Ramai antara kita yang percaya bahawa masih ramai orang yang baik di luar sana. Walaupun saban hari kita mendengar banyak cerita yang kurang enak tetapi percayalah bahawa di sekeliling kita sebenarnya masih ramai yang memiliki hati yang baik dan mulia.
Contohnya seperti yang ditunjukkan oleh seorang penghantar makanan GrabFood ini. Dia dilihat memberhentikan motosikalnya berhampiran dengan lampu isyarat semata-mata untuk membantu seorang lelaki kehilangan penglihatan melintas jalan.
Tanpa menunggu lama pemuda tersebut memberhentikan motosikalnya dan terus membantu lelaki OKU berkenaan sehingga tiba di seberang jalan. Keadaan jalan raya ketika itu yang agak sibuk mungkin telah menyukarkan lelaki OKU tersebut melintas jalan tetapi mujur ada yang membantunya.
Apa yang dilakukan oleh pemuda GrabFood itu adalah sesuatu yang mulia dan perlu dijadikan contoh oleh semua orang. Hulurkan bantuan kepada sesiapa sahaja yang memerlukannya tanpa mengira latar belakang individu tersebut. Ayuh, sebarkan kebaikan!
KUALA LUMPUR: Pihak polis mengesahkan bahawa mereka sedang mengesan individu di dalam sebuah video tular berdurasi 29 saat yang memaparkan seorang lelaki mahu mencederakan orang awam di sebuah pusat beli-belah.
Klip video berkenaan menunjukkan seorang lelaki sedang mengacah untuk memukul beberapa orang awam yang sedang menaiki eskalator.
Ketua Polis Daerah Brickfield, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, pihaknya mengesan video berkenaan menerusi sebuah akaun halaman di Facebook sekitar jam 6.30 petang pada Jumaat lalu.
“Tarikh dan masa kejadian sebenar video ini dirakamkan tidak dapat dipastikan buat masa ini,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Sehubungan itu, beliau memohon saksi atau individu terlibat untuk tampil membantu siasatan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian tersebut.
“Sebarang pelanggaran yang menyalahi peruntukan undang-undang boleh dikenakan tindakan. Sebarang maklumat boleh disalurkan menerus hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222,” tambahnya lagi.
TAWAU: Seorang ibu tunggal kepada sembilan orang anak dijatuhi hukuman mati mandatori di Mahkamah Tinggi Tawau pada Jumaat lalu selepas didapati bersalah memiliki dan mengedar dadah jenis syabu tiga tahun lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi, Alwi Abdul Wahab, menjatuhkan hukuman itu terhadap Hairun Jalmani, 55, selepas mendapati pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie manakala pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.
Tertuduh yang juga penjual ikan didakwa memiliki syabu seberat 113.9 gram di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Pangkalan Wakuba, Batu 15, Jalan Apas, Tawau pada jam 5.30 petang, 10 Januari 2018.
Sehubungan itu dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.
Dia yang dijatuhi hukuman mati mandatori itu dilihat berada dalam keadaan longlai serta sebak dan meraung selepas keputusan tersebut diumumkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi.
LOS ANGELES- Pewaris harta tanah Amerika Syarikat, Robert Durst, telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup kerana membunuh sahabat baiknya.
Durst didapati bersalah membunuh Susan Berman pada tahun 2000 untuk menghentikannya daripada terus bercakap dengan polis mengenai kehilangan isterinya.
Berman yang ketika itu berusia 55 tahun, ditemui ditembak di kepala di rumahnya di Beverly Hills. Selain itu, polis juga percaya bahawa Durst turut membunuh dua yang lain.
Pendakwa memanggil Durst, 78 – yang muncul di mahkamah Los Angeles sebagai “psikopat narsis”. Durst walau bagaimanapun menafikan yang dia telah membunuh rakannya.
Hukumannya untuk pembunuhan peringkat pertama (first-degree murder) tidak membolehkan dia mendapat pembebasan bersyarat. Hal ini bermaksud dia berkemungkinan besar akan meninggal dunia di penjara.
Peguam Durst memberitahu hakim pada hari Khamis lalu bahawa dia berhasrat untuk mengemukakan rayuan atas sabitannya. Durst sendiri bercakap dengan hakim hanya sekali untuk mengatakan “ya” ketika ditanya apakah dia mengetepikan haknya untuk hadir pada perbicaraan yang akan datang.
Susan Berman adalah seorang penulis jenayah dan merupakan anak kepada seorang gengster di Las Vegas, dan telah berperanan sebagai jurucakap Durst ketika dia menjadi suspek atas kehilangan isterinya.
Sareb Kaufman, yang menganggap Berman sebagai ibunya ketika dia bercinta dengan ayahnya, berkata selama 21 tahun dia tidak pernah berasa sedih, hancur atau keperitan seperti yang berlaku sekarang.
Isteri Durst, Kathleen McCormack, seorang pelajar perubatan telah dilaporkan hilang pada tahun 1982 dan dianggap telah meninggal dunia.
“Satu-satunya cara untuk bertaubat yang anda miliki adalah dengan membantu mencari Kathy,” tambah Kaufman yang meminta Durst untuk mendedahkan lokasi di mana letaknya mayat McCormack.
Menurut media AS, pendakwa raya New York kini sedang mempertimbangkan untuk menambah tuduhan baru ke atas Durst atas kes isterinya.
Pendakwa telah berpendapat bahawa Durst sebenarnya membunuh tiga orang – yang ketiga adalah jirannya, Morris Black, yang menemui identiti Durst pada tahun 2001 ketika dia bersembunyi di Texas dengan berpura-pura menjadi wanita bisu.
Durst dibebaskan dari pembunuhan Black selepas berjaya meyakinkan mahkamah bahawa dia membunuh jirannya itu dengan alasan membela diri sebelum memotong mayat mangsa.
Durst adalah anggota terasing dari salah satu dinasti harta tanah terkaya dan paling berkuasa di New York. Saudaranya Douglas Durst, yang memberi keterangan pada perbicaraan itu, memberitahu mahkamah: “Dia ingin membunuh saya.”
Kisah Durst telah didokumentarikan dalam siri ‘The Jinx: The Life and Deaths of Robert Durst’ dan pada akhir siri itu Durst terdengar bergumam pada dirinya sendiri dengan mengatakan, “apa yang saya lakukan? Sudah tentu saya telah membunuh mereka semua.”
Beberapa jam sebelum episod terakhir disiarkan pada Mac 2015, pihak berkuasa menahan Durst di New Orleans atas pembunuhan Berman.
Mungkin ramai yang pernah mendengar tentang tarian Awa Odori yang merupakan tarian tradisional Jepun. Tarian ini biasanya dipersembahkan sebagai sebahagian daripada perarakan dalam Festival Tarian Awa (Awa Dance Festival) yang merupakan festival tarian terbesar di negara itu.
Salam persembahan ini semua penari akan memakai pakaian khas dan menari di jalanan dengan disertai oleh sekumpulan pemuzik yang memainkan alat muzik tradisional.
Apa yang menariknya kali ini, tarian tersebut diceriakan dengan kehadiran seorang ‘penari’ cilik. Gelagat comel si kecil berbaju hijau itu telah menarik perhatian orang ramai di situ dengan tariannya. Dia dengan selamba telah menari di tengah-tengah orang ramai dengan gayanya tersendiri sambil diiring dengan muzik.
Kalau kanak-kanak lain mungkin malu atau takut berada di dalam kelompok yang ramai tetapi si kecil ini nampaknya tidak peduli dengan orang ramai di situ. Apa yang dia mahukan ialah menari dan terus menari. Dengan muzik rancak yang dimainkan membuatkan dia semakin bersemangat untuk menunjukkan bakatnya!
Pada akhir persembahannya dia menerima tepukan gemuruh daripada penonton di situ. Jelas sekali semua yang ada di situ terhibur dengan gaya selamba dan comel yang ditunjukkannya!
PADANG BESAR: Fosil tulang dan tengkorak manusia berusia sekitar 5,000 tahun hingga 10,000 tahun ditemui di Bukit Keteri, di Perlis.
Selain tengkorak manusia, hasil eksplorasi Jabatan Warisan, Kerajaan Negeri Perlis dan Persatuan Pendaki Negeri Perlis turut menemui lukisan dinding gua zaman proto sejarah di Gua Semadong.
Penemuan itu membuktikan Perlis pernah menjadi kawasan penempatan masyarakat prasejarah dan proto sejarah yang berusia ribuan tahun dahulu.
Pesuruhjaya Jabatan Warisan Negara (JWN), Mohd Azmi Mohd Yusof, berkata penemuan itu adalah penemuan sejarah yang terbaharu, selain penemuan bahan sejarah lain seperti candi Lembah Bujang di Kedah serta di Kelantan.
“Ini adalah penemuan terbaharu dari negeri Perlis dan satu penemuan yang amat baik bagi kita untuk merangka kronologi sejarah.
“Daripada lukisan ini, kita dapat lihat lukisan berbentuk binatang seperti lembu, gajah, ular, mawas serta manusia. Kita percaya ia mempunyai pengaruh Hindu-Buddha yang dianggarkan sekitar abad kelima hingga ke-10 Masihi.”
Katanya kagi, berdasarkan kajian lalu yang dibuat di sekitar gua di Perlis, kawasan gua di Bukit Chuping, Bukit Tunku Lembu. Bukit Ngulang, Bukit Kerengga dan Bukit Changkul pernah digunakan sebagai tapak penempatan dan pengkebumian masyarakat paleolitik dan neolitik. Semua itu dibuktikan dengan penemuan artifak pelbagai jenis alat batu dan tembikar tanah.
“Kita percaya kawasan ini bukan sahaja didiami oleh masyarakat prasejarah, malah pernah dihuni oleh masyarakat zaman proto sejarah berdasarkan artifak seperti kalam semah (votive tablet) yang turut ditemui di kawasan itu,” katanya kepada pemberita selepas melakukan eksplorasi arkeologi di Bukit Keteri dan Gua Semadong.
Mohd Azmi berkata, penemuan itu amat penting dalam merangka kronologi sejarah.
“Kita berharap semua masyarakat, sama-sama menjaga warisan ini supaya kita dapat membuat kajian lanjut.
“Apa yang penting sekarang, adalah untuk mewartakan tapak penemuan ini sebagai lokasi sejarah supaya ia tidak diceroboh atau dimusnahkan oleh orang tidak bertanggungjawab,” tambahnya lagi.
Sudah menjadi kebiasaan untuk kita menggunakan bahan pencuci kimia bagi tujuan pembersihan terutama pada kotoran degil seperti di bilik air. Namun begitu, bahan pencuci atau bahan peluntur biasanya mempunyai kandungan kimia yang agak berbahaya terutama kepada kulit.
Baru-baru ini seorang netizen di Twitter, @areuizany berkongsi pengalamannya dikejarkan ke hospital atas kesalahannya mencampurkan dua jenis bahan pencuci kimia. Apa yang yang berlaku ialah wanita tersebut telah mencampurkan bahan peluntur Clorox dan sejenis bahan pencuci untuk mencuci tandas rumah yang baru didudukinya.
Biasanya dia hanya akan menggunakan pencuci biasa, namun pada hari kejadian dia mencampurkan dua jenis bahan pencuci dan menghidu campuran tersebut kerana menyangka ia adalah sabun. Dia kemudian mula terbatuk-batuk kerana baunya yang sangat kuat. Sekejap sahaja bau tersebut mula merebak satu rumah tetapi mujur suaminya pantas mengambil anak kecil mereka dan membawanya masuk ke dalam bilik.
Dia menceritakan bahawa dia cuba mendapatkan udara segar dengan berjalan di luar rumah, sementara suaminya berusaha menghilangkan bau yang masih ada di rumah.
Namun, setelah beberapa minit, dia masih tidak dapat bernafas, dan dadanya mulai sakit. Mereka kemudian terus bergegas ke hospital dan mujurlah tiada sesuatu yang serius menimpanya.
Sebaik sahaja sampai di rumah, dia melihat label amaran pada semua botol produk pembersih. Rupa-rupanya bahan pencuci ‘strain remover’ yang disangka sabun itu mengandungi asid dan tidak boleh dicampurkan dengan bahan peluntur atau bahan kimia yang lain.
Semoga apa yang berlaku kepada wanita ini akan menjadi pengajaran buat semua. Pastikan anda baca dahulu label amaran pada botol bahan pencuci kerana biasanya bahan pencuci mengandungi bahan kimia yang kuat.
Setelah Malaysia memasuki fasa endemik, lebih banyak aktiviti sosial dan sektor ekonomi akan dibuka semula serta digerakkan. Maka, pihak berkuasa tidak akan dapat mengawal pergerakan semua orang.
Dengan itu, adalah sangat disarankan kepada setiap individu untuk melakukan ujian pengesanan kendiri COVID-19 secara berkala demi melindungi mereka yang berada di persekitaran anda.
Oleh kerana kerajaan tidak dapat mengesan siapa yang telah diuji positif mahupun negatif, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa setiap individu yang berkenaan untuk melaporkan hasil ujian pengesanan COVID-19 mereka melalui aplikasi MySejahtera.
KKM dalam hantaran di Facebook, menasihati individu yang positif COVID-19 untuk mengasingkan diri di rumah dan menjalani kuarantin. Sekiranya rumah anda tidak sesuai untuk pengasingan, hubungi Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) terdekat untuk penilaian lebih lanjut.
Seterusnya, laporkan hasil ujian positif anda melalui aplikasi MySejahtera dengan memilih ikon ‘COVID-19 Self Test’ di sudut kanan atas dalam laman utama, dan memilih ‘Update Self Test Result’.
MySejahtera
Anda kemudian akan dibawa ke halaman lain di mana anda boleh mengisi maklumat peribadi dan menjawab soalan lebih lanjut mengenai ujian tersebut.
MySejahtera
Setelah selesai, Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) akan dikeluarkan secara digital di MySejahtera atau secara manual oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).
Selama 14 hari berikutnya, laporkan keadaan kesihatan anda menggunakan ‘Home Assessment Tool’ (HAT), dan sekiranya gejala bertambah buruk, hubungi CAC atau 999 (untuk keadaan kecemasan), atau segera ke hospital terdekat dengan kenderaan sendiri.
Kristal Amethyst merupakan permata berwarna ungu yang biasa dilombong secara besar-besaran di Brazil, Uruguay, Rusia, dan Zambia. Juga dikenali batu kelahiran bulan Februari dan permata ketenangan, kepentingan memiliki Amethyst dikatakan termasuk menghilangkan tekanan serta meningkatkan kesabaran dan ketenangan dalaman.
Sekumpulan pelombong dan pemburu batu kristal dari The Crystal Collector bersama rakan mereka Jake Tubbs telah menemui batu kristal Amethyst antara yang terbesar dalam koleksi mereka di satu lokasi berdekatan anak sungai di Carolina Selatan, Amerika Syarikat.
Perasaan yang mengujakan apabila mereka menemuinya, “Oh Tuhan, ini antara rekod yang terbesar!!!”
Dalam gumpalan lumpur, tanah dan batu yang digali di tepi sungai itu terdapat kristal berharga berwarna ungu Amethyst, dengan kilauan ungu cerah sehingga ke warna ungu lebih gelap.
Ketika kotoran lumpur dan tanah dibersihkan, kelihatan permukaan kristal Amethyst memantulkan cahayanya dengan kilauan warna ungu yang cantik dan mempesonakan.
Amethyst adalah yang paling berharga dalam kalangan kuarza dari segi kecantikannya. Pada asalnya, kecantikan ini dianggap unik dibandingkan dengan batu permata Sapphire, Berlian, Rubi, dan Zamrud yang belum digilap.
Nilai Amethyst masih tinggi pada titik harga yang lebih berpatutan, walaupun tidak semahal batu permata lain.
Berbanding beberapa batu permata lain, Amethyst merupakan batu perhiasan diri dan kediaman yang sangat popular. Walaupun kluster geode dan kristal kini lebih umum, penemuan Amethyst masih merupakan pemandangan indah yang menakjubkan.
Cara pengendalian kluster geode atau kristal ini dapat meningkatkan nilainya sekiranya kristal yang ditemui itu lebih besar. Sekiranya terdapat kristal yang terkelupas atau rosak di dalam kluster, ini akan menurunkan nilai Amethyst.
Menurut Moon Magic, harga standard sama ada dengan ukuran borong atau menurut gred A hingga D untuk kristal Amethyst ketika pembelian borong adalah dalam anggaran US$10 (RM41.56) sehingga US$100 (RM415.60) per kilogram.
Warna Amethyst memainkan peranan yang besar dalam penentuan harga. Daripada pelbagai warna ungu Amethyst, batu permata yang berwarna lebih gelap itu adalah lebih berharga. Bermakna semakin gelap warna ungu itu, semakin bernilai tinggi permata Amethyst.
Namun tidak semestinya hanya kerana warna ungu itu gelap, ia akan berharga. Pengecualian sekiranya warna ungu kelihatan gelap dalam cahaya yang rendah. Seseorang perlu bersedia membayar antara tiga hingga lima kali ganda untuk kristal Amethyst yang lebih gelap berbanding yang berwarna ungu cerah dan lebih ringan.
Di sini, Jake Tubbs@beawildthing bersama gandingan pasukan The Crystal Collector menemui kristal Amethyst berwarna gelap dan cerah dalam satu kluster geode yang terbesar untuk koleksi mereka, dan sudah pasti ia ada yang bernilai tinggi.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata bahawa ekonomi Malaysia akan dibuka sepenuhnya menjelang akhir tahun ini, sebelum kembali kepada kadar pertumbuhan pra-wabak pada tahun hadapan.
Kadar pertumbuhan Malaysia dijangkakan pada 5.8% dan 6.0% persen pada tahun 2022 oleh Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), tambah Tengku Zafrul.
“Prestasi ini akan disokong oleh normalisasi aktiviti ekonomi domestik secara beransur-ansur dan juga kesan positif daripada impak peningkatan permintaan luaran yang berterusan”.
Pemacu pertumbuhan tambahan akan merangkumi peningkatan kapasiti pengeluaran berkaitan komoditi, kitaran peningkatan teknologi global dan kemajuan projek infrastruktur besar yang lebih cepat dengan kesan pengganda yang tinggi.
“Sebagai ekonomi yang berorientasikan perdagangan, nasib kita terikat dengan prospek rakan dagang terpenting kita. Prestasi pertumbuhan baru-baru ini di Singapura, Amerika dan China pada separuh pertama tahun 2021 memberi pertanda baik untuk pemulihan ekonomi kita sendiri pada bulan-bulan mendatang”.
Namun menurutnya, tinjauan prospek pertumbuhan global IMF baru-baru ini untuk tahun 2021 mencerminkan cabaran ketidaksetaraan vaksin dan menormalkan kegiatan sosio-ekonomi, terutama di negara-negara yang sedang berkembang dan membangun.
“Munculnya tekanan inflasi, yang digabungkan dengan kekurangan segalanya – gas asli hingga cip mikro, menimbulkan cabaran untuk pemulihan global yang lancar. Walaupun menghadapi cabaran ini, saya yakin bahawa kita berada di puncak pemulihan, didorong oleh Pelan Pemulihan Negara (PPN), Belanjawan 2022 yang akan datang dan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang baru diumumkan”.
Tambah beliau, jalan menuju pemulihan bermula dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN), satu pendekatan komprehensif untuk memelihara nyawa dan membolehkan ekonomi dibuka dengan selamat.
Diperkenalkan pada bulan Jun, PPN mencerminkan pendekatan kerajaan dan seluruh negara dengan perkembangan terkini termasuk peruntukan perjalanan antara negeri dan luar negeri bagi mereka yang diberi vaksin sepenuhnya, selain usaha berterusan untuk mengurangkan prosedur operasi standard (SOP) kepada hanya 10.
“Perkembangan ini berdasarkan program vaksinasi yang mantap, dengan Malaysia ketika ini merupakan salah satu negara dengan kadar vaksinasi terpantas di dunia”. Sehingga 13 Oktober tahun ini, lebih daripada 21 juta orang atau lebih daripada 90% populasi dewasa di negara ini lengkap divaksinasi.
“InsyaAllah, kita berada di landasan yang betul untuk mencapai hampir 100% populasi dewasa lengkap divaksinasi pada akhir bulan ini. Kita juga telah mula memberi vaksin kepada remaja – lebih 74% mereka yang berumur 12 hingga 17 tahun menerima sekurang-kurangnya satu dos”.
Tengku Zafrul mengatakan evolusi PPN seterusnya akan mempersiapkan Malaysia untuk menjalani kehidupan normal seterusnya dengan COVID-19 sebagai endemik.
Kerajaan menurutnya juga akan memperkenalkan 8 pakej bantuan sebagai tambahan kepada Belanjawan 2021 sepanjang wabak tersebut.
“Secara keseluruhan, lebih RM340 juta telah disalurkan pada September 2021, menyelamatkan 2.7 juta pekerjaan sambil menguntungkan lebih 20 juta orang dan 2.4 juta perniagaan”.
Katanya lagi, lebih kurang RM300 bilion baki yang ada untuk tahun ini, termasuklah bantuan langsung bernilai RM10 bilion untuk golongan B40, M40, pekerja gig, golongan miskin tegar dan kepada penganggur.