Sekiranya anda menemui haiwan seperti anak kucing yang ditinggalkan atau kematian ibunya, pasti ramai yang akan merasa simpati dan bertindak untuk memelihara haiwan tersebut. Namun, apa agaknya yang akan anda lakukan sekiranya anda menemui dua biji telur kecil yang tidak diketahui identitinya.
Baru-baru ini, sebuah video di laman TikTok telah meraih berjuta tontonan apabila wanita di dalam video berkenaan menunjukkan proses dia menjaga dua biji telur misteri yang ditemui di sofa rumahnya.

Dikenali sebagai Farizabonu Kadirova atau Bonya, wanita kelahiran Uzbekistan ini tidak menyangka videonya berjaya menarik perhatian ramai pengguna media sosial. Bonya yang sememangnya memiliki sifat penyayang terhadap haiwan mengambil keputusan untuk menjaga telur itu sehingga ia menetas.
“Saya rasa sifat sayangkan haiwan yang ada dalam diri saya ini datangnya dari ayah saya. Sewaktu kecil, ayah selalu bawa pulang haiwan dan menjaganya,” kata wanita berusia 31 tahun yang kini menetap di Selangor itu.

Menurut Bonya, bagi memastikan persekitaran yang sesuai untuk telur itu menetas, dia telah menyediakan sarang kecil yang dilengkapi dengan cahaya hangat. Dia dan anaknya turut memeriksa perkembangan telur itu dengan menggunakan lampu suluh.
“Kami sangat teruja apabila nampak kedua-dua embrio itu bergerak tetapi salah satu telur itu warnanya semakin gelap manakala satu lagi cerah”.

Bagaimanapun, setelah seminggu, salah satu daripad atelur tersebut tidak lagi menunjukkan sebarang pergerakan manakala telur yang kedua kelihatan sangat aktif dan bergerak dengan gembira.
Selepas kira-kira tiga minggu, telur kedua itu akhirnya menetas. Alangkah terkejutnya Bonya apabila mendapati telur yang dijaga selama ini merupakan telur mengkarung!

“Saya tidak boleh nak jaga kerana saya ada kucing dan kucing saya suka menangkap cicak. Saya takut suatu hari nanti kucing saya akan buka terrarium (bekas simpan haiwan) tersebut untuk menangkap cicak saya“.