34.7 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 9, 2026
Utama Blog Laman 244

MH370: Mungkinkah pesawat dengan kehilangan misteri akhirnya ditemukan lokasinya?

0

Kehilangan pesawat Malaysia Airlines, yang membawa 239 penumpang dan anak kapal, adalah salah satu misteri penerbangan terbesar di dunia.

Seorang jurutera aeronautik Britain, yang telah menghabiskan lebih setahun bekerja dalam merungkai bencana itu, berpendapat dan mendakwa telah mengira di mana kedudukan sebenar MH370 terhempas, lapor BBC.

Richard Godfrey percaya Boeing 777 itu terhempas ke Lautan Hindi 2,000km barat Perth, di Australia Barat.

Twitter

Pesawat MH370 hilang daripada radar semasa penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.

Richard Godfrey memberitahu BBC dia berharap “kami akan dapat memberikan ‘kesimpulan’ kepada waris dan jawapan kepada orang awam dan industri penerbangan mengenai apa yang berlaku kepada pesawat MH370 dan bagaimana dapat menghalang tragedi yang sama pada masa hadapan.

Richard menggabungkan set data berbeza yang sebelum ini disimpan dalam domain berasingan, untuk menjajarkan ke lokasi baharu ini di Lautan Hindi Selatan.

Richard berkata ia adalah “latihan yang rumit”, tetapi sebelum ini terdapat kekurangan pemikiran lateral, merentasi pelbagai disiplin, untuk menyatukan perkara ini.

“Tiada siapa yang mempunyai idea sebelum ini untuk menggabungkan data satelit Inmarsat, dengan data prestasi Boeing, dengan data hanyut serpihan terapung Oceanographic, serta data bersih WSPR (Weak Signal Propagation Reporter),” katanya.

Richard Godfrey berkata kerja dengan pasukannya telah dibangunkan selama setahun kini, dan “kami telah melakukan agak banyak ujian terhadap idea baharu ini dan kami berkeyakinan untuk menerapkannya ke atas MH370”.

Titik tepat yang ditentukan oleh pengiraan data adalah sekitar 33 darjah selatan dan 95 darjah timur di Lautan Hindi.

Terdapat dua pencarian meluas di Lautan Hindi untuk MH370, yang telah membuahkan keputusan tidak konklusif.

Twitter

Pencarian telah menelan belanja ratusan juta dolar, dan walaupun terdapat permintaan daripada ahli keluarga untuk mencari orang yang mereka sayangi, kos yang berkaitan dengannya adalah sangat besar.

Pencarian MH370 sebelum ini sukar kerana saiz kawasan pencarian.

Richard Godfrey berkata, “Kawasan seluas 120,000 km persegi telah dicari dan itu bukan mencari jarum dalam timbunan jerami – itu mencari sesuatu yang mikroskopik dalam timbunan jerami. Ia sangat sukar untuk dilakukan.”

Cadangan baharu jurutera ialah radius bulatan 40 batu nautika, jauh lebih kecil daripada carian sebelumnya.

“Serpihan itu mungkin berada di belakang tebing atau dalam ngarai di dasar lautan. Dan anda mungkin memerlukan tiga atau empat hantaran sebelum anda boleh mula membuat keputusan. Serpihan itu mungkin boleh terletak sejauh 4,000 meter dalam ,” jelasnya.

Lebih tiga puluh keping serpihan pesawat telah dihanyutkan ke pantai Afrika dan pulau-pulau di Lautan Hindi.

Pada 2009, Richard Godfrey sepatutnya menjadi penumpang Air France 447 dari Rio de Janeiro ke Paris, tetapi rancangan kerja membuatnya terpaksa kekal berada di Brazil.

Twitter

Penerbangan itu tidak pernah sampai ke destinasinya dan hilang di Lautan Atlantik. Dari sudut ini, Richard mula berminat dengan penerbangan yang hilang di lautan dan berusaha menyiasat untuk mencari lokasinya.

Richard Godfrey adalah pengasas MH370 Independent Group, merupakan seorang jurutera dengan latar belakang dalam membina sistem pendaratan automatik dan sistem autopilot untuk pesawat.

“Saya telah melakukan banyak kerja berkaitan sistem maklumat dan mengendalikan banyak data dan itu penting dalam analisis ini. Terdapat sejumlah besar data yang dapat dilalui dan menapis jarum dalam timbunan jerami,” katanya.

Tunggu tuan pulang di tingkap setiap hari selama 11 tahun, anjing setia ini akhirnya pergi buat selamanya

0

Tidak dapat kita nafikan lagi bahawa anjing merupakan haiwan yang setia terhadap insan kesayangannya bukan?

Malah mereka akan menunggu kepulangan tuannya di rumah dengan penuh sabar dan ceria apabila menyambut tuannya pulang.

Buat Roman, seorang pemuda di Chicago, Amerika Syarikat, dia sudah terbiasa dengan tabiat anjingnya, Toby menyambutnya pulang daripada tempat kerja.

Apabila Roman pulang, dia akan memandang tingkap untuk mengetahui sama ada Toby menunggunya ataupun tidak.

Toby nampaknya tidak pernah gagal memunculkan diri di tingkap itu untuk menyambut ketibaan tuan kesayangannya.

Rupanya, tabiat yang dilakukan oleh Toby ini sudah berlangsung selama 11 tahun. Namun semuanya berubah..

Ini kerana Roman sedang melalui situasi yang sangat memeritkan apabila anjing kesayangannya yang setia bersamanya itu sudah tiada lagi.

Difahamkan bahawa Toby menghidapi kanser dan sudah beberapa kali menjalani pembedahan namun tahap kesihatannya masih lagi buruk.

Selain itu juga, Toby turut menderita kegagalan buah pinggang tahap 4 pada tahun 2018. Malah pada Februari 2019, tubuh Toby semakin lemah hingga tidak berdaya untuk menelan makanan.

Tidak sanggup melihat Toby menanggung kesakitan, Roman memutuskan untuk membawa Toby ke klinik veterinar dan menidurkan Toby buat selamanya.

Roman dan Toby berjumpa pada 14 tahun yang lalu apabila Toby dibawa oleh bekas teman wanitanya ke rumah.

Toby yang berusia 2 tahun itu kemudian membuang air besar di ruang tamu rumah Roman, menyebabkan Roman tidak begitu menyukai Toby pada mulanya.

“Layanlah Toby macam kanak-kanak. Jangan selalu memarahinya”, pesan bekas teman wanita Roman.

Toby kemudian pandai mengambil hati Roman dan sentiasa mahukan perhatian daripadanya. Ia sekaligus mengubah cara layanan Roman terhadap anjingnya itu.

Setelah beberapa tahun kemudian, Roman dan Toby menjadi pasangan yang sangat rapat walaupun Roman dan bekas teman wanitanya itu berpisah pada akhirnya.

Sungguhpun tahun bertukar tahun, manusia datang dan pergi, Toby masih setia bersama menemani Roman.

Buat Roman, Toby adalah anjing yang sempurna dan semestinya tiada galang ganti. Bahkan sehingga kini, Roman masih lagi terbiasa memandang tingkap.

Jauh di sudut hati, dia seakan terasa akan kehadiran Toby di situ dan tidak pernah meninggalkannya..

Pekerja kafe malu besar tarian ditonton pelanggan. Yakin betul diri berseorangan..

0

Di kala bersendirian, anda rasa apa agaknya yang anda lakukan ya?

Ini kerana apabila berseorangan, kita bebas untuk melakukan apa sahaja tanpa ‘diadili’ oleh sesiapa pun.

Pendek kata, pada waktu inilah kita boleh menjadi diri kita sendiri, 100 peratus!

Tetapi bayangkan jika anda melakukan sesuatu yang bakal dikesali di kemudian harinya, seperti apa yang terjadi pada seorang gadis di Korea Selatan ini.

Gadis tersebut difahamkan bekerja di sebuah kafe. Pada suatu malam, dia cukup yakin bahawa dirinya bersendirian.

Dia yang pada mulanya sedang mengemop lantai dengan senang hati kemudiannya menari dengan penuh bersemangat.

Tidak beberapa lama kemudian, muncul seorang lelaki di pintu masuk kafe tersebut dengan tidak semena-mena.

Lelaki yang dipercayai sebagai pelanggan itu berasa pelik melihat situasi itu dan bertindak berdiri sahaja di pintu masuk, tanpa mahu mengganggu pekerja terbabit.

Akan tetapi, sebaik sahaja gadis itu selesai berpusing, alangkah terkejutnya dia apabila mendapati seorang pelanggan sedang melihat ‘apa’ yang dilakukannya sebentar tadi.

Malah lebih melucukan, pelanggan itu kemudian menepuk tangan atas ‘persembahan’ gadis terbabit.

Gadis itu pula tertunduk malu kerana langsung tidak menyangka setiap gerak gerinya dilihat orang lain.

Anda tontonlah video penuhnya di sini.

Tersalah potong kaki pesakit, pakar bedah didenda RM12,900

0

AUSTRIA- Seorang pakar bedah telah dikenakan denda sebanyak $3,049 (RM12,900) oleh mahkamah selepas melakukan kesalahan dalam pembedahan yang dilakukan.

Doktor tersebut dilaporkan telah tersalah memotong kaki pesakit yang merupakan seorang warga emas. Pakar tersebut sepatutnya perlu melakukan pembedahan pada kaki kiri pesakitnya tetapi sebaliknya berlaku apabila dia telah memotong kaki sebelah kanan.

Walau bagaimanapun, kesilapan tersebut dikatakan hanya diketahui selepas dua hari pembedahan dilaksanakan.

Menurut laporan, pihak mahkamah mendakwa bahawa doktor yang tidak disebutkan nama itu bersalah atas kecuaian yang dilakukan dan dikenakan denda sebanyak RM 12,900.

Pesakit tersebut pula dilaporkan telah meninggal dunia sebelum kes tersebut dibicarakan. Balunya yang hadir ke mahkamah telah diberikan ganti rugi sebanyak $5,660 (RM 23,947.46).

Pesakit tiba di klinik Freistadt pada Mei lalu untuk melakukan pembedahan pada kakinya. Walau bagaimanapun, doktor tersebut dilaporkan melakukan kesalahan semasa menanda lampiran pada bahagian kaki pesakit.

Semasa menukar pembalut, barulah kesilapan yang dilakukan telah disedari dan pesakit kemudian telah diarahkan untuk memotong sebelah lagi kakinya.

“Punca dan kesilapan perubatan telah dianalisis secara terperinci,” jelas pihak hospital dalam satu kenyataan.

“Kami amat terkejut apabila kaki salah seorang pesakit yang berusia 82 tahun telah dipotong pada 18 Mei walaupun terdapat piawaian jaminan kualiti,” tambahnya lagi.

Menurut akhbar Austria, Kurier, pakar bedah tersebut ada memberitahu mahkamah bahawa terdapat isu yang melibatkan arahan semasa pembedahan dijalankan.

Menurut pihak mahkamah pula, doktor tersebut hanya menjawab ‘tidak tahu’ ketika ditanya mengapa dia tersalah menanda pada kaki pesakit.

Selepas kes dibicarakan, doktor tersebut dilaporkan telah dipindahkan ke hospital baharu.

Datang semula berjumpa lelaki yang pernah membantunya dahulu, ibu beruang mahu memperkenalkan anak-anaknya pula

0

Kita sering mendengar kisah-kisah haiwan yang menunjukkan rasa sayang dan penghargaan kepada tuan mereka atau kepada orang yang telah membantu mereka. Walaupun bunyinya sedikit aneh tetapi haiwan sebenarnya memang pandai menghargai serta memiliki memori yang kuat tentang orang yang telah membantu mereka suatu ketika dahulu.

Hal ini turut diakui oleh seorang lelaki di Asheville, North Carolina, Amerika Syarikat, selepas dia ‘dikunjungi’ oleh seekor beruang yang pernah dibantunya suatu ketika dahulu. Apa yang lebih manis kunjungan beruang tersebut kali ini adalah bersama dengan anak kecilnya.

Pada tahun 2017, Patrick Conley telah memutuskan untuk ‘berkawan’ dengan seekor beruang yang kemudian diberi nama Simone. Mereka dikatakan telah berjumpa pada musim panas tahun itu ketika Simone dikatakan berjalan di sekitar hutan.

Selepas itu Simone dikatakan kerap datang ke rumah Patrick dan memandangkan Patrick tahu beruang itu selalu datang ke rumahnya Patrick akan menyediakan makanan buat Simone di garajnya. Persahabatan mereka dikatakan telah berlarutan selama hampir empat tahun.

Sepanjang tempoh itu Simone kadangkala menghilangkan diri. Adakalanya beruang itu tidak datang ke rumah Patrick selama berbulan-bulan. Walau bagaimanapun kemunculan semula Simone setelah sekian lama menghilangkan diri membuatkan Patrick terkejut. Hal ini kerana Simone datang melawatnya bersama dengan anaknya.

Melihat Simone yang datang bersama dua ekor anaknya membuatkan Patrick terharu dan memutuskan untuk merakan momen manis tersebut.

Pada awal video, anak-anak kecil itu dilihat agak malu tetapi ibu mereka seolah-olah menyuruh mereka untuk keluar dari semak. Patrick berasa gembira sekali kerana tidak menyangka Simone akan memperkenalkan anak-anaknya kepadanya.

“Anak beruang adalah hal yang paling comel yang pernah berjalan di hutan ini,” tulis Patrick dalam penerangan videonya.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Saranan pakar tentang masa yang paling sesuai untuk mengambil makanan tambahan

0

Ramai antara kita yang memilih untuk mengambil makanan tambahan atau suplemen. Ada yang mengambil suplemen dalam bentuk cecair dan kebanyakannya pula lebih selesa dengan suplemen tablet. Tidak kira apa pun jenis suplemen, anda sebenarnya dinasihatkan utnuk mengambil suplemen pada waktu yang sesuai. Hal ini supaya anda boleh mengoptimumkan kebaikan yang ada dalam suplemen yang diambil.

Berikut adalah masa yang disarankan untuk mengambil suplemen serta cara yang betul untuk mengambil suplemen:

Suplemen Pada Waktu Pagi

Petua: dua daripada suplemen pagi; vitamin E dan CoQ10—harus diambil bersama lemak yang sihat. Pakar diet mencadangkan untuk mengambil roti bakar avokado atau ‘smoothie’ hijau dengan avokado atau minyak kelapa sebagai pilihan sarapan pagi yang mengandungi lemak sihat.

Vitamin B: Ini adalah penggalak tenaga anda termasuk thiamin, riboflavin, niasin, asid pantotenik, piridoksin, biotin, asid folik dan cobalamin. Kompleks B yang berkualiti akan memberikan anda keseluruhan spektrum vitamin B dalam dos yang seimbang.

Jika B kompleks anda mengandungi vitamin B12, ambil suplemen ini pada dua jam sebelum atau selepas mengambil vitamin C, kerana vitamin C boleh mengganggu keupayaan tubuh anda untuk menyerap B12. Vitamin B juga boleh diambil dengan atau tanpa makanan.

Coenzyme Q10: Suplemen ini menyihatkan jantung dan harus diambil bersama lemak yang sihat. Jika anda menghidap diabetes atau tekanan darah rendah, ambil perhatian bahawa CoQ10 boleh mengurangkan paras gula dalam darah dan merendahkan tekanan darah. Jadi, jangan ambil suplemen ini tanpa bimbingan dan nasihat pakar.

Zat besi: Ambil mineral ini semasa perut kosong dan jangan sekali-kali diambil bersama kalsium. Walau bagaimanapun, jika suplemen ini membuatkan anda mual, maka ambil bersama makanan, tetapi bukan dengan kopi atau makanan tinggi kalsium.

Jika anda mempunyai sarapan pagi yang tinggi kalsium seperti susu, yogurt tenusu atau sayur-sayuran berdaun, ambil zat besi anda pada waktu siang bersama makanan. Pada masa itulah anda boleh mengambilnya bersama-sama dengan vitamin C yang boleh memaksimumkan kadar penyerapan.

Vitamin E: Anda harus mengambil vitamin ini dengan lemak yang sihat.

Vitamin C: Ambil vitamin C bersama zat besi untuk membantu penyerapan.

Suplemen Pada Waktu Siang

Beberapa jenis suplemen ini perlu diambil bersama makanan, jadi selepas makan tengah hari adalah masa yang sesuai untuk mengambil suplemen-suplemen ini:

Minyak ikan: Ambil minyak ikan bersama makanan yang boleh meningkatkan penyerapannya. Cara yang boleh dilakukan ialah dengan membekukan suplemen minyak ikan anda. Ini kerana minyak ikan yang dibekukan akan lebih turun lebih cepat dan ia membantu mengelakkan sendawa.

Iodin: Mineral ini boleh memberi anda tenaga.

Vitamin D: Ambil bersama lemak sihat seperti avokado, telur, minyak zaitun atau minyak kelapa. Vitamin D mempunyai fungsi yang sama dengan vitamin K, dan ia meningkatkan penyerapan kedua-dua vitamin D dan kalsium apabila kedua-duanya diambil bersama.

Vitamin K: Vitamin ini baik untuk jantung dan boleh diambil bersama dengan vitamin D dan juga paling baik diambil dengan lemak yang sihat. Jika anda kekurangan vitamin K dan perlu mengambil suplemen yang berasingan, ambil beberapa jam sebelum atau selepas mana-mana vitamin larut lemak lain (iaitu, A, D, dan E).

Vitamin C: Masa untuk dos kedua anda!

Zink: Ambil mineral ini dengan makanan, tetapi jangan sekali-kali dengan kalsium atau zat besi. Pastikan anda mengambil zink sekurang-kurangnya dua jam selepas mengambil suplemen lain.

Suplemen Pada Waktu Malam

Kalsium: Badan anda menggunakan kalsium terbaik apabila anda mengambilnya pada waktu malam. Jangan mengambil dos kalsium yang tinggi bersama-sama dengan jumlah zink atau magnesium yang tinggi, kerana semuanya bersaing untuk penyerapan.

Magnesium: Salah satu suplemen terbaik untuk membantu anda berehat dan tidur. Elakkan mengambil dos yang tinggi bersama-sama dengan jumlah kalsium atau zink yang tinggi kerana semuanya bersaing untuk penyerapan.

Probiotik: Bakteria baik ini berfungsi dengan maksimum dalam usus anda jika anda mengambilnya tanpa ketiadaan enzim pencernaan, yang boleh memecahkannya. Jadi, anda dicadangkan untuk ambil probiotik sebelum tidur.

Walau bagaimanapun, jika anda mengambil probiotik untuk tujuan lain seperti membantu melegakan cirit-birit anda perlu mengikut cadangan pakar kesihatan anda.

Kunyit: Dikatakan sangat berfungsi untuk membantu masalah penghadaman. Masa yang paling sesuai untuk mengambil kunyit (kurkumin ialah bahan aktif) adalah sekurang-kurangnya tiga jam sebelum atau selepas makan dan sebelum rehat atau tidur adalah masa yang paling sesuai.

Perkara Lain yang Perlu Tahu Mengenai Pengambilan Suplemen:

  • Jika anda mengambil multivitamin, anda boleh membantu mengelakkan loya dengan mengambilnya bersama makanan.
  • Apabila mengambil multivitamin berasaskan makanan, anda mungkin memerlukan lebih daripada satu dos untuk menyerapnya dengan lebih baik. Semak arahan pada pakej.
  • Jangan ambil suplemen antioksidan dan suplemen kalsium bersama-sama. Kalsium boleh mengurangkan keupayaan tubuh untuk mendapat manfaat daripada beta-karotena, likopena, dan karotenoid lain.
  • Jangan mengambil sejumlah besar suplemen mineral pada masa yang sama kerana ia bersaing untuk penyerapan. Sebaliknya, ambil suplemen mineral sekurang-kurangnya dua jam.
  • Jika anda seorang peminum teh hijau atau hitam, jangan ambil suplemen zat besi anda secara serentak. Sebaliknya, biarkan beberapa jam antara pengambilan teh dan suplemen.

Kesimpulan:

Untuk mendapatkan manfaat sepenuhnya daripada suplemen, adalah penting untuk melaraskan masa pengambilan suplemen serta tahu tentang kombinasi suplemen yang boleh diambil bersama.

Gunung berapi Semeru meletus, ribuan penduduk larikan diri

0

JAKARTA: Gunung berapi Semeru yang terletak dalam wilayah Jawa Timur Indonesia dilaporkan telah meletus pada Sabtu, 4 Disember 2021.

Letusan tersebut telah mengeluarkan debu gunung berapi sehingga menyebabkan ribuan penduduk setempat bertempiaran lari untuk menyelamatkan diri.

Sehingga kini, seorang dilaporkan terbunuh dan 41 orang lain mengalami kecederaan akibat melecur, kata Indah Masdar, timbalan ketua daerah Lumajang di wilayah Jawa Timur.

Video yang dikongsi oleh pegawai kecemasan menunjukkan penduduk berlari ketika kepulan asap dan abu menyelubungi kampung berhampiran di kawasan itu kira-kira 90 kilometer ke selatan Surabaya.

Pasukan penyelamat bergerak untuk memindahkan penduduk tempatan apabila lahar mula sampai ke kampung berhampiran dan memusnahkan sebuah jambatan di Lumajang.

“Beberapa kawasan menjadi gelap selepas dilitupi abu gunung berapi,” kata jurucakap Agensi Mitigasi Bencana Kebangsaan, Abdul Muhari.

“Kami sedang membina beberapa pusat perlindungan di beberapa lokasi di Lumajang.”

Video yang dikeluarkan oleh agensi itu menunjukkan penduduk tempatan, termasuk puluhan orang kanak-kanak, berlari menyelamatkan diri ketika Gunung Semeru meletus pada sekitar 3 petang waktu tempatan.

Pihak berkuasa tempatan juga telah mewujudkan zon larangan sejauh lima kilometer dari kawasan kawah selepas letusan berlaku.

Status amaran Semeru kekal pada paras kedua tertinggi sejak letusan besar sebelumnya berlaku pada Disember 2020, yang turut memaksa ribuan penduduk melarikan diri dan meninggalkan kampung mereka.

Indonesia juga terletak di “Ring of Fire” Pasifik, di mana tempat pertemuan plat benua menyebabkan aktiviti gunung berapi dan seismik di negara itu adalah tinggi.

Negara di kepulauan Asia Tenggara itu dikatakan mempunyai hampir 130 gunung berapi yang masih aktif.

Bekal makanan yang dibuat langsung tidak dijamah, isteri luah rasa kecewa apabila suami pilih makan mi segera

0

Buat suri rumah pastinya tahu betapa penat dan rumitnya bagi menyediakan makanan buat keluarga. Itu belum termasuk menyediakan bekalan makanan buat ke tempat kerja atau ke sekolah. Untuk memikirkan menu apa yang akan disediakan adakala boleh pening kepala dibuatnya.

Namun, semua itu bukan masalah kerana mereka melakukan semua itu dengan sukarela. Walau bagaimanapun, kadangkalanya ada antara ahli keluarga yang tidak menghargai segala penat lelah ibu atau isteri mereka menyediakan makanan.

Baru-baru ini tular video di laman sosial TikTok apabila seorang isteri meluahkan rasa kecewa apabila suaminya langsung tidak menjamah bekalan makanan yang dimasak.

Menerusi video tersebut, wanita berkenaan kelihatan sedang membuka bekalan makanan di meja dapur. Dia kemudian menuju ke arah tong sampah untuk membuang makanan tersebut kerana tidak langsung disentuh oleh suaminya.

Apa yang lebih menyedihkannya, suaminya lebih memilih untuk makan mi segera berbanding makanan yang disediakannya.

Sehingga kini video itu telah ditonton lebih daripada 1.3 juta kali dan menerima hampir 7,000 komen netizen. Ramai yang menyatakan rasa simpati mereka ke atas wanita itu atas apa yang berlaku kepadanya.

Jangan habiskan lebih daripada 10 minit di tandas, doktor sarankan lakukan 3 hal ini untuk elakkan buasir

0

Antara perkara yang paling tidak digemari oleh semua orang ialah sembelit di mana kita terpaksa berhadapan dengan kesukaran untuk membuang air besar. Hal ini membuatkan ramai antara kita yang menghabiskan banyak masa di bilik air.

Namun, tahukah anda bahawa dengan menghabiskan masa di bilik air untuk memaksa diri membuang air besar adalah sesuatu yang bahaya? Hal ini kerana buasir boleh terjadi. Jadi, untuk mengelakkan hal tersebut daripada berlaku doktor menasihatkan agar orang ramai melakukan tiga perkara.

Dr. Karan Raj, seorang doktor dan selebriti internet yang berkhidmat dengan Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan British (NHS), baru-baru ini berkongsi cara untuk mengelakkan buasir.

Dr. Raj berkongsi tiga perkara penting; yang pertama ialah tidak menghabiskan masa yang lama di tandas. Menurutnya, kita tidak seharusnya menghabiskan lebih daripada 10 minit di tandas. Menurutnya, semakin lama anda berada di dalam tandas, semakin banyak darah terkumpul dalam urat rektum dan semakin besar kemungkinan ia menyebabkan buasir.

Selain itu, menurut Dr. Raj lagi kita tidak boleh terlalu memaksakan diri ketika membuang air besar. Hal ini kerana tindakan seperti ini boleh membuatkan saluran darah yang berada di bahagian dubur akan membengkak dan jika hal ini berlaku ia akan menyebabkan buasir.

Saranan ketiga Dr. Raj ialah supaya orang ramai mengambil serat dalam makanan seharian mereka. Beliau mencadangkan agar serat diambil sebanyak 20 hingga 30 gram setiap hari melainkan mereka yang dinasihatkan doktor untuk tidak mengambil serat dalam makanan mereka.

Selain itu, untuk mengelakkan sembelit atau buasir ada beberapa cara lain yang boleh dilakukan seperti minum banyak air, kerap bersenam, pastikan punggung anda bersih dan kering, kurangkan pengambilan alkohol dan kafein, jangan lap terlalu kuat selepas selesai ke tandas, dan jangan menahan diri daripada membuang air besar.

Jika buasir menyakitkan, anda boleh mengambil Paracetamol atau menuam punggung anda dengan ais untuk melegakan ketidakselesaan. Selain itu, doktor juga menyarankan untuk mandi dengan air panas bagi menahan rasa gatal atau sakit. Sekiranya berlaku pendarahan akibat buasir, anda juga boleh mengambil Ibuprofen.

‘Ditawan’ oleh orang utan secara tiba-tiba, wanita ini berhadapan dengan detik cemas yang mendebarkan

0

Memang seronok bermain dengan haiwan dan ramai yang suka memberi makan terutama kepada haiwan di hutan. Memandangkan mereka tidak bertuan ramai yang memberi mereka apa sahaja snek atau buah-buahan kepada mereka. Namun, perbuatan tersebut sebenarnya boleh mendatangkan bahaya kepada kita jika tidak berhati-hati.

Baru-baru ini tular sebuah video seorang wanita telah ‘ditawan’ oleh seekor orang utan. Kejadian tersebut berlaku di sebuah hutan di mana dia tiba-tiba didatangi oleh seekor orang utan yang sangat besar dan teruk menarik tangannya.

Keadaan menjadi lebih cemas apabila wanita tersebut cuba melepaskan diri tetapi tidak berjaya. Orang utan tersebut terus menarik tangan wanita tersebut dan duduk bersamanya di atas tanah.

Orang ramai yang lalu di situ cuba membantu dengan memberikan pisang kepada orang utan tersebut supaya dia melepaskan tangan wanita tersebut.

Selepas beberapa ketika keadaan masih begitu. Terkadang orang utan seolah-olah cuba memasukkan tangan wanita itu ke dalam mulutnya seperti mahu dimakan tetapi wanita itu cepat-cepat menghalang.

Wanita tersebut tidak hanya berdiam diri. Dia cuba bertenang dan dalam masa yang sama dia cuba melepaskan tangannya. Keadaan itu berlanjutan selama hampir tiga minit sebelum akhirnya orang utan itu akhirnya melepaskan tangan wanita itu. Sepertinya dia tertarik dengan buah-buahan yang lebih banyak yang diberikan kepada orang ramai di situ.

Mungkin ada yang melihat kejadian ini seperti sesuatu yang melucukan tetapi sebenarnya ia adalah sesuatu yang sangat berbahaya. Orang utan adalah haiwan liar yang memiliki kekutan yang luar biasa. Tidak mustahil spesies tersebut akan mencederakan sesiapa pun yang berada di sekitar mereka. Jadi, cuba jauhkan diri daripada mereka dan jangan sesekali cuba mengganggu mereka kerana bimbang mereka akan melakukan sesuatu di luar jangkaan kita.

Tonton video di sini.