KUALA LUMPUR: Istiadat pertabalan Agong ke-17 bakal melakar detik sejarah dalam sistem Raja Berperlembagaan dalam masa kurang 17 hari lagi.
Menurut Datuk Paduka Maharaja Lela Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini, istiadat pertabalan Agong ke-17 itu bakal mengimbau kenangan cukup signifikan.
Hal ini dikatakan demikian kerana Sultan Ibrahim akan bersemayam di atas singgahsana sama digunakan oleh Almarhum ayahanda baginda 40 tahun lepas.
“Singgahsana ini telah digunakan Almarhum Sultan Iskandar, jadi pastinya ia memberi makna tersendiri kepada Sultan Ibrahim.”
“Sebelum ini, turut digunakan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta ayahanda baginda Sultan Ahmad Shah semasa menjadi Yang di-Pertuan Agong ketujuh,” Katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Selain itu, pelantikan putera sulung Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Ismail sebagai Pemangku Sultan Johor usai pemasyhuran Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lepas, mengulangi catatan sejarah bagaimana Seri Paduka Baginda dilantik sebagai Pemangku Raja Johor sewaktu giliran Almarhum Sultan Iskandar bersemayam di Istana Negara pada 25 April 1984.
Azuan Effendy berkata istiadat pertabalan pada 20 Julai ini juga akan menyaksikan Sultan Ibrahim menggunakan peralatan kebesaran istiadat seperti Pending Diraja yang sama digunakan oleh Almarhum Sultan Iskandar ketika ditabal sebagai Ketua Negara.
Jelas Azuan Effendy, alat kebesaran lain yang akan digunakan pada isitiadat pertabalan nanti mempunyai nilai sejarah amat tinggi memandangkan ia merupakan warisan kebudayaan negara yang telah digunakan sejak istiadat pertama bermula 2 September 1957 dan masih dipulihara dengan baik sehingga kini.
Tambah Azuan Effendy lagi, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah juga berkenan menyatukan penggunaan warna kegemaran Seri Paduka Baginda berdua iaitu biru Tiffany dengan warna diraja iaitu kuning pada isitiadat nanti.
“Seri Paduka Baginda berdua ada cita rasa tersendiri, jadi banyak perkara kita dah pilih untuk gunakan warna ‘Tiffany Blue’ dan disatukan dengan warna diraja kuning.
“Antaranya pada kad jemputan pertabalan dan buku atur cara pertabalan, semuanya kita guna warna itu,” Katanya.
Azuan Effendy berkata elemen lain yang disifatkannya istimewa pada istiadat pertabalan kali ini adalah penggunaan Nobat Diraja Perak.
Menurut Azuan Effendy lagi, Sultan Ibrahim sendiri yang telah memohon perkenan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah untuk menggunakan Nobat Diraja Perak pada istiadat nanti.
Perkara itu amat simbolik kerana Raja Permaisuri Agong ialah puteri kedua dan anakanda ketiga kepada Almarhum Sultan Perak Paduka Seri Sultan Idris Shah II dan Almarhumah Raja Perempuan Perak Raja Perempuan Muzwin Almarhum Raja Dato’ Sri Ariff Shah.
“Ini tentunya menggamit nostalgia kerana pada istiadat pertabalan Almarhum Sultan Iskandar dulu pun menggunakan Nobat Diraja Perak,” Katanya.
Selain itu, alatan muzik Nobat Diraja Perak yang dimainkan oleh susur galur Orang Kalur di negeri itu hanya boleh dibawa keluar dari istana dan sempadan negeri setelah mendapat perkenan Sultan Perak.
“Permohonan perkenan itu amat istimewa dan berlangsung dengan penuh santun.”
“Sultan Ibrahim sendiri menulis warkah yang dipersembahkan kepada Sultan Nazrin oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil selaku Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-acara Sempena Istiadat Pertabalan Agong.”
“Tak boleh saya selaku Datuk Paduka Maharaja Lela mohon sendiri melalui panggilan telefon, e-mel atau WhatsApp sahaja, ia dilakukan atas hubungan dua baginda raja,” Kata Azuan Effendy yang turut menyatakan bahawa nobat yang biasa dimainkan pada istiadat pertabalan itu hanya terdapat di Perak, Selangor, Terengganu dan Kedah.
Warkah perkenan Sultan Nazrin pula telah dipersembah kepada Sultan Ibrahim menerusi utusan Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin dan Setiausaha Dewan Negara Perak Datuk Seri Ayop Hashim.
Dalam pada itu, Azuan Effendy yang telah terlibat dengan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong sebanyak lima kali berkata istiadat pertabalan kali ini juga mempamerkan sisi istimewa keakraban Sultan Ibrahim dan Sultan Nazrin selaku Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
“Sinergi baik antara Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong jelas terpancar apabila Sultan Ibrahim sendiri telah memberi perkenan kepada Sultan Nazrin untuk memilih menu yang akan disajikan sewaktu Majlis Santapan Diraja pada sebelah malam istiadat pertabalan di Istana Negara,” Katanya.
Terdahulu, Bernama turut melaporkan bahawa kira-kira 2,000 orang terlibat dalam memastikan kelancaran istiadat pertabalan bukan hanya membabitkan kakitangan Istana Negara.
Antara jabatan serta agensi lain yang terlibat dalam kelancaran istiadat pertabalan Agong tersebut adalah Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Kerja Raya dan banyak lagi.
Azuan Effendy bersama Fahmi, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri Datuk Awang Alik Jeman merangkap Pengerusi Majlis Rasmi Kerajaan dan Ketua Pegawai Istiadat Kerajaan Datuk Rozainor Ramli juga bertanggungjawab untuk menghadap Raja, Sultan serta semua Tuan Yang Terutama (TYT) bagi mempersembah warkah persilaan.
“Warkah persilaan ini masih dikekalkan sejak sekian lama, ia menggunakan tulisan jawi yang ditulis tangan, diletakkan di dalam kapsul khas untuk dipersembahkan kepada Raja-Raja Melayu dan TYT,” Katanya.
Difahamkan, setakat ini Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja Bahrain Hamad Bin Isa Al Khalifa telah mengesahkan keberangkatan, selain 700 tetamu lain termasuk wakil kedutaan serta wakil-wakil kementerian dan jabatan.
Pada istiadat pertabalan Agong kali ini, dif-dif kehormat lelaki dari Johor akan mengenakan baju Melayu Teluk Belanga dan songkok tanpa sebarang bintang atau pingat kerana ia merupakan kaedah pemakaian sebenar.
Menurut Azuan Effendy, bagi busana Sultan Ibrahim pula, Seri Paduka Baginda akan memakai muskat yang merupakan persalinan kebesaran Yang di-Pertuan Agong lengkap dengan tengkolok, pending serta keris.
Manakala Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah pula telah memperincikan persalinan Seri Paduka Baginda yang bakal dihasilkan oleh seorang pereka terkemuka tempatan.
Sultan Ibrahim telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lalu.