Ada sesetengah orang dianugerahkan dengan usia yang sudah separuh abad tetapi penampilan kekal kelihatan muda.
Apabila mereka mendedahkan umur sebenar, mungkin ramai yang tidak menyangka orang ini hampir sebaya dengan usia atuk dan nenek mereka.
Untuk tampil nampak muda, ia bergantung kepada gaya hidup dan cara penjagaan diri seseorang.
Kena tanya empunya diri apa rahsia awet muda, seperti seorang pramugara dari syarikat penerbangan AirAsia ini.
Dalam paparan video TikTok perkongsian @airasiacabincrew yang tular baru-baru ini, ramai yang tidak menyangka usia salah seorang pramugara Air Asia sudah mencecah 60 tahun.
Pramugara Nordin Razali menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-60 baru-baru ini.
Video berkenaan memaparkan kakitangan AirAsia dilihat membuat kejutan sambutan ulang tahun kelahiran Nordin yang ke-60.
Menurut video berkenaan, Nordin merupakan kru kabin pertama yang masih bertugas bersama AirAsia meskipun sudah memasuki usia 60 tahun.
Ramai rakan sekerja yang memuji Nordin yang dilihat sebagai seorang sangat gigih dan berdedikasi dalam tugasnya.
Walau bagaimanapun, Nordin kemudian mengumumkan bakal bersara dan penerbangan selama satu jam 30 minit ke Kuching merupakan tugas terakhirnya selepas bergelar pramugara selama 35 tahun.
Ketika membuat pengumuman dalam penerbangan tersebut, Nordin turut berterima kasih kepada para penumpang kerana mempercayai mereka yang mengendalikan penerbangan.
“35 tahun sangat magikal buat saya. Terima kasih kerana mempercayai kami. Segala kisah anda, senyuman dan kebaikan telah menjadikan karier saya cukup seronok dan tidak dapat diungkapkan,” kata Nordin.
Video tular tersebut telah menarik perhatian ramai selepas mereka mengetahui usia sebenar Nordin.
Ramai pengguna TikTok seolah-olah tidak percaya dengan usia pramugara tersebut dengan ada yang berpendapat wajahnya seperti seorang yang berusia 40 tahun.
Sehinggakan ada anak muda yang meminta tips dan rahsia untuk kekal awet muda seperti Nordin.