Keluarga besar dari Amerika Syarikat ini digelar keluarga genius. Ini kerana kesemua 10 orang anak dalam keluarga itu berjaya memasuki universiti sebelum usia mereka menjejak 13 tahun, sehingga mengejutkan seluruh dunia.
Bagaimanapun, ibu mereka Monalisa Harding, 53 tahun menegaskan anak-anaknya ‘bukan kanak-kanak genius’. Cuma prestasi akademik yang cemerlang daripada kesemuanya adalah hasil didikan keluarga mengunakan kaedah persekolahan dari rumah yang efisien dan penuh berdisiplin.
Monalisa dan suaminya Kip Harding merupakan pasangan sejak di bangku sekolah tinggi dari San Jose, California. Pasangan ini mengajar sendiri kesemua 10 orang anak mereka dari rumah mengikut sukatan pelajaran yang diaturkan oleh mereka sendiri, yang mana tidak mengikut sukatan pelajaran sekolah tradisional.

Pasangan Harding mula menyedari cara pembelajaran dari rumah mereka berjaya dan berada di landasan yang betul setelah 3 orang anak mereka yang tua diterima masuk ke universiti sebelum berusia 13 tahun.
Anak perempuan sulung mereka Hannah kini berusia 34 tahun telah menamatkan pengajian dari Universiti Auburn di Montgomery, ketika usia 17 pada tahun 2004 dengan ijazah sarjana muda dalam bidang matematik. Hannah berjaya memasuki universiti ketika berusia 11 tahun.
Anak bongsu mereka, Thunder yang berusia 11 tahun juga lulus peperiksaan kemasukan kolej pada tahun 2020. Pada masa ini, lapan adik-beradik dalam keluarga itu telah lulus dari universiti ketika purata usia 16 tahun.

Di samping itu, anak-anak Harding ini bukan sahaja mempunyai prestasi akademik yang cemerlang, tetapi juga pencapaian luar biasa dalam kerjaya mereka.
Enam adik-beradik Harding telah lulus pengajian di universiti menjadi peguam termuda iaitu Seth Harding di Alabama pada usia 19 tahun, juga mereka kini berkerjaya sebagai doktor, arkitek, dan pereka kapal angkasa.
Mengenai prestasi cemerlang adik-beradik ini yang mengagumkan, Monalisa Harding menegaskan anak-anaknya ‘bukan anak genius’ dan percaya kejayaan setiap anak itu adalah kerana desakan suaminya untuk menggunakan teknik ‘persekolahan dari rumah’.

Pasangan Harding menyifatkan kaedah ‘persekolahan dari rumah’ ciptaan mereka adalah sangat cekap sehingga menjadikannya lebih baik berbanding menghantar anak-anak pergi ke sekolah. Menurut mereka, cara pembelajaran ini lebih cekap dan sesiapa sahaja boleh melakukannya.
Ketika ini, pasangan Harding komited dalam mempromosikan “pendidikan di rumah”. Selain menerima jemputan untuk memberi kuliah di seluruh Amerika Syarikat dan menyediakan perkhidmatan perundingan untuk keluarga yang berminat, mereka juga menulis buku bertajuk ‘The Brainy Bunch’ yang memperincikan kaedah dan kemahiran pendidikan dari rumah.