Scammer kini semakin berani menyamar sebagai personaliti dan organisasi terkemuka di seluruh Facebook, Instagram dan WhatsApp. Creador menjadi syarikat terbaharu yang menjadi mangsa.
Dalam kenyataan akhbar pada 1 Julai, pengasas Creador, Brahmal Vasudevan mendedahkan scammer telah menyamar sebagai syarikatnya termasuk cabang badan bukan keuntungannya, Yayasan Creador.
Creador ialah firma ekuiti swasta yang menyediakan bantuan dan sokongan kewangan kepada usahawan Malaysia.
Atas posisi sedemikian, Brahmal berkata sindiket penipuan telah menyamar sebagai Creador untuk mempromosikan seminar pelaburan atau memberikan nasihat pelaburan.
Hampir semua hantaran dan siaran ini ditandakan sebagai tajaan merentas tiga platform utama Meta.
Creador berkata ramai rakyat Malaysia, terutamanya warga emas, telah kehilangan wang titik peluh mereka kepada sindiket penipuan ini.
Brahmal menyelar Meta kerana didakwa gagal melindungi penggunanya.
“Kami bimbang sekiranya Meta tidak bertindak tegas. Membenarkan siaran tajaan ini diterbitkan adalah tidak boleh diterima,” kata Brahmal.
“Meta telah mendapat keuntungan daripada penipuan ini dengan membenarkan siaran tajaan yang menyamar sebagai Creador dan organisasi lain serta tokoh terkenal,” tambahnya.