Kita semua tahu kerajaan masih lagi mengekalkan SOP yang ketat demi mengelakkan jangkitan wabak. Antara larangan yang dikenakan adalah larangan merentas negeri. Sepanjang tempoh dua tahun ini, ramai yang mula gusar kerana sudah lama tidak pulang ke kampung halaman atau melancong ke luar negara.
Baru-baru ini, sebuah keluarga menjadi bualan hangat di media sosial apabila mereka memaparkan campervan atau motorhome yang dibeli pada harga RM400,000. Menurut perkongsian daripada Alya Dalila Ahmad, 23 tahun, kesemua ahli keluarganya sangat gemar melancong dan menikmati keindahan alam semula jadi. Justeru, memiliki sebuah motorhome adalah satu pembelian yang amat berbaloi tatkala pandemik ini.
“Kami sekeluarga sebenarnya memang suka melancong dan melakukan aktiviti luar. Memandangkan sekarang pergerakan terhad dan kurang selamat untuk menginap di hotel, maka bercuti dengan motorhome adalah satu pilihan yang tepat”.
Menurut Alya lagi, proses untuk membeli motorhome ini juga mengambil masa yang lama iaitu sekitar 9 bulan memandangkan bapanya menempah dari United Kingdom. Jika dibeli di Malaysia, harganya boleh mencecah sehingga RM600,000!
“Motorhome ini ayah beli dari United Kingdom memandangkan harganya jauh berbeza jika dibeli di Malaysia. Bermula dari Januari sehingga selesai segala prosedur JPJ dan Puspakom, akhirnya motorhome ini menjadi milik ayah pada awal September lalu”.
Alya turut menjelaskan bahawa memiliki motorhome merupakan impian bapanya yang mahu menjelajah bersama ibunya apabila mereka bersara tidak lama lagi. Alya juga sempat berkongsi di media sosial memaparkan keadaan dalam motorhome ini yang dilengkapi dengan kemudahan seperti dapur, katil, peti sejuk dan juga tandas.
“Ayah memang dah lama bercita-cita untuk melancong bersama ibu bila sudah bersara dari kerja offshore nanti. Impian untuk travel dengan motorhome di luar negara pun masih tak kesampaian disebabkan Covid-19. Jadi buat masa sekarang, ayah bawa kami jalan-jalan menikmati keindahan alam di Terengganu dahulu”.