Orang Kelainan Upaya (OKU) tidak dinafikan akan mengalami sedikit kesukaran dalam melakukan aktiviti seharian masing-masing. Namun begitu, ia bukan satu halangan untuk melakukan perkara yang sukar itu menjadi satu kebiasaan sekiranya orang sekeliling yang lain melayan mereka seperti mana manusia normal.
Umum perlu memahami beberapa kekangan yang golongan OKU perlu hadapi dan mereka sudah pasti meminta pertolongan daripada orang normal yang berada di sekeliling demi memudahkan urusan.
Perkongsian seorang wanita OKU yang pekak dan bisu ini menjadi satu contoh untuk memberi kesedaran kepada kita apabila beliau menyatakan rasa kekecewaannya akibat mengalami kesukaran ketika berada di kaunter ‘drive-thru’ di sebuah restoran makanan segera.
Dalam video yang dimuat naik oleh Aira Meor@aira_meor di TikTok, beliau menzahirkan rasa kecewa itu apabila haknya telah dinafikan ketika mahu membuat pesanan hanya kerana dirinya pekak dan bisu.
Menurutnya, dirinya sangat kecewa kerana sebelum ini Aira pernah membuat pesanan di kaunter ‘drive-thru’ restoran berkenaan dan dilayan dengan baik oleh staf yang bertugas.
Tetapi malang buatnya pada hari itu, ketika membuat pesanan pada kali kedua, hal baik yang sama di lokasi yang sama tidak berlaku, sebaliknya staf yang berkenaan tidak langsung membantu dan memberi layanan yang baik walaupun Aira sudah menunjukkan menu yang ingin dipesannya menerusi telefon pintar.
Lebih menyedihkan, Aira diarahkan untuk membuat pesanannya di kaunter dalam restoran makanan segera berkenaan. Berasa haknya sebagai pelanggan telah dinafikan, wanita OKU ini berasa sudah tawar hati dan tidak masuk semula ke restoran itu kerana dirinya begitu kecewa.
Menerusi rakaman video itu, Aira menyarankan agar restoran makanan segera terbabit menaik taraf perkhidmatannya agar lebih ‘mesra OKU’ kerana ia sangat menyusahkan buat golongan yang pekak dan bisu ketika mahu membuat pesanan di kaunter ‘drive-thru’.
Aira dilihat kelihatan sebak ketika menceritakan insiden dilayan secara berat sebelah itu menerusi rakaman videonya yang telah dikongsikan di platform media sosial lain sehingga mendapat perhatian ribuan warganet.
Rata-rata warganet telah meninggalkan komen menyokong wanita OKU itu dan bersetuju dengan saranan supaya pihak restoran menaik taraf perkhidmatan dan kemudahan yang lebih mesra golongan OKU.
Dalam perkembangan terbaru, pihak pengurusan restoran makanan segera terbabit telah memohon maaf di atas insiden yang berlaku kepada Aira dan berjanji akan mengambil tindakan segera di atas perkara tersebut.
Aira Meor turut mengucapkan terima kasih di atas sokongan para warganet dan berharap agar asas bahasa isyarat akan dapat diajar secara wajib di sekolah, universiti dan tempat kerja pada masa hadapan demi memudahkan layanan lebih baik untuk golongan pekak dan bisu serta OKU yang lain.
Tonton video di sini.