25.6 C
Kuala Lumpur
Wednesday, September 10, 2025
Utama Blog Laman 271

Bapa beli motorhome RM400,000 dari UK agar dapat melancong bersama keluarga tatkala pandemik

0

Kita semua tahu kerajaan masih lagi mengekalkan SOP yang ketat demi mengelakkan jangkitan wabak. Antara larangan yang dikenakan adalah larangan merentas negeri. Sepanjang tempoh dua tahun ini, ramai yang mula gusar kerana sudah lama tidak pulang ke kampung halaman atau melancong ke luar negara.

Baru-baru ini, sebuah keluarga menjadi bualan hangat di media sosial apabila mereka memaparkan campervan atau motorhome yang dibeli pada harga RM400,000. Menurut perkongsian daripada Alya Dalila Ahmad, 23 tahun, kesemua ahli keluarganya sangat gemar melancong dan menikmati keindahan alam semula jadi. Justeru, memiliki sebuah motorhome adalah satu pembelian yang amat berbaloi tatkala pandemik ini.

Instagram

“Kami sekeluarga sebenarnya memang suka melancong dan melakukan aktiviti luar. Memandangkan sekarang pergerakan terhad dan kurang selamat untuk menginap di hotel, maka bercuti dengan motorhome adalah satu pilihan yang tepat”.

Menurut Alya lagi, proses untuk membeli motorhome ini juga mengambil masa yang lama iaitu sekitar 9 bulan memandangkan bapanya menempah dari United Kingdom. Jika dibeli di Malaysia, harganya boleh mencecah sehingga RM600,000!

“Motorhome ini ayah beli dari United Kingdom memandangkan harganya jauh berbeza jika dibeli di Malaysia. Bermula dari Januari sehingga selesai segala prosedur JPJ dan Puspakom, akhirnya motorhome ini menjadi milik ayah pada awal September lalu”.

Instagram

Alya turut menjelaskan bahawa memiliki motorhome merupakan impian bapanya yang mahu menjelajah bersama ibunya apabila mereka bersara tidak lama lagi. Alya juga sempat berkongsi di media sosial memaparkan keadaan dalam motorhome ini yang dilengkapi dengan kemudahan seperti dapur, katil, peti sejuk dan juga tandas.

“Ayah memang dah lama bercita-cita untuk melancong bersama ibu bila sudah bersara dari kerja offshore nanti. Impian untuk travel dengan motorhome di luar negara pun masih tak kesampaian disebabkan Covid-19. Jadi buat masa sekarang, ayah bawa kami jalan-jalan menikmati keindahan alam di Terengganu dahulu”.

Lori terbabas di lebuhraya, pemandu hilang kawalan dan disahkan positif dadah

0

SHAH ALAM: Baru-baru ini tular sebuah klip video yang menunjukkan sebuah lori yang hilang kawalan sebelum terbabas di Kilometer (KM) 10.9 Lebuhraya Baru Lembah Kelang (NKVE). Kemalangan tersebut disebabkan oleh pemandu yang memandu di bawah pengaruh syabu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay Anak Embol, dalam satu kenyataan, mengesahkan bahawa kejadian tersebut berlaku pada kira-kira jam 8.30 pagi.

“Siasatan awal mendapati, lori yang dalam perjalanan ke Subang dipandu seorang lelaki berumur 33 tahun hilang kawalan secara tiba-tiba kerana dipercayai tertidur lalu gagal mengawal kenderaan sehingga terbabas.

“Selang beberapa minit kemudian, sebuah motosikal ditunggangi seorang lelaki dari arah sama gagal mengelak dan terlanggar lori berkenaan. Bagaimanapun, lelaki berkenaan hanya cedera ringan,” katanya.


Ramsay berkata, ujian saringan air kencing pemandu lori terbabit didapati positif dadah jenis methaphetamine.

Katanya, suspek telah dibawa ke mahkamah semalam untuk permohonan reman atas kesalahan mengikut Seksyen 15(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 oleh Bahagian Narkotik Shah Alam.

“Bagi kesalahan trafik pula, kes disiasat mengikut Seksyen 45 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu kenderaan semasa di bawah pengaruh dadah.

“Saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Muhammad Hasrul Suhiami di talian 011-31215697,” ujarnya lagi.

Lihat anjing cuba rentas sungai yang deras, orang ramai bagi laluan dan jadi ‘benteng’ untuknya supaya tidak hanyut

0

Haiwan sebenarnya punya semangat juang yang tinggi. Mereka juga tidak takut untuk melakukan sesuatu yang mencabar sehingga kadangkala keberanian mereka melebihi manusia.

Misalnya anjing di dalam video ini yang cuba merentas sungai yang kelihatan bahaya. Kejadian yang berlaku di Lata Medang, Kuala Kubu Bharu itu telah dirakam dan dimuat naik di TikTok oleh @imhakim0305.Lihat sahaja air yang mengalir deras pastinya boleh mengancam nyawanya jika di dihanyutkan.

Namun, semua itu tidak menjadi masalah apabila dia tidak peduli dengan bahaya itu malah terus berusaha untuk meneruskan perjalanannya. Nasibnya baik apabila ada ramai orang di situ yang boleh membantunya setidaknya bagi memastikan dia tidak hanyut atau lemas.

Tindakan mereka yang ada di situ wajar diberi pujian. Apabila melihat anjing itu mereka terus memberi laluan untuknya melintas dahulu. Mereka juga ‘beratur’ seolah-olah menjadi benteng kepada anjing berkenaan supaya tidak dihanyutkan air deras.

Jambatan yang ada di situ telah roboh membuatkan mereka terpaksa melalui air deras. Perlahan-lahan anjing itu terus melangkah sehingga akhirnya sampai ke seberang di mana ada seorang lelaki yang sedang menunggu untuk membantunya.

Kepada mereka yang ada di sana dan membantu anjing tersebut, terima kasih atas keperihatinan anda!

Mahu komunis dikalahkan, Trevor Loudon gesa semua orang untuk menentang komunis China demi kebebasan hidup

0

Dalam satu temuramah baru-baru ini, Trevor Loudon menegaskan bahawa untuk menyelamatkan Amerika, kita harus menentang Parti Komunis China (PKC) atau kita perlu melawan demi kebebasan dan kelangsungan hidup.

“Mempromosikan kebebasan sahaja tidak cukup. Kita harus menjadi anti-komunis di peringkat tempatan dan kebangsaan. Kita harus menyingkirkan dunia kerajaan komunis atau jika tidak, kita perlu melawan demi kelangsungan dan kebebasan hidup buat selamanya,” kata Loudon dalam wawancara Focus Talk.

Trevor Loudon seorang aktivis anti-komunis, penyelidik dan pengarah. Sumber: The Epoch Times

Loudon yang merupakan seorang penulis, pengarah dan penceramah bebas menyifatkan komunis mempunyai agenda tersendiri dalam menakluki dunia dan salah satu halangan terbesar mereka adalah Amerika Syarikat. Menurutnya, fahaman komunisme telah diterapkan ke Amerika sejak 100 tahun yang lalu bermula dengan gerakan Soviet Union dan kini diambil alih oleh komunis China.

“Kini kita sedang menyaksikan kesan komunisme selama 100 tahun. Kita hampir dikalahkan. Setiap institusi didominasi oleh golongan haluan kiri, oleh komunis, ejen China dan musuh Amerika. Jadi, kita perlu menjadi aktif kerana kita tidak mempunyai banyak masa”.

Pesawat US Air Force mendarat di Tapak Udara Bagram pada 1 Julai 2021 lalu. Sumber : The Epoch Times

Tambah Loudon lagi, Amerika di bawah tampuk pemerintahan Joe Biden baru sahaja menyerahkan tanah Afghanistan yang kaya dengan sumber mineral kepada China dan beliau sangat mengecam tindakan Biden yang ingin menarik diri daripada Afghanistan.

Pada ketika Rusia dan China mula bertindak agresif, Amerika telah kehilangan tapak ketenteraan Bagram yang terletak di lokasi strategik di antara kedua-dua negara tetapi kini menjadi milik China. Kesemua perkara yang terjadi ini boleh menggalakkan semangat China untuk bertindak lebih agresif.

Tapak ketenteraan Bagram kini ditamatkan operasinya setelah dua dekad. Sumber: Fox News

“Secara amnya, kita telah memberikan musuh kawalan ke atas seluruh Asia Tengah dan membuatkan mereka lebih berani untuk menawan Pasifik. Ini adalah satu kekalahan buat Amerika. Saya tidak nampak kesan positif daripada perkara ini. Penarikan diri ini turut menyebabkan Amerika memberikan teknologi tinggi kepada musuh Amerika”.

Loudon turut menegaskan orang ramai agar melibatkan diri di dalam bidang politik dan memastikan pilihan raya seterusnya dalam memberikan manfaat kepada negara. Beliau yakin seandainya Amerika gagal, negara-negara bebas lain turut akan kecundang bersama.

“Dia sudah bosan hidupkah?” Kucing terus melompat lalu berbaring enggan berganjak di atas pemanggang ketika pemilik mahu mulakan barbeku

0

Pernah nampak kucing mengada-ngada suka bermanja dan berkepit dengan pemilik bukan? Seperti ketika pemilik sedang bekerja di hadapan komputer, dia terus sengaja buat selamba berbaring di atas papan kekunci sambil enggan berganjak.

Paling geram pernahkah anda melihat kucing terus melompat ke atas pemanggang barbeku yang ingin digunakan segera tetapi dia enggan berganjak, walaupun tuannya sudah terjerit-jerit meminta dia turun?

Pemilik kucing yang ini tidak bernasib baik hari itu lalu bercerita di Facebook:

“Cuaca baru-baru ini cukup baik, dan tidak ada yang salah dengannya. Jadi kami berbincang untuk mengumpulkan saudara-mara dan mengatur satu perjumpaan keluarga. Kami fikir untuk mengadakan makan-makan dan barbeku di luar. Tidak sangka pula, semua orang bersetuju. Nampaknya semua berasa bosan bekerja dan duduk di rumah, apa salah keluar bercuti sekali-sekala. Idea yang baik adakan parti barbeku.”

“Jadi bagi tujuan itu, kami telah membeli pemanggang barbeku yang besar. Tanpa disangka, ketika ia baru sahaja diletak di luar, kucing kami dengan selamba melompat dan terus berbaring di atasnya.”

“Melihat si nakal ini tidur di atas pemanggang barbeku kami dengan sangat selesanya, saya rakamkan gambarnya. Kedudukan dia betul-betul cukup muat di atas pemanggang,  benar-benar terasa seperti kucing yang dipanggang! Adakah dia ini cuba memberitahu saya, “Saya sudah cukup bosan dengan kehidupan?”.”

“Saya menyuruhnya turun berkali-kali, sampai terjerit-jerit minta dia segera turun. Tidak sangka pula kucing ini berdegil, benar-benar tidak peduli dengan arahan saya. Macam mana hendak suruh dia berganjak ini?”

“Kemudian, saya selesai menyiapkan barang-barang dan kembali ke pemanggang itu. Dia sudah siap tertidur di atas barbeku saya. Nampaknya jika begini dia tahu saya tidak sampai hati, mana berani untuk menghidupkan pemanggang ini dengan dia berada di atasnya.”

Tetapi kucing ini masih dengan tenang berbaring di atasnya. Melihat mata kecilnya menjeling-jeling, pemilik berfikir mungkin kucing itu bosan dengan kehidupan dan tidak kisah dirinya dipanggang hidup-hidupkah? 

Seorang netizen mencadangkan, apa kata kamu berbisik kepadanya, “Saya mahu jual kamu sekarang!” Mungkin dia akan jadi sangat takut dan terus melompat turun lalu melarikan diri.

Nakal sungguh kucing ini, buat muka selamba sahaja berehat di atas pemanggang barbeku itu ketika orang tengah sibuk mahu menggunakannya dengan segera.

Penuaian organ paksa mampu disebarkan rejim PKC ke negara lain – amaran Pengarah NGO

0

Rejim komunis di China mempunyai rancangan untuk mengeksport amalan mengerikan penuaian organ secara paksa sebaik sahaja berjaya meruntuhkan standard etika dalam industri pemindahan organ yang diasaskan oleh Barat, Dr. Torsten Trey memberi amaran.

Dr. Torsten Trey, pengasas dan pengarah eksekutif Doctors Against Forced Organ Harvesting (DAFOH), memberikan amaran itu semasa wawancara dalam program terbitan EpochTV, “Crossroads” baru-baru ini. Selama beberapa dekad, rejim PKC telah menganiaya tahanan kerohanian bagi tujuan memacu industri pembedahan berskala besar untuk bekalan organ yang dituai demi memenuhi pasaran pemindahan organ, katanya.

Dr. Torsten Trey (Gambar oleh Chen Pochou / Epoch Times)

Memandangkan cita-cita besar China adalah menguasai pelbagai sektor industri, Beijing juga berusaha untuk menjadi pemimpin dalam sektor pemindahan organ.

“Di negara-negara Barat, kami mematuhi standard etika demi faedah dan kepentingan pesakit. Ada tujuan yang jelas, jadi itulah gunanya ada masa menunggu. Ia berdasarkan persetujuan secara sukarela dan percuma sebagai asas pendermaan organ,” kata Dr. Trey.

“Konsep memberi persetujuan secara sukarela dan percuma ini pada dasarnya telah dimusnahkan dengan kemunculan konsep penuaian organ paksa,” katanya.

Dalam erti kata lain, beliau menegaskan rejim PKC melihat standard perubatan Barat sebagai ancaman terhadap amalan penuaian organ paksa.

“Dengan itu, China secara dasar begitu tertarik untuk meruntuhkan sistem [Barat] ini untuk menjadikan penuaian organ paksa sebagai satu standard umum dalam bidang perubatan dan pemindahan organ,” katanya.

China menjadi salah satu negara destinasi utama untuk pelancongan pemindahan organ, kerana hospital di China menawarkan pemindahan organ dalam tempoh waktu menunggu yang tersangat singkat, sambil mendakwa organ yang dibekalkan mereka berasal dari sistem sumbangan sukarela dalam negara. Beijing mendakwa pihaknya tidak memperolehi organ daripada tahanan hukuman mati sejak tahun 2015.

Namun, Tribunal rakyat yang berpangkalan di London membantah tuntutan PKC dalam laporan yang dikeluarkan pada tahun 2019. Tribunal memutuskan amalan penuaian organ paksa yang dijalankan melalui sekatan dan hukuman negara ke atas tahanan telah berlaku dalam “skala yang signifikan” di China, dengan pengamal Falun Gong menjadi sumber utama bekalan organ.

Pengamal Falun Gong, latihan kerohanian juga dikenali sebagai Falun Dafa, telah menjadi sasaran penganiayaan oleh rejim PKC China sejak tahun 1999.

Dakwaan penuaian organ paksa daripada pengamal Falun Gong yang ditahan pertama kali telah didedahkan pada tahun 2006.

Sebaik sahaja menjadi suara utama dalam sektor pemindahan organ, China akan menetapkan “standard baru” dalam bidang itu, kata Dr. Trey. Pada masa itu, beliau memberi amaran bahawa Beijing akan “tidak dikenakan sekatan dalam usaha membanteras” tahanan kerohanian tanpa kritikan dan siasatan masyarakat antarabangsa.

Dr. Trey berkata beliau berpeluang berbual dengan beberapa individu yang hampir menjadi mangsa penuaian organ paksa di China dalam beberapa tahun terakhir.

Ada yang memberitahu mereka berulang kali menjalani ujian darah ketika dalam tahanan di China, sementara seorang bekas tahanan mendedahkan seorang polis mengaku kepadanya ketika dia sedang menjalani ujian darah yang organnya berkemungkinan boleh diambil.

Dr. Trey berkata beliau juga telah melihat laporan kehilangan organ daripada mayat tahanan hukuman mati di China.

Pada tahun 2016, Dewan Perwakilan Amerika Syarikat sebulat suara meluluskan H.Res. 343, menyeru supaya amalan penuaian organ oleh rejim PKC dihentikan.

Sekadar Gambar Hiasan / Unsplash

Pada bulan Mac, rang undang-undang baru diperkenalkan di Dewan Senat (S.602) dan Dewan Perwakilan (H.R.1592) untuk memerangi penuaian organ paksa dan pemerdagangan manusia. Sekiranya diluluskan, ia akan memberi kuasa kepada kerajaan Amerika Syarikat untuk menafi atau membatalkan pasport individu yang menjalankan aktiviti pembelian organ secara haram. Rang undang-undang itu juga akan mengenakan larangan eksport alat pembedahan pemindahan organ keluaran Amerika Syarikat kepada entiti asing yang bersekutu dengan jenayah terbabit.

Sokongan antarabangsa terus meningkat dengan seruan supaya China menghentikan amalan penuaian organ paksa. Dr. Trey berkata organisasinya menganjurkan petisyen global selama enam tahun yang berakhir pada tahun 2018, dan telah mengumpulkan lebih 3 juta tandatangan dengan tujuan memohon Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia di PBB untuk membantu menamatkan amalan tidak bermoral ini di China.

“Kini kita mahu PBB dan penyiasat bebas pergi ke China, masuk ke dalam kem-kem tahanan ini di China untuk menyiasat,” kata Dr. Trey.

Sekumpulan remaja ‘kenduri’ makan di KFC, siap seludup bawa periuk nasi dalam beg buat netizen terhibur

0

Umum mengetahui bahawa nasi adalah hidangan ruji buat masyarakat di Asia, terutamanya di Malaysia. Jadi, tidak sah hari kita sekiranya tidak memakan nasi dalam sehari.

Bagi membuktikan perkara itu, baru-baru ini sekumpulan remaja tular setelah membawa sendiri nasi ke restoran makanan segera, KFC.

Lebih mencuri perhatian adalah apabila salah seorang daripada mereka dilihat mengeluarkan periuk nasi daripada beg yang dibawanya!

Bersahaja sungguh bawa periuk nasi ya?

Lelaki berkenaan kemudian bertindak menyenduk nasi itu ke mangkuk kertas yang berisi ayam goreng KFC kepada rakan-rakannya.

Sememangnya perut orang Asia perlulah diisi dengan nasi, barulah kenyang bukan? Setakat makan lauk sahaja, mana boleh kenyang..

Bijak jugalah tindakan mereka ini, manalah tahu jika mereka sebenarnya mahu mengurangkan perbelanjaan untuk makan. Penyudahnya, bawa sahaja nasi sendiri.

Sungguhpun begitu, kita semua hendaklah menggunakan budi bicara terlebih dahulu jika ingin bawa makanan daripada luar masuk ke dalam premis.

Ini kerana kebanyakan polisi restoran tidak membenarkan sebarang makanan luar dibawa masuk ke dalam, apatah lagi secara senyap-senyap.

Apa pun, kemeriahan sekumpulan lelaki ini begitu jelas kelihatan. Rasa macam makan di rumah pula bukan?

Pemilik terleka pintu tidak berkunci, dua anjing peliharaan putih gebunya keluar bermain lumpur di laman dan pulang buat muka tidak bersalah

0

Dikatakan anjing baka Samoyed itu sentiasa boleh membuat pemiliknya tersenyum, juga spontan menjadi penyembuh hati mereka sedang berduka ketika melihat keletah si comel ‘snow white’ yang aktif dan lincah ini.

Selama mana mereka menghindari masalah, maka pemilik akan terus tersenyum seolah-olah semua kedukaan dan masalah dapat disembuhkan.

Termasuk ketika mereka tertangkap bermain lumpur dan membuat muka tidak bersalah, minta diri mereka yang bergelumang tanah hitam itu dibersihkan, walaupun ini berada dalam kategori masalah.   

@felix_n_finley/Instagram

Pemilik ini, Lora Larkin dari Tampa, Florida memelihara dua ekor baka Samoyed juga dua bersaudara yang nakal, Felix dan Finley di rumah.

@felix_n_finley/Instagram

Satu hari, Lora sedang mandi seketika dan terlupa menutup pintu untuk dua ekor anjing putih gebu ini dan mereka keluar bermain lumpur di laman yang baru ditanam rumput baru.

Felix dan Finley telah terdengar bunyi perenjis air di atas rumput baru itu yang automatik dihidupkan dan mereka berlari untuk bermain di situ.

@felix_n_finley/Instagram

Abang dan adik yang nakal tiba-tiba bertukar rupa menjadi beruang yang comel.

@felix_n_finley/Instagram

Sebaik pemilik selesai mandi, mereka ini pula yang kena dimandikan, adakah lebih bersih rupa si nakal selepas ini?

Apabila melihat gambar yang melucukan itu di laman Instagram @felix_n_finley, para netizen memberi komen: 

“Ayuh kita lumur lumpur, itu bukankah lebih cantik?”

“Kotor tetapi tersangat comel!”

“Lagi cantik hitam dan putih!”

“Hidup perlu selamba. Saya sangat gembira..” 

“Macam baru pulang dari lombong arang batu pun ada, haha..” 

“Ubah warna hitam untuk kelihatan lebih kurus..”

“Sekurang-kurangnya mata itu masih nampak bersih..”

@felix_n_finley/Instagram

Kadang-kadang bermain dengan lumpur atau air boleh membahagiakan hidup si comel haiwan peliharaan sepanjang hari. Sama seperti anak-anak kita juga.

Felix dan Finley memang selamba dan comel melucukan dengan keletah mereka. Siapa sahaja yang tidak terhibur melihat wajah comel mereka.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Kajian terbaru dapati ubat jantung lebih murah mampu merawat komplikasi pernafasan, harapan cerah rawatan COVID-19

0

Salah satu perkara paling sukar ketika pesakit COVID-19 yang disahkan positif adalah perubatan konvensional Barat yang menawarkan pilihan rawatan yang terhad bagi mengurangkan penyakit menjadi lebih parah. Beberapa doktor dan hospital menggunakan rawatan antibodi monoklonal sebagai intervensi awal, yang dapat membantu mengurangkan kemasukan pesakit ke hospital, seperti yang dilaporkan oleh The Epoch Times

Rawatan perubatan Barat lain untuk virus ini termasuk ubat anti-malaria ‘hydroxychloroquine’ dan ubat anti-parasit ‘ivermectin’ – juga digunakan, tetapi berterusan mendatangkan pendapat kontroversi.

Tetapi kini, kajian terbaru yang menarik daripada sepasukan saintis yang berpangkalan di Sepanyol menawarkan satu lagi rawatan berpotensi untuk penyakit ini: ubat jantung metoprolol. Kajian yang diterbitkan pada 7 September dalam ‘Journal of the American College of Cardiology’ mencadangkan ubat jantung yang biasa mungkin merupakan rawatan efektif untuk komplikasi paru-paru teruk yang menjadi penyebab utama kematian dalam kes SARS-CoV-2 yang teruk.

Masalah pernafasan dikaitkan jangkitan COVID-19 yang teruk (Gambar oleh Daniel Jedzura / Shutterstock)

Ahli kardiologi dari Pusat Kebangsaan Penyelidikan Kardiovaskular Sepanyol menjalankan kajian terkawal ke atas 20 pesakit di Hospital Universiti Jiménez Díaz di Madrid.

Dua belas pesakit dipilih secara rawak untuk menerima rawatan menggunakan metoprolol, dengan lapan pesakit berada dalam kumpulan kawalan. Kajian kecil itu tidak hanya menunjukkan manfaat buat pesakit yang dirawat dengan metoprolol, tetapi juga mencadangkan mekanisme tentang mengapa dan bagaimana ubat ini dapat membantu mengurangkan jangkitan SARS-CoV-2 yang teruk.

Apa itu Metoprolol?

Metoprolol adalah ubat yang diperakui oleh Pentadbiran Ubat-ubatan Persekutuan Amerika Syarikat yang lebih murah dan banyak digunakan dalam pelbagai rawatan kondisi jantung. Preskripsi yang biasa bagi rawatan tekanan darah tinggi, serta penyakit seperti ‘akut myocarditis’, yang boleh menyebabkan degupan jantung tidak teratur. Ia juga digunakan bagi mengurangkan sakit dada dan sesak nafas.

Metoprolol adalah ‘beta-blocker’, bertindak untuk mencegah adrenalin daripada meningkatkan degupan jantung anda. Ia berfungsi ke atas ‘beta receptor’ dalam jantung dan saluran darah anda, di mana seterusnya membantu menurunkan kadar degupan jantung yang cepat dan mengurangkan keperluan oksigen kepada jantung. Beberapa pemuzik dan penghibur yang tidak mengalami masalah jantung akan menggunakan metoprolol untuk mengelakkan rasa gemuruh di atas pentas.

Kerosakan paru-paru akibat ribut sitokin (cytokine storm)

Dalam komplikasi yang teruk akibat jangkitan COVID-19, paru-paru boleh mengalami kerosakan. Kerosakan paru-paru ini berlaku apabila virus menyerang tisu paru-paru dan saluran darah yang meresap ke dalam lapisan paru-paru, menyebabkan sistem imun badan bertindak balas dengan ribut protein isyarat kecil yang dikenali sebagai sitokin.

Paru-paru terdiri daripada saluran udara bercabang yang berakhir dalam banyak kantung kecil yang dilapisi saluran darah halus. Virus ini boleh merosakkan tisu paru-paru, menyebabkan saluran darah tersebut mula membocorkan cairan ke dalam paru-paru, mengganggu penukaran gas di atas permukaan paru-paru.

Reaksi boleh cukup kuat sehingga menyebabkan keradangan yang teruk, mengakibatkan sindrom pernafasan akut teruk. Seperti pelbagai komplikasi COVID-19 yang berbeza-beza, para saintis percaya ia bukan tindakan secara langsung ketika virus menyebabkan masalah yang lebih serius, tetapi reaksi tubuh yang keliru terhadap jangkitan yang tidak dikenali.

Dari sini, ubat metoprolol mungkin dapat membantu, menurut kajian itu.

Sistem imun manusia terdiri daripada beberapa jenis sel. Neutrofil adalah antara salah satu jenis yang boleh menyebabkan masalah ke atas paru-paru pesakit COVID-19 yang teruk. Neutrofil memainkan peranan penting dalam membersihkan bakteria patogen. Neutrofil juga mempunyai mekanisme khusus untuk memerangi virus berbahaya.

Mereka berkumpul di paru-paru yang mendapat keradangan dan melepaskan jaring ekstrasel untuk memerangkap zarah virus. Walaupun strategi itu dapat membantu memerangi jangkitan, para saintis mengesyaki bahawa terlalu banyak pengeluaran perangkap ekstrasel neutrofil, atau NETS, mungkin akhirnya berjaya melakukan lebih banyak kerosakan, lebih daripada apa yang dilakukan oleh virus pada mulanya.

Pesakit yang diintubasi akan mendapat manfaat daripada metoprolol.

Kesemua 20 pesakit dalam kajian itu sudah menggunakan ventilator untuk merawat masalah pernafasan akut. Dua belas orang telah diberi intravena metoprolol sederhana (15 miligram setiap hari selama tiga hari), sementara lapan pesakit dalam kumpulan kawalan tidak diberi.

Pesakit yang diberi metoprolol dalam kajian ini mempunyai 96 peratus lebih sedikit neutrofil dalam paru-paru mereka, membawa kepada pengurangan keradangan dan peningkatan pengambilan oksigen. Jumlah sel imun yang dipicu sitokin juga berkurangan, yang turut mengurangkan ribut sitokin menjadi lebih parah. ‘Beta-blocker’ juga membantu mengurangkan pengumpulan cecair di dalam paru-paru.

Hasilnya, pesakit yang diberi metoprolol dapat ditanggalkan dari ventilator dengan lebih cepat dan dialih keluar dari unit rawatan rapi (ICU) lebih awal berbanding pesakit dalam kumpulan kawalan.

“Pengurusan intravena metoprolol kepada pesakit dengan COVID-19 berkaitan ARDS [sindrom gangguan pernafasan akut] adalah selamat, mengurangkan radang paru-paru menjadi lebih buruk, dan peningkatan tahap oksigen. Mengembalikan semula penggunaan metoprolol untuk ARDS yang berkaitan dengan COVID-19 nampaknya merupakan strategi yang lebih murah dan selamat serta dapat meringankan beban pandemik COVID-19,” tulis para penyelidik.

Sekadar Gambar Hiasan / Unsplash

Respons doktor perubatan 

Dr. Suzanne Steinbaum, pakar kardiologi di sebuah hospital swasta di New York juga pengarang “Dr. Suzanne Steinbaum’s Heart Book: Every Woman’s Guide to a Heart Healthy Life” mendapati kajian penyelidik di Sepanyol akan memberi harapan berpotensi.

“Melihat kemusnahan yang telah dibawa oleh COVID-19, strategi rawatan yang efektif amatlah penting. Metoprolol terbukti dapat mengurangkan keradangan dan meningkatkan kadar oksigen ke atas pesakit yang menderita gangguan pernafasan akut. Amat penting buat kita untuk menilai lebih lanjut ubat ini sebagai pilihan yang selamat dan berpotensi menyelamatkan nyawa dalam rawatan pesakit COVID-19,” kata Dr. Steinbaum.

Dr. Jeffrey I. Barke, seorang pakar perubatan berpangkalan di Orange County, California, turut bersetuju.

“Ini kajian yang hebat. Ia hanya yang kajian yang kecil, tetapi menunjukkan harapan yang lebih hebat,” katanya.

Sebagaimana Dr. Steinbaum, Dr. Barke menyatakan persetujuan bahawa metoprolol adalah ubat yang lebih murah bersama penilaian rekod keselamatan yang lebih baik.

“Sukar untuk menyakitkan seseorang dengan yang ini,” kata Dr. Barke. “Senang melihat pemikir kreatif dalam komuniti saintifik menggunakan ubat-ubatan belum diluluskan. Kajian ini menunjukkan potensi dengan faedah sebenar daripada penggunaan ubat yang sangat selamat dan murah.”

Walau bagaimanapun, Dr. Barke memberi amaran yang beliau bimbang terdapat kekurangan motivasi di kalangan pegawai kesihatan awam di Amerika Syarikat dan doktor perubatan konvensional untuk menyelidik lebih lanjut dengan kajian yang lebih meluas untuk menemui jawapan adakah metoprolol itu satu pilihan untuk rawatan yang lebih berkesan.

“Ini mengingatkan saya akan manfaat ivermectin dan hydroxychloroquine. Saya berharap ubat ini, seperti banyak ubatan gunaan semula yang lain dapat digunakan untuk merawat COVID-19, dengan tidak dilihat melalui lensa politik. Jika tidak, para doktor akan teragak-agak untuk menggunakannya,” kata Dr. Barke.

Dr. Barke berasa terganggu dengan kurangnya campur tangan politik untuk mencari pilihan rawatan yang berkesan untuk rakyat. Beliau percaya syarikat farmaseutikal gergasi yang melabur dalam teknologi vaksin telah memberikan pengaruh yang tidak sepatutnya kepada pegawai kerajaan.

“Syarikat vaksin ini mendapat faedah keuntungan dengan produk ini dan melakukannya tanpa sebarang rasa tanggungjawab. Jika kita berjaya merawat dan melawan COVID-19 lebih awal dengan penggunaan ubat-ubatan sederhana, maka lebih sedikit keperluan untuk mendesak pemberian vaksin,” beliau berpendapat.

Sekiranya penemuan kajian ini adalah benar dan ubat metoprolol – ‘beta-blocker’ yang lebih murah dan berkesan – benar-benar mengurangkan ribut sitokin menjadi hujan renyai-renyai, maka itu mungkin merupakan berita buruk buat industri farmaseutikal, tetapi berita baik untuk semua orang lain.

KP Kesihatan : Penyembur ‘nano mist’ bukan pengganti disinfeksi manual, keberkesanan bergantung pada keupayaan alat

0

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Ketua Pengarah Kesihatan baru-baru ini telah mengeluarkan satu kenyataan mengenai keselamatan dan keberkesanan penggunaan semburan ‘nano mist’.

Ini memandangkan semburan nano mist tersebut sering digunakan sebagai alat disinfeksi untuk mengekang virus COVID-19.

Menurut KKM, keberkesanan penggunaannya untuk tujuan disinfeksi adalah bergantung kepada keupayaannya menghasilkan semburan yang sekata.

Selain itu, faktor jenis dan kepekatan larutan disinfeksi yang digunakan serta tempoh masa pendedahan juga perlu diambil kira.

Beberapa larutan disinfeksi sedia ada yang mengandungi 70% hingga 90% hydrogen peroxide, thymol, quarternary ammonia serta larutan berasaskan klorin berkesan untuk membunuh virus terbabit di permukaan.

Larutan ini bertujuan untuk menyahkuman di permukaan persekitaran dan tidak sesuai digunakan secara langsung ke atas manusia.

KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA/Facebook

Ini kerana sesetengah larutan boleh menyebabkan iritasi pada mata, kulit, saluran pernafasan dan sistem pencernaan.

KKM dalam pada itu turut menegaskan bahawa semburan disinfeksi secara nano mist ini juga tidak menggantikan keperluan disinfeksi permukaan secara manual.