Dalam satu temuramah baru-baru ini, Trevor Loudon menegaskan bahawa untuk menyelamatkan Amerika, kita harus menentang Parti Komunis China (PKC) atau kita perlu melawan demi kebebasan dan kelangsungan hidup.
“Mempromosikan kebebasan sahaja tidak cukup. Kita harus menjadi anti-komunis di peringkat tempatan dan kebangsaan. Kita harus menyingkirkan dunia kerajaan komunis atau jika tidak, kita perlu melawan demi kelangsungan dan kebebasan hidup buat selamanya,” kata Loudon dalam wawancara Focus Talk.
Loudon yang merupakan seorang penulis, pengarah dan penceramah bebas menyifatkan komunis mempunyai agenda tersendiri dalam menakluki dunia dan salah satu halangan terbesar mereka adalah Amerika Syarikat. Menurutnya, fahaman komunisme telah diterapkan ke Amerika sejak 100 tahun yang lalu bermula dengan gerakan Soviet Union dan kini diambil alih oleh komunis China.
“Kini kita sedang menyaksikan kesan komunisme selama 100 tahun. Kita hampir dikalahkan. Setiap institusi didominasi oleh golongan haluan kiri, oleh komunis, ejen China dan musuh Amerika. Jadi, kita perlu menjadi aktif kerana kita tidak mempunyai banyak masa”.
Tambah Loudon lagi, Amerika di bawah tampuk pemerintahan Joe Biden baru sahaja menyerahkan tanah Afghanistan yang kaya dengan sumber mineral kepada China dan beliau sangat mengecam tindakan Biden yang ingin menarik diri daripada Afghanistan.
Pada ketika Rusia dan China mula bertindak agresif, Amerika telah kehilangan tapak ketenteraan Bagram yang terletak di lokasi strategik di antara kedua-dua negara tetapi kini menjadi milik China. Kesemua perkara yang terjadi ini boleh menggalakkan semangat China untuk bertindak lebih agresif.
“Secara amnya, kita telah memberikan musuh kawalan ke atas seluruh Asia Tengah dan membuatkan mereka lebih berani untuk menawan Pasifik. Ini adalah satu kekalahan buat Amerika. Saya tidak nampak kesan positif daripada perkara ini. Penarikan diri ini turut menyebabkan Amerika memberikan teknologi tinggi kepada musuh Amerika”.
Loudon turut menegaskan orang ramai agar melibatkan diri di dalam bidang politik dan memastikan pilihan raya seterusnya dalam memberikan manfaat kepada negara. Beliau yakin seandainya Amerika gagal, negara-negara bebas lain turut akan kecundang bersama.