33.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, August 14, 2025
Utama Blog Laman 219

8 negeri di Malaysia berpotensi dilanda puting beliung, ketahui fakta berikut

0

Kejadian ribut bertukar puting beliung di Ipoh dan sebelum itu Shah Alam baru-baru ini sungguh menakutkan. Beberapa video rakaman peristiwa angin kencang yang digambarkan sebagai puting beliung menyebabkan kerosakan ratusan rumah menjadi tular di platform media sosial.

Ramai yang bimbang perkara yang sama akan berulang. Justeru langkah berjaga-jaga bagi membolehkan orang awam melakukan persiapan perlu segera dilakukan.

Twitter

Menurut Ambun Dindang, Pengarah Kanan Pusat Instrumentasi Meteorologi dan Sains Atmosfera, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), beberapa lokasi di negeri Pantai Barat Semenanjung serta Sabah Dan Sarawak akan diramalkan berlaku fenomena angin kencang atau puting beliung seperti yang melanda Ipoh, Perak pada 30 Januari.

Berikut fakta yang anda perlu tahu:

  • Negeri-negeri yang terbabit ialah Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak.
  • Di Sabah dan Sarawak, kawasan persisiran pantai seperti Bintulu, Miri dan Wilayah Persekutuan Labuan serta Pantai Barat Sabah pernah melaporkan kejadian puting beliung dan kawasan ini akan sentiasa terdedah untuk berlaku. Apabila terdapatnya kehadiran awan kumulonimbus dengan keadaan cuaca yang sesuai.
  • Faktor berlakunya kejadian ini adalah disebabkan oleh kehadiran awan kumulonimbus yang besar mengakibatkan perolakan yang kuat dalam awan tersebut, seterusnya membentuk corong awan pada dasar awan.
  • Amat sukar bagi MetMalaysia meramal kejadian puting beliung di Malaysia kerana ia berlaku pada skala yang kecil dengan jangka hayat yang pendek, kata Ambun.
  • “Puting beliung sebesar ini dia sekejap sahaja, paling lama pun dalam sejam dia berlaku. Jadi tempoh untuk memantau kejadian ini agak singkat, sebab dia agak sukar untuk diramal, tapi kita melihat pembentukan awan kumulonimbus dengan menggunakan imej radar yang kita ada di seluruh Malaysia,” jelasnya.
  • Antara tanda awal puting beliung akan melanda ialah pembentukan awan yang besar dan dasar awan yang gelap serta corong awan yang menjulur ke bawah.
Sekadar Gambar Hiasan / Pixabay

Orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada sekiranya berlaku puting beliung. Elakkan mendekati kawasan tersebut dan cari tempat perlindungan yang selamat.

Peristiwa puting beliung yang pernah direkodkan di Malaysia:

1. Kota Damansara, Selangor pada 13 Jun 2010: Kejadian ribut puting beliung yang amat dahsyat melanda kawasan ini melibatkan kawasan perumahan di Seksyen 6,7,8,9 dan 10. Kawasan paling teruk terjejas ialah Seksyen 8 Kota Damansara di mana lebih 30 gerai penjaja mengalami kerosakan yang teruk. Dianggarkan 120 batang pokok besar tumbang manakala 29 buah kereta mengalami kerosakan akibat dihempap pokok tumbang.

2. Perlis pada 28 Oktober 2010: Kejadian puting beliung berlaku di sekitar kawasan Jejawi. Kerosakan melibatkan 50 buah rumah, beberapa kedai makan dan bengkel membaiki kenderaan.

3. Pulau Pinang pada 15 November 2010: Melibatkan kawasan di Gurney yang berlaku pada jam 6.30 petang.

4. Pendang, Kedah pada 14 Oktober 2014: Kejadian berlaku di Kampung Alor Besar yang mengakibatkan 10 buah rumah dan sebuah sekolah rendah mengalami kerosakan.

5. Alor Setar, Kedah pada 31 Oktober 2014: Kejadian berlaku di Kampung Batin, Sungai Baru Mergong Jaya pada jam 4.30 petang.

6. Alor Setar, Kedah pada 12 November 2014: Kejadian berlaku di Kuala Sala, Kampung Sungai Nonang, Kota Sarang Semut, Kuala Kangkong. Dilaporkan pusaran angin puting beliung dengan kelajuan 180 kilometer sejam berlaku pada jam 3.00 petang.

7. Bukit Besar, Kedah pada 7 Mac 2018: Kejadian puting beliung berlaku di Bukit Besar, Kota Sarang Semut pada jam 7.00 petang.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Isu beg berat tak pernah selesai, umpama pikul sekampit beras ke sekolah

0

Isu beg sekolah yang berat untuk murid sekolah rendah khasnya murid Tahun 1 nampaknya bukanlah satu isu baru dan ia ternyata masih belum berakhir.

Kanak-kanak di usia semuda itu terpaksa memikul sejumlah beban yang berat, dan difahamkan ada yang mencecah sehingga 10 kilogram!

Ya, mungkin ada yang berkata bahawa zaman dahulu pun sama, atau ada yang mengatakan bahawa budak zaman sekarang lembik dan terlebih manja. Namun itu bukanlah isunya.

Ini kerana kajian akhir Kajian Penilaian Beg Berat Murid Sekolah dilakukan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengesahkan beg sekolah yang dibawa murid setiap hari sememangnya berat.

Timbalan Menteri Pendidikan ketika itu, Datuk P Kamalanathan menyarankan bahawa sekolah perlu mengikut standard antarabangsa – tahap beban beg mestilah mengikut berat badan dan umur murid.

Tatkala Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik menjadi Menteri Pendidikan, beliau berkata kerajaan akan melaksanakan 3 langkah segera untuk menangani isu ini.

Ia termasuklah dengan mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) dan Surat Siaran sedia ada berkuat kuasa pada Januari 2019.

Tambahnya, buku tambahan tidak perlu ada selain mengurangkan kebergantungan terhadap buku teks merupakan antara contoh arahan yang harus dipatuhi dalam surat berkenaan.

Walau bagaimanapun, selepas 4 tahun laporan akhir kajian tersebut, isu beg sekolah yang berat masih juga belum selesai.

Sehinggalah baru-baru ini tular video menunjukkan seorang murid perempuan di sebuah sekolah rendah dilihat hampir terjatuh ketika menaiki tangga ekoran membawa beg berat.

Ini bukanlah satu isu kecil dan picisan kerana ia melibatkan kesihatan anak-anak kita bukan. Anda bayangkanlah jika kanak-kanak sekecil itu memikul berat 10 kilogram setiap hari!

Kajian sains turut mendedahkan bahawa memikul bebanan seberat itu secara berterusan boleh mengakibatkan kerosakan kekal pada tulang belakang.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Licik betul! Burung camar masuk kedai, curi snek raih perhatian warganet

0

Kawanan burung camar adalah satu pemandangan biasa dan lazim dilihat jika kita ke kawasan peranginan pantai bukan?

Akan tetapi, walaupun kerap dilihat, kehadiran burung ini tidak begitu disenangi rata-rata manusia dan sering dilihat sebagai satu bentuk gangguan.

Ini kerana kehadiran mereka boleh mengakibatkan kerosakan pada harta benda, selain bunyi mereka yang agak bising serta risiko kesihatan daripada najisnya.

Sungguhpun begitu, burung ini juga memiliki tahap kepintaran yang tersendiri sebenarnya.

Menerusi satu video tular, kelihatan seekor burung camar dengan bersahaja berjalan memasuki sebuah premis perniagaan.

Ewah! Dah macam manusia jalan masuk kedai kan?

Pada mulanya, burung yang licik itu dilihat berdiri di luar kedai seketika untuk menunggu pintu automatik premis dibuka.

Rupa-rupanya, burung terbabit memang mahu memasuki ke kedai berkenaan. Apalah agaknya yang mahu ‘dibeli’ ya?

Namun tidak lama kemudian, burung terbabit keluar dengan membawa sebungkus snek makanan! Bayar ke tidak??

Setelah berada di luar premis, burung camar pintar itu kemudian mematuk bungkusan itu sehingga menampaknya isi snek di dalamnya.

Maka dapatlah ia memakannya. Berani pula makan depan kedai selepas ‘mencuri’ ya!

Menurut kajian saintifik, burung camar adalah spesies burung yang pintar dan mempelajari sesuatu sepanjang masa.

Apabila mereka telah mempelajari sesuatu yang berguna, mereka akan mengingatinya dan bahkan akan meneruskan corak tingkah laku sedemikian.

Kemungkinan burung itu mengetahui bahawa manusia sering memasuki ke premis itu untuk membeli snek.

Cuma bezanya, manusia bayar untuk dapatkan makanan manakala burung camar tidak. Makan percuma nampak gayanya.

Terbukti juga bahawa burung camar adalah spesies burung yang memiliki kepintaran yang menakjubkan!

Tonton video di sini.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Ketam kelapa ‘ketip’ cukup kuat untuk mematahkan kayu golf menjadi dua

0

Namanya Pulau Christmas, anda akan menganggap wilayah Australia di Lautan Hindi ini ialah tempat ajaib penuh dengan rusa kutub dan bunian yang riang. Tetapi tidak, ia sebenarnya penuh dengan ketam kelapa yang agresif.

Juga dikenali sebagai ketam perompak, ketam kelapa merupakan spesies besar ketam hermit. Liang kaki mereka boleh mencapai tiga kaki, dan ia boleh “mengangkat objek seberat kanak-kanak berumur 10 tahun,” menurut Muzium Sejarah Alam London. 

Facebook

Ketam kelapa hidup di darat di mana mereka memanjat pokok kelapa dan memakan kelapa, memburu dan memakan burung, dan secara amnya menakutkan apa sahaja yang bergerak atau hidup, yang termasuk pemain golf.

Facebook

Semasa bermain golf di Pulau Christmas, Paul Buhner merakam video haiwan itu duduk dengan selesa di atas beg golf berdiri rakannya. Semasa mereka sedang terleka tidak sedar, salah seekor krustasea itu telah berjalan mengelilingi kayu golf dan berpegang erat dengan penyepitnya yang besar.

Facebook

Penyepit ketam kelapa mempunyai tepi bergerigi yang sangat berkuasa. Mereka menggunakan penyepit tersebut untuk memecahkan kelapa sehingga terbuka, jadi mengendalikan ketam kelapa dengan tangan kosong perlu dilakukan dengan sangat berhati-hati.

Facebook

Nasib baik, pemilik beg golf itu tahu bahawa dia perlu berhati-hati jika dia mahu menyimpan semua jarinya. Dia mencengkam ketam kelapa dari belakang dan mencekupnya dari beg golf itu.

Facebook

Satu-satunya masalah ialah tiada cara untuk membuat haiwan itu melepaskan tiga kayu golf berharga yang dipegang erat oleh si ketam dan dia terus bertindak mahu mengetip.

Facebook

Akhirnya, selepas berjaya menyelamatkan dua daripada kayu golf itu, pemiliknya menyedari sudah tiada harapan untuk yang kayu golf ketiga yang malang. 

Facebook

Ketam kelapa itu telah berjaya mematahkan kayu golf dengan penyepitnya yang luar biasa “seperti gergaji”. 

Facebook

Walaupun ketam kelapa biasanya adalah haiwan malam, krustasea di Pulau Christmas juga aktif di siang hari ketika tahap suhu lembap yang tinggi dan mereka berkumpul untuk mendapatkan makanan, yang biasa di bawah pokok buah-buahan.

Facebook

Ketam kelapa mempunyai sifat sangat berjaga-jaga dan sentiasa peka dengan persekitarannya, kata Muzium Australia Barat.

Tonton video di sini.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Leka lompat-lompat main bola sampai kepala harimau bintang salji terhantuk, tahu sakit tak mahu main lagi

0

Melihat gerak-geri spesies harimau bintang salji yang unik ketika bermain memang menyeronokkan.

Seorang netizen @bouchakame merakam seekor anak harimau bintang salji sedang bermain di Zoo Tama, Jepun.

Bola mainan merah itu digantung untuk harimau bintang salji dan mereka membiarkan dia bermain.

Sedikit ingin tahu pada mulanya.

Perlu berani bermain dengan bola merah ini yang nampak menarik.

Selepas itu mula seronok bermain dan terlompat-lompat.

Eh! Ia jadi semakin mengujakan..

Dan bola merah ini bertindak balas dengan baik dengan ketangkasan saya menangkapnya!

Walau bagaimanapun, ada masanya bola melantun tinggi pergi terlalu jauh..

Lalu sampai ke kepala si harimau bintang salji lah apa lagi bola itu.

Harimau bintang salji mula terasa pening sambil berkata dalam hati: Aduh sakit!

Sekali itu sahaja, tak mahu main lagilah..

Memang comel muka dia!

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Hanya seorang murid belajar dalam tahun dua di SK Belimbing Pekan

0

Salah seorang daripada keseluruhan 22 pelajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Belimbing, Pekan menjadi murid tunggal tahun dua sekolah berkenaan yang terletak di pinggir Sungai Pahang.

“Walaupun hanya belajar berseorangan dalam kelas namun saya perlu kuatkan semangat demi menimba ilmu akademik sama seperti rakan lain. Sunyi sepanjang berada dalam kelas, tiada gelak ketawa rakan dan teman untuk berbual,” kata murid tahun dua, Nur Qaleesya Elieyna Abdul Qayyum, 8 tahun.

Nur Qaleesya Elieyna berkata kepada Harian Metro, sebelum ini dia belajar berdua di tahun Dua Amanah namun rakannya terpaksa berpindah kerana mengikut keluarga dan sejak itu kelas tahun dua bertukar menjadi sunyi dan tidak lagi ceria.

Twitter

Menurutnya, sebelum ini dia seolah hilang tumpuan untuk belajar terutama apabila terpaksa belajar sendirian dalam kelas namun dengan sokongan keluarga dan guru perasaan kecewa dapat sedikit dilupakan.

“Setiap hari saya belajar dengan bertemankan guru walaupun dapat memberi sepenuh tumpuan ketika belajar, namun keseronokan dalam kelas tidak pernah berlaku berbanding kelas lain.”

“Belajar sendirian dalam kelas mungkin terus berlarutan hingga saya berada di tahun enam. Saya reda dengan apa yang dilalui walaupun sukar untuk diterima.”

“Sekolah lain meriah dengan murid yang ramai…namun tidak berlaku di SK Belimbing yang terletak di kawasan luar bandar,” kata murid ini.

Sementara itu guru besar SK Belimbing, Zol Kefely Hussin berkata, SK Belimbing kini hanya mempunyai seramai 22 murid tahun satu hingga enam dan dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM).

Menurutnya, kelas tahun satu mempunyai seramai enam murid, tahun dua (seorang), tahun tiga (tiada murid), tahun empat (tiga), tahun lima (dua) dan tahun enam (empat).Kelas pra sekolah kini mempunyai enam murid.

Katanya, SK Belimbing mempunyai tujuh guru termasuk guru besar, walaupun terletak diluar bandar namun sekolah berkenaan menikmati pelbagai kemudahan disediakan kerajaan yang hampir sama dengan sekolah di bandar.

Menurutnya, sekolah yang mula ditubuhkan pada Ogos 1941 memberi pendidikan kepada kanak-kanak terdiri daripada masyarakat Kampung Belimbing yang kini terdiri daripada 18 keluarga.

“Walaupun hanya mempunyai seramai 22 murid namun tanggungjawab memberi pendidikan tidak pernah diabaikan oleh semua guru, jumlah murid bukan ukuran bagi kami yang sudah berjanji untuk memikul amanah yang diberikan, dengan sebaik mungkin” katanya.

Beliau mula bertugas sebagai guru besar di SK Belimbing pada Jun tahun lalu, menganggap dirinya bertuah apabila berpeluang berada di sekolah berkenaan yang tidak mempunyai ramai murid.

Zol Kefely berkata, sokongan padu diberikan semua guru dalam menjalankan tugas turut menjadi kelebihan yang bererti. Mereka tidak pernah menyesal bertugas di sekolah luar bandar yang mempunyai cabaran berbeza dengan sekolah di bandar.

Katanya, walaupun SK Belimbing terletak di kawasan luar bandar dengan jumlah murid cuma 22 orang, namun semua kemudahan pendidikan disediakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP).

SK Belimbing Pekan/Facebook

“Tugas tetap perlu ditunaikan sebaik mungkin dalam memastikan anak bangsa dibekalkan dengan ilmu,” kata guru Nor Azlin Abd Rashid yang sudah berkhidmat selama 5 tahun di sekolah itu.

“Saya tidak terlalu memikirkan jumlah murid di dalam kelas ketika mengajar, lebih utama yang perlu diberi perhatian ialah bagaimana untuk memastikan murid dapat memahami apa yang diajar.”

“Tumpuan yang lebih dapat diberikan kepada murid ketika di dalam kelas, sebagai contoh mengajar Nur Qaleesya Elieyna di kelas Dua Amanah memberi peluang kepada saya menumpukan sepenuh tumpuan kepadanya seorang,” katanya yang mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu.

Katanya, dia dan guru lain sentiasa berusaha memberi pendidikan yang terbaik seterusnya untuk melihat pencapaian cemerlang dalam peperiksaan.

Menurutnya, kejayaan murid menjadi hadiah paling bererti buat guru di SK Belimbing yang memberi sepenuh tumpuan mendidik bukan sahaja pada waktu persekolahan malah turut berlaku diluar sekolah.

Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pekan, Mohd Razali Mustafar berkata, di daerah Pekan kini terdapat sebanyak 11 sekolah yang dikategorikan SKM.

Katanya, sekolah terbabit ialah SK Belimbing (22 murid), Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Yoke Hwa (31), SK Pulau Manis (40), SK Pulau Rusa (52), SK Kampung Acheh (66), SK Padang Rumbia (47), SK Serambi (53), SK Pelak (76), SK Tasik Chini (90), SK Pahang Tua (117) dan SK Ganchong (101).

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Ribut landa bandaraya Ipoh, akibatkan puluhan rumah rosak, pokok tumbang

0

Satu kejadian ribut berlaku di beberapa kawasan di Ipoh pada petang 30 Januari, lantas mengakibatkan puluhan rumah rosak.

Kejadian dilaporkan berlaku di kawasan Kampung Tawas dan Taman Tasek Damai kira-kira pada jam 6:30 petang.

Selain itu, angin kuat berkenaan turut menyebabkan beberapa batang pokok tumbang sehingga ia menghalang laluan serta menimpa rumah penduduk.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh telah digerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 6:40 petang.

Setelah tiba di lokasi, pihak bomba mendapati beberapa batang pokok telah tumbang dan rumah penduduk pula mengalami kerosakan.

“Walau bagaimanapun, tiada berlaku sebarang kecederaan kepada mangsa mahupun kemalangan jiwa dilaporkan”.

Difahamkan bahawa pihak bomba masih membuat pemantauan di lokasi kejadian.

“Kerja-kerja pembersihan dilakukan bagi pokok yang menghalang laluan kenderaan awam dan menimpa rumah”.

Terdahulu, tular di media sosial akan beberapa video kejadian ribut yang sempat dirakamkan oleh pengguna di beberapa kawasan di Bandaraya Ipoh, antaranya :

Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) telah mengeluarkan amaran akan kejadian ribut petir pada 30 Januari lalu, melibatkan kawasan :

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Ulasan filem: ‘Unsilenced’: filem tentang kempen PKC yang menindas pengamal Falun Gong di China

0

Falun Gong yang juga dikenali sebagai Falun Dafa adalah disiplin kerohanian kuno dari China yang diamalkan oleh sebilangan besar orang yang bukan sahaja orang Cina tetapi di seluruh dunia. Falun Gong mempunyai latihan dan meditasi untuk kesihatan, tetapi tidak seperti tai chi atau bentuk qigong lain, ia mengajar orang bagaimana untuk menjadi lebih baik dan menjalani kehidupan yang lebih mulia.

Sesungguhnya, Falun Gong berusaha untuk memupuk hati pengamalnya mengikut prinsip terasnya iaitu Sejati, Baik, dan Sabar. Sejak pengenalannya pada awal 1990-an oleh seorang lelaki bernama Li Hongzhi, ia sentiasa menjadi gerakan yang aman dan cepat diterima ramai.

Diarahkan oleh pakar hak asasi manusia, Leon Lee (yang juga mengarahkan “Human Harvest” pada 2014 tentang pengambilan organ secara haram), “Unsilenced” ialah sebuah filem yang berdasarkan peristiwa sebenar dua pasangan warga China: Wang (Ting Wu) dan Li ( He Tao), dan Jun (Shih Cheng-Hao) dan Xia (Chen Ying-Yu).

Filem ini bermula pada tahun 1999. Pasangan tersebut merupakan pelajar di Universiti Tsinghua yang merupakan sebuah institusi berprestij di Beijing. Semasa Wang, Li, dan Xia berlatih Falun Gong di sebuah taman, Jun tidak dapat menyertai mereka kerana keluarganya mempunyai sejarah lampau dengan rejim China. Dalam erti kata lain, dia mahu menjauhkan diri daripada masalah. Tetapi Wang percaya bahawa rejim itu baik-baik saja dengan Falun Gong, dan pendedahannya tentang banyak faedah amalan itu meyakinkan Jun untuk menyertainya.

Ketika kumpulan mereka berlatih di taman, sebuah limo yang membawa beberapa ahli Parti Komunis China (PKC) yang terkenal—Pengarah Zhu (James Yi) dan bosnya, Setiausaha Yang (Tzu-Chiang Wang)—berhenti. Kedua-duanya percaya bahawa populariti Falun Gong yang meledak adalah ancaman langsung kepada PKC kerana membuatkan lebih ramai orang yang menyertai Falun Gong.

Rakaman filem orang-orang yang berlatih Falun Gong di taman-taman ditayangkan pada mesyuarat orang-orang atasan PKC, yang menyebabkan Setiausaha Yang ditugaskan untuk turun padang bagi melihat sendiri amalan Falun Gong. Dengan wajah bengis seperti psikopat, Yang terus menjalankan misinya. Dia menggunakan kuasa penuh negara (terutamanya sistem polis dan penjara) dan mula menimbulkan pertelagahan antara satu sama lain dalam kalangan penyokong Falun Gong dan memenjarakan mereka.

Seorang pelajar kejuruteraan yang cemerlang, Wang ialah salah seorang pelajar terbaik Universiti Tsinghua dan seorang pemimpin semula jadi. Apabila Wang, Li, Jun, dan Xia muncul pada sesi latihan Falun Gong seterusnya, mereka mendapati bahawa ia telah diganggu oleh pihak berkuasa. Wang mencadangkan agar mereka membuat aduan di pejabat kerajaan tempatan.

Selepas pelajar-pelajar itu muncul di pejabat dan memfailkan aduan mereka secara aman, mereka membuat kesimpulan bahawa pihak berkuasa telah membuat kesilapan dengan mengganggu sesi latihan Falun Gong. Mereka kemudian menonton siaran berita dan mula menyedari bahawa mereka sebenarnya sudah masuk ke dalam perangkap rejim. Melalui media massa, mereka digambarkan sebagai kumpulan perusuh ganas yang telah mengancam pihak berkuasa. Dari situ, propaganda PKC yang kejam dan menggerunkan mula bergerak pantas.

Sementara itu, Daniel Davis (Sam Trammell), seorang wartawan akhbar yang sangat berani yang ditempatkan di China telah mendapat berita tentang penindasan rejim terhadap Falun Gong. Sama seperti Wang, dia percaya dalam mencari kebenaran (dalam kesnya melalui kewartawanan) dan mula menggali lebih mendalam mengenai perkara itu. Apabila penyiasatan Daniel mula mendedahkan tentang kemungkinan wujudnya rasuah dalam rejim, pembantu baharunya Min Xu (Anastasia Lin) mula menyatakan kebimbangan terhadap keselamatan Davis yang mungkin boleh terancam.

Pihak PKC kemudian mula melakukan teknik propaganda yang tidak masuk akal, seperti merakam kehidupan banduan yang tidak berkaitan dengan Falun Gong tetapi menyamar sebagai pengamal, untuk mencemarkan nama baik Falun Gong melalui saluran media. Melalui ketakutan, intimidasi, dan manipulasi media, keadaan mula kelihatan semakin mengerikan bagi pengamal Falun Gong.

Persoalannya, adakah penyiasatan Daniel dan Wang serta kepercayaan rakan-rakannya terhadap Falun Gong sudah cukup untuk melihat mereka melalui semua penganiayaan politik dan rasuah yang berleluasa?

Salah satu perkara yang paling menarik tentang filem ini ialah rentaknya. Filem “Unsilenced” telah menarik perhatian penonton untuk sentiasa menjangkakan adegan seterusnya. Ia juga menggalakkan mereka yang ingin tahu tentang Falun Gong untuk melakukan penyelidikan sendiri terhadap penganiayaan yang dilakukan oleh pihak PKC di China.

‘Unsilenced’
Pengarah: Leon Lee
Pelakon: Sam Trammell, James Yi, Anastasia Lin
Durasi: 1 jam, 48 minit
Tarikh Tayangan: 22 Oktober 2021
‘Rating’: 5 bintang

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Larang anak miliki telefon bimbit, Ronaldo elak anak kecilnya taksub dengan teknologi

0

Cristiano Ronaldo mendedahkan dia masih belum memberikan telefon bimbit kepada anaknya, Cristiano Jr kerana tidak mahu si kecil itu ‘taksub dengan teknologi’ pada usia awal.

Pemain bola sepak yang berusia 36 tahun itu bercakap mengenai kesan teknologi di Plaza Al Wasl di Dubai selepas merangkul anugerah Penjaring Terbanyak Sepanjang Masa Globe Soccer.

Dia berkata: “Sudah tentu ia banyak membantu. Ia membantu saya dan orang di sini, di seluruh dunia, dan saya fikir kita perlu memanfaatkannya tetapi kita tidak seharusnya taksub dengannya.

“Sebagai contoh, saya boleh memberi anda gambaran kecil. Anak sulung saya akan berusia 12 tahun tidak lama lagi dan dia bertanya kepada saya setiap kali, “Ayah, boleh saya dapatkan telefon, boleh saya ada telefon, boleh saya ada telefon.”

“Saya juga tahu bahawa generasi muda ini selangkah di hadapan usia mereka jadi saya bersetuju bahawa kita perlu mengambil kesempatan itu tetapi tidak perlu taksub tentang teknologi”.

Pada 2017, Ronaldo juga menolak permintaan anaknya untuk memiliki telefon, mengatakan dia tidak mahu memberi tanggapan kepada anaknya yang dia mudah untuk mendapatkan apa sahaja yang dia mahukan.

Pada masa itu dia berkata: “Junior sangat gembira dan berkata dia mahu lebih ramai adik-beradik, dia mahukan tujuh orang.

“Saya minta dia tunggu. Suatu hari, Junior meminta saya iPhone untuk menghubungi saya tetapi saya memberitahunya tidak. Kalau dia hendak menghubungi saya, dia perlu melakukannya melalui neneknya.

“Saya ingin memberitahu kepada anak saya bahawa bukan mudah untuknya mendapatkan apa-apa yang dia mahu. Pendidikan adalah perkara terbaik yang boleh saya berikan kepadanya.’

Cristiano Jr, yang digelar Cristianinho, berusia 12 tahun pada bulan Jun, dan dilahirkan melalui kaedah ibu tumpang sebelum bapanya bertemu Georgina Rodriguez.

Georgina kini sedang hamil enam bulan anak kembar dan pasangan itu mendedahkan bahawa kembar mereka dijangkakan seorang lelaki dan seorang perempuan.

Mereka membuat pengumuman itu di media sosial dengan memuat naik video untuk mendedahkan jantina si kembar yang melibatkan keempat-empat anak mereka.

Mereka meminta anak-anak mereka untuk meletupkan belon. Kedua-dua anak lelaki itu kemudian menjerit: ‘Ia lelaki’ dan dua orang anak perempuan berkata: ‘Ia perempuan’. Mereka kemudian bersorak dan ketawa selepas mendedahkan jantina si kembar yang bakal lahir nanti.

Pada bulan November, Georgina mendedahkan bahawa dia hamil anak kembar, dan berkongsi gambar imbasan kandungannya bersama dengan empat orang anak Cristiano di laman Instagram dengan kapsyen: ‘Impacientes ❤️ ❤️’ yang bermaksud ‘tidak sabar’.

Pemain bola sepak profesional itu turut berkongsi berita gembira itu dengan peminat di Instagramnya bulan lalu.

Ronaldo, yang akan mengalu-alukan anak kedua dan ketiganya dengan Georgina menulis: ‘Gembira untuk mengumumkan bahawa kami bakal mendapat anak kembar. Hati kami penuh dengan cinta – kami tidak sabar untuk bertemu dengan kamu.’

Ronaldo sedang menghabiskan percutian antarabangsa di Dubai bersama keluarganya dan dilihat meraikan hari lahir Georgina di bangunan tertinggi di Dunia, Burj Khalifa.

Dia membelanjakan beribu-ribu pound untuk menerangi latar langit Dubai dengan ucapan ‘selamat hari jadi’ kepada pasangannya.

Menara mercu tanda itu bertukar warna sebelum diakhiri dengan mesej ‘Selamat Hari Lahir Gio’ bersama gambar Georgina yang terpapar di menara tinggi tersebut.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

‘Long COVID’: Kerosakan paru-paru tersembunyi boleh dikesan melalui imbasan

0

UNITED KINGDOM- Sesetengah orang yang mengalami simptom susulan selepas sembuh COVID-19 atau dikenali sebagai ‘Long COVID’ dikatakan mungkin mengalami kerosakan tersembunyi pada paru-paru mereka. Perkara ini dibuktikan melalui sebuah kajian perintis yang dijalankan di United Kingdom.

Para saintis menggunakan kaedah imbasan gas Xenon baru untuk melihat keabnormalan pada paru-paru yang tidak dikesan melalui imbasan rutin.

Mereka memberi tumpuan kepada 11 orang yang tidak memerlukan rawatan hospital ketika pertama kali dijangkiti Covid tetapi mengalami sesak nafas yang berpanjangan selepas jangkitan awal mereka.

Kajian yang lebih besar dan lebih terperinci sedang dijalankan untuk mengesahkan keputusan tersebut.

Penyelidik mengatakan penemuan itu dapat menjelaskan mengapa pesakit ‘Long COVID’ sering mengalami simptom sesak nafas walaupun punca sesak nafas adalah pelbagai dan kompleks.

Long COVID merujuk kepada simptom Covid yang berpanjangan selama beberapa minggu walaupun pesakit sudah pulih daripada jangkitan Covid-19.

Kumpulan saintis dari dari Oxford, Sheffield, Cardiff dan Manchester itu membandingkan imbasan gas Xenon dan ujian fungsi paru-paru lain dalam tiga kumpulan orang.

Kajian ini melibatkan mereka yang menghidap simptom ‘Long COVID’ dan mengalami sesak nafas tetapi tidak dimasukkan ke hospital apabila dijangkiti, 12 orang yang telah dimasukkan ke hospital dengan Covid tetapi tidak mempunyai simptom ‘Long COVID’ dan 13 orang yang sihat sebagai “kawalan”.

Menggunakan pendekatan baru, yang dibangunkan oleh Universiti Sheffield, semua peserta menyedut gas Xenon semasa imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI).

Gas memiliki fungsi yang hampir sama dengan oksigen tetapi boleh dikesan secara visual semasa imbasan, jadi saintis dapat “melihat” sejauh mana ia bergerak dari paru-paru ke dalam aliran darah – satu langkah penting untuk membawa oksigen ke seluruh badan.

Penyelidik mendapati bahawa pemindahan gas adalah kurang berkesan kepada kebanyakan orang yang menghidap ‘Long COVID’ dan mereka yang pernah dimasukkan ke hospital kerana Covid turut berhadapan dengan situasi yang sama.

Ketua penyelidik dan pakar paru-paru, Dr Emily Fraser berkata ia adalah sesuatu yang mengecewakan apabila orang ramai datang ke klinik dan doktor tidak dapat menjelaskan kepada pesakit mengapa mereka sesak nafas. Selalunya imbasan X-ray dan imbasan CT tidak menunjukkan kelainan.

“Ini adalah penyelidikan penting dan saya benar-benar berharap ini akan memberi lebih banyak pencerahan mengenainya.”

Menurutnya lagi ia adalah penting untuk orang ramai tahu tentang strategi pemulihan dan latihan semula pernafasan kerana ianya sangat membantu.

Seorang lagi pakar dalam kajian tersebut, Prof Fergus Gleeson, berkata: “Kini terdapat soalan penting untuk dijawab, seperti, berapa ramai pesakit ‘Long COVID’ yang akan memperolehi imbasan abnormal, kepentingan keabnormalan yang dikesan, punca keabnormalan, dan akibat jangka panjangnya.

“Sebaik sahaja kami memahami mekanisme yang mendorong gejala ini, kami akan lebih mudah untuk membangunkan rawatan yang lebih berkesan.”

Kertas kajian tesebut walau bagaimanapun masih dalam fasa pracetak dan masih belum melalui proses semakan formal.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor: