Novel “soft porn” yang dicetak sebanyak 80 ribu naskah dan laris terjual di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 amat membimbangkan.
Seorang ibu, dikenali sebagai Puan A menyatakan kebimbangannya mengenai situasi ini kepada penceramah bebas, Akhi Fairuz Al-Jengkawi.
Menurut Puan A, novel bertajuk Lelaki Astatine ini sangat popular dan ramai pelajar sekolah yang membelinya. Kandungan novel tersebut pula bercampur dengan ilmu kimia, ilmu bidang penerbitan, islamik dan babak pornografi ringan (soft porn).
Apa yang membuatkan Puan A bimbang ialah terdapat segelintir masyarakat yang beranggapan bahawa babak-babak pornografi ringan itu “biasa sahaja”.
Menerusi hantaran di Facebook itu juga, Puan A menzahirkan rasa kesal kerana novel itu dijual di Mall Kota Bharu.
Namun mujurlah pihak Mall Kota Bharu menyatakan dalam ruang komen hantaran terbabit bahawa jualan buku berkenaan telah pun digantung.
Selain Puan A, Tuan Akhi Fairuz juga menerima beberapa komen daripada ibu bapa dan guru-guru yang turut sama bimbang akan situasi ini.
Contohnya Puan Roziyah. Beliau pernah bertanya kepada pelajar buku apa yang mereka baca dan amat memeranjatkan apabila 99 peratus pelajar perempuan daripada darjah 5 hingga ke sekolah menengah menyebut novel ini.
Kata Puan Roziyah lagi, pelajar sekolah agama juga menganggap babak pornografi ringan ini adalah perkara biasa.
Menurut Tuan Akhi Fairuz, beberapa tahun lepas tular novel fantasi lucah Jaan Punching Bag dan beliau adalah antara orang yang lantang menentang.
Akhirnya penulis novel berkenaan mengakui kesilapan dan meminta maaf atas ketelanjuran penulisannya di aplikasi Wattpad dan Facebook.
Namun kali ini novel pornografi ringan bukan sahaja dibukukan malah jualannya amat laris.
Situasi ini amat membimbangkan kerana bukan orang dewasa sahaja yang membacanya malah kanak-kanak sekolah rendah juga membaca novel tidak beretika berkenaan.
Dalam mana-mana ceramah, Tuan Akhi Fairuz juga sudah banyak kali mengingatkan pelajar perempuan khususnya agar tidak terjebak dengan novel berunsurkan lucah.
Namun semua usaha ini tidak akan berhasil jika hanya satu pihak sahaja yang bersungguh-sungguh membanteras novel pornografi ringan ini.
Apa yang ibu bapa atau guru-guru boleh lakukan ialah dengan mendapatkan ulasan novel terlebih dahulu seperti di aplikasi Goodreads.
Selain itu, ibu bapa mesti mengambil tahu latar belakang penerbit. Untuk pengetahuan, penulis yang bernaung di bawah sesebuah rumah penerbitan biasanya menulis mengikut syarat penerbit tersebut.
Antara penerbit yang berkualiti ialah:
- PTS
- Iman Publication
- ITBM
- Manés Wordworks
- DBP
Ibu bapa harus lebih tegas supaya anak-anak tidak terjerumus dengan perkara yang tidak beretika yang mana sekali gus boleh menyumbang kepada berlakunya gejala sosial dan tidak bermoral pada masa akan datang.
Suka diingatkan juga kepada pembeli-belah peribadi (personal shopper) agar tidak mengambil tempahan pembelian novel pornografi ringan seperti contoh yang dinyatakan.
Bersama-samalah kita sehabis baik membanteras penularan novel pornografi ringan agar anak-anak kita terpelihara daripada gejala tidak bermoral.