Kementerian Kesihatan (KKM) memberi jaminan bahawa tahap kandungan bahan ‘acrylamide’ dan ‘glycidol’ pada produk biskut yang dijual di Malaysia berada di bawah paras yang ditetapkan oleh European Union (EU) Commission.
Ia sekaligus bermakna bahawa risiko produk itu terhadap kesihatan individu yang memakannya adalah rendah.
Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan (BKKM) juga difahamkan telah melakukan pemantauan terhadap produk biskut di pasaran tempatan sejak tahun 2015 lagi.
Ini termasuklah jenama terkemuka seperti Hup Seng, Jacobs dan Julie’s yang dikilangkan di negara ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan KKM, purata tahap ‘acrylamide’ adalah sebanyak 246 µg/kg (mikrogram per kilogram) berbanding paras ditetapkan EU Commission Regulation (350 µg/kg).
Penilaian risiko terhadap kandungan itu pada makanan juga turut dijalankan oleh BKKM dan hasilnya, risiko kesihatan terhadap pengambilan biskut tersebut adalah rendah.
Kedua bahan itu – acrylamide dan glycidol merupakan bahan karsinogen dan boleh memberi risiko kesihatan manusia, menurut International Agency for Research on Cancer (IARC).
Dalam pada itu, Hup Seng Perusahaan Makanan (M) Sdn Bhd, anak syarikat Hup Seng Industries Bhd ada mengeluarkan jaminan bahawa biskut keluaran mereka yang dipasarkan di Malaysia adalah selamat untuk dimakan.
Malah, produk biskut mereka juga difahamkan telah menepati kawal selia dan standard kualiti serta keselamatan makanan.
Terdahulu, terdapat laporan daripada CHOICE Magazine menyatakan terdapat 60 jenama produk konfeksi tepung termasuk biskut yang dijual di Hong Kong mengandungi acrylamide dan glicydol.
Para pengguna juga boleh mendapatkan panduan mengenai pencemaran bahan pada makanan menerusi Facebook rasmi KKM.
Orang Kelainan Upaya (OKU) tidak dinafikan akan mengalami sedikit kesukaran dalam melakukan aktiviti seharian masing-masing. Namun begitu, ia bukan satu halangan untuk melakukan perkara yang sukar itu menjadi satu kebiasaan sekiranya orang sekeliling yang lain melayan mereka seperti mana manusia normal.
Umum perlu memahami beberapa kekangan yang golongan OKU perlu hadapi dan mereka sudah pasti meminta pertolongan daripada orang normal yang berada di sekeliling demi memudahkan urusan.
Perkongsian seorang wanita OKU yang pekak dan bisu ini menjadi satu contoh untuk memberi kesedaran kepada kita apabila beliau menyatakan rasa kekecewaannya akibat mengalami kesukaran ketika berada di kaunter ‘drive-thru’ di sebuah restoran makanan segera.
Dalam video yang dimuat naik oleh Aira Meor@aira_meor di TikTok, beliau menzahirkan rasa kecewa itu apabila haknya telah dinafikan ketika mahu membuat pesanan hanya kerana dirinya pekak dan bisu.
Menurutnya, dirinya sangat kecewa kerana sebelum ini Aira pernah membuat pesanan di kaunter ‘drive-thru’ restoran berkenaan dan dilayan dengan baik oleh staf yang bertugas.
Tetapi malang buatnya pada hari itu, ketika membuat pesanan pada kali kedua, hal baik yang sama di lokasi yang sama tidak berlaku, sebaliknya staf yang berkenaan tidak langsung membantu dan memberi layanan yang baik walaupun Aira sudah menunjukkan menu yang ingin dipesannya menerusi telefon pintar.
Lebih menyedihkan, Aira diarahkan untuk membuat pesanannya di kaunter dalam restoran makanan segera berkenaan. Berasa haknya sebagai pelanggan telah dinafikan, wanita OKU ini berasa sudah tawar hati dan tidak masuk semula ke restoran itu kerana dirinya begitu kecewa.
Menerusi rakaman video itu, Aira menyarankan agar restoran makanan segera terbabit menaik taraf perkhidmatannya agar lebih ‘mesra OKU’ kerana ia sangat menyusahkan buat golongan yang pekak dan bisu ketika mahu membuat pesanan di kaunter ‘drive-thru’.
Aira dilihat kelihatan sebak ketika menceritakan insiden dilayan secara berat sebelah itu menerusi rakaman videonya yang telah dikongsikan di platform media sosial lain sehingga mendapat perhatian ribuan warganet.
Rata-rata warganet telah meninggalkan komen menyokong wanita OKU itu dan bersetuju dengan saranan supaya pihak restoran menaik taraf perkhidmatan dan kemudahan yang lebih mesra golongan OKU.
Dalam perkembangan terbaru, pihak pengurusan restoran makanan segera terbabit telah memohon maaf di atas insiden yang berlaku kepada Aira dan berjanji akan mengambil tindakan segera di atas perkara tersebut.
Aira Meor turut mengucapkan terima kasih di atas sokongan para warganet dan berharap agar asas bahasa isyarat akan dapat diajar secara wajib di sekolah, universiti dan tempat kerja pada masa hadapan demi memudahkan layanan lebih baik untuk golongan pekak dan bisu serta OKU yang lain.
Tiba tanpa amaran, kehadirannya juga sering kali tidak dijangka dan diketahui akan masa dan lokasi di mana ia berlaku – itulah gempa bumi.
Kita sememangnya bertuah kerana jarang sekali berdepan dengan gempa bumi di Malaysia berbanding dengan negara-negara jiran yang lain.
Baru-baru ini, tular akan satu video yang menunjukkan dua orang kanak-kanak yang berpelukan antara satu sama lain tatkala gegaran dirasai.
Kejadian itu dipercayai berlaku di Taiwan dan ia dikongsikan oleh seorang pengguna di laman Facebook, Mei-mei Peng.
Gempa tersebut difahamkan berlaku pada waktu petang, di mana dua orang kanak-kanak tersebut pada ketika itu sedang bermain telefon bimbit di ruang tamu rumah mereka.
Tatkala berlaku gegaran, kedengaran si abang segera memanggil adiknya lalu mereka berdua bergegas duduk di sofa sambil berpelukan.
Menurut individu berkenaan, dua beradik tersebut kerap berkelahi pada waktu biasa. Lumrahlah adik-beradik bukan? Mestilah ada gaduh-gaduh manja..
Namun pada ketika itu, rasa tanggungjawab si abang menebal untuk melindungi dan menenangkan adiknya sungguhpun mereka kerap bergaduh.
Jika situasi sama berlaku pada orang dewasa, tentunya kita juga akan rasa cemas dan gementar memikirkan apa yang bakal berlaku seterusnya.
Mujurlah si abang ini cepat bertindak – mengenepikan telefon bimbit dan segera mendapatkan adiknya.
Semoga tindakan bijak si abang ini dapat membuka mata kita untuk mendidik anak-anak kita melakukan perkara yang sama juga jika berdepan situasi ini.
Seorang doktor wanita yang baru berusia 25 tahun baru-baru ini telah memenangi gelaran Miss World Malaysia 2021 sekali gus mencetuskan inspirasi kepada golongan wanita khususnya untuk mencipta kejayaan besar seperti beliau.
Dr Lavanya Sivaji yang membesar di Taman Seri Gombak, Batu Caves sebelum ini turut pernah menyertai pertandingan Miss Malaysia Indian Global 2019 dan meraih tempat ketiga dalam pentas tersebut.
Dalam acara peragaan yang dilaksanakan secara virtual ini turut menyaksikan Miss World 2021 Grand Coronation Night di Hyperlive.tv pada tanggal 16 Oktober lalu. Kejayaan yang diraih beliau sekali gus melayakkan Malaysia untuk bertanding di 70th Miss World yang akan berlangsung di Puerto Rico pada 16 Disember 2021.
Mari kita kenal lebih mendalam tentang Dr Lavanya Sivaji yang cantik dan bijak ini.
Beliau merupakan pengasa 4Them, satu projek kebajikan yang memartabatkan masalah kesihatan dan juga nutrisi pemakanan dalam kalangan komuniti Orang Asli Malaysia
Memiliki ketinggian 5’9”
Pada tahun 2015, beliau menyambung pelajaran dalam bidang ijazah sarjana muda perubatan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia
Pernah menjalani latihan praktikal di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan Zainal Abidin
Pada 22 September 2019, beliau dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga dalam Miss Malaysia Indian Global 2019
Pada 16 Oktober 2021, beliau telah berjaya mengalahkan 38 finalis lain sekali gus dimahkotakan sebagai Miss World Malaysia 2021 di usia 25 tahun
Sejak dahulu lagi para suri rumah sering dibeza-bezakan dengan golongan wanita berkerjaya, di mana surirumah sering kali dianggap sebagai ‘profesyen’ yang mudah.
Namun hakikatnya jauh berbeza sama sekali dengan tanggapan berkenaan. Jadi, jangan sekali-kali memandang rendah para suri rumah ya!
Bukan hanya menguruskan rumah tangga – memasak, membasuh dan pelbagai lagi, malah suri rumah juga dipertanggungjawabkan untuk menjaga anak-anak.
Maka tidak hairanlah pelbagai tugasan itu akhirnya memberi kesan daripada segi emosi kepada sesetengah wanita yang bergelar ibu.
Perkara itu diluahkan sendiri oleh seorang wanita menerusi laman Instagramnya. Wanita yang dikenali sebagai Bunga itu berani mendedahkan kebenaran insan yang bergelar suri rumah.
Menurutnya, para suri rumah lazimnya mengalami kemurungan. Bunga turut tidak mampu menahan air matanya sambil menyatakan bahawa tugas mengurus anak kecil ternyata sangat meletihkan.
Bahkan kajian yang dijalankan pada tahun 2012 mendapati bahawa golongan ini sebenarnya lebih cenderung untuk mengalami depresi berbanding wanita berkarier.
Sehubungan itu, Bunga turut meminta agar orang ramai tidak sesekali memperlekeh golongan suri rumah dan memandang enteng masalah depresi.
Justeru para suami di luar sana, sila ambil tahu dan peka akan masalah yang dihadapi isteri lebih-lebih lagi jika mereka merupakan suri rumah.
Bantulah mereka menguruskan rumah tangga juga kerana ikatan perkahwinan itu terbina atas dasar toleransi.
Jangan biarkan sebelah pihak sahaja menguruskan rumah tangga dan anak ya?
Dahulu, wanita tua ini mempunyai kehidupan yang hampir sempurna. Namun, segalanya berubah setelah dia sanggup mengorbankan kesenangan hidupnya demi masa depan anak tercinta. Akan tetapi malangnya, ibarat kacang lupakan kulit, anak wanita ini terus menghilangkan diri dan membuatkan ibunya menjalani kehidupan daif sendirian.
Inilah situasi yang dialami oleh wanita berusia 75 tahun dari Cotzal, Quiche, Guatemala ini. Dia terpaksa hidup merempat di jalanan setelah kebaikannya diabaikan oleh anak kandung sendiri.
Menurut Catarina Raymundo, dia terpaksa membuat pinjaman dengan mencagarkan segala harta benda termasuk rumahnya sendiri setelah mendapat tahu anaknya bakal melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat. Namun begitu, setelah anaknya melanjutkan pelajaran ke luar negara, dia tidak lagi mendapat sebarang perkhabaran.
Hal ini menyebabkan Catarina hidup sebagai gelandangan seorang diri. Nasib baik, terdapat beberapa sukarelawan dari gereja berdekatan yang sudi menghulurkan bantuan dengan membina sebuah rumah untuk Catarina berteduh. Sementara itu, Catarina masih berharap agar anaknya kembali ke pangkuannya
Semoga anaknya menyedari segala kesilapan ini dan kembali ke pangkal jalan serta bertaubat sebelum segalanya terlambat.
Lihat sahaja serangga mahupun reptilia kecil seperti cicak bergerak, tentunya kucing peliharaan kita tidak senang duduk dibuatnya bukan?
Itulah lumrah haiwan yang bergelar kucing. Di China, seekor kucing jenis ‘tabby’ difahamkan berdepan dengan situasi lucu melibatkan seekor cicak tokek.
Sebaik sahaja melihat pergerakan cicak tersebut di dinding rumah, kucing tersebut tidak dapat menahan dirinya daripada mengejar dan mengusik cicak itu.
Namun malang nasibnya apabila kakinya pula yang digigit si cicak! Malah gigitan itu tidak boleh dilepaskan pula. Dalam keadaan terdesak, kucing itu meminta bantuan tuannya.
Pada mulanya, pemilik kucing itu berasa lucu melihat situasi itu, kemudian turut bercampur dengan rasa kasihan melihatnya. Dia segera mencari jalan agar gigitan itu dilepaskan.
Sebelum itu, foto lucu kucingnya sempat dirakamkan. Menurutnya, kucingnya itu sering kali dilihat hebat kerana tidak pernah berdepan insiden ‘memalukan’ sebegini.
Amat jarang kucingnya yang nakal itu mengalami detik memalukan, bahkan terpaksa meminta bantuannya. Itulah, selalu sombong ya?
TOKYO – Puteri Mako secara rasminya telah melepaskan status diraja selepas melangsungkan perkahwinan dengan teman lelaki dari zaman kolejnya, Kei Komuro.
Pteri Mako yang merupakan anak saudara kepada Maharaja Jepun iaitu Naruhito telah menyerahkan pendaftaran perkahwinan di pejabat perbandaran semalam (26 Oktober 2021). Beliau kemudiannya mengadakan persidangan akhbar bersama suaminya di sebuah hotel di Tokyo.
Dalam sidang media berkenaan, Mako dengan rendah diri memohon maaf kepada mana-mana pihak yang terkesan dengan keputusannya untuk mengahwini rakyat biasa.
“Saya memohon maaf atas kesulitan yang berlaku dan saya berterima kasih kepada mereka yang terus menyokong saya. Pada saya, Kei tidak boleh ditukar ganti. Perkahwinan ini adalah pilihan yang dilakukan oleh kami”.
Di bawah peruntukan undang-undang diraja Jepun, wanita dalam keluarga diraja akan kehilangan status diraja sekiranya berkahwin dengan rakyat biasa. Hal ini menyebabkan tiada sebarang upacara perkahwinan diraja akan diadakan buat kedua-dua pasangan yang berusia 30 tahun ini. Malah, Mako juga menolak elaun perkahwinan atas kehendaknya sendiri dan ingin mengadakan majlis perkahwinan secara sederhana.
Berita perkahwinan ini turut menyebabkan orang ramai menyamakan pasangan ini seperti pasangan diraja Britain, Putera Harry dan Meghan Markle yang turut meninggalkan kehidupan istana secara sukarela.
Mako dan Kei bertamu pada tahun 2012 sewaktu bergelar pelajar di Universiti Kristian Antarabangsa Jepun. Mereka kemudiannya melangsungkan pertunangan secara tidak rasmi pada September 2017. Pasangan ini dijangka akan berhijrah ke New York memandangkan Kei bekerja sebagai peguam di sebuah firma guaman di sana.
Kanak-kanak tidak sepatutnya mendapatkan vaksinasi terhadap virus yang menyebabkan COVID-19, menurut profesor perubatan Universiti Harvard Dr. Martin Kulldorff.
“Saya tidak fikir kanak-kanak perlu diberi vaksin untuk COVID-19. Saya peminat tegar pemberian vaksin ke atas kanak-kanak untuk campak, beguk, polio, rotavirus, dan banyak penyakit lain, itu yang kritikal. Tetapi COVID-19 bukanlah ancaman besar terhadap kanak-kanak,” katanya dalam program “American Thought Leaders” di EpochTV. Ikuti episod penuh yang boleh ditonton di EpochTV.
"Hospitals should hire nurses & other staff with natural immunity…They are the ones who are least likely to infect the residents. [Yet] we're doing the opposite. They’re being fired."
“Mereka boleh dijangkiti, sama seperti boleh mendapat selesema biasa, tetapi ia bukan ancaman besar. Mereka tidak meninggal dunia akibat daripada ini, kecuali dalam keadaan yang sangat jarang berlaku. Jadi, jika anda ingin bercakap tentang melindungi kanak-kanak atau menjaga keselamatan kanak-kanak, saya fikir kita boleh bercakap tentang kemalangan jalan raya, sebagai contoh, yang mereka benar-benar berisiko,” katanya.
“Dan ada banyak perkara lain yang perlu kita pastikan [untuk] memastikan kanak-kanak selamat. Tetapi COVID-19 bukanlah faktor risiko yang besar untuk kanak-kanak,” tambah Dr. Martin Kulldorff.
Vaksinasi warga emas dan semua peringkat umur dengan sistem imun yang terjejas terhadap virus PKC (Parti Komunis China), yang menyebabkan COVID-19, telah mendapat sokongan kebanyakan pakar perubatan. Tetapi pemberian vaksinasi ke atas golongan muda yang sihat, terutamanya kanak-kanak, telah mencetuskan pelbagai tentangan, sebahagiannya kerana betapa kecilnya risiko jangkitan COVID-19 kepada mereka.
Kanak-kanak lebih berkemungkinan dijangkiti penyakit serius atau meninggal dunia akibat influenza, atau selesema, berbanding COVID-19, menurut data dan kajian yang telah dijalankan oleh Dr. Kulldorff. Hanya 195 kanak-kanak di bawah usia 4 tahun dan 442 golongan muda antara 5 dan 18 tahun telah meninggal dunia akibat COVID-19 di Amerika Syarikat setakat 20 Oktober, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat.
Kanak-kanak adalah 15 kali lebih kecil peratusan dengan kemungkinan dimasukkan ke hospital dijangkiti penyakit itu berbanding individu yang berusia 85 tahun atau lebih, dan 570 kali lebih kecil kemungkinannya untuk meninggal dunia, menurut agensi.
“Satu contoh di negara Sweden, semasa gelombang pertama pada musim bunga 2020, yang menjejaskan Sweden dengan kuat. Tetapi Sweden memutuskan untuk memastikan pusat jagaan harian dan sekolah dibuka untuk semua kanak-kanak berusia 1 hingga 15 tahun. Dan terdapat 1.8 juta kanak-kanak yang melalui gelombang pertama tanpa vaksin, sudah tentu, tanpa pelitup muka, tanpa apa-apa jenis penjarakan sosial di sekolah, “ jelas Dr. Kulldorff.
“Jika seorang kanak-kanak sakit, mereka akan diminta untuk duduk di rumah. Tetapi itu sahaja pada asasnya. Dan anda tahu berapa ramai daripada 1.8 juta kanak-kanak itu yang meninggal dunia akibat COVID-19? Tiada. Hanya beberapa kemasukan ke hospital. Jadi ini bukan penyakit yang berisiko untuk kanak-kanak,” katanya.
Apabila memberi pertimbangan sama ada untuk memberi vaksinasi kepada kanak-kanak, risiko kesan sampingan vaksin juga mesti diambil kira, kata Dr. Kulldorff. Risiko utama kepada golongan muda yang dilihat setakat ini ialah keradangan jantung, yang telah berlaku selepas pemberian vaksinasi pada kadar yang lebih tinggi daripada jangkaan. Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (FDA) menambah label amaran kepada vaksin Pfizer dan Moderna sepanjang musim panas mengenai ‘myocarditis’ dan ‘pericarditis’, dua jenis keradangan jantung.
“Jika anda berumur 78 tahun, maka itu adalah perkara yang tidak perlu difikirkan, pada pendapat saya, kerana faedahnya sangat besar sehinggakan walaupun anda mempunyai risiko kecil untuk beberapa reaksi buruk, manfaatnya jauh melebihi risiko,” kata Dr. Kulldorff.
Dr. Martin Kulldorff (Gambar oleh York Du / The Epoch Times)
“Sebaliknya, jika anda sudah mempunyai imuniti daripada menghidap COVID-19, maka manfaat vaksin adalah jauh, lebih kecil. Jika anda seorang kanak-kanak, walaupun anda tidak menghidap COVID-19, risiko penyakit serius atau kematian adalah sangat kecil… Jadi tidak jelas sama sekali bahawa faedahnya melebihi risiko untuk kanak-kanak,” jelasnya.
Dr. Martin Kulldorff berkata demikian sebelum mesyuarat panel penasihat FDA. Ahli panel pada 26 Oktober memutuskan untuk menasihati penyelaras ubat-ubatan itu supaya meluluskan pemberian vaksin COVID-19 Pfizer kepada kanak-kanak yang berusia 5 hingga 11 tahun. Mereka berkata faedah vaksinasi kumpulan umur ini, seperti ramalan penurunan kadar kemasukan ke hospital, kepentingan mengatasi risiko, termasuk penilaian insiden berlaku ‘myocarditis’.
Hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dilakukan pada mayat mangsa pembunuhan kejam 14 tahun lalu mengesahkan bahawa ia milik Nurin Jazlin Jazimin, tegas Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim, perkara itu dijelaskan selepas laporan polis terbaru dilakukan bapanya yang mendakwa bahawa ada petunjuk baharu dalam kes anaknya.
“Pegawai penyiasat kanan sudah memanggilnya bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai laporannya itu”.
Sementara itu, seorang individu warga Indonesia yang mendakwa mempunyai maklumat berhubung kes ini turut diminta pihak polis untuk tampil membantu siasatan.
Difahamkan bahawa bapa mangsa sudah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul jam 2 petang 27 Oktober lalu bagi merakam percakapannya.
Jelas bapa mangsa, maklumat terbaru mengenainya itu dimaklumkan kepada pihak polis, berserta dengan foto yang diberikan warga Indonesia yang menunjukkan kemungkinan suspek penculikan.
“Pegawai polis akan menyiasat maklumat terbaru dan akan menyemak sama ada lelaki tersebut masih bekerja dalam bidang perkapalan”.
Bahkan pegawai penyiasat turut difahamkan bersedia untuk ke Indonesia jika perlu bagi menyelesaikan kes ini.
Individu yang menyerahkan foto lelaki tersebut mendakwa bahawa lebih 90% wajah suspek itu adalah sama dengan lakaran fotofit yang telah diedarkan polis sebelum ini.
“Saya cuma berharap kes ini dapat diselesaikan demi keadilan buat anak kerana itu yang lebih penting”, ujar bapa mangsa.
Terdahulu, bapa mangsa mendakwa bahawa mayat kanak-kanak perempuan yang dijumpai dalam keadaan tragis di dalam beg sukan pada 17 September 2007 itu bukanlah anaknya.
Menurutnya, saiz gigi pada mayat mangsa adalah berbeza, malah terdapat tahi lalat hidup pada paha serta ketiadaan parut suntikan pelalian Bacillus Calmette–Guerin (BCG).
Info daripada warga Indonesia itu turut memberitahunya bahawa Nurin Jazlin telah diculik dan dibawa suspek yang juga warga Indonesia ke negara terbabit.