memberi pujian atas keyakinannya bercakap dalam bahasa itu.

TikTok

Sementara itu, seorang pengguna TikTok berkongsi DSV pernah menjadi guru Bahasa Inggeris, oleh itu dia mempunyai kemahiran komunikasi yang hebat, yang dipraktikkannya dalam perniagaan, menjadi kempen pemasaran yang sangat baik.

TikTok

Selain itu, seorang lagi memberi komen DSV sebagai inspirasi, kerana walaupun berjaya, beliau masih merendah diri dan tidak mempunyai masalah untuk turun padang mengendalikan sendiri booth produknya.

Tonton video di sini.

Agong berkenan bersantap sarapan di Nasi Lemak Wanjo

0

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan bersantap sarapan di Nasi Lemak Wanjo, Kampung Baru pada Hari Keputeraan rasmi 3 Jun lalu.

FACEBOOK

Menerusi catatan di Facebook rasmi Sultan Ibrahim, KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke Kampung Baru pada 3 Jun lalu untuk bersantap sarapan.

Keberangkatan tiba Baginda di Nasi Lemak Wanjo nyata mengejutkan dan membawa keterujaan kepada pengunjung yang hadir di restoran tersebut.

FACEBOOK

Sepanjang berada di sana, Sultan Ibrahim juga berkenan meluangkan masa untuk beramah mesra serta bergambar dengan rakyat jelata.

FACEBOOK

Ramai pengunjung tidak melepaskan peluang untuk bergambar bersama Yang di-Pertuan Agong bagi merakam detik-detik indah tersebut.

Untuk makluman, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan supaya acara sambutan Ulang Tahun Keputeraan Rasmi baginda ditangguhkan dari Jun ke September.

Tujuannya adalah untuk memberi keutamaan kepada Istiadat Pertabalan dan acara lain sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 tersebut.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil telah mengumumkan bahawa Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 akan berlangsung di Istana Negara pada 20 Julai ini.

Pengumuman itu dibuat selepas Fahmi mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan Agong.

“Sebagaimana kita sedia maklum, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada hari Rabu, 31 Jan 2024.”

Menurut Fahmi lagi, Kerajaan dengan titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong akan melaksanakan acara-acara sempena Istiadat Pertabalan seperti berikut:

  • 18 Julai: Majlis bacaan Surah Yasin dan doa selamat pada pukul 5.30 petang di Masjid Negara.
  • 19 Julai: Pembacaan khutbah khas pada solat Jumaat di Masjid Negara.
  • 20 Julai, bermula pukul 10 pagi: Majlis Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara.
  • 20 Julai, pukul 8.30 malam: Majlis Santapan Diraja di Istana Negara.
  • 23 Julai: Lawatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong ke Hospital Orang Asli Gombak.
  • 25 Julai: Pameran Raja Kita di Muzium Negara.
  • 27 Julai: Majlis Jamuan Teh Diraja dijadualkan berlangsung pada pukul 3 petang di Istana Negara.

Daulat Tuanku.

Tan Boon Heong dedah pernah jadi mangsa penipuan rugi RM2.5 juta selepas rakan sepasukan alami nasib sama

0

Bekas pemain badminton negara Tan Boon Heong tampil bersuara sebagai solidariti bersama rakan sepasukannya Lai Pei Jing selepas mendedahkan pernah menjadi mangsa penipuan sebanyak dua kali yang menyebabkan dirinya kehilangan hampir kesemua wang simpanan.

Dalam hantaran di Facebook pada 3 Jun, bekas pemain beregu No. 1 dunia itu berkongsi beliau pernah mengalami nasib yang sama, kehilangan kira-kira RM2.5 juta dalam sindiket penipuan pelaburan.

“Melihat rakan pemain badminton saya ditipu mengingatkan saya yang pernah ditipu juga.

Tan Boon Heong (Gambar Harian Metro)

“Ingat, menyerahkan wang hasil titik peluh anda ke tangan orang lain dan mengharapkan untuk mendapatkannya semula adalah mustahil. Saya cadangkan fokus kepada perkara yang anda boleh kawal. Jika anda tidak boleh mengawalnya, jangan melibatkan diri,” tulis Boon Heong.

Melalui Facebook Live, Boon Heong memperincikan bagaimana beliau telah ditipu oleh individu yang dikenalinya, termasuk rakan yang anaknya juga pemain badminton. Boon Heong mendedahkan rakan itu ini telah “menghilang”.

“Saya ditipu sebanyak dua kali, sekali untuk USD500,000 (RM2.3 juta) dan satu lagi RM160,000. Jika anda benar-benar mahu melabur, anda sepatutnya menjadi pegawai bank dan bukannya pemain,” nasihat Boon Heong.

Tambah Boon Heong, beliau mahu menceritakan nasib malangnya di media sosial bagi mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika ingin membuat pelaburan.

Pada Ahad, 2 Jun, pemain beregu campuran Lai Pei Jing telah berkongsi di media sosial bahawa beliau telah menjadi mangsa sindiket penipuan.

@NST_Online / X

Dalam hantaran di Facebook, Pei Jing berkata beliau telah kehilangan sebahagian besar wang simpanannya dan memohon diberikan ruang peribadi untuk memproses fikiran dan emosinya.

“Ya, saya telah ditipu hampir semua wang simpanan saya oleh kumpulan penipuan.

“Sejujurnya, ini merupakan tamparan teramat berat kepada saya. Simpanan titik peluh saya hasil kerja keras selama beberapa dekad,” kata pemain berusia 31 tahun itu.

“Ia memerlukan keberanian yang tinggi untuk bersuara mengenai penipuan kerana siapa yang mahu memberitahu orang lain bahawa mereka telah diperbodohkan untuk ditipu, bukan?

“Apabila saya telah menyesuaikan diri dengan situasi itu, saya akan berkongsi lebih lanjut mengenainya. Saya berharap dapat membendung lebih ramai mangsa dan juga memaksa diri saya untuk menerima hakikat bahawa saya telah ditipu,” jelasnya lagi.

Pemain badminton itu menambah beliau kini sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk menjejak sindiket penipuan itu.

@NST_Online / X

Polis berkata mereka telah membuka kertas siasatan terhadap kes Lai selepas menerima laporan mengenainya.

Menurut New Straits Times, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata siasatan awal menunjukkan Lai telah menggunakan aplikasi bernama ‘Dobevil’, di mana mangsa digalakkan untuk membeli dan menjual barangan dalam talian.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Operasi Hormat Undang-Undang dilaksanakan bermula 4 Jun

0

KUALA LUMPUR: Operasi Hormat Undang-Undang (Op HUU) dilaksanakan oleh polis Kuala Lumpur bermula dari 4 Jun hingga 15 Jun ini.

BH ONLINE

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, operasi tersebut akan menggunakan konsep sama iaitu memberi penekanan utama membabitkan kesalahan seperti:

  1. Halangan lalu lintas.
  2. Garisan putih.
  3. Nombor pendaftaran.
  4. Motosikal.
  5. Parkir haram.
  6. Lampu merah / Telefon bimbit.
  7. Didik.
KEMENTERIAN PENGANGKUTAN MALAYSIA

“Kekuatan penugasan pada operasi kali ini membabitkan lebih 200 pegawai dan anggota dari jabatan serta daerah Kontinjen Kuala Lumpur.”

“Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan dan mengamalkan pemanduan berhemah demi keselamatan pengguna jalan raya serta menjaga imej Kuala Lumpur sebagai pusat bandar raya,” Katanya dalam satu kenyataan bersama Bernama.

Bagi orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Hotline Trafik Kuala Lumpur di talian 03-20719999 / 9777 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999.

Terdahulu, Operasi Hormat Undang-Undang dilaksanakan menerusi dua fasa dengang Fasa 1 pada 3 hingga 31 Julai 2023 manakala Fasa 2 pada 15 hingga 29 September 2023.

Menyaksikan tragedi Tiananmen, jurugambar imbas kembali pengalaman 4 Jun paling tidak dapat dilupakan

0

Menjelang ulang tahun ke-35 Peristiwa 4 Jun, bekas wartawan dan jurugambar AFP Catherine Henriette berkongsi pengalamannya menyaksikan peristiwa bersejarah ini sebagai pendatang baru dalam bidang kewartawanan dan menceritakan tentang kenangan paling tidak dapat dilupakannya.

Henriette, seorang jurugambar Perancis yang mempelajari bahasa Cina memutuskan untuk mengadakan lawatan ke China pada tahun 1985, ketika beliau baru sahaja menamatkan ijazah sarjana dalam bahasa Asia. Pada April 1989, ketika berusia 29 tahun, Henriette mula bekerja sebagai wartawan dan jurugambar untuk AFP.

Gambar oleh Catherine Henriette / AFP / Getty Images

Apabila Insiden Tiananmen tercetus pada bulan Jun tahun itu, Henriette baru bermula beberapa minggu dalam kerjayanya, tetapi gambar yang diambilnya digunakan secara meluas oleh media di pelbagai negara dan memberikan pengaruh yang besar.

Henriette meninggalkan China pada tahun 1991. Beliau kemudian mengambil gambar untuk majalah dan media lain, dan kemudian beralih kepada seni fotografi. Sehingga hari ini, Henriette masih terlibat dalam bidang fotografi berkaitan seni.

Gambar oleh Catherine Henriette / AFP / Getty Images

Jurugambar itu baru-baru ini memberikan temu bual eksklusif kepada Radio Free Asia (RFA) dalam bahasa Perancis. Kandungan yang berkaitan telah diterjemahkan oleh Claire McCrea ke dalam bahasa Inggeris oleh stesen radio berkenaan:

RFA: Apa yang membawa anda ke Dataran Tiananmen semasa protes pro-demokrasi pelajar pada tahun 1989? Apakah tanggapan pertama anda tentang suasana dan rakyat yang terlibat?

Henriette: Saya seorang jurugambar untuk AFP, jadi saya ke Dataran Tiananmen kerana tugas. Tanggapan pertama saya adalah rasa bagai tidak percaya dengan apa yang sedang berlaku di hadapan saya.

Gambar oleh Catherine Henriette / AFP / Getty Images

RFA: Bolehkah anda terangkan pengalaman mengambil gambar di Dataran Tiananmen? Sebagai jurugambar, apakah cabaran yang anda hadapi semasa berada dalam keadaan huru-hara ketika itu?

Henriette: Ia adalah momen yang sangat teruja dan menggembirakan. Saya seorang jurugambar baru jadi saya perlu belajar dengan pantas kerana pergerakan itu terus berkembang setiap hari. Cabaran yang saya hadapi ialah dari segi aspek fizikal. Saya terpaksa meneruskannya kerana saya seorang sahaja yang mengambil gambar untuk AFP. Saya kepenatan kerana ia tidak berkesudahan.

Gambar oleh Catherine Henriette / AFP / Getty Images

RFA: Adakah terdapat sebarang detik atau adegan tertentu yang memberi kesan yang berkekalan kepada diri anda? Bolehkah anda berkongsi cerita di sebalik salah satu gambar anda yang paling diingati dari saat itu?

Henriette: Setiap hari adalah berbeza. Mungkin detik paling luar biasa ialah apabila Zhao Ziyang (bekas Setiausaha Agung Parti Komunis) keluar dari Dewan Besar Rakyat untuk bertemu pelajar dan bercakap dengan mereka. Di negara seperti China, ia bagai bermimpi.

Gambar oleh Catherine Henriette / AFP / Getty Images

RFA: Pada pendapat anda, adakah gambar dari Dataran Tiananmen menyumbang kepada naratif protes pro-demokrasi yang lebih meluas? Adakah anda fikir ia membantu menguatkan suara para penunjuk perasaan?

Henriette: Pada masa itu, gambar saya muncul secara meluas dalam majalah dan akhbar. Jadi, ya, saya rasa secara tidak sedar saya telah menyumbang kepada pergerakan itu untuk diketahui.

Gambar oleh Catherine Henriette / AFP / Getty Images

RFA: Mengimbas kembali, bagaimana anda melihat peranan fotografi dalam membentuk memori bersejarah, terutamanya dalam merakam peristiwa seperti protes di Dataran Tiananmen?

Henriette: Sejujurnya, satu-satunya pengalaman saya yang relevan ialah apa yang berlaku di Dataran Tiananmen. Saya berusia 29 tahun dan baru bermula menceburi bidang fotografi. Saya datang bekerja di AFP pada April 1989. Saya tidak mempunyai pengalaman yang mencukupi dalam bidang fotografi media untuk mengatakan sama ada ia mempunyai kuasa untuk mempengaruhi perjalanan sejarah.

Gambar oleh Catherine Henriette / AFP / Getty Images

Tetapi melihat kepada gambar seorang lelaki di hadapan kereta kebal (bukan gambar yang saya ambil) – ia adalah imej yang kekal dalam fikiran kita buat selama-lamanya. Jadi, ya, saya fikir fotografi boleh, dengan caranya yang tersendiri dalam merekodkan ingatan kolektif.

RFA: Pada pendapat anda apakah peristiwa yang anda saksikan dan gambarkan di Dataran Tiananmen mempengaruhi pendekatan anda terhadap fotografi serta menyampaikan penceritaan di sepanjang kerjaya anda?

Henriette: Ia mungkin mempengaruhi cara saya merakam tanpa saya sedari, tetapi seperti yang saya katakan, saya baru memulakan kerjaya sebagai jurugambar. Saya baru sahaja menceburi kewartawanan fotografi selama beberapa tahun. Sudah tentu, bertugas sebagai wartawan dan jurugambar di China adalah pembelajaran hebat yang berguna untuk saya. Tetapi saya telah berkembang sejak itu. Saya beralih kepada fotografi majalah dan kemudian kepada fotografi lebih artistik yang masih saya lakukan sehingga hari ini.

Gambar oleh Catherine Henriette / AFP / Getty Images

RFA: Memandangkan maklumat tentang pembunuhan beramai-ramai Dataran Tiananmen telah ditapis dan ditindas, adakah anda fikir penting bagi jurugambar dan wartawan untuk terus mendokumentasikan dan mendedahkan peristiwa sedemikian?

Henriette: Sudah tentu, jika tidak, peristiwa ini akan dipadamkan daripada sejarah. Peristiwa Tiananmen tidak disebut dalam buku teks sejarah China.

Gambar oleh Catherine Henriette / AFP / Getty Images

RFA: Mengimbas kembali pengalaman anda di Dataran Tiananmen, apakah mesej atau pengajaran yang ingin anda sampaikan kepada generasi akan datang tentang kuasa fotografi menjadi saksi kepada sejarah?

Henriette: Saya akan memberitahu mereka supaya tidak mengambil terlalu banyak risiko yang tidak perlu. Gambar “Tank Man” yang tersebar di seluruh dunia diambil di balkoni sebuah hotel di Beijing pada hari kedua tindakan kekerasan itu. Setiap gambar yang anda ambil mesti mempunyai mesej. Anda perlu mencarinya. Saya rasa jurugambar yang baik pasti memikirkan perkara ini.