Seorang ibu, dikenali sebagai Puan A menyatakan kebimbangannya mengenai situasi ini kepada penceramah bebas, Akhi Fairuz Al-Jengkawi.
Menurut Puan A, novel bertajuk Lelaki Astatine ini sangat popular dan ramai pelajar sekolah yang membelinya. Kandungan novel tersebut pula bercampur dengan ilmu kimia, ilmu bidang penerbitan, islamik dan babak pornografi ringan (soft porn).
Apa yang membuatkan Puan A bimbang ialah terdapat segelintir masyarakat yang beranggapan bahawa babak-babak pornografi ringan itu “biasa sahaja”.
Menerusi hantaran di Facebook itu juga, Puan A menzahirkan rasa kesal kerana novel itu dijual di Mall Kota Bharu.
Namun mujurlah pihak Mall Kota Bharu menyatakan dalam ruang komen hantaran terbabit bahawa jualan buku berkenaan telah pun digantung.
Selain Puan A, Tuan Akhi Fairuz juga menerima beberapa komen daripada ibu bapa dan guru-guru yang turut sama bimbang akan situasi ini.
Contohnya Puan Roziyah. Beliau pernah bertanya kepada pelajar buku apa yang mereka baca dan amat memeranjatkan apabila 99 peratus pelajar perempuan daripada darjah 5 hingga ke sekolah menengah menyebut novel ini.
Kata Puan Roziyah lagi, pelajar sekolah agama juga menganggap babak pornografi ringan ini adalah perkara biasa.
Menurut Tuan Akhi Fairuz, beberapa tahun lepas tular novel fantasi lucah Jaan Punching Bag dan beliau adalah antara orang yang lantang menentang.
Akhirnya penulis novel berkenaan mengakui kesilapan dan meminta maaf atas ketelanjuran penulisannya di aplikasi Wattpad dan Facebook.
Namun kali ini novel pornografi ringan bukan sahaja dibukukan malah jualannya amat laris.
Situasi ini amat membimbangkan kerana bukan orang dewasa sahaja yang membacanya malah kanak-kanak sekolah rendah juga membaca novel tidak beretika berkenaan.
Dalam mana-mana ceramah, Tuan Akhi Fairuz juga sudah banyak kali mengingatkan pelajar perempuan khususnya agar tidak terjebak dengan novel berunsurkan lucah.
Namun semua usaha ini tidak akan berhasil jika hanya satu pihak sahaja yang bersungguh-sungguh membanteras novel pornografi ringan ini.
Apa yang ibu bapa atau guru-guru boleh lakukan ialah dengan mendapatkan ulasan novel terlebih dahulu seperti di aplikasi Goodreads.
Selain itu, ibu bapa mesti mengambil tahu latar belakang penerbit. Untuk pengetahuan, penulis yang bernaung di bawah sesebuah rumah penerbitan biasanya menulis mengikut syarat penerbit tersebut.
Antara penerbit yang berkualiti ialah:
PTS
Iman Publication
ITBM
Manés Wordworks
DBP
Ibu bapa harus lebih tegas supaya anak-anak tidak terjerumus dengan perkara yang tidak beretika yang mana sekali gus boleh menyumbang kepada berlakunya gejala sosial dan tidak bermoral pada masa akan datang.
Suka diingatkan juga kepada pembeli-belah peribadi (personal shopper) agar tidak mengambil tempahan pembelian novel pornografi ringan seperti contoh yang dinyatakan.
Bersama-samalah kita sehabis baik membanteras penularan novel pornografi ringan agar anak-anak kita terpelihara daripada gejala tidak bermoral.
GENEVA: Sembilan daripada setiap 10 penduduk di Semenanjung Gaza hilang tempat tinggal sekurang-kurangnya sekali sejak meletusnya perang antara Israel dengan Palestin, menurut agensi kemanusiaan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Ketua Agensi Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB di Wilayah Palestin, Andrea De Domenico berkata kira-kira 1.9 juta penduduk di Gaza dipercayai sudah hilang tempat tinggal.
“Kami menganggarkan sembilan daripada setiap 10 orang di Semenanjung Gaza dipindahkan secara dalaman sekurang-kurangnya sekali, jika tidak sehingga 10 kali, sejak Oktober.
Gambar Reuters
“Sebelum ini kami menganggarkan 1.7 (juta) tetapi sejak jumlah itu, kami menjalankan operasi di Rafah dan mempunyai anjakan tambahan dari sana.
“Kemudian kami juga mempunyai operasi di utara bagi memindahkan orang,” katanya yang bercakap dari Baitulmaqdis kepada pemberita di New York dan Geneva.
Domenico berkata operasi ketenteraan seperti itu memaksa orang ramai untuk menetapkan semula kehidupan mereka secara berulang kali.
“Di sebalik angka ini, ada orang yang dihimpit rasa ketakutan dan rungutan. Dan mereka mungkin mempunyai impian serta harapan, namun harapan itu dilihat semakin pudar.
“Dalam sembilan bulan terakhir, mereka dipindahkan secara terpaksa dan bukan atas pemilihan sendiri. Umpama bidak dalam permainan papan,” katanya.
Domenico berkata Semenanjung Gaza dibahagikan kepada dua oleh operasi ketenteraan Israel, dengan OCHA menganggarkan terdapat antara 300,000 hingga 350,000 yang menetap di utara wilayah yang dikepung itu serta tidak dapat pergi ke selatan.
Katanya, sejak perang bermula dianggarkan 110,000 berjaya meninggalkan Semenanjung Gaza sebelum lintasan Rafah ke Mesir ditutup pada awal Mei lalu.
“Sejumlah penduduk menuju Mesir selain berpindah ke tempat lain,” katanya.
Gambar AFP
Perang Gaza paling berdarah berlaku selepas serangan Palestin ke atas Israel pada 7 Oktober lalu mengakibatkan 1,195 kematian, kebanyakannya orang awam, menurut pengiraan AFP berdasarkan angka Israel.
Menurut Israel, Palestin turut menahan 251 tebusan dengan 116 daripadanya kekal di Gaza termasuk 42 dikatakan tentera sudah pun mati.
Serangan balas Israel sejak itu sudah membunuh sekurang-kurangnya 37,953 orang, kebanyakannya orang awam, menurut data daripada Kementerian Kesihatan Palestin.
Menurut Datuk Paduka Maharaja Lela Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini, istiadat pertabalan Agong ke-17 itu bakal mengimbau kenangan cukup signifikan.
Hal ini dikatakan demikian kerana Sultan Ibrahim akan bersemayam di atas singgahsana sama digunakan oleh Almarhum ayahanda baginda 40 tahun lepas.
“Singgahsana ini telah digunakan Almarhum Sultan Iskandar, jadi pastinya ia memberi makna tersendiri kepada Sultan Ibrahim.”
“Sebelum ini, turut digunakan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta ayahanda baginda Sultan Ahmad Shah semasa menjadi Yang di-Pertuan Agong ketujuh,” Katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Selain itu, pelantikan putera sulung Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Ismail sebagai Pemangku Sultan Johor usai pemasyhuran Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lepas, mengulangi catatan sejarah bagaimana Seri Paduka Baginda dilantik sebagai Pemangku Raja Johor sewaktu giliran Almarhum Sultan Iskandar bersemayam di Istana Negara pada 25 April 1984.
Azuan Effendy berkata istiadat pertabalan pada 20 Julai ini juga akan menyaksikan Sultan Ibrahim menggunakan peralatan kebesaran istiadat seperti Pending Diraja yang sama digunakan oleh Almarhum Sultan Iskandar ketika ditabal sebagai Ketua Negara.
Jelas Azuan Effendy, alat kebesaran lain yang akan digunakan pada isitiadat pertabalan nanti mempunyai nilai sejarah amat tinggi memandangkan ia merupakan warisan kebudayaan negara yang telah digunakan sejak istiadat pertama bermula 2 September 1957 dan masih dipulihara dengan baik sehingga kini.
Tambah Azuan Effendy lagi, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah juga berkenan menyatukan penggunaan warna kegemaran Seri Paduka Baginda berdua iaitu biru Tiffany dengan warna diraja iaitu kuning pada isitiadat nanti.
“Seri Paduka Baginda berdua ada cita rasa tersendiri, jadi banyak perkara kita dah pilih untuk gunakan warna ‘Tiffany Blue’ dan disatukan dengan warna diraja kuning.
“Antaranya pada kad jemputan pertabalan dan buku atur cara pertabalan, semuanya kita guna warna itu,” Katanya.
Azuan Effendy berkata elemen lain yang disifatkannya istimewa pada istiadat pertabalan kali ini adalah penggunaan Nobat Diraja Perak.
Menurut Azuan Effendy lagi, Sultan Ibrahim sendiri yang telah memohon perkenan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah untuk menggunakan Nobat Diraja Perak pada istiadat nanti.
Perkara itu amat simbolik kerana Raja Permaisuri Agong ialah puteri kedua dan anakanda ketiga kepada Almarhum Sultan Perak Paduka Seri Sultan Idris Shah II dan Almarhumah Raja Perempuan Perak Raja Perempuan Muzwin Almarhum Raja Dato’ Sri Ariff Shah.
“Ini tentunya menggamit nostalgia kerana pada istiadat pertabalan Almarhum Sultan Iskandar dulu pun menggunakan Nobat Diraja Perak,” Katanya.
Selain itu, alatan muzik Nobat Diraja Perak yang dimainkan oleh susur galur Orang Kalur di negeri itu hanya boleh dibawa keluar dari istana dan sempadan negeri setelah mendapat perkenan Sultan Perak.
“Permohonan perkenan itu amat istimewa dan berlangsung dengan penuh santun.”
“Sultan Ibrahim sendiri menulis warkah yang dipersembahkan kepada Sultan Nazrin oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil selaku Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-acara Sempena Istiadat Pertabalan Agong.”
“Tak boleh saya selaku Datuk Paduka Maharaja Lela mohon sendiri melalui panggilan telefon, e-mel atau WhatsApp sahaja, ia dilakukan atas hubungan dua baginda raja,” Kata Azuan Effendy yang turut menyatakan bahawa nobat yang biasa dimainkan pada istiadat pertabalan itu hanya terdapat di Perak, Selangor, Terengganu dan Kedah.
Warkah perkenan Sultan Nazrin pula telah dipersembah kepada Sultan Ibrahim menerusi utusan Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin dan Setiausaha Dewan Negara Perak Datuk Seri Ayop Hashim.
Dalam pada itu, Azuan Effendy yang telah terlibat dengan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong sebanyak lima kali berkata istiadat pertabalan kali ini juga mempamerkan sisi istimewa keakraban Sultan Ibrahim dan Sultan Nazrin selaku Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
“Sinergi baik antara Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong jelas terpancar apabila Sultan Ibrahim sendiri telah memberi perkenan kepada Sultan Nazrin untuk memilih menu yang akan disajikan sewaktu Majlis Santapan Diraja pada sebelah malam istiadat pertabalan di Istana Negara,” Katanya.
Terdahulu, Bernama turut melaporkan bahawa kira-kira 2,000 orang terlibat dalam memastikan kelancaran istiadat pertabalan bukan hanya membabitkan kakitangan Istana Negara.
Antara jabatan serta agensi lain yang terlibat dalam kelancaran istiadat pertabalan Agong tersebut adalah Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Kerja Raya dan banyak lagi.
Azuan Effendy bersama Fahmi, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri Datuk Awang Alik Jeman merangkap Pengerusi Majlis Rasmi Kerajaan dan Ketua Pegawai Istiadat Kerajaan Datuk Rozainor Ramli juga bertanggungjawab untuk menghadap Raja, Sultan serta semua Tuan Yang Terutama (TYT) bagi mempersembah warkah persilaan.
“Warkah persilaan ini masih dikekalkan sejak sekian lama, ia menggunakan tulisan jawi yang ditulis tangan, diletakkan di dalam kapsul khas untuk dipersembahkan kepada Raja-Raja Melayu dan TYT,” Katanya.
Difahamkan, setakat ini Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja Bahrain Hamad Bin Isa Al Khalifa telah mengesahkan keberangkatan, selain 700 tetamu lain termasuk wakil kedutaan serta wakil-wakil kementerian dan jabatan.
Pada istiadat pertabalan Agong kali ini, dif-dif kehormat lelaki dari Johor akan mengenakan baju Melayu Teluk Belanga dan songkok tanpa sebarang bintang atau pingat kerana ia merupakan kaedah pemakaian sebenar.
Menurut Azuan Effendy, bagi busana Sultan Ibrahim pula, Seri Paduka Baginda akan memakai muskat yang merupakan persalinan kebesaran Yang di-Pertuan Agong lengkap dengan tengkolok, pending serta keris.
Manakala Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah pula telah memperincikan persalinan Seri Paduka Baginda yang bakal dihasilkan oleh seorang pereka terkemuka tempatan.
Sultan Ibrahim telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lalu.
Scammer kini semakin berani menyamar sebagai personaliti dan organisasi terkemuka di seluruh Facebook, Instagram dan WhatsApp. Creador menjadi syarikat terbaharu yang menjadi mangsa.
Dalam kenyataan akhbar pada 1 Julai, pengasas Creador, Brahmal Vasudevan mendedahkan scammer telah menyamar sebagai syarikatnya termasuk cabang badan bukan keuntungannya, Yayasan Creador.
Creador ialah firma ekuiti swasta yang menyediakan bantuan dan sokongan kewangan kepada usahawan Malaysia.
Atas posisi sedemikian, Brahmal berkata sindiket penipuan telah menyamar sebagai Creador untuk mempromosikan seminar pelaburan atau memberikan nasihat pelaburan.
“Kami bimbang sekiranya Meta tidak bertindak tegas. Membenarkan siaran tajaan ini diterbitkan adalah tidak boleh diterima,” kata Brahmal.
“Meta telah mendapat keuntungan daripada penipuan ini dengan membenarkan siaran tajaan yang menyamar sebagai Creador dan organisasi lain serta tokoh terkenal,” tambahnya.
Kena tanya empunya diri apa rahsia awet muda, seperti seorang pramugara dari syarikat penerbangan AirAsia ini.
Dalam paparan video TikTok perkongsian @airasiacabincrew yang tular baru-baru ini, ramai yang tidak menyangka usia salah seorang pramugara Air Asia sudah mencecah 60 tahun.
Pramugara Nordin Razali menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-60 baru-baru ini.
Walau bagaimanapun, Nordin kemudian mengumumkan bakal bersara dan penerbangan selama satu jam 30 minit ke Kuching merupakan tugas terakhirnya selepas bergelar pramugara selama 35 tahun.
Ketika membuat pengumuman dalam penerbangan tersebut, Nordin turut berterima kasih kepada para penumpang kerana mempercayai mereka yang mengendalikan penerbangan.
“35 tahun sangat magikal buat saya. Terima kasih kerana mempercayai kami. Segala kisah anda, senyuman dan kebaikan telah menjadikan karier saya cukup seronok dan tidak dapat diungkapkan,” kata Nordin.
Video tular tersebut telah menarik perhatian ramai selepas mereka mengetahui usia sebenar Nordin.
Ramai pengguna TikTok seolah-olah tidak percaya dengan usia pramugara tersebut dengan ada yang berpendapat wajahnya seperti seorang yang berusia 40 tahun.
Sehinggakan ada anak muda yang meminta tips dan rahsia untuk kekal awet muda seperti Nordin.
Daerah Penampang di Sabah mengalami banjir terburuk dalam sejarah dengan paras air banjir dicatatkan sehingga 10.05 meter pada malam Ahad, 30 Jun lalu.
Di waktu kecemasan apabila penduduk yang terjejas bertindak menyelamatkan diri dan harta benda masing-masing, satu kisah menyentuh hati muncul.
Selepas gambar seorang wanita menyelamatkan beberapa ekor kucing di atas bot tiub pelampung, ia telah menarik perhatian ramai.
Gambar itu dikongsikan oleh beberapa individu di media sosial, termasuk oleh Tasha Nat di Facebook, yang memaparkan wanita itu dilihat memegang erat empat ekor kucing yang cemas memerhatikan tempat berlindung mereka dinaiki deras air banjir.
Tindakan tidak mementingkan diri itu telah menyentuh hati warganet yang mula mencari identiti wanita penyelamat kucing berkenaan.
Ini termasuk Tasyah Tni dari Pet Wellness, pusat dandanan dan penjagaan kucing berpangkalan di Kota Kinabalu, yang ingin menyediakan dandanan percuma buat kucing yang diselamatkan.
Akhirnya identiti wanita yang berhati mulai itu telah dikenal pasti sebagai Dr Phoebe, seorang doktor gigi dari Klinik Pergigian Dr Natasha.
Dalam ruangan komen hantaran Tasyah Tni, beliau mendedahkan telah menghubungi Dr Phoebe untuk memberikan bantuan.
Susulan itu, ramai yang memuji Dr Phoebe ekoran tindakan mulianya.
Seorang warganet berkata dia terharu melihat kesungguhan Dr Phoebe yang bergelut demi menyelamatkan nyawa beberapa ekor kucing.
Sementara beberapa yang lain mendoakan agar penduduk termasuk haiwan yang terjejas di Penampang berada dalam keadaan selamat dan dilindungi sepanjang bencana alam itu.
Menurut laman sesawang info bencana banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seramai 296 mangsa daripada 97 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Kebudayaan Penampang.
Selain itu, 156 mangsa daripada 34 keluarga berada di Dewan Sri Putatan manakala 33 mangsa daripada sembilan keluarga berada di PPS SK Selupoh dan 18 lagi mangsa daripada lima keluarga di Kampung Bontoi Tamparuli.
Banjir mula melanda beberapa daerah di pantai barat Sabah, termasuk kawasan ibu negeri pada petang Ahad, 30 Jun lalu berikutan hujan lebat berterusan yang menyebabkan air beberapa sungai melimpah.
BATU PAHAT: Hampir 100 individu mengalami keracunan makanan selepas memakan ayam goreng yang disyaki sudah tercemar di sebuah kantin sekolah di Batu Pahat, Johor.
Menurut The Star, kantin itu diarah tutup selama 14 hari berikutan 90 pelajar dan sembilan warga pendidik mengalami gejala seperti cirit-birit dan muntah pada Khamis, 27 Jun lalu.
“Daripada 99 orang yang terkesan, 11 daripadanya yang merupakan pelajar telah menerima rawatan perubatan sebagai pesakit luar di klinik kesihatan kerajaan dan swasta,” kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor Ling Tian Soon pada 30 Jun.
Tambahnya, tiada mangsa dimasukkan ke hospital kerana kesemua mereka hanya mengalami simptom ringan.
Pejabat Kesihatan Daerah Batu Pahat telah mengambill sampel makanan dan memeriksa kantin susulan kejadian itu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor Ling Tian Soon. (Gambar Bernama)
Ling berkata keputusan makmal untuk menentukan punca keracunan makanan akan diperolehi dalam masa dua atau tiga hari lagi.
“Siasatan masih berjalan, dan sepanjang penutupan, pengusaha kantin perlu membersihkan premis tersebut,” kata Ling kepada Bernama.
MOM memperkenalkan logo baharu dengan memilih corak belang Harimau yang lebih garang dipaparkan pada pakaian rasmi kontinjen negara ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Tan Sri Norza Zakaria selaku presiden MOM berkata beliau percaya bahawa corak baharu yang dipilih itu dilihat lebih segar dan boleh menaikkan semangat juang kontinjen negara.
Menurut Norza, MOM turut mengambil maklum balas orang ramai dengan melakar kembali logo kibaran Jalur Gemilang mengikut warna asal diiringi lima gegelung Olimpik.
“Reka corak baharu yang dipilih adalah berlatarbelakangkan warna hitam, dengan belang Harimau berwarna kuning yang lebih jelas dan besar di sebelah hadapan dan di belakang jaket.”
“MOM berasakan bahawa reka corak baharu ini melambangkan semangat Harimau yang sudah menjadi identiti kontinjen Malaysia sejak kali pertama ia diperkenalkan pada Temasya Sukan Asia Tenggara atau Sukan SEA di Manila pada 2005.”
“Adalah menjadi harapan MOM mewakili pemegang taruh termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) agar semangat Harimau menjadi inspirasi untuk atlet negara mengaum di Kota Paris nanti,” Katanya menerusi kenyataan rasmi MOM.
Dalam pada itu, MOM memaklumkan bahawa kemeja T berkolar berwarna emas akan mengekalkan corak dan motif yang sama namun menggunakan logo Jalur Gemilang dengan warna asal sebagai tanda menghormati bendera negara.
Selain itu, MOM dapat mencapai kata sepakat dengan pihak penaja Yonex Sunrise Malaysia agar logo Yonex atau YY tidak dipaparkan di kedua-dua jaket dan kemeja T tersebut.
“Ini adalah kerana proses untuk Yonex Sunrise Malaysia mencetak dan menyediakan pakaian rasmi ini memerlukan proses perjanjian dengan pengilang sebagai prosedur operasi standard (SOP) jenama itu.”
“Maka itu Yonex Sunrise Malaysia memberi keizinan khas kepada MOM untuk mencetak dan mengeluarkan jaket ini dengan fabrik pengilang berbeza sebagai pakaian rasmi kontinjen Malaysia ke Paris 2024 disebabkan faktor masa,” Katanya.
Sebelum ini, Harian Metro melaporkan MOM memutuskan untuk menambah baik pakaian rasmi kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas mendapat maklum balas negatif atas corak pakaian terdahulu.
Walaupun tidak mempunyai MacBook, namun Alia tidak menjadikan kekurangan itu halangan untuknya mengetahui lebih lanjut mengenai Swift Playgrounds dengan menggunakan iPad.
Selain daripada mahir pengekodan, Alia juga mahir dalam membuat ulasan muzik dan kemahiran itu melayakkannya menjadi pemenang pertandingan berkenaan.
“Pada mulanya saya mereka bentuk aplikasi untuk menjejak lagu tertentu yang saya dengar – seperti ulasan saya tentang koleksi lagu, artis atau lagu. Kemudian barulah saya sedar yang tiada aplikasi direka untuk pendengar mengulas lagu,” Terang Alia.
Tidak seperti buku dan filem masing-masing punya aplikasi ulasan seperti Rotten Tomatoes dan Goodreads. Manakala untuk lagu belum ada aplikasi ulasan yang disediakan.
Melihat kekurangan tersebut sebagai satu peluang, Alia tanpa ragu-ragu mencipta aplikasi Tracklist bagi memudahkan pendengar lagu memberikan ulasan masing-masing.
Aplikasi Tracklist memudahkan pengguna untuk mengulas lagu berdasarkan tajuk, artis, kategori selain membolehkan mereka mencari judul lagu baharu.
Menurut Alia, dia berdepan dengan cabaran teknikal sepanjang tiga minggu lebih menyiapkan aplikasi berkenaan.
“Saya kehilangan fail aplikasi saya dan hanya mempunyai kod sandar yang tidak dikemas kini, jadi saya terpaksa membuat semula beberapa bahagian,” Kata Alia.
Remaja mahir pengekodan ini berjaya mencipta aplikasi tersebut dengan sokongan daripada keluarga, kawan-kawan serta nasihat daripada pakar industri.
“SSC mengajar saya bahawa tiada idea yang boleh diperkecilkan malah idea tersebut mampu ditukar menjadi sesuatu yang lebih besar dan bermakna.”
Alia menekankan bahawa ketekalan, keterbukaan pada maklum balas, dan pembelajaran berterusan adalah prinsip utama yaang perlu ada dalam komuniti pemaju.
Sokongan daripada syarikat Apple juga penting dalam mencungkil bakat anak muda.
“Penting bagi syarikat seperti Apple untuk mendidik dan menggalakkan pelajar dan guru untuk belajar dan mengajar pengekodan – bahasa teknologi,” Kata Alia.
Untuk makluman, aplikasi Tracklist masih berada dalam fasa beta.