Penyanyi Indie pop kelahiran Australia, Lenka mengakui menggemari juadah popular di Malaysia iaitu laksa dan nasi lemak sambil melabel ia makanan terbaik di dunia.
Lenka, 44 tahun yang berada di Kuala Lumpur untuk konsert pertamanya di Malaysia pada 1 Mei lalu, berkongsi hidangan kegemaran ramai terbabit yang katanya mempunyai keunikan rasa tersendiri.
“Saya pernah lima kali berkunjung ke Malaysia dan kali ini saya hadir untuk mengadakan konsert untuk para peminat setia saya di sini.
“Saya perlu mengakui, saya sangat sukakan Malaysia. Cuaca pun bagus, saya sukakan penduduk di sini, mereka sangat peramah dan pastinya di sini syurga makanan terbaik di dunia!
“Hidangan paling saya gemari setiap kali ke Malaysia ialah laksa dan nasi lemak. Ya, saya sukakan makanan pedas,” akuinya kepada Gempak.
Lenka mengadakan konsert solo pertamanya ‘Live in KL’ yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, telah menyanyikan lebih 16 buah lagu yang dipetik daripada beberapa albumnya termasuk dua EP terbaharu, ‘Discover’ dan ‘Recover’.
Lenka menyapa peminatnya menerusi lagu-lagu popularnya seperti ‘What Goes Up, On My Side’ serta dua hit terkenal, ‘Trouble Is A Friend’ dan ‘The Show’.
“Saya pernah mengadakan persembahan sebelum ini, cumanya saya berkongsi pentas dengan beberapa artis, tetapi kali ini konsertnya cuma saya seorang.
“Sudah pasti saya teruja untuk bertemu dengan peminat-peminat saya di Kuala Lumpur. Saya akan berinteraksi dengan peminat dan pastinya akan ada kejutan yang menanti.
“Saya akan menyanyikan lagu-lagu yang kebanyakannya sudah serasi, akan ada lagu-lagu yang sudah lama saya tidak nyanyikan juga dan lagu-lagu baru,” katanya sebelum konsert berlangsung.
Tonton video di sini.
Pilihan Editor: