25.3 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 2, 2026
Utama Blog Laman 87

Oyen gemar ‘buang hajat’ di rumah jiran, lelaki ini naik angin tapi tahan sabar sehingga akhirnya jumpa solusi selesai masalah

0

Memelihara haiwan kesayangan seperti kucing dan anjing memerlukan tanggungjawab yang besar serta komitmen yang tinggi, memandangkan seseorang itu tidak boleh menyakiti hati orang lain sekiranya berjiran.

Alkisahnya lelaki ini bengang dengan jirannya yang bersemangat dan katanya bersifat penyayang untuk membela kucing tetapi nampaknya kurang bertanggungjawab dari segi aspek menjaga kebersihannya.

Melalui satu ciapan di Twitter, lelaki tersebut meluahkan rasa kecewa kerana rumahnya sering menjadi tempat melepaskan hajat oleh si oyen kucing jirannya.

Twitter

“Rumah aku jadi port kucing berak, hari-hari kena cuci najis kucing. Kadang-kadang sampai empat kali sehari.

“Aku dah hantar amaran dekat grup residen. Pagi tadi sebelum aku pergi berlari, ada satu longgok najis segar dengan si punca sedang meneran lagi.

“Lepas tu aku bertentang mata la dengan dia sampai dia lari. Lepas balik tengok dia tengah syok tidur atas kereta pula,” kata lelaki itu geram.

Twitter

Dalam ciapan itu, lelaki tersebut menyertakan tangkap skrin perbualan di WhatsApp menunjukkan mesej peringatan diberikan kepada tuan empunya kucing.

“Salam, ada seekor kucing warna campuran oren dan putih pakai kolar suka buang najis dekat rumah saya.

“Hari-hari kena cuci lantai. Sekali lagi saya nampak dia saya buang jauh-jauh ya,” tulis lelaki itu dalam mesejnya.

Walaupun mungkin berang, lelaki itu bagaimanapun tidak tergesa-gesa untuk mengambil tindakan drastik dan masih cuba mengatur solusi yang rasional.

Twitter

“Lepas insiden tu aku ada rancangan nak buat senaman brick, aku ambil basikal terus gerak.

“Masa tengah mengayuh tu aku dapat idea. Bukan kita yang pilih kucing, tapi kucing yang pilih kita. Jadi lepas training tu pun aku keluar untuk selesaikan masalah dia berak merata.

“Sediakan tempat untuk dia berak je. Selesai terus. Aku letak tak sampai lima minit dia dah datang berak.

“Dah memang hari-hari aku kena buang najis dia pun, apa kata aku senangkan hidup dia bagi dia tempat nak berak,” terang lelaki itu tentang strateginya.

Twitter

Menurut lelaki itu, kucing tersebut sedang hamil dan dia tidak sampai hati untuk memarahinya.

“Nak marah bukan dia faham, dia tahu nak berak je. Lagipun dia pregnant, itu yang kesian pula nak buang merata.

“Lepas dia dah bersalin nanti aku nak hantar pergi mandulkan,” kata lelaki itu.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga Twitter berasa kagum kerana lelaki itu yang tidak mudah melenting dengan keadaan tersebut dan memilih untuk berbuat baik.

Twitter
Twitter

Selesai masalah bila kita sudah dapat solusi, tidak perlu marah-marah lagi pasal kucing sampai boleh naik darah tinggi dibuatnya. Tapi malulah dekat tuan punya kucing tu, kita macam tiada tanggungjawab minta orang lain yang tidak berkenaan tolong selesaikan masalah kita, menyusahkan orang lain itu amalan yang tidak baik ya tuan dan puan.

Shuib tamat teka-teki ikat tali pertunangan bersama pilihan hati Watie Hanifiah, bakal bernikah 23 Jun

0

Pelawak terkenal yang juga penyampai radio popular, Shuib selamat mengikat tali pertunangan bersama wanita pilihan hatinya, Watie Hanifiah pada 6 Mei 2023.

Majlis pertunangan berlangsung di kediaman keluarga Watie di Shah Alam, dengan hanya dihadiri keluarga terdekat kedua-dua belah pihak.

Dalam majlis tersebut, pihak Watie menerima tiga dulang hantaran daripada Shuib berupa manisan dan sirih junjung berbalas lima dulang iaitu sirih junjung, buah-buahan, samping, kasut dan manisan.

Tangkap Skrin @astrogempak/Instagram

Pasangan itu bakal diijabkabulkan pada 23 Jun depan.

Shuib yang mengakui berdebar-debar pada hari itu mengharapkan doa orang ramai agar perancangannya untuk mendirikan rumah tangga bersama Watie akan berjalan lancar.

“Saya berdebar-debar sejak beberapa hari lalu termasuk sepanjang mencari barang dan melakukan persiapan.

Tangkap Skrin @astrogempak/Instagram

“Rasa lain, seronok dan terharu sebab melihat keluarga bekas mentua dan mak saya bersama keluarga Watie disatukan. Dalam kehidupan memang tak sangka apa yang Allah SWT sajikan.

“Apa yang boleh diharapkan ialah doa daripada semua orang. Semoga semua doa itu menguatkan lagi membawa kita ke arah kehidupan paling baik,” katanya secara eksklusif kepada Astro Gempak.

Sementara itu, Watie pula berharap ikatan yang bakal terjalin dengan Shuib pada Jun depan akan berjalan lancar berkat doa semua pihak.

“Alhamdulillah, semua berjalan lancar hari ini.

“Perasaan bercampur-baur dan saya mengharapkan semuanya dipermudahkan dan berkekalan selama-lamanya.

“Semoga hubungan dengan bakal suami mendapat doa daripada semua,” katanya.

Tangkap Skrin @shuibsepahtu/Instagram

Terdahulu, Shuib menamatkan teka-teki hubungannya bersama Watie dan mengakui bakal bernikah pada Jun depan.

Menerusi perkahwinan Shuib dan Allahyarham Siti Sarah Raisuddin, pasangan itu dikurniakan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 12, Dzahira Talita Zahra, 10, Ariq Matin, 8, dan Ayash Affan berusia setahun lima bulan.

Pada 8 Ogos 2021, industri hiburan tanah air digemparkan dengan berita pemergian penyanyi Siti Sarah yang meninggal dunia akibat jangkitan COVID-19.

Pilihan Editor:

“Makanan terbaik dunia ada di sini!” Penyanyi Lenka suka Laksa dan Nasi Lemak ketika berada di Malaysia

0

Penyanyi Indie pop kelahiran Australia, Lenka mengakui menggemari juadah popular di Malaysia iaitu laksa dan nasi lemak sambil melabel ia makanan terbaik di dunia.

Lenka, 44 tahun yang berada di Kuala Lumpur untuk konsert pertamanya di Malaysia pada 1 Mei lalu, berkongsi hidangan kegemaran ramai terbabit yang katanya mempunyai keunikan rasa tersendiri.

“Saya pernah lima kali berkunjung ke Malaysia dan kali ini saya hadir untuk mengadakan konsert untuk para peminat setia saya di sini.

Gambar Handout

“Saya perlu mengakui, saya sangat sukakan Malaysia. Cuaca pun bagus, saya sukakan penduduk di sini, mereka sangat peramah dan pastinya di sini syurga makanan terbaik di dunia!

“Hidangan paling saya gemari setiap kali ke Malaysia ialah laksa dan nasi lemak. Ya, saya sukakan makanan pedas,” akuinya kepada Gempak.

Laksa Penang / Gambar Pinterest

Lenka mengadakan konsert solo pertamanya ‘Live in KL’ yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, telah menyanyikan lebih 16 buah lagu yang dipetik daripada beberapa albumnya termasuk dua EP terbaharu, ‘Discover’ dan ‘Recover’.

Lenka menyapa peminatnya menerusi lagu-lagu popularnya seperti ‘What Goes Up, On My Side’ serta dua hit terkenal, ‘Trouble Is A Friend’ dan ‘The Show’.

“Saya pernah mengadakan persembahan sebelum ini, cumanya saya berkongsi pentas dengan beberapa artis, tetapi kali ini konsertnya cuma saya seorang.

Lenka / Facebook

“Sudah pasti saya teruja untuk bertemu dengan peminat-peminat saya di Kuala Lumpur. Saya akan berinteraksi dengan peminat dan pastinya akan ada kejutan yang menanti.

“Saya akan menyanyikan lagu-lagu yang kebanyakannya sudah serasi, akan ada lagu-lagu yang sudah lama saya tidak nyanyikan juga dan lagu-lagu baru,” katanya sebelum konsert berlangsung.

Tonton video di sini.

Pilihan Editor:

Pertandingan kucing gemuk dapat sambutan orang ramai

0

Pada 30 April lalu, Sutera Mall, Johor Bahru telah mengadakan pertandingan kucing gemuk bersempena dengan Sutera Pet Fair 2023.

FACEBOOK

Melalui Facebook rasmi Sutera Mall, mereka berkongsi dengan masyarakat mengenai pertandingan yang menarik itu.

Berdasarkan perkongsian tersebut kelihatan ramai orang mengambil bahagian dalam pertandingan itu. Rata-ratanya mempertandingkan kucing peliharaan mereka yang memang montel.

FACEBOOK

Antara kucing oren atau Oyen yang turut bertanding.

FACEBOOK
FACEBOOK
FACEBOOK

Pertandingan tersebut telah ditaja oleh Easy Pet Shop & Chunk Bits.

Tahniah diucapkan kepada para pemenang.

Pilihan Editor:

Malaysia berdepan gelombang baharu COVID-19 apabila lebih ramai dimasukkan ke hospital

0

KUALA LUMPUR – Malaysia berdepan gelombang baharu kes COVID-19 yang menyaksikan kit ujian pantas semakin berkurangan di pasaran, lebih ramai dimasukkan ke hospital, dan pakar menasihati orang ramai supaya mengelak daripada berada tempat yang sesak.

Hanya beberapa bulan lalu, kit ujian COVID-19 tersedia, tetapi beberapa farmasi di Kuala Lumpur dan Selangor kini kehabisan stok ekoran kes terus meningkat selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri, lapor media Singapura, The Straits Times.

Salah seorang pesakit memberitahu dia menghubungi beberapa farmasi untuk mencari kit ujian pantas (RTK) dan oximeter, hanya untuk diberitahu ia kehabisan stok.

Gambar AFP

Data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan kes meningkat 0.6 peratus kepada 9,780, dan kemasukan ke hospital meningkat sebanyak 9.2 peratus kepada 3,381 dalam tempoh 14 hari hingga 29 April. Kes yang disahkan setiap hari pada 29 April berjumlah 1,050. Kematian yang disebabkan oleh COVID-19 telah meningkat sebanyak 25 peratus.

Pakar percaya kemungkinan dengan terdapat kes yang kurang dilaporkan. Mereka yang asimtomatik atau mengalami simptom ringan mungkin tidak memaklumkan kepada pihak berkuasa melalui aplikasi penjejakan MySejahtera.

Hospital kerajaan melaporkan kadar kemasukan hospital semasa sebanyak 70.3 peratus, berbanding 50 peratus pada 22 April. Katil di unit rawatan rapi adalah 67 peratus diduduki. Beberapa hospital swasta, termasuk Hospital Gleneagles Kuala Lumpur dan Pusat Perubatan Prince Court, penuh pada Rabu, 3 Mei dan tidak lagi menerima lebih banyak pesakit COVID-19.

Kementerian Kesihatan Malaysia dalam ciapannya memberi peringatan pada hari Rabu bahawa mereka yang diuji positif mesti menjalani kuarantin diri wajib di rumah selama tujuh hari. Perlepasan awal mungkin dibenarkan dengan ujian negatif yang diawasi oleh pengamal perubatan bermula hari keempat jangkitan.

Profesor Madya Chee Hui Yee, pakar virologi dari Universiti Putra Malaysia memberitahu Malaysia kini sedang menghadapi gelombang baharu pandemik akibat musim perayaan. Sambutan Hari Raya Aidilfitri adalah yang pertama sejak Malaysia menarik balik peraturan pemakaian wajib pelitup muka dengan beberapa pengecualian pada September 2022, di samping ramai yang pulang ke kampung halaman atau bercuti.

Walaupun tidak ada peningkatan yang besar dalam kes yang teruk dan “keadaan boleh diurus”, Prof Chee menasihatkan orang ramai untuk “bersedia menghadapi yang terburuk”. “Dapatkan ujian jika mempunyai simptom dan asingkan diri jika anda positif, pakai pelitup muka jika ada simptom, dan elakkan bercampur dengan orang lain dan elakkan pergi ke tempat yang sesak.”

Beliau berkata beberapa pakar telah mencadangkan ujian kendiri sebelum kembali ke sekolah selepas sambutan Hari Raya, yang boleh menyumbang kepada kekurangan kit ujian pantas (RTK).

Profesor Awang Bulgiba Awang Mahmud, Pengerusi Pasukan Petugas Analisis dan Strategi Epidemiologi COVID-19, berkata kadar ujian COVID-19 kembali positif adalah “sangat tinggi”, berdasarkan data ujian yang dilakukan pada 22 April.

“Terdapat 562 kes daripada 2,503 ujian yang dijalankan pada hari itu sahaja. Itu kelihatan seperti kadar positif ujian sebanyak 22.4 peratus. Saya mengesyaki bahawa 562 kes itu adalah sesuatu yang amat dipandang remeh,” katanya.

Prof Awang menambah data terkini mengenai kes baharu adalah dari 29 April, tetapi tiada data ujian yang sepadan. Kementerian Kesihatan Malaysia mengeluarkan data hanya sekali seminggu, tetapi walaupun terdapat data mengenai jangkitan baharu, tiada data mengenai ujian sejak 22 April.

“Jadi saya tertanya-tanya bagaimanakah kadar positif ujian dan sejauh mana kita memandang rendah bilangan jangkitan baharu,” kata Prof Awang.

Malaysia menghadapi gelombang maut pada pertengahan 2021 yang dicetuskan oleh varian Delta yang menyaksikan banyak hospital kehabisan bekalan oksigen dan katil. Bulan Ogos tahun itu menyaksikan 632,982 jangkitan, dengan kes harian kerap melebihi 20,000. Malaysia melaporkan 7,640 kematian berkaitan COVID-19 pada bulan yang sama, hampir dua kali ganda daripada 3,854 yang dicatatkan pada Julai 2021.

Pilihan Editor:

Ramalan fenomena El Nino kuat Jun ini, Malaysia perlu sedia persiapan awal

0

Persediaan awal bagi menghadapi fenomena El Nino kuat yang diramal berlaku Jun ini perlu dilaksanakan segera dengan melibatkan dua pemegang taruh utama negara iaitu kerajaan dan rakyat untuk meminimumkan impak fenomena itu.

Pakar alam sekitar, Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman berkata, walaupun Malaysia pernah beberapa kali mengalami fenomena cuaca tersebut, persiapan awal meliputi semua aspek adalah perlu bagi mengelakkan kepanikan melampau.

Beliau berkata, berdasarkan rekod setakat 2015, El Nino pernah melanda negara sebanyak 12 kali iaitu sejak 1951 hingga 1952 dan kejadian yang paling teruk ialah pada 1997 hingga 1998 apabila catatan suhu tertinggi 40.1 darjah Celsius direkodkan di Stesen Meteorologi Chuping, Perlis pada 9 April 1998.

Sekadar Gambar Hiasan / Pixabay

“Justeru, persediaan kerajaan adalah memantau semua aras air sungai dan empangan, mengaktifkan pelan tindak balas kecemasan, meneroka sumber air alternatif, menggalakkan orang ramai dan industri menjimatkan penggunaan air, serta melakukan penghasilan awan dan menyediakan sokongan logistik.

“Seterusnya mempertingkatkan segala bentuk bantuan perubatan dan kecemasan seperti ubat-ubatan untuk mangsa selain alat bantuan memadam kebakaran sekiranya berlaku kebakaran,” katanya kepada Bernama.

Untuk rakyat pula, persediaan perlu dibuat dari sudut mental dan fizikal bagi menghadapi sebarang kemungkinan seperti krisis air yang menyebabkan langkah seperti catuan air di sesetengah kawasan mungkin terpaksa dibuat sekali gus memberi impak terhadap aktiviti manusia

“Setiap daripada kita harus mengelak daripada melakukan sebarang aktiviti yang boleh menyebabkan kebakaran. Bahan-bahan mudah terbakar perlu disimpan dengan baik manakala aktiviti pembakaran terbuka seperti membakar sampah, sisa pertanian dan sisa pembinaan perlu dielakkan.

“Ini bagi menghindarkan berlakunya pencemaran udara yang boleh menyebabkan jerebu. Sekiranya berlaku kebakaran terbuka, ia perlu dilaporkan segera kepada pihak berkuasa bagi tindakan lanjut,” katanya.

Media melaporkan pada 3 Mei, fenomena El Nino kuat dijangka bermula Jun apabila keadaan cuaca akan berubah disebabkan kehadiran monsun barat daya yang cuacanya dicirikan dengan keadaan kering dan panas.

Berdasarkan laporan tinjauan cuaca bagi tempoh Mei hingga Oktober yang dipaparkan di portal Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), kebanyakan model iklim antarabangsa menunjukkan kitaran atmosfera di kawasan tropika konsisten dengan keadaan El Nino Southern Oscillation (ENSO) adalah neutral.

Bagaimanapun, laporan itu memaklumkan keadaan neutral yang sedang berlaku itu dijangka akan memasuki fasa El Nino pada Mei hingga Julai ini dengan kebarangkalian 62 peratus.

Sementara itu, Pakar Kesihatan Persekitaran Prof Dr Juliana Jalaludin berkata bagi mengelakkan berlakunya strok haba ketika fenomena ini, selain banyak minum air, rakyat dinasihatkan untuk memakai pakaian berwarna terang dan ringan serta mengelakkan aktiviti fizikal.

“Selain itu, sentiasa menggunakan pelindung matahari seperti memakai pelindung matahari spektrum luas dengan SPF (Faktor Perlindungan Matahari) 15 atau lebih jika berada di luar rumah kerana selaran matahari menjejaskan keupayaan badan untuk menyejukkan diri,” katanya.

Beliau juga berkata rakyat tidak digalakkan meninggalkan sesiapa pun di dalam kenderaan yang tidak bergerak kerana suhu dalaman boleh meningkat lebih daripada 11 darjah Celsius dalam masa 10 minit apabila berada di bawah matahari.

Sekadar Gambar Hiasan / Pexels

Penasihat Pertubuhan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar pula berkata, fenomena El Nino akan meningkatkan risiko penyakit berkaitan dengan bawaan vektor seperti denggi dan malaria, serta penyakit bawaan air dan makanan seperti tifoid dan penyakit saluran pernafasan.

Katanya, antara persiapan yang boleh dilakukan rakyat bagi menjaga kesihatan masing-masing adalah menyimpan air serta makanan yang sihat dan mencukupi selain memperbanyakkan berteduh di kawasan seperti pokok dan bumbung jika keluar dari rumah.

Dr Zainal Ariffin turut menyarankan kerajaan untuk memastikan perkhidmatan bekalan air awam yang cukup dan cekap, bekalan makanan segar dan murah mudah didapati serta memberi amaran awal kepada rakyat semasa menghadapi fenomena tersebut.

Pilihan Editor:

Penunggang motosikal maut dipanah petir

0

Seorang penunggang motosikal berusia 50 tahun maut dipanah petir di Jalan Kampung Seri Cheeding, Banting, Selangor pada 2 Mei. Kejadian berlaku pada pukul 6.20 petang.

ASTRO AWANI

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, penunggang motosikal yang merupakan warga tempatan itu sedang menuju ke tempat kerjanya yang terletak di Bandar Mahkota, Banting.

Kata Ahmad Ridhwan lagi, mangsa yang ketika itu melalui Jambatan Rimbayu ke Ladang Teh Seri Cheeding dipanah petir, kemudian jatuh daripada motosikalnya lalu tidak menyedarkan diri.

Menurut Ahmad Ridhwan lagi, orang awam yang turut melalui jalan tersebut telah membantu mengalihkan mangsa ke tepi jalan dan terus menghubungi unit kecemasan dan ambulans. Mangsa walau bagaimanapun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Panahan petir telah membentuk dua lubang di jalan dan mangsa mengalami kecederaan di sebelah kanan lehernya selain lebam di perut dan peha akibat dipanah petir, manakala luka di dagu dan lututnya adalah disebabkan dia terjatuh daripada motosikalnya.”

Hasil bedah siasat yang dijalankan ke atas mangsa mendapati mangsa meninggal dunia akibat dipanah petir dan polis mengklasifikasikan kes tersebut sebagai kematian mengejut.

Salam takziah kepada keluarga mangsa.

Pilihan Editor:

Ikan Koi gemuk jadi tumpuan pelancong

0

Ikan Koi gemuk menjadi topik hangat bualan netizen di China sejak kebelakangan ini. Mereka sebenarnya memperkatakan tentang ikan-ikan koi yang terdapat di Taman Baotu Spring di Jinan, Shandong yang ternyata gemuk-gemuk belaka. Sesiapa yang berkunjung ke taman yang merupakan antara tiga lokasi pelancongan utama di China itu memang akan terpesona sebaik sahaja melihat ikan-ikan Koi di sana.

Menurut laporan media tempatan, Taman Baotu Spring telah menjadi tumpuan ramai pelancong sejak dua menjak ini. Banyak pelancong yang teruja dengan ikan koi yang dipelihara di kolam tempatan itu kerana ikan-ikan tersebut bersaiz lebih besar berbanding ikan yang sama jenis di tempat lain.

Terdapat banyak jenis ikan koi di sana. Ada yang berwarna hitam, putih, merah dan oren. Jika tidak dilihat dengan teliti, ikan koi yang berwarna oren itu kelihatan seperti betik yang terapung. Walhal sebenarnya itu adalah ikan koi yang gemuk.

FACEBOOK

Ikan-ikan tersebut didakwa gemuk akibat kekenyangan kerana kerap diberi makan oleh pelancong yang berkunjung ke taman itu. Oleh itu, untuk mengelakkan pelancong memberi terlalu banyak makanan, beberapa orang pengawal diletakkan berdekatan dengan kolam tersebut.

Para pengawal akan memastikan pelancong tidak memberi makan kepada ikan malah sekiranya perlu mereka akan melaung dengan kuat, “lihatlah, ikan ini gemuk macam babi”.

Dengan cara itu, mereka berharap dapat mengurangkan bilangan pelancong yang suka memberi makan kepada ikan sekaligus membolehkan ikan-ikan itu mengurangkan berat badan mereka.

FACEBOOK

Walaupun ramai yang mendakwa bahawa ikan-ikan Koi itu gemuk akibat banyak makan, namun dakwaan tersebut disangkal oleh Meng Qinglei, Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan Genetik dan Pembiakan Institut Penyelidikan Perikanan Air Tawar Shandong.

Menurut Meng, sekali pandang memang ikan Koi itu nampak gemuk namun bukan disebabkan kekenyangan tetapi sebenarnya ikan-ikan itu bunting.

Ikan koi betina gemuk disebabkan bunting dan akan kehilangan berat badan mereka selepas bertelur. Manakala ikan koi jantan pula tidak akan menjadi terlalu gemuk walaupun banyak makan.

PETUDN

Jika anda mahu menyaksikan sendiri ikan-ikan Koi itu, anda bolehlah berkunjung ke Taman Baotu Spring dengan bayaran masuk lebih kurang RM26.00. Waktu terbaik untuk melancong ke sana ialah pada bulan Mac hingga Mei dan September hingga November.

Pilihan Editor:

“Makan karya seni moden juga adalah satu karya seni,” Pelajar seni makan pisang pameran “Comedian” di muzium seni sebab belum sarapan

0

Seorang pelajar seni di Korea Selatan memakan sebiji pisang yang merupakan karya artis seni Itali, Maurizio Cattelan digelar “Comedian” kerana lapar, lapor BBC.

Noh Huyn-soo dirakam dengan berani mengambil pisang yang dilekatkan pada dinding Muzium Seni Leeum di Seoul.

Tangkap Layar YouTube

Dia mengupas kulit pisang tersebut dan memakannya di hadapan penonton sebelum melekatkan semula kulit pada dinding dan berjalan pergi sambil tersenyum puas.

Kejadian itu dirakam oleh seorang rakan Huyn-soo yang merupakan pelajar Universiti Kebangsaan Seoul (SNU).

Tangkap Layar YouTube

Apabila disoal pihak muzium, Huyn-soo berkata, dia memakan pisang itu kerana berasa lapar selepas terlewat bersarapan pagi.

Hyun-soo memberitahu stesen televisyen KBS, tindakannya ‘memakan karya seni moden juga juga adalah satu karya seni’ manakala idea menampal semula kulit pisang itu hanyalah ‘gurauan’.

Tangkap Layar YouTube

“Saya fikir ini akan menjadi menarik. Bukankah pisang ditampal di sana untuk dimakan?,” tambahnya.

Pisang “Comedian” yang menjadi sebahagian daripada karya seni Cattelan itu akan diganti selang dua atau tiga hari.

Maurizio Cattelan kemudian memberikan maklum balas mengenai kejadian itu dengan berkata, “Tiada masalah.” 

Tangkap Layar YouTube

Ini bukan kali pertama pisang yang dilekatkan pada karya seni itu dimakan. Semasa pameran sulung karya itu di Miami Art Basel pada 2019, sebiji pisang tersebut telah dimakan oleh artis seni lain, David Datuna.

Edisi pertama dan kedua yang dipamerkan di Miami Art Basel dijual pada harga AS$120,000 (RM535,760) dan satu lagi dijual pada harga AS$150,000 (RM667,200) sebelum Datuna memakan pisang itu.

Tonton video di bawah:

Pilihan Editor:

Pelari Malaysia cipta Rekod Dunia Guinness dalam maraton penuh terpantas di London lengkap berbaju Melayu

0

Mohd Syahidan Alias atau Edan Syah tidak asing lagi dalam dunia maraton di kalangan rakyat Malaysia. Malah, beliau pernah menjadi tajuk utama kerana menyempurnakan acara maraton di Blackmores Sydney Running Festival dengan memakai kostum Jalur Gemilang.

Larian itu berlangsung pada Hari Malaysia pada 2018, di mana Edan mencipta sejarah dunia untuk larian maraton terpantas memakai kostum bendera negara dengan masa 2 jam 54 minit.

Kini Edan melakukannya lagi. Bukan memakai pakaian dengan bendera, tetapi dalam pakaian lengkap Baju Melayu segak dengan samping dan songkok.

Edan Syah / Facebook

Pada hari raya ketiga di London pada Ahad lalu 30 April, Edan berlari maraton penuh dalam masa kurang 3 jam di “TCS London Marathon 2023” dengan berpakaian lengkap Baju Melayu tajaan dan dibuat khas oleh Bulan Bintang. Edan mencipta “Guinness Book Of Records” untuk Maraton Penuh Terpantas (42.2km) dalam Pakaian Melayu Tradisional (Lelaki).

Jurulatih larian bertauliah berusia 35 tahun ini menamatkan maraton dengan catatan masa 2 jam, 49 minit dan 22 saat, yang membanggakan dirinya sendiri apabila memecahkan rekod maraton dunia sebelum ini pada 2018.

Edan Syah / Facebook

“Saya berharap percubaan saya untuk rekod dunia tahun ini pada Aidilfitri akan memberi inspirasi kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk melakukan perkara yang hebat untuk negara. Bersama-sama, Ayuh Jadikan Baju Melayu Hebat Kembali.”

Edan berkongsi kemenangannya di Instagram dan Facebook, mengucapkan terima kasih kepada rakan kongsi dan kolaborator yang menyokong usahanya untuk membanggakan negara dan juga menjadikan Baju Melayu Hebat Kembali.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada penyokongnya yang dikenali sebagai Team Edan Syah kerana memberi sumbangan kira-kira RM10,000 untuk kempen amal, “Road To London for Team Livability UK”, dalam hantaran berasingan.

Edan Syah / Facebook

Baju Melayu Edan dibuat khas oleh Bulan Bintang, jenama tempatan yang terkenal dengan pakaian tradisional.

Rekaan pakaian itu diketuai oleh pereka fesyen Bulan Bintang, Mas Anneesya, lapor Utusan Malaysia.

Beliau berkata Baju Melayu itu dibuat menggunakan kain jersi dan berjaring kerana ia ringan, bernafas dan tidak membebankan. Ia memastikan atlet boleh berlari pada momentum yang stabil tanpa menjejaskan pergerakan mereka.

“Kami juga menghasilkan seluar panjang dengan poket di kiri dan kanan serta pinggang bergetah kerana ia praktikal untuk larian jarak jauh. Zip tersembunyi di bahagian buku lali yang ditutup dengan fabrik juga direka dan diinovasikan untuk mengelakkan kaki daripada lebam atau melecet selain memudahkan atlet menyarung kasut.

Edan Syah / Facebook

“Lebih menarik, rekaan samping bercetak yang dipakai oleh Edan Syah mempunyai poket yang berfungsi untuk meletakkan gel tenaga untuk pelari dan botol air kecil manakala songkok menggunakan fabrik baldu dan mesh dengan saiz lubang yang lebih besar bagi membolehkan pengudaraan lebih baik dan banyak,” jelas Mas.

Walaupun jarang melihat orang melakukan larian maraton dengan Baju Melayu, perkara yang mustahil sentiasa boleh dicapai oleh rakyat Malaysia untuk mencipta rekod dunia. Terdapat rekod individu yang memakai pakaian Baju Melayu lengkap semasa maraton sebelum ini tetapi hanya di Malaysia.

Tonton video di sini.

Pilihan Editor: