Daerah Penampang di Sabah mengalami banjir terburuk dalam sejarah dengan paras air banjir dicatatkan sehingga 10.05 meter pada malam Ahad, 30 Jun lalu.
Di waktu kecemasan apabila penduduk yang terjejas bertindak menyelamatkan diri dan harta benda masing-masing, satu kisah menyentuh hati muncul.

Selepas gambar seorang wanita menyelamatkan beberapa ekor kucing di atas bot tiub pelampung, ia telah menarik perhatian ramai.
Gambar itu dikongsikan oleh beberapa individu di media sosial, termasuk oleh Tasha Nat di Facebook, yang memaparkan wanita itu dilihat memegang erat empat ekor kucing yang cemas memerhatikan tempat berlindung mereka dinaiki deras air banjir.
Tindakan tidak mementingkan diri itu telah menyentuh hati warganet yang mula mencari identiti wanita penyelamat kucing berkenaan.

Ini termasuk Tasyah Tni dari Pet Wellness, pusat dandanan dan penjagaan kucing berpangkalan di Kota Kinabalu, yang ingin menyediakan dandanan percuma buat kucing yang diselamatkan.
Akhirnya identiti wanita yang berhati mulai itu telah dikenal pasti sebagai Dr Phoebe, seorang doktor gigi dari Klinik Pergigian Dr Natasha.
Dalam ruangan komen hantaran Tasyah Tni, beliau mendedahkan telah menghubungi Dr Phoebe untuk memberikan bantuan.

Susulan itu, ramai yang memuji Dr Phoebe ekoran tindakan mulianya.
Seorang warganet berkata dia terharu melihat kesungguhan Dr Phoebe yang bergelut demi menyelamatkan nyawa beberapa ekor kucing.
Sementara beberapa yang lain mendoakan agar penduduk termasuk haiwan yang terjejas di Penampang berada dalam keadaan selamat dan dilindungi sepanjang bencana alam itu.