Pelawak terkenal yang juga penyampai radio popular, Shuib selamat mengikat tali pertunangan bersama wanita pilihan hatinya, Watie Hanifiah pada 6 Mei 2023.
Majlis pertunangan berlangsung di kediaman keluarga Watie di Shah Alam, dengan hanya dihadiri keluarga terdekat kedua-dua belah pihak.
Dalam majlis tersebut, pihak Watie menerima tiga dulang hantaran daripada Shuib berupa manisan dan sirih junjung berbalas lima dulang iaitu sirih junjung, buah-buahan, samping, kasut dan manisan.
Pasangan itu bakal diijabkabulkan pada 23 Jun depan.
Shuib yang mengakui berdebar-debar pada hari itu mengharapkan doa orang ramai agar perancangannya untuk mendirikan rumah tangga bersama Watie akan berjalan lancar.
“Saya berdebar-debar sejak beberapa hari lalu termasuk sepanjang mencari barang dan melakukan persiapan.
“Rasa lain, seronok dan terharu sebab melihat keluarga bekas mentua dan mak saya bersama keluarga Watie disatukan. Dalam kehidupan memang tak sangka apa yang Allah SWT sajikan.
“Apa yang boleh diharapkan ialah doa daripada semua orang. Semoga semua doa itu menguatkan lagi membawa kita ke arah kehidupan paling baik,” katanya secara eksklusif kepada Astro Gempak.
Sementara itu, Watie pula berharap ikatan yang bakal terjalin dengan Shuib pada Jun depan akan berjalan lancar berkat doa semua pihak.
“Alhamdulillah, semua berjalan lancar hari ini.
“Perasaan bercampur-baur dan saya mengharapkan semuanya dipermudahkan dan berkekalan selama-lamanya.
“Semoga hubungan dengan bakal suami mendapat doa daripada semua,” katanya.
Terdahulu, Shuib menamatkan teka-teki hubungannya bersama Watie dan mengakui bakal bernikah pada Jun depan.
Menerusi perkahwinan Shuib dan Allahyarham Siti Sarah Raisuddin, pasangan itu dikurniakan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 12, Dzahira Talita Zahra, 10, Ariq Matin, 8, dan Ayash Affan berusia setahun lima bulan.
Pada 8 Ogos 2021, industri hiburan tanah air digemparkan dengan berita pemergian penyanyi Siti Sarah yang meninggal dunia akibat jangkitan COVID-19.
Pilihan Editor: