24.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, August 28, 2025
Utama Blog Laman 247

Pemilik kedai makan keluar dalam keadaan tergesa-gesa, pelanggan ‘layan diri’ dengan buat mi sendiri dan tidak lupa buat bayaran makanan

0

Alangkah baiknya jika semua orang boleh mengamalkan sikap jujur. Bayangkan jika tiada satu pun penipuan yang berlaku, pastinya suasana akan menjadi lebih baik. Kejujuran itulah yang dibuktikan oleh pelanggan di sebuah kedai makan di China yang pasti akan buatkan ramai yang kagum.

Apa yang berlaku ialah pada suatu hari, pemilik kedai makan yang bernama Sun Nan itu terpaksa keluar dan meninggalkan kedai makannya dalam keadaan tergesa-gesa. Ketika itu masih ada pelanggan di kedainya dan dia terus keluar tanpa menutup kedainya.

Apa yang membuatnya tersentuh ialah selama dua jam dia berada di luar, dia menerima banyak notofikasi yang menunjukkan pembayaran yang dilakukan oleh para pelanggannya.

Rupa-rupanya, pelangggan-pelanggannya terus makan di kedainya dan dengan jujur melakukan pembayaran ke atas makanan yang mereka makan. Mereka telah membuat mi mereka sendiri dan bayar harga makanan tersebut melalui imabasan kod. Tidak hanya itu, ada antara mereka yang bermurah hati dengan membayar lebih daripada harga sebenar.

Sejak Sun Nan membuka kedainya dia meletakkan harga yang jauh lebih rendah daripada harga pasaran, dan caj untuk warga emas, tukang cuci, orang miskin dan golongan kurang upaya adalah lebih rendah. Tidak hanya itu, kadang kala dia juga tidak mengenakan sebarang bayaran kepada pelanggan.

Walaupun tingkah laku Sun Nan diterima baik, ada yang tidak berpuas hati apabila melihat popularitinya semakin meningkat. Pada 21 November lalu, seorang lelaki telah menyerbu kedainya dan membuat kacau malah dia telah menampar Sun Nan di khalayak ramai!

Menurut Sun Nan berkata, pengacau itu sebenarnya telah ada sejak dahulu lagi. Hampir setiap minggu ada yang datang ke kedainya untuk memarahinya kerana menjual makanan dengan harga yang murah.

Keesokan harinya dia telah pergi ke balai polis untuk menyelesaikan masalah tersebut. Orang yang menamparnya telah datang semula untuk meminta maaf kepadanya.

Jadi, dia terpaksa bergegas ke sana tanpa menutup kedainya kerana dia menyangka dia hanya pergi seketika namun rupa-rupanya dia mengambil sekitar 2 jam untuk menyelesaikan semua urusannya.

Sun Nan berkata bahawa pada waktu itu sudah tengah hari, dan apabila dia kembali ke kedai, dia mendapati ramai pelanggan yang membuat mi tarik mereka sendiri. Mereka juga tidak lupa untuk membuat bayaran.

Menurut Sun Nan lagi, dia sebenarnya dibesarkan dengan makanan yang diperolehi daripada bantuan orang ramai. Jadi, apabila dewasa dia membuka kedai makan dan meletakkan harga yang rendah kerana mahu memberi semula kepada masyarakat sebagai balas budi.

Varian baharu Omicron dari Afrika Selatan: Apa yang diketahui setakat ini

0

Para saintis Afrika Selatan menemui varian terbaharu COVID-19 yang mereka dakwa mungkin menjadi penyebab lonjakan jangkitan baharu di negara itu, mengakibatkan panik di seluruh dunia akan kebimbangan varian yang sangat bermutasi itu menular di peringkat global.

Afrika Selatan merekodkan lebih 200 kes baharu yang disahkan setiap hari sehingga baru-baru ini jumlah itu tiba-tiba meningkat kepada 2,465 pada 25 November. Para saintis mengkaji sampel virus dan mendapati kebanyakannya tertumpu di Gauteng, wilayah paling ramai penduduk di negara itu dan Johannesburg menemui varian baharu yang Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) namakan Omicron pada 26 November.

“Ini adalah varian mutasi yang menjadi kebimbangan serius,” kata Menteri Kesihatan Joe Phaahla ketika sidang media. Phaahla berkata varian terbaharu berada di sebalik “peningkatan eksponen” kes, tetapi pakar sedang cuba untuk mengesahkannya, kerana membuktikan hubung kait sebenar memerlukan masa.

Gambar Hiasan / Unsplash

Buat masa ini, tiada laporan berhubung varian itu di Malaysia dan kebanyakan kes masih tertumpu di Afrika Selatan dengan yang lain dilaporkan di Botswana, Israel, Hong Kong dan Malawi, di mana jangkitan itu dikenal pasti melalui kemasukan pelawat yang datang dari Afrika Selatan. Belgium melaporkan kes pertama varian itu pada 26 November.

Banyak Mutasi

Saintis Afrika Selatan Tulio de Oliveira berkata ketika taklimat media pada 25 November bahawa varian Omicron yang baharu ditemui mempunyai “buruj unik” dengan lebih 30 mutasi kepada protein spikenya, yang jauh lebih tinggi dan paling membimbangkan berbanding varian Delta. Memandangkan protein spike terikat pada sel yang dijangkiti, bilangan mutasi yang tinggi memberi kesan tentang betapa mudahnya varian itu boleh merebak di kalangan populasi dan meningkatkan risiko jangkitan semula.

Varian yang dikenali sebagai B.1.1.529, mengandungi sejumlah 50 mutasi. Ia mempunyai 10 mutasi pada reseptor ACE2, yang membolehkan virus itu menjangkiti sel manusia, berbanding tiga untuk varian Beta, dan dua untuk Delta, jelas Tulio de Oliveira.

Pengerusi COVID-19 Genomics Consortium UK, Profesor Sharon Peacock berkata kepada Reuters, “ini adalah varian yang lebih mudah disebarkan,” tetapi “jumlah signifikan mutasi yang dikesan benar-benar tidak diketahui”. Beliau menambah kajian sedang dijalankan pada kadar segera di Afrika Selatan tetapi mereka akan mengambil masa beberapa minggu untuk disiapkan.

Lawrence Young, ahli virologi dari Universiti Warwick, berkata kepada AP bahawa varian itu “kelihatan merebak dengan pantas,” walaupun buat masa ini ia hanya ditemui di bahagian Afrika Selatan.

Menurut Profesor Richard Lessells, dari Universiti KwaZulu-Natal di Afrika Selatan, varian terbaharu ini mempunyai persamaan dengan varian Beta dan Lambda, kerana ia terdedah untuk mengelak imuniti.

“Kesemua perkara berkaitan memberi kebimbangan kepada kita bahawa varian ini mungkin bukan sahaja meningkatkan kebolehjangkitan—sehingga tersebar dengan lebih cekap—tetapi mungkin juga dapat mengatasi bahagian sistem imun dan perlindungan yang ada dalam sistem imun kita,” kata Profesor Lessells.

Kes baharu yang dijangkiti di Afrika Selatan kebanyakannya ditemui pada golongan muda. Menurut Joe Phaahla, kira-kira 25 peratus dalam kategori umur 18 hingga 34 tahun telah menerima vaksinasi.

Seperti yang sama dengan varian Alpha, lelaran terakhir ini mungkin berasal dari individu lemah imun yang boleh mengubah suai virus secara genetik apabila sistem tubuh badannya tidak dapat menyingkirkannya tepat pada masa.

Corona Borealis Studio/Shutterstock

Sekatan perjalanan

Varian Omicron muncul ketika jangkaan peningkatan kemasukan pelawat dan pengembara peringkat global menjelang musim cuti hujung tahun dan PRN Sarawak di Malaysia yang akan diadakan.

Felo kanan Akademi Sains Malaysia, Dr Lam Sai Kit berkata, walaupun tiada laporan berhubung varian itu di Malaysia, negara perlu kekal berwaspada kerana ia muncul di tengah pergerakan orang ramai pada ketibaan masa yang begitu buruk.

Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin mengumumkan sekatan perjalanan pengembara warga Malaysia ke tujuh buah negara iaitu Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe bermula 27 November.

Beliau berkata ia merupakan inisiatif kerajaan dalam mempertingkatkan langkah pencegahan dan kawalan sempadan termasuk pengembara yang tiba di pintu masuk negara, sambil menekankan KKM sentiasa memantau laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan negara lain berkaitan perkembangan varian Omicron.

Gambar Hiasan / Unsplash

Kumpulan Penasihat Teknikal WHO mengadakan mesyuarat tergempar secara maya mengenai Evolusi Virus SARS-CoV-2 dalam membincangkan dan menetapkan B.1.1.529 atau Omicron sebagai VOC (Variant of Concern) pada 26 November.

“Kami belum tahu sangat tentang perkara ini. Apa yang kami tahu ialah varian ini mempunyai sejumlah besar mutasi, dan kebimbangannya ialah apabila anda mempunyai begitu banyak mutasi, ia boleh memberi kesan kepada cara virus berkelakuan,” kata Maria Van Kerkhove, Ketua Penasihat Teknikal WHO mengenai COVID-19 kepada ABC News.

Memandangkan hanya terdapat kurang 100 jujukan genom penuh atas varian, kesan vaksin sedia ada tidak dapat ditentukan. “Ia akan mengambil masa beberapa minggu untuk kita memahami kesan varian ini terhadap mana-mana vaksin yang berpotensi,” kata Maria Van Kerkhove.

Wanita dari Terengganu ini tergolong antara 43 individu seluruh dunia yang memiliki ‘darah emas’

0

Kita telah dikejutkan dengan penularan berita mengenai seorang wanita di Terengganu yang dikhabarkan memiliki ‘darah emas’. Golongan darah Rh-null atau The Golden Blood ini dianggap bernilai bukan kerana ia mengandungi emas di dalam darah seseorang namun disebabkan oleh ia merupakan kumpulan darah paling unik dan sukar ditemui di seluruh dunia!

Wanita ini menjadi satu-satunya rakyat Malaysia yang memiliki darah emas tersebut sekali gus tergolong dalam 43 individu seluruh dunia yang memiliki darah unik tersebut. Kebiasaannya, kita hanya mengetahui tentang empat jenis kumpulan darah iaitu A, B, AB dan juga O. Namun, kali ini kewujudan darah emas adalah sesuatu yang sangat menarik perhatian ramai.

Menurut laporan, kumpulan darah Rh-null ini kali pertama ditemui pada seorang wanita dari puak asli Australia sekitar tahun 1961. Pada ketika itu, doktor menyimpyulkan individu yang memiliki darah jenis ini tidak mampu bertahan lama setelah dilahirkan. Hal ini kerana bayi yang memiliki darah emas kekurangan antigen Rh yang merupakan fungsi penting dalam tubuh manusia.

Kumpulan darah Rh-null ini terbahagi kepada dua kategori iaitu Rh-positif (kurang antigen Rh) dan Rh-negatif (kurang antigen RhD sahaja). Individu yang mempunyai darah emas ini dipercayai cenderung untuk menghidap penyakit hemolytic anemia di aman penghidap akan kelihatan tidak bermaya dan sering berwajah pucat.

Antara keadaan lain yang dialami oleh individu yang memiliki darah emas ini adalah sukar untuk menderma atau menerima darah, mengalami komplikasi penyakit seperti kegagalan ginjal dan sukar untuk hamil.

Darah wanita ini akan seterusnya dihantar ke Pusat Darah Negara, Kuala Lumpur untuk disejukbekukan. Stok darah ini kemudiannya akan disimpan di dalam peti nitrogen dengan suhu serendah -80 darjah Celcius selama 10 tahun. Darah ini kemudiannya akan dicairkan sekiranya ada pesakit yang memerlukannya.

Harga roti Gardenia naik berkuat kuasa 1 Disember ini

0

Syarikat pengeluar roti terkenal iaitu Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd (Gardenia KL) mengumumkan akan menyemak semula kenaikan harga bagi produk Gardenia yang akan berkuat kuasa mulai 1 Disember ini.

Sumber : Agenda Daily

Menurut kenyataan, Gardenia KL telah menegaskan bahawa pihaknya terpaksa melakukan semakan semula harga memandangkan berlakunya peningkatan yang ketara bukan sahaja dalam kos pengeluaran tetapi juga kos bahan yang di luar kawalan mereka.

“Semakan harga itu melibatkan produk dalam keadaan tertentu yang mengekalkan harga sama selama bertahun-tahun termasuk rangkaian roti Gardenia Original Classics“.

Sumber : Malaysia Dateline

Tambah kenyataan itu, “Harga produk lain yang disemak semula juga meliputi rangkaian Gardenia Delicia, ban, roti krim, mufin, Gardenia Twiggies, wafel dan Gardenia Numee. Semakan harga ini dilaksanakan ekoran kenaikan harga bahan mentah, antara lain termasuk tepung, tepung gandum penuh, lemak sayuran, serbuk koko, susu dan pembungkusan”.

Sumber : Malaysia Dateline

Berikut merupakan harga baharu bagi beberapa produk Gardenia bermula 1 Disember ini:

  1. Gardenia QuickBites Cream Roll (semua perisa) – RM1
  2. Gardenia Original Classic – RM2.80
  3. Gardenia Original Classic Jumbo – RM4.00
  4. Gardenia Bonanza Big Value – RM3.10
  5. Gardenia Wholemeal – RM3.60
  6. Gardenia Delicia (semua perisa) – RM5.00
  7. Gardenia Toast’em (semua perisa) – RM5.00
  8. Gardenia Fluffy Buns (semua perisa) – RM3.70
  9. Gardenia Twiggies (semua perisa) – RM1.80
  10. Gardenia Waffles (semua perisa) – RM1.40
  11. Gardenia Puazz! Sambal Bilis – RM1.30
  12. Gardenia NuMee – RM1.70

KJ : Murid sekolah rendah wajib jalani ujian saringan COVID-19 secara mingguan

0

Kerajaan menetapkan bahawa semua murid sekolah rendah diwajibkan untuk menjalani ujian saringan COVID-19 mingguan secara bergilir.

Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, langkah itu yang bermula pada 29 November ini bertujuan untuk mengelakkan wujudnya kluster pendidikan.

Ujarnya, ia juga adalah sebahagian daripada Strategi Pengujuan COVID-19 Kebangsaan, di mana murid sekolah rendah di bawah usia kelayakan menerima vaksin perlu diuji secara mingguan.

“Ujian ini perlu dilaksanakan ke atas sekurang-kurangnya 10% sampel daripada populasi murid di sesebuah sekolah”.

Murid difahamkan akan menjalani ujian saringan secara bergilir terhadap sampel berbeza setiap minggu bagi melihat wujud kesan gejala atau sebaliknya.

Jika bergejala, tentunya perlu buat ujian. Jika tidak bergejala pula, ujian sampel daripada populasi pelajar mesti dibuat.

Murid sekolah akan menjalani ujian kendiri COVID-19 dan akan dipantau oleh institusi sekolah, ujarnya lagi.

Udang kara rasa kesakitan ketika direbus hidup-hidup, UK bakal haram amalan ini bawah undang-undang kebajikan haiwan

0

Merebus udang kara secara hidup-hidup dalam air mendidih akan menyalahi undang-undang di United Kingdom tidak lama lagi selepas kajian mendapati hidupan laut itu boleh merasai kesakitan seperti manusia.

Kajian penyelidik dari London School of Economics (LSE) mendapati terdapat bukti saintifik kukuh yang menunjukkan haiwan laut spesies decapod itu mampu merasai kesakitan dan memahami ketika berhadapan bahaya, lapor The Guardian.

Penyelidikan itu menunjukkan krustasea decapod mempunyai reseptor opioid dan bertindak balas terhadap ubat penahan sakit opioid dengan cara yang sama seperti vertebrata, dengan kukuh menunjukkan haiwan ini berasa sakit. 

Reaksi decapod terhadap serangan badan, seperti cuba melarikan diri daripada air mendidih, adalah bukti lanjut tentang keupayaan mereka untuk merasai penderitaan dan kesakitan. 

Gambar Hiasan / Pixabay

Di samping, terdapat kajian yang lebih besar menunjukkan bahawa cephalopod mempunyai otak yang kompleks dan sistem saraf, dapat belajar dan bertindak mengelak pengalaman tidak menyenangkan seperti kejutan elektrik, untuk menyelesaikan masalah dan menggunakan alatan.

Bukti-bukti yang bermakna haiwan berkenaan akan diiktiraf sebagai makhluk hidup menurut Rang Undang-Undang Kebajikan Haiwan yang bakal dibentang.

Menteri Kebajikan Haiwan Zac Goldsmith berkata, “Kajian saintifik amat jelas menunjukkan krustasea decapod dan moluska cephalopod boleh merasakan kesakitan, maka dengan ini adalah wajar haiwan yang disebutkan dilindungi haknya di bawah undang-undang yang penting ini.”

Hidupan laut decapod yang bakal disenaraikan membabitkan udang kara, udang galah dan ketam, manakala cephalopod termasuk sotong, yang sebelum ini dikecualikan daripada rang undang-undang berkenaan.

Hidupan laut ini dikecualikan walaupun haiwan terbabit mempunyai sistem saraf pusat yang kompleks yang dilihat sebagai salah satu ciri utama sentience atau keupayaan makhluk yang dapat merasa.

“Selepas melakukan lebih 300 kajian saintifik, kami membuat kesimpulan krustasea decapod dan moluska cephalopod perlu dianggap sebagai makhluk hidup. Oleh itu, haiwan ini juga perlu dimasukkan di dalam skop undang-undang kebajikan haiwan,” kata Dr. Jonathan Birch dari LSE.

Gambar Hiasan / Pixabay

Dr. Birch menambah dengan pindaan yang akan dibentangkan, ia akan membantu menghapuskan sebarang pencanggahan terhadap haiwan laut dalam kategori ini.

Menurut Dr. Birch lagi, sotong dan cephalopod lain dilindungi dalam sains selama bertahun-tahun, tetapi tidak pernah menerima sebarang perlindungan di luar sains.

Jabatan Alam Sekitar, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar (DEFRA) United Kingdom akan membentangkan pindaan rang undang-undang berkenaan di Parlimen bagi memberi pengiktirafan hak dan perlindungan ke atas haiwan laut terbabit.

Beberapa negara lain yang telah memberi perlindungan kepada spesies hidupan laut ini dalam perundangan kebajikan haiwan termasuk Norway, New Zealand, Austria, serta sebahagian Itali dan Jerman.

Harimau bintang salah pilih mangsa, pemburuan berakhir dengan tertusuk duri landak

0

Harimau bintang adalah salah satu spesies pemburu yang sangat gigih dan tidak mudah berputus asa. Sikap tersebut secara tidak langsung membantunya menjadi pemangsa yang berjaya.

Lazimnya haiwan tersebut akan memburu rusa, lembu dan sebagainya namun kali ini, harimau kumbang terpaksa mengaku kalah dalam cubaannya memburu seekor landak!

Baru-baru ini, tular satu video menunjukkan seekor harimau bintang yang muda di Taman Kruger, Afrika Selatan cuba memburu landak.

Harimau berkenaan pada mulanya bergerak mengekori sahaja langkah si landak dan cuba menyentuhnya.

Tidak berapa lama kemudian, kelihatan duri landak tertusuk pada kakinya. Duri itu walau bagaimanapun berjaya dicabut selepas itu.

Setelah beberapa ketika, jelas kelihatan darah mula terbit pada kaki harimau yang terkena tusukan duri landak itu tadi.

Menrut jurufoto yang merakamkan situasi itu, Mariette Landman, ia merupakan satu pengalaman yang tidak pernah dilihatnya.

“Perlawanan itu berlangsung lebih kurang 90 minit. Harimau berkenaan berehat sebentar selama 3 kali untuk menjilat kakinya yang cedera sebelum cuba berlawan lagi”.

Tambah Mariette, ianya berakhir setelah kedua-duanya berjalan membawa haluan masing-masing.

Saksikan video di bawah :

Jumpa dua telur cicak di atas sofa, wanita ini kongsi video cara menjaga telur itu sehingga menjadi tular

0

Sekiranya anda menemui haiwan seperti anak kucing yang ditinggalkan atau kematian ibunya, pasti ramai yang akan merasa simpati dan bertindak untuk memelihara haiwan tersebut. Namun, apa agaknya yang akan anda lakukan sekiranya anda menemui dua biji telur kecil yang tidak diketahui identitinya.

Baru-baru ini, sebuah video di laman TikTok telah meraih berjuta tontonan apabila wanita di dalam video berkenaan menunjukkan proses dia menjaga dua biji telur misteri yang ditemui di sofa rumahnya.

Dikenali sebagai Farizabonu Kadirova atau Bonya, wanita kelahiran Uzbekistan ini tidak menyangka videonya berjaya menarik perhatian ramai pengguna media sosial. Bonya yang sememangnya memiliki sifat penyayang terhadap haiwan mengambil keputusan untuk menjaga telur itu sehingga ia menetas.

“Saya rasa sifat sayangkan haiwan yang ada dalam diri saya ini datangnya dari ayah saya. Sewaktu kecil, ayah selalu bawa pulang haiwan dan menjaganya,” kata wanita berusia 31 tahun yang kini menetap di Selangor itu.

Menurut Bonya, bagi memastikan persekitaran yang sesuai untuk telur itu menetas, dia telah menyediakan sarang kecil yang dilengkapi dengan cahaya hangat. Dia dan anaknya turut memeriksa perkembangan telur itu dengan menggunakan lampu suluh.

“Kami sangat teruja apabila nampak kedua-dua embrio itu bergerak tetapi salah satu telur itu warnanya semakin gelap manakala satu lagi cerah”.

Bagaimanapun, setelah seminggu, salah satu daripad atelur tersebut tidak lagi menunjukkan sebarang pergerakan manakala telur yang kedua kelihatan sangat aktif dan bergerak dengan gembira.

Selepas kira-kira tiga minggu, telur kedua itu akhirnya menetas. Alangkah terkejutnya Bonya apabila mendapati telur yang dijaga selama ini merupakan telur mengkarung!

“Saya tidak boleh nak jaga kerana saya ada kucing dan kucing saya suka menangkap cicak. Saya takut suatu hari nanti kucing saya akan buka terrarium (bekas simpan haiwan) tersebut untuk menangkap cicak saya“.

Pasangan ini didik 10 anak melalui kaedah persekolahan dari rumah, kesemua berjaya memasuki universiti sebelum usia 13 tahun

0

Keluarga besar dari Amerika Syarikat ini digelar keluarga genius. Ini kerana kesemua 10 orang anak dalam keluarga itu berjaya memasuki universiti sebelum usia mereka menjejak 13 tahun, sehingga mengejutkan seluruh dunia.

Bagaimanapun, ibu mereka Monalisa Harding, 53 tahun menegaskan anak-anaknya ‘bukan kanak-kanak genius’. Cuma prestasi akademik yang cemerlang daripada kesemuanya adalah hasil didikan keluarga mengunakan kaedah persekolahan dari rumah yang efisien dan penuh berdisiplin.

Monalisa dan suaminya Kip Harding merupakan pasangan sejak di bangku sekolah tinggi dari San Jose, California. Pasangan ini mengajar sendiri kesemua 10 orang anak mereka dari rumah mengikut sukatan pelajaran yang diaturkan oleh mereka sendiri, yang mana tidak mengikut sukatan pelajaran sekolah tradisional. 

Mona Lisa Harding / Facebook

Pasangan Harding mula menyedari cara pembelajaran dari rumah mereka berjaya dan berada di landasan yang betul setelah 3 orang anak mereka yang tua diterima masuk ke universiti sebelum berusia 13 tahun.

Anak perempuan sulung mereka Hannah kini berusia 34 tahun telah menamatkan pengajian dari Universiti Auburn di Montgomery, ketika usia 17 pada tahun 2004 dengan ijazah sarjana muda dalam bidang matematik. Hannah berjaya memasuki universiti ketika berusia 11 tahun. 

Anak bongsu mereka, Thunder yang berusia 11 tahun juga lulus peperiksaan kemasukan kolej pada tahun 2020. Pada masa ini, lapan adik-beradik dalam keluarga itu telah lulus dari universiti ketika purata usia 16 tahun.

Mona Lisa Harding / Facebook

Di samping itu, anak-anak Harding ini bukan sahaja mempunyai prestasi akademik yang cemerlang, tetapi juga pencapaian luar biasa dalam kerjaya mereka. 

Enam adik-beradik Harding telah lulus pengajian di universiti menjadi peguam termuda iaitu Seth Harding di Alabama pada usia 19 tahun, juga mereka kini berkerjaya sebagai doktor, arkitek, dan pereka kapal angkasa.

Mengenai prestasi cemerlang adik-beradik ini yang mengagumkan, Monalisa Harding menegaskan anak-anaknya ‘bukan anak genius’ dan percaya kejayaan setiap anak itu adalah kerana desakan suaminya untuk menggunakan teknik ‘persekolahan dari rumah’. 

Mona Lisa Harding / Facebook

Pasangan Harding menyifatkan kaedah ‘persekolahan dari rumah’ ciptaan mereka adalah sangat cekap sehingga menjadikannya lebih baik berbanding menghantar anak-anak pergi ke sekolah. Menurut mereka, cara pembelajaran ini lebih cekap dan sesiapa sahaja boleh melakukannya.

Ketika ini, pasangan Harding komited dalam mempromosikan “pendidikan di rumah”. Selain menerima jemputan untuk memberi kuliah di seluruh Amerika Syarikat dan menyediakan perkhidmatan perundingan untuk keluarga yang berminat, mereka juga menulis buku bertajuk ‘The Brainy Bunch’ yang memperincikan kaedah dan kemahiran pendidikan dari rumah.

Syarikat gergasi Ford umum tidak mewajibkan suntikan vaksin ke atas pekerjanya

0

Kesatuan Pekerja Auto Bersatu atau United Auto Workers (UAW) bersama-sama tiga syarikat pembuat kereta iaitu Ford, General Motors dan Stellantis telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka tidak mewajibkan para pekerja masing-masing untuk mendapatkan suntikan vaksin.

Sumber: The Epoch Times

Hal ini demikian kerana terdapat segelintir individu yang enggan mendapatkan vaksin disebabkan oleh pelbagai faktor seperti kesihatan atau kepercayaan agama.

Meskipun begitu, mereka tetap menggalakkan ahli kesatuan untuk mendedahkan status vaksinasi di samping menggesa rakan sekerja serta ahli keluarga untuk mendapatkan vaksin dan vaksin penggalak bagi menentang jangkitan virus COVID-19.

Sumber : The Epoch Times

Malah, kesatuan dan syarikat pembuat kereta terbesar ini turut bekerjasama dalam membentuk sebuah perikatan yang dikenali sebagai Pasukan Petugas Bersama COVID-19 yang bertujuan untuk menyebarkan kesedaran tentang vaksin COVID-19 dan perkara yang berkaitan dengannya.

Antara usaha yang dijalankan oleh pasukan tersebut adalah mewajibkan pemakaian topeng pelitup muka dan memaklumkan tentang data terkini peningkatan jumlah kes di beberapa kawasan seperti Michigan.

Sumber : The Epoch Times

Biden telah mengeluarkan kenyataan yang mewajibkan suntikan vaksin terhadap kesemua perusahaan swasta yang mempunyai lebih daripada 100 pekerja. Perintah ini dikatakan akan mula berkuat kuasa pada awal Januari 2022. Namun, mandat berkenaan telah ditarik balik selepas ianya dipercayai melanggar Perlembagaan Amerika Syarikat.

UAW yang mewakili sekitar 400,000 ahli turut memaklumkan bahawa pihaknya tidak pasti tentang jumlah ahli yang telah mengambil suntikan vaksin