Merebus udang kara secara hidup-hidup dalam air mendidih akan menyalahi undang-undang di United Kingdom tidak lama lagi selepas kajian mendapati hidupan laut itu boleh merasai kesakitan seperti manusia.
Kajian penyelidik dari London School of Economics (LSE) mendapati terdapat bukti saintifik kukuh yang menunjukkan haiwan laut spesies decapod itu mampu merasai kesakitan dan memahami ketika berhadapan bahaya, lapor The Guardian.
Penyelidikan itu menunjukkan krustasea decapod mempunyai reseptor opioid dan bertindak balas terhadap ubat penahan sakit opioid dengan cara yang sama seperti vertebrata, dengan kukuh menunjukkan haiwan ini berasa sakit.
Reaksi decapod terhadap serangan badan, seperti cuba melarikan diri daripada air mendidih, adalah bukti lanjut tentang keupayaan mereka untuk merasai penderitaan dan kesakitan.

Di samping, terdapat kajian yang lebih besar menunjukkan bahawa cephalopod mempunyai otak yang kompleks dan sistem saraf, dapat belajar dan bertindak mengelak pengalaman tidak menyenangkan seperti kejutan elektrik, untuk menyelesaikan masalah dan menggunakan alatan.
Bukti-bukti yang bermakna haiwan berkenaan akan diiktiraf sebagai makhluk hidup menurut Rang Undang-Undang Kebajikan Haiwan yang bakal dibentang.
Menteri Kebajikan Haiwan Zac Goldsmith berkata, “Kajian saintifik amat jelas menunjukkan krustasea decapod dan moluska cephalopod boleh merasakan kesakitan, maka dengan ini adalah wajar haiwan yang disebutkan dilindungi haknya di bawah undang-undang yang penting ini.”
Hidupan laut decapod yang bakal disenaraikan membabitkan udang kara, udang galah dan ketam, manakala cephalopod termasuk sotong, yang sebelum ini dikecualikan daripada rang undang-undang berkenaan.
Hidupan laut ini dikecualikan walaupun haiwan terbabit mempunyai sistem saraf pusat yang kompleks yang dilihat sebagai salah satu ciri utama sentience atau keupayaan makhluk yang dapat merasa.
“Selepas melakukan lebih 300 kajian saintifik, kami membuat kesimpulan krustasea decapod dan moluska cephalopod perlu dianggap sebagai makhluk hidup. Oleh itu, haiwan ini juga perlu dimasukkan di dalam skop undang-undang kebajikan haiwan,” kata Dr. Jonathan Birch dari LSE.

Dr. Birch menambah dengan pindaan yang akan dibentangkan, ia akan membantu menghapuskan sebarang pencanggahan terhadap haiwan laut dalam kategori ini.
Menurut Dr. Birch lagi, sotong dan cephalopod lain dilindungi dalam sains selama bertahun-tahun, tetapi tidak pernah menerima sebarang perlindungan di luar sains.
Jabatan Alam Sekitar, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar (DEFRA) United Kingdom akan membentangkan pindaan rang undang-undang berkenaan di Parlimen bagi memberi pengiktirafan hak dan perlindungan ke atas haiwan laut terbabit.
Beberapa negara lain yang telah memberi perlindungan kepada spesies hidupan laut ini dalam perundangan kebajikan haiwan termasuk Norway, New Zealand, Austria, serta sebahagian Itali dan Jerman.