Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Ketua Pengarah Kesihatan baru-baru ini telah mengeluarkan satu kenyataan mengenai keselamatan dan keberkesanan penggunaan semburan ‘nano mist’.
Ini memandangkan semburan nano mist tersebut sering digunakan sebagai alat disinfeksi untuk mengekang virus COVID-19.
Menurut KKM, keberkesanan penggunaannya untuk tujuan disinfeksi adalah bergantung kepada keupayaannya menghasilkan semburan yang sekata.
Selain itu, faktor jenis dan kepekatan larutan disinfeksi yang digunakan serta tempoh masa pendedahan juga perlu diambil kira.
Beberapa larutan disinfeksi sedia ada yang mengandungi 70% hingga 90% hydrogen peroxide, thymol, quarternary ammonia serta larutan berasaskan klorin berkesan untuk membunuh virus terbabit di permukaan.
Larutan ini bertujuan untuk menyahkuman di permukaan persekitaran dan tidak sesuai digunakan secara langsung ke atas manusia.
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA/Facebook
Ini kerana sesetengah larutan boleh menyebabkan iritasi pada mata, kulit, saluran pernafasan dan sistem pencernaan.
KKM dalam pada itu turut menegaskan bahawa semburan disinfeksi secara nano mist ini juga tidak menggantikan keperluan disinfeksi permukaan secara manual.