29.4 C
Kuala Lumpur
Tuesday, September 9, 2025
Utama Blog Laman 269

6 sebab berbahaya mengapa bayi bawah usia 6 bulan sebenarya tidak boleh diberikan minum air kosong

0

Air kosong sememangnya baik untuk kesihatan. Jika dibandingkan antara air kosong dan air bergula pastinya air kosong lebih baik. Jika ditanya kepada pakar kesihatan mereka pasti bersetuju. Air kosong bukan sahaja boleh membuatkan kita sentiasa hidrasi, bahkan boleh membantu mengurangkan berat badan.

Namun begitu, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa air kosong sebenarnya tidak boleh diberikan kepada bayi berusia kurang daripada 6 bulan. Air kosong memang baik untuk kita yang dewasa tetapi sangat bahaya untuk bayi.

Berikut adalah 6 bahaya air kosong jika diberikan kepada bayi:

  1. Menyingkirkan lapisan perlindungan yang telah dibina oleh susu ibu pada usus bayi dan menyebabkan bayi terdedah kepada pelbagai jangkitan dan alergi.
  2. Water intoxication atau berlebihan air menyebabkan bayi kenyang air dan tidak mahu menyusu.
  3. Mengganggu penyusuan di mana bayi kurang menyusu, lalu menyebabkan penghasilan susu ibu terjejas.
  4. Berisiko menghadapi masalah kekurangan zat kekurangan makanan.
  5. Membebankan ginjal bayi yang belum matang untuk memprosesnya.
  6. Mengganggu fungsi tubuh bayi sehingga boleh menyebabkan kematian.

Tidak hanya itu, kajian turut menemui beberapa sebab lain mengapa air kosong tidak boleh diberikan kepada bayi.

  1. MENYEBABKAN CIRIT-BIRIT
    Air masak atau air kosong kemungkinan diperolehi daripada sumber yang tidak bersih. Pencemaran yang terdapat pada air mungkin dapat bertahan dalam badan orang dewasa, tetapi amat merbahaya kepada bayi, terutamanya bayi yang baru lahir.
  1. MENYEBABKAN BAYI KURANG MENYUSU
    Boleh menjejaskan selera bayi untuk menyusu akibat perut yang sudah penuh. Bayi juga akan kerap tertidur dan menyebabkannya terlepas waktu penyusuan. Hal ini menjadi punca bayi kekurangan zat akibat kurang menyusu. Tumbesaran bayi boleh terjejas sehingga terjadinya kurang berat badan, malnutrisi atau bantut.
  1. SUSU IBU TERJEJAS
    Penghasilan susu badan adalah bergantung kepada permintaan bayi. Biasanya, ia mempunyai kekerapan yang tertentu dan spesifik kepada keperluan bayi tersebut. Apabila bayi minum air kosong dan kurang menyusu, penghasilan susu ibu juga akan turut terjejas. Jika keadaan ini berterusan, susu ibu akan kering dan bayi terpaksa bertukar kepada susu formula.
  1. SUSU IBU SUDAHPUN MENGANDUNGI 80% AIR
    Susu ibu mengandungi kuantiti air yang diperlukan oleh bayi. Bagi bayi yang meminum susu formula pula, anda boleh memberi sedikit air kosong (sekadar perlu) kepada bayi kerana bayi yang meminum susu formula lebih mudah terhidrat. Ibu bapa perlu memastikan bancuhan susu tepung dan air masak anda adalah mengikut sukatan yang sebenar.
  1. BAHAYA ‘ORAL WATER INTOXICATION’
    Dalam sebuah artikel Reuters, kajian mengesahkan bayi minum air kosong terdedah kepada keadaan yang disebut ‘oral water intoxicaton’ iaitu penyakit di mana badan mengalami kekurangan garam disebabkan bayi minum terlalu banyak air kosong. Kehadiran terlalu banyak air akan mencairkan darah dan dalam masa yang sama juga akan mengurangkan paras garam ke paras yang kritikal. Dalam kes-kes teruk, bayi boleh mengalami sawan, koma, kecederaan otak dan jika tidak dikesan awal akan menyebabkan kematian.

Walau bagaimanapun, air kosong boleh diberikan kepada bayi berusia lebih daripada 6 bulan tetapi dalam kuantiti yang terkawal. Bayi juga boleh diberikan sedikit air untuk membersihkan kesan susu yang ada pada lidah mereka.

Mahu kek tarik duit, penyudahnya jadi kek ‘auto terbang’ buat netizen gelak besar

0

Kebelakangan ini, kek dengan wang kertas yang ditarik daripada bahagian dalam kek kian mendapat tempat di hati pengguna.

Selain memberikan kelainan, ia turut menambah elemen kejutan buat insan tersayang. Barulah kejutan hari jadi bukan?

Namun hakikatnya, ramai juga yang mengalami pengalaman lucu berhadapan dengan situasi apabila wang kertas itu ditarik keluar daripada kek.

Kebanyakannya wang kertas yang ditarik akan terbang sekali ke udara bersama dengan belon bergas helium. Mampu tengok sahajalah duit kita terbang.

Namun lain pula ‘kejutan’ yang berlaku pada sekeluarga ini apabila wang yang sepatutnya dapat ditarik keluar, tidak mahu keluar pula!

Malah apabila ditarik, wang sekali dengan kek terangkat sama. Situasi itu membuatkan keluarga berkenaan tergelak.

Sungguhpun dibantu oleh anak-anak, wang itu masih gagal untuk ditarik keluar. “Akibat nak kek tarik duit, kek keras kejung. Happy birthday, aki. Surprise tak jadi”, tulis anaknya.

Tambah individu yang berkongsi kisah ini, penjual kek itu kemudian mahu memberi ganti rugi terhadap kejadian berkenaan.

Namun ianya ditolak memandangkan kejadian itu berlaku secara tidak sengaja. “Seller pun tak nak jadi macam itu. Nanti dia improve skill”.

Mujurlah kek itu masih boleh dimakan. Lucu betul!

KJ : Gaya hidup sihat jadi kunci utama peralihan ke fasa endemik menjelang akhir Oktober

0

Awal bulan September, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin ada mengumumkan bahawa negara akan berubah daripada fasa fasa pandemik ke endemik pada akhir Oktober kelak.

Ringkasnya endemik merujuk kepada penyakit atau wabak yang sentiasa wujud di sesuatu kawasan atau daerah dalam keadaan yang stabil dan berkadar rendah.

“Kita harus menerima hakikat bahawa sekalipun kita berjaya mengawal pandemik ini, kita juga perlu bersedia untuk menerima kenyataan bahawa akan tiba masanya nanti COVID-19 menjadi endemik”.

Tambah beliau, kita semua perlulah mengambil langkah-langkah tertentu bagi membolehkan kita hidup bersama dengan virus ini.

Oleh itu, solusi kepada persediaan yang perlu dibuat oleh orang awam untuk beralih ke fasa endemik menurutnya adalah dengan hidup secara sihat.

Ujarnya, setiap daripada kita perlu makan secara sihat, bersenam dan kerap melakukan pemeriksaan kesihatan.

Ini kerana, banyak kes kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) di hospital dan kes kematian direkodkan oleh mereka yang mempunyai komorbiditi.

Ini termasuklah diabetes, darah tinggi, penyakit kardio-serebrovaskular dan lain-lain lagi.

Berdasarkan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Nasional 2019 oleh Kementerian Kesihatan (KKM), terdapat kira-kira 3.9 juta (1 dari 5) orang dewasa Malaysia yang menghidap diabetes.

Sementara 6.4 juta (3 dari 10) rakyat Malaysia menderita darah tinggi. 8 juta orang dewasa (4 dari 10) di Malaysia pula telah mengalami peningkatan kadar kolesterol.

Oleh kerana statistik yang membimbangkan ini, Khairy mengatakan bahawa barisan pertahanan pertama setiap orang (selain mendapat vaksin) adalah untuk kekal sihat.

Diserang dalam gelap oleh beruang, lelaki 75 tahun terselamat. Sempat tanya “siapa kamu?” pada beruang..

0

Terserempak dengan haiwan liar pastinya memberikan kita satu pengalaman yang mendebarkan bukan?

Itulah yang terjadi pada seorang lelaki warga emas berusia 75 tahun di Akita, Jepun ini apabila dia telah diserang oleh beruang.

Disebabkan kejadian itu berlaku pada awal pagi dan keadaan masih gelap, lelaki itu hanya mampu mempertahankan dirinya dan langsung tidak tahu makhluk apa yang menyerangnya.

Malahan dia sempat bertanya “Siapa kamu?” pada beruang terbabit dan semestinya pertanyaannya itu tidak berjawab.

Menurut media tempatan, insiden berkenaan terjadi pada jam 3 pagi, 17 September lalu apabila lelaki tersebut sedang bertugas mengedarkan surat khabar.

Sejurus sahaja keluar daripada kereta dan ingin meletakkan surat khabar di pintu penduduk, secara tiba-tiba dia diserang dan ditolak jatuh ke tanah.

Dia hanya mampu menggunakan kudratnya untuk mempertahankan diri di dalam kegelapan. Oleh kerana bingung, dia sempat juga bertanya siapakah yang menyerangnya itu.

Wartawan menunjukkan lokasi kejadian

Sungguhpun begitu, lelaki berkenaan dapat juga memukul beruang itu sehingga ia akhirnya pergi meninggalkan kecederaan pada bahu dan bahagian belakang lelaki terbabit.

Kecederaan itu walau bagaimanapun tidak begitu serius dan dia juga berupaya untuk pulang sendiri ke rumah dan menghubungi pihak polis.

Jelas lelaki itu, dia langsung tidak tahu bahawa dia diserang oleh seekor beruang memandangkan dia memakai sarung tangan, makanya dia tidak dapat merasakan bulu beruang terbabit.

Dia juga beranggapan bahawa serangan itu adalah daripada manusia memandangkan tinggi beruang itu lebih kurang tingginya iaitu 160 sentimeter.

Tambahnya, jika dia tahu bahawa beruang yang menyerangnya, dia tidak berani dan takut untuk membalas kembali serangan.

Difahamkan bahawa pada pagi yang sama, seorang wanita berusia 84 tahun yang berada 250 meter daripada situ pula menjadi mangsa serangan beruang.

Pada ketika itu, mangsa keluar untuk berjalan. Serangan itu telah membawa kepada kecederaan pada lengannya.

Pihak berkuasa percaya bahawa kedua-dua serangan itu melibatkan beruang yang sama dan meminta penduduk untuk berwaspada serta melaporkan jika beruang itu dilihat.

Wanita kongsi tips memudahkan anak-anak tidur sebelum jam 10 malam. Wajib tahu!

0

Memikul tanggungjawab sebagai bu bapa bukanlah satu perkara yang mudah. Tanpa didikan dan penjagaan yang baik, masa depan anak-anak mungkin akan menjadi taruhan yang berisiko. Justeru, setiap ibu bapa pasti akan memberikan yang terbaik untuk anak mereka.

Bagi mengekalkan momentum dan tenaga untuk menjaga anak, tidur yang mencukupi sangat penting. Namun kadangkala, anak kecil sukar untuk tidur malam dan ini pastinya akan menjejaskan produktiviti anda sebagai ibu bapa dan juga individu yang perlu bekerja.

Tetapi pernahkah anda mendengar tentang teknik grounding atau earthing? Menerusi satu perkongsian di Tik Tok oleh @hazirah.zaini, para ibu bapa digalakkan untuk mengamalkan teknik ini bagi memastikan anak-anak tidur awal sebelum jam 10 malam.

Teknik ini memerlukan anak-anak untuk membiasakan diri memijak tanah, rumput, pasir dan sebagainya dengan berkaki ayam. Sebagai contoh, sekiranya anda membawa anak anda bermain di taman permainan ataupun mandi di sungai, biarkan anak-anak berkaki ayam ketika memijak tanah (alam).

Teknik ini sesuai dilakukan selama 30 minit setiap hari dan dipercayai berupaya untuk merendahkan hormon stres di dalam badan (cortisol). Sekiranya paras hormon ini rendah, anak-anak akan lebih mudah tidur di waktu malam.

Satu lagi tips yang menarik di dalam teknik ini adalah dengan membawa anak keluar sebelum jam 9 pagi. Dikatakan cahaya matahari pada waktu awal pagi boleh menghasilkan melatonin iaitu hormon tidur.

Teknik ini bukan hanya sesuai digunapakai oleh kanak-kanak tetapi semua peringkat umur. Malah, ia juga membantu untuk merawat penyakit ekzema serta merangsang deria sentuhan kaki kanak-kanak.

Lebih 10,000 individu muflis dan 1,200 syarikat gulung tikar sejak PKP dilaksanakan

0

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan seramai 10,317 individu telah diisytihar muflis sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bermula Mac tahun lalu hingga Julai 2021.

Jumlah kes kebankrapan dilaporkan sejak Mac 2020. Sumber: Astro Awani

Berdasarkan sumber data Jabatan Insolvensi Malaysia (Mdl), jumlah individu yang diisytiharkan muflis mencatatkan seramai 2,555 orang di Selangor; 1,288 orang di Wilayah Persekutuan dan 792 orang di Johor. Sementara itu, jumlah syarikat yang gulung tikar dan terpaksa menghentikan operasi susulan pandemik ini adalah sebanyak 1,246 kes.

“Mdl tidak mempunyai rekod mengenai jumlah pekerja yang diberhentikan sepanjang tempoh PKP memandangkan Mdl hanya bertindak untuk mengendalikan pentadbiran kes kebankrapan individu dan pentadbiran kes syarikat yang telah mendapat perintah penggulungan daripada mahkamah”.

Jelas Ismail Sabri lagi, bagi golongan peniaga, kerajaan mengambil pendekatan untuk memberikan bantuan dan insentif wajar bagi membolehkan golongan ini meneruskan kelangsungan perniagaan masing-masing. Oleh itu, buat peniaga yang ingin menamatkan perniagaan, tiada bantuan akan disediakan oleh pihak kerajaan.

Jumlah kes penggulungan syarikat (terpaksa) sejak Mac 2020. Sumber : Astro Awani

“Sehubungan itu, pelbagai program dan inisiatif dilaksanakan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi dan bantuan kewangan yang telah diumumkan dengan fokus untuk menyokong perniagaan mereka dan melindungi rakyat”.

Antara inisiatif dan program yang dilaksanakan adalah seperti :

  1. Geran Khas Prihatin
  2. Program Subsidi Upah
  3. Pengecualian Levi HRDF
  4. Moratorium pembayaran balik pinjaman
  5. Skim kredit mikro
  6. Elaun mencari pekerjaan
  7. Bantuan kehilangan pendapatan
  8. Kemudahan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
  9. Bantuan khas Covid-19

Kebenaran rentas negeri dijangka pada awal atau selewat-lewatnya pertengahan Oktober

0

Minggu lalu, Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa kebenaran merentas negeri akan diberikan setelah 90% populasi dewasa negara lengkap divaksin.

Keputusan itu dijangka akan diputuskan pada awal atau selewat-lewatnya pada pertengahan Oktober kelak.

Setakat 28 September, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) mendedahkan bahawa sejumlah 85.1% populasi dewasa sudah menerima dua dos vaksin.

Melihat kepada perkembangan peratusan itu, sasaran 90% akan dapat dicapai dalam masa terdekat dan ini bermakna tidak lama lagi kita semua akan dapat merentas negeri.

Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) turut mendengar taklimat daripada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengenai kebenaran merentas negeri.

“Berdasarkan data, kadar vaksinasi sudah meningkat hampir ke 90%. Kemungkinan rentas negeri dibenar dalam Oktober”, ujar Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tambah beliau, ia bergantung kepada perkembangan program imunisasi vaksin.

Selain itu, isu yang turut dibincangkan adalah pembukaan pintu sempadan negara kepada pelancong asing dan ia juga akan diputuskan dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, orang ramai juga diingatkan beliau agar untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) terutamanya jika merentas negeri dibenarkan.

“Jadi bolehlah pergi merayau ke mana-mana di Malaysia ini, tetapi sentiasa ingat untuk mematuhi SOP”, akhirinya.

Tular video kejadian kepala air di Filipina ragut nyawa pengunjung. Sekelip mata saja air jadi deras dan keruh..

0

Sejurus sahaja kebenaran merentas daerah diberikan, orang ramai dilihat berduyun-duyun mengunjungi kawasan sungai untuk berekreasi bersama keluarga.

Namun kerap kali kita mendengar berita mengenai kejadian tidak diingini misalnya lemas melibatkan individu yang mandi manda terutamanya di kawasan air terjun.

Baru-baru ini, tular satu video menunjukkan kejadian kepala air yang berlaku di kawasan air terjun, dipercayai terjadi di Filipina.

Difahamkan bahawa ia telah meragut 2 nyawa pengunjung serta menyebabkan seorang daripada mereka dihanyutkan dan hilang.

Pada awal video, kita dapat lihat beberapa individu sedang mandi-manda tatkala arus air sungai mula berubah.

Dengan sekelip mata, aliran sungai bertukar menjadi begitu deras namun kelihatan beberapa orang sempat menyelamatkan diri dengan naik ke daratan.

Akan tetapi terdapat juga individu yang dihanyutkan arus sungai. Turut kelihatan lelaki berbaju putih tidak sempat bergerak ke kawasan yang lebih selamat.

Individu terbabit dilihat terpaksa berpaut pada batu sewaktu arus deras sungai berlaku. Menurut sumber, pada mulanya hujan renyai-renyai turun di kawasan itu.

Tragedy ngeri itu telah mengorbankan seorang pemuda berusia 17 tahun dan juga 7 tahun. Manakala seorang lagi iaitu ibu mereka dilaporkan hilang setelah dihanyutkan.

Jadi, sentiasalah beringat dan peka terhadap perubahan sekeliling jika anda pergi ke kawasan sungai dan air terjun.

Kehidupan gelandangan ini berubah selepas videonya bermain piano tular di YouTube

0

Siapa sangka dia yang dahulunya hidup di jalanan kini menjadi artis terkenal yang telah menghasilkan albumnya sendiri. Semuanya berubah apabila videonya bermain piano telah dimuat naik oleh seorang lelaki dan kemudiannya tular di YouTube.

Donald Gould merupakan bekas tentera marin sebelum dia menjadi gelandangan. Semuanya bermula selepas dia kematian isterinya pada tahun 1998.

Dia kemudiannya terjebak dengan penyalahgunaan dadah sehingga menyebabkan anak lelakinya diambil oleh perkhidmatan sosial. Gould sangat menyayangi anaknya dan sentiasa ingat akannya. Dia selalu berharap agar suatu hari nanti anaknya akan menemuinya semula. Tidak lama selepas itu dia kehilangan tempat tinggal dan mula menjadi gelandangan.

Nasibnya mula berubah pada 2015 apabila dia dilihat bermain piano sekitar Sarasota, Florida. Ketika itu dia memainkan lagu ‘Come Sail Away’ yang dipopularkan oleh kumpulan rock Amerika Syarikat, STYX.

Persembahannya dirakam dan kemudian video tersebut dimuat naik ke YouTube dan menjadi tular dengan menerima jutaan tontonan hanya selepas sehari dumuat naik.

Beberapa bulan selepas video itu tular, Gould diberi peluang untuk melakukan perubahan oleh sebuah rancangan TV, Inside Edition dan mengumpulkan lebih dari $ 40,000 daripada program GoFundMe. Dia kemudian mula menjalani pemulihan.

Semasa dalam pemulihan, dia diundang oleh Saners 49ers untuk bermain pada pertandingan pembukaan musim 2015 menentang Minnesota Vikings. Pada 14 September 2015, dia bermain piano bersama kumpulan The Star-Spangled Banner di Stadium Levi di hadapan 75,000 orang peminat.

Gould kemudian disatukan semula dengan anak lelakinya yang pernah dipisahkan daripada semasa anaknya berusia tiga tahun. Gould sangat bersyukur dan berterima atas kebaikan yang diterimanya dan berharap agar dapat berkongsi muziknya di seluruh dunia.

Tonton video di sini.

Pembantu rumah Indonesia diselamatkan setelah jadi mangsa penderaan dan buruh paksa selama 3 tahun

0

Seorang pembantu rumah wanita warganegara Indonesia, yang dipercayai menjadi mangsa penderaan dan buruh paksa oleh majikan akhirnya berjaya diselamatkan oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dalam operasi menyelamat di sebuah kediaman di Ayer Tawar, Perak pada 23 September.

Kementerian Sumber Manusia melaporkan selain melemparkan pelbagai bentuk penganiayaan, majikan kepada wanita Indonesia itu juga dilaporkan berhutang tiga tahun gaji berjumlah kira-kira RM25,000 antara tahun 2018 dan 2021.

Kementerian Sumber Manusia dalam kenyataannya berkata, “Majikan / suspek juga mengeksploitasi mangsa dengan ugutan bahawa dia bukan pekerja sah yang didokumentasikan dan sering kali dimarahi sekiranya dia meminta untuk kembali ke negara asal.”

Facebook

Mereka menjelaskan usaha menyelamat wanita itu adalah sebahagian daripada operasi bersepadu oleh pasukan petugas Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Perak, Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) dan pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjong berikutan aduan dan maklumat dari Kedutaan Besar Indonesia di Kuala Lumpur pada 20 September.

“Mangsa didera secara fizikal, iaitu disepak pada bahagian muka apabila dia meminta baki gajinya yang tertunggak,” menurut kenyataan itu.

Wanita itu dilaporkan memasuki Malaysia secara sah dengan permit kerja sebagai pembantu rumah pada Jun 2003 melalui ejen yang dikenalinya. Selepas mendapat pekerjaan, gaji mangsa berjumlah RM350 sebulan telah ditolak selama empat bulan sebagai kos bayaran kepada ejen berkenaan.

Gambar Hiasan / Pixabay

Mangsa tidak mempunyai pengetahuan mengenai perkara ini kerana dia menyerahkan semuanya kepada ejen dan tiada kontrak bertulis dibuat mengenai proses pekerjaan, termasuk bayaran kepada ejen.

Siasatan awal menunjukkan permit kerja sah wanita itu berakhir pada bulan Jun 2020. Oleh itu, dia diklasifikasikan sebagai buruh paksa dengan wujudnya beberapa indikator yang digunakan bagi mengenal pasti bahawa seseorang pekerja itu bekerja tanpa dibayar gaji, dinafikan kembali ke negara asalnya, dan dia mengalami penganiayaan.

Indikator kukuh menunjukkan majikan telah melakukan kesalahan ini di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, menurut Kementerian Sumber Manusia.

Kementerian menambah mangsa yang masih trauma kini ditempatkan di Rumah Perlindungan Zon Tengah di Damansara selepas diberikan Perintah Perlindungan Interim (IPO) oleh Mahkamah Majistret Sri Manjung pada hari yang sama dia diselamatkan.

Facebook

IPO selama 21 hari sehingga 13 Oktober bertujuan melengkapkan kertas siasatan menurut Akta ATIPSOM 2007 yang dikendalikan oleh JTK, dan kertas siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi semakan dan membuat keputusan.

“Operasi ini jelas menunjukkan negara tidak pernah berkompromi dalam masalah buruh paksa tanpa mengira kewarganegaraan pekerja yang terlibat,” jelas Kementerian Sumber Manusia.

Walaupun tiada tangkapan yang dilaporkan oleh kementerian, diharap pelakunya akan dibawa ke muka pengadilan dalam masa terdekat.