32.8 C
Kuala Lumpur
Wednesday, August 6, 2025
Utama Blog Laman 76

Bayi lelaki ditemukan lemas selepas terjatuh ketika berkayak bersama bapa

0

BALING: Seorang bayi lelaki berusia setahun tujuh bulan dilaporkan lemas selepas dipercayai terjatuh dari pelampung kayak yang dinaiki bersama bapanya.

Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 11.51 pagi 8 Julai di Sungai Ketil, Lubuk Pedati, Baling, Kedah.

Menurut Sinar Harian, seorang saksi yang enggan dikenali berkata, mangsa bersama bapanya dan seorang lagi kanak-kanak sedang menaiki pelampung kayak ketika aktiviti riadah di kawasan berkenaan.

Gambar Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling

“Bagaimanapun, pelampung berkenaan dikatakan terlanggar perdu buluh menyebabkan mangsa terjatuh,” kata saksi.

Dalam pada itu, seorang kanak-kanak lelaki berusia lingkungan dua tahun yang menaiki pelampung yang sama berjaya diselamatkan. Manakala mangsa pula telah dihanyutkan arus Sungai Ketil.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Mohd Jamil Mat Daud berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 12.04 tengah hari.

Menurut Mohd Jamil, sepasukan anggota dari BBP Baling telah dikerahkan ke lokasi kejadian. Operasi menyelamat diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Mohd Jusoh Abdul Wahab.

“Setibanya di lokasi, Komander Operasi memaklumkan terdapat seorang bayi lelaki hanyut ke dalam sungai berhampiran sebuah tapak perkhemahan.

“Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah turut meminta maklumat dari Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran.

“Operasi turut dibantu malim gunung dan polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Persatuan Rekreasi Luar dan orang awam,” katanya.

Gambar Sinar Harian

Mohd Jamil berkata mayat mangsa berjaya ditemui kira-kira 3.3 kilometer dari tempat dilaporkan hilang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, mayat bayi lelaki dikenali Adryan Mikhael Muhammad Afiq telah ditemui penduduk kampung di Sungai Limau.

“Ketika ditemui mangsa telah meninggal dunia,” katanya.

Mayat telah dihantar ke Hospital Baling untuk bedah siasat. 

Kata Shamsudin, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Kanak-kanak perempuan 3 tahun lumpuh akibat kecuaian hospital terima pampasan RM5.6 juta

0

Seorang kanak-kanak perempuan berusia 3 tahun dianugerahkan wang pampasan berjumlah RM5.6 juta selepas hakim mendapati sebuah hospital awam melakukan kecuaian sehingga mengakibatnya lumpuh semasa melalui kelahiran secara pembedahan Caesarean.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Akhtar Tahir mengarahkan hospital terbabit membayar RM5.6 juta kepada Nur Adeena Mohd Syahmir susulan saman yang difailkan melalui bapanya, Mohd Syahmir Mohd Kamal terhadap kerajaan dan doktor yang terbabit dengan dakwaan mereka telah cuai serta gagal bertindak demi kepentingan mangsa.

Sekadar Gambar Hiasan

Nur Adeena dilahirkan pada 12 Mei 2020, didapati mengalami kecederaan saraf tunjang berikutan komplikasi pembedahan Caesarean yang menyebabkannya lumpuh dari leher ke bawah, lapor Berita Harian.

Selepas siasatan dalaman dijalankan oleh pihak hospital, mereka mendapati pegawai perubatan yang menjalankan pembedahan itu tidak mempunyai pengalaman terdahulu dan melakukannya tanpa pengawasan pakar obstetrik dan ginekologi.

Hakim Datuk Akhtar Tahir berkata, doktor pakar menerangkan bahawa berdasarkan keadaan, Nur Adeena berkemungkinan hidup sehingga usia 23 tahun, justeru mahkamah memutuskan mangsa layak mendapat pampasan yang secukupnya.

Sekadar Gambar Hiasan

“Tiada jumlah wang yang boleh mengurangkan kesakitan dan penderitaan kanak-kanak itu. Oleh itu, mahkamah hanya boleh memberikan jumlah mencerminkan kerugian dialami serta jumlah itu tidak boleh terlalu tinggi sebaliknya munasabah.

“Mahkamah juga berpandangan jumlah ganti rugi diberikan mesti mengimbangi sebaik mungkin perbelanjaan tambahan yang akan ditanggung penjaga plaintif (kanak-kanak itu),” kata Hakim Akhtar.

Selain itu, mahkamah berpendirian pihaknya tidak diberi kuasa untuk menentukan tempat terbaik untuk rawatan atau cara rawatan dan perkara itu mesti ditentukan oleh penjaga iaitu ibu bapa mangsa.

Gambar ihsan Facebook Nurul Khairiyah

“Ibu bapa tidak boleh dibelenggu dengan beban memilih rawatan yang lebih murah berbanding rawatan yang lebih baik dan tepat pada masanya.

“Oleh itu, mahkamah tidak boleh menerima dakwaan defendan (kerajaan) bahawa tempat rawatan terbaik adalah di kemudahan kerajaan yang percuma atau murah. Ini mungkin benar, tetapi faktor lebih penting dalam pandangan mahkamah ialah memutuskan rawatan terbaik.

“Yang terbaik mungkin bukan yang termurah,” kata Hakim Akhtar.

Pilihan Editor:

Anak kucing berani keluar bermain seorang diri tanpa pengetahuan ibunya yang cemas, dapat ‘penampar dulu’ sebelum dikutip kembali ke rumah

0

Semua orang ada pengalaman dipukul ibu bapa sebab mereka nakal bukan? Situasi ilmu keibubapaan yang bukan sahaja berlaku di kalangan manusia malahan dalam keluarga haiwan kucing juga.

Tular di Weibo baru-baru ini satu perkongsian video memaparkan adegan lucu antara ibu kucing dan anak kecilnya yang nakal.

Dalam video itu, dapat dilihat seekor anak kucing berwarna jingga putih sedang duduk di satu sudut seolah-olah sedang melakukan sesuatu yang salah.

Weibo

Tidak berani untuk bergerak sama sekali, ibu kucing berada tidak jauh dari situ seperti telah melihat dan memanggil anak kucing itu.

Si ibu dengan pantas berjalan menuju ke arah anaknya, nampak macam marah benar dia bila mendengar cara leterannya kepada anak kucing itu.

Weibo

Kemudian melangkah ke hadapan untuk menghidu dan memastikan bahawa si kecil memang anaknya yang tiba-tiba hilang daripada pandangannya tadi. 

Weibo

Selepas ibu kucing itu yakin, dia terus mengangkat kaki hadapannya memberi tamparan comel sehingga kelihatan anak kucing itu tersungkur kepalanya menghala ke lantai dek terasa pening terkena ‘penampar ibu’.

Weibo

Lantas sambil marah-marah, ibu kucing mengutip anaknya itu dengan menggonggong ke dalam mulutnya, dan dia berlari dengan langkah kecil kembali semula ke dalam rumah.

Video comel yang membuat ramai netizen ketawa terbahak-bahak, “Anak kucing itu berlari keluar seorang diri. Selepas ibu kucing menemuinya, dia meleter tidak henti, mengajarnya jangan nakal dan terlalu berani, dan pantas mengutipnya kembali ke dalam.”

Weibo

Video ibu mengajar anaknya yang nakal ini telah mendapat perhatian netizen dengan komen mereka:

“Ibu kucing jadi cemas dan bimbang bila dia tidak melihat anaknya di sisi..”

“Ibu kucing: Kamu tunggu seseorang menculik kamu dan tengok macam mana kamu menangis nanti!”

“Mulut membebel sama seperti ibu saya..”

“Beri kamu penampar, haha, macam tu betul.”

“Ia sama seperti bagaimana ibu saya mendidik saya semasa kecil.”

“Ibu kucing: Anak bertuah! Nasib baik jumpa kamu, buat ibu kamu cemas! Mari pulang!”

“Semua ibu mendidik anak ikut cara sama.”

“Kenapa saya rasa macam masa kecil dulu, saya tak berani masuk rumah lepas keluar bermain.”

“Meleter beberapa perkataan terlebih dahulu, bau jika dia ni anak saya, kemudian pukul dia, dan akhirnya bawa pulang ke rumah sambil marah-marah.”

Weibo

Tidak mengapa, anak sudah jumpa dan anak sudah selamat. Yang penting ibu sangat sayang kamu!

Pilihan Editor:

Bila si puteh jadi harapan pemilik sebagai penangkap tikus, tapi dia pula meraung minta tolong pintu dapur dibuka sebab takut

0

Kata kebanyakan orang secara semula jadinya, haiwan peliharaan kucing bernaluri pemburu jadi pemilik menyayanginya bukan semata kerana si bulus itu comel, tetapi dia juga mempunyai tugas sebagai penangkap tikus dan lain-lain.

Namun sesuai dengan peredaran zaman, kebanyakan makhluk tidak kira manusia mahupun haiwan hari ini kian menjadi manja dan tidak lagi kisah dengan peranan masing-masing.

Facebook

Contohnya, tugas sebagai penangkap tikus tidak lagi diberikan bulat-bulat kepada kucing kerana ada antara mereka hanya mahu digelar si comel yang manja, senang-lenang makan tidur dan tidak boleh diharap.

Seperti si puteh dalam rakaman video tular di platform media sosial di China ini.

Facebook

Dalam paparan video berdurasi 24 saat perkongsian di Facebook itu, kelihatan pemilik dan kucing berwarna putih gebu comel berada di dalam dapur untuk menangkap seekor tikus yang menceroboh.

Facebook

Pemilik memegang penyapu untuk membunuh tikus itu sambil meminta kerjasama si puteh untuk menangkap dengan kaki berkuku tajamnya yang tangkas dan taringnya yang garang.

Malang terjadi sebaliknya, apabila si tikus itu mengejar si puteh dan dia menggunakan kaki berkuku tajamnya untuk melompat dan berpaut di tepi pintu dan mulutnya terbuka menunjukkan taring sambil mengeluarkan suara ngiau meraung.

Facebook

Rupanya si puteh jadi takut, dengan tangkas cuba meminta tolong supaya pintu dapur boleh dibuka dan dia dapat keluar dari situ.

Sambil pemilik kelihatan di belakangnya sedang bersungguh-sungguh untuk menangkap dan menghapuskan tikus yang seekor itu.

Facebook

Baru seekor tikus, kucing putih sudah takut. Macam mana reaksinya bila berdepan beberapa ekor tikus agaknya ya?

Memang si puteh tidak boleh diharap, penakut tikus lagi ada..

Tonton video di sini.

Pilihan Editor:

Rasa diri tak beruntung, lelaki ‘merajuk’ selepas atendan minyak tersilap isi RON97 dalam motosikalnya

0

Tular satu video di media sosial, yang memaparkan seorang lelaki membuat protes senyap apabila seorang atendan stesen minyak tersilap mengisi pembelian minyak motosikalnya daripada RON 95 kepada RON 97.

Dengan kapsyen yang berbunyi, “Lelaki ini ‘merajuk’ sebab pekerja pam minyak tersalah isi minyak motosikalnya, dia minta RON95 tapi yang dapat RON97..”

Twitter

“Ada sesiapa yang boleh tolong ‘pujuk’ dia tak?”

Dalam video itu, seorang atendan boleh dilihat menolak motosikalnya ke tepi selepas mengepam minyak RON97, tetapi lelaki itu terus berdiri di situ, dan enggan berganjak sambil memerhati pam minyak.

Twitter

Dan dia terus merajuk di situ, sambil puas dipujuk pekerja stesen minyak, yang memintanya beredar untuk memberi laluan kepada pelanggan lain.

Siap menepis tangan abang atendan tu lagi..

Twitter

Video yang menarik perhatian netizen dengan komen mereka:

“Untung dia isi RON97.. Kalau dia isi diesel?”

“Bagi je dia duit balik, nanti dia okaylah. Salah pekerja.”

“Pertama kali ada isu yang sangat comel macam ni..”

Twitter

Macam-macam perkara kecil orang dewasa boleh buat merajuk jadi macam budak kecil sekarang.

Tonton video di bawah:

Syarikat hadiah mak cik ‘cleaner’ jam Rolex RM34K sebagai tanda penghargaan berkhidmat 10 tahun

0

Kadangkala, kerja keras dan kesetiaan pekerja perlu dihargai dengan sesuatu yang lebih bernilai selain wang tunai.

Buat seorang petugas pembersihan di Singapura yang telah bekerja di sebuah syarikat selama 10 tahun, dirinya rasa bertuah mendapat lebih daripada apa yang dijangkakan.

Tan Ai Tee menerima kejutan dalam hidupnya apabila dia diberikan jam tangan Rolex bernilai SGD10,000 ( RM34,400) semasa majlis makan malam tahunan di tempat kerjanya baru-baru ini.

Gambar The Straits Times

Bukan Ai Tee seorang sahaja yang menerima ganjaran tersebut tetapi sejumlah 98 jam tangan Rolex diberikan kepada pekerja yang telah lama berkhidmat dengan syarikat itu, tanpa mengira jawatan mereka.

Ini benar-benar ganjaran syarikat yang jarang berlaku untuk diberikan sebagai menghargai usaha, jasa dan bakti pekerja.

Ai Tee yang telah bekerja sejak berusia 16 tahun memberitahu pekerjaan di tempat kerjanya kini, Paradise Group Holdings bukanlah tugas pertamanya.

Gambar The Straits Times

Menurut The Straits Times, Ai Tee pernah bekerja sebagai penjual nasi ayam, memasang aksesori komputer dan menyertai industri jualan. Ai Tee mula bekerja di sebuah restoran di bawah Paradise Group pada 2013 sebagai kakitangan dapur sehingga ditutup pada 2016, sebelum dia mula bekerja sambilan sebagai tukang cuci di bawah syarikat yang sama sehingga hari ini.

Dengan pelbagai pengalaman dalam industri yang berbeza, Ai Tee pastinya mempunyai resume yang menarik.

Terdapat banyak cara untuk memberitahu anda gembira di mana anda berada, tanpa benar-benar memberitahu bahawa anda memang gembira di mana anda berada. Bagi Ai Tee, tempat kerjanya seperti rumah sendiri dan semua orang di dalamnya seperti ahli keluarganya.

Gambar The Straits Times

“Saya pernah terfikir untuk meninggalkan syarikat untuk menjaga keluarga selepas suami saya berhenti bekerja tetapi saya tidak dapat meninggalkan tempat ini.”

Ai Tee juga mendedahkan jam tangan Rolex bukanlah hadiah pertamanya daripada Paradise Group.

“5 tahun lalu, saya menerima 2.5 gram jongkong emas, dan satu lagi 2 tahun lalu, yang seberat 5 gram,” katanya.

Twitter had bilangan ‘Tweets’ boleh dibaca dalam sehari

0

Elon Musk mengumumkan Twitter mengehadkan jumlah ciapan yang boleh dibaca dalam sehari buat sementara waktu, susulan beribu-ribu pengguna menghadapi masalah untuk mengakses laman sesawang itu.

Musk, yang mengambil alih Twitter pada Oktober lalu selepas membelinya dengan harga US$44 bilion, mengumumkan pada 2 Julai bahawa akaun yang disahkan telah dihadkan untuk membaca hanya 6,000 hantaran sehari, lapor Bernama.

Akaun yang tidak disahkan hanya boleh membaca 600 hantaran sehari, manakala akaun baharu yang belum disahkan terhad kepada hanya 300 hantaran, katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Tesla dan SpaceX itu berkata Twitter telah melaksanakan tindakan itu untuk “mengatasi tahap data scraping dan manipulasi sistem yang melampau”.

Di United Kingdom, seramai 5,126 pengguna mengadu tentang masalah mengakses Twitter pada 4.12 petang Sabtu, menurut laman sesawang Downdetector, yang menjejaki gangguan dalam talian. Di Amerika Syarikat, kira-kira 7,461 pengguna mengadu tentang isu yang sama.

#Twitterdown dan RIP Twitter mula menjadi ‘trending’ sejak itu apabila pengguna yang kecewa menerima mesej yang berbunyi “Had kadar melebihi. Sila tunggu beberapa saat dan cuba lagi”.

Pilihan Editor:

Firma teknologi berkerjasama dengan universiti di Tokyo bangunkan aplikasi boleh kesan kucing sakit, tahap ketepatan lebih 90 peratus

0

Sebuah firma teknologi dan universiti di Tokyo telah bekerjasama untuk menghasilkan aplikasi yang dilatih ke atas beribu-ribu gambar kucing yang mereka katakan boleh memberitahu anda apabila kucing itu sedang mengalami kesakitan.

Sejak dilancarkan pada bulan lalu, aplikasi dikenali “Cat Pain Detector” telah mengumpul 43,000 pengguna, yang bukan terhad di Jepun tetapi juga di Eropah dan Amerika Selatan, kata Go Sakioka, ketua pemaju Carelogy kepada AFP.

Sekadar Gambar Hiasan / Pixabay

Carelogy bekerjasama dengan Kolej Sains Biosumber Universiti Nihon untuk mengumpulkan 6,000 gambar kucing, di mana mereka mengkaji dan meneliti kedudukan telinga, hidung, misai dan kelopak mata haiwan itu.

Mereka kemudian menggunakan sistem pemarkahan yang direka oleh Universiti Montreal untuk mengukur perbezaan kecil antara kucing yang sihat dan mereka yang mengalami kesakitan akibat penyakit yang sukar dilihat.

Seterusnya, pembangun aplikasi memasukkan maklumat tersebut ke dalam sistem pengesanan AI, yang telah diperhalusi lagi kemahirannya hasil sumbangan kira-kira 600,000 gambar yang dimuat naik oleh pengguna, kata Sakioka.

Kini aplikasi itu “mempunyai tahap ketepatan lebih daripada 90 peratus”, katanya.

Sekadar Gambar Hiasan / Pixabay

“Kami mahu membantu pemilik kucing menilai dengan lebih mudah di rumah sama ada mahu berjumpa doktor haiwan atau tidak,” kata Sakioka.

“Cat Pain Detector” telah digunakan oleh beberapa doktor haiwan di Jepun.

Tetapi “sistem AI masih perlu dibangunkan dengan lebih tepat sebelum ia boleh digunakan sebagai alat piawai,” kata Sakioka memberi amaran.

Pilihan Editor:

Bom mortar ditemui orang awam di tepi kolam Taman Rekreasi Ipoh

0

Seorang pengunjung di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz, Ipoh, Perak dikejutkan dengan penemuan disangka objek misteri ketika sedang berjoging di taman itu pada 30 Jun lalu.

Objek yang berada di tepi kolam taman rekreasi itu disyaki adalah bom jenis mortar.

Gambar Bernama

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata kepada Bernama, polis menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 3 petang yang memaklumkan penemuan bom mortar itu.

Tambahnya, sebaik tiba di tempat kejadian, polis mengepung kawasan sekitar 500 meter di sekeliling objek itu supaya orang ramai tidak mendekati kolam berkenaan.

Gambar Bernama

Walaupun objek itu telah disahkan sebagai bom mortar, pemeriksaan oleh unit pemusnah bom polis mendapati ia tidak mengandungi bahan letupan.

“Unit pemusnah bom ibu pejabat polis kontinjen Perak tiba di tempat kejadian dan menemui bom mortar berukuran 300 milimeter (mm) panjang, 60mm lebar dan tidak mengandungi bahan letupan yang digunakan untuk latihan,” katanya.

Gambar Sinar Harian

Bom mortar itu telah dibawa ke Bahagian Persenjataan IPK Perak untuk siasatan dan tindakan lanjut.

“Siasatan akan dilakukan daripada pelbagai sudut bagi mengenal pasti bagaimana objek itu boleh berada di lokasi kejadian termasuk berhubung dengan agensi pertahanan,” kata Yahaya.

Pilihan Editor:

Diri khemah di laluan awam kawasan kejiranan, anda berdepan denda sehingga RM1,000 jika tidak mendapat kebenaran jiran dan PBT

0

Jangan hanya memasang khemah di hadapan rumah anda yang merupakan kawasan laluan awam. Sama ada ia bertujuan untuk mengadakan jamuan hari jadi, perhimpunan keluarga, kenduri kahwin, pengebumian dan sebagainya yang untuk tujuan peribadi, ia akan menyalahi undang-undang sekiranya anda tidak mendapatkan kebenaran jiran-jiran dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Menurut Yang Dipertua Majlis Bandaraya Taiping Khairul Amir Mohamad Zubir kepada Oriental Daily, beliau mengingatkan mana-mana pemilik rumah yang bercadang untuk memasang  khemah di laluan awam berhadapan rumah mereka dan kejiranan hendaklah memohon kepada Majlis Bandaraya Taiping bagi mengelakkan mereka melakukan satu kesalahan.

Sekadar Gambar Hiasan

Beliau berkata menurut Seksyen 46(1)(a) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, adalah menjadi satu kesalahan untuk mendirikan dan menyelenggarakan sesuatu halangan di tempat awam seperti, tembok, pagar, susur, tiang atau apa-apa himpunan sesuatu benda, atau halangan lain.

Sama ada untuk majlis perkahwinan, pengebumian, jamuan istiadat atau tujuan lain, ia akan menyebabkan halangan kepada laluan awam.  Bagaimanapun, Seksyen 46 (4) Akta yang sama, membenarkan pembinaan khemah untuk tujuan majlis, perayaan ataupun upacara tetapi orang awam perlu memohon permit kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang diluluskan kerajaan.

Yang Dipertua Majlis Bandaraya Taiping Khairul Amir Mohamad Zubir

Oleh itu, anda mesti memohon permit penutupan jalan daripada majlis perbandaran. Ini bagi mengelakkan ketidakharmonian di kejiranan. Menurut akta itu, sekiranya majlis perbandaran menerima aduan dan pemilik tidak memohon permit untuk mendirikan khemah atau binaan yang menghalang laluan, pihak majlis bandaran mempunyai kuasa untuk meminta pemilik kediaman mengalihkan binaan khemah dengan segera dan mengenakan denda RM500 untuk kesalahan pertama dan RM1,000 bagi kesalahan seterusnya.

Pihak Berkuasa Tempatan juga mempunyai kuasa untuk menyerbu majlis anda sekiranya mendapat aduan daripada jiran ataupun mereka yang tidak dapat melalui kawasan berkenaan, disebabkan halangan menyalahi undang-undang.

Perlu diingatkan laluan di hadapan rumah anda tetap menjadi milik kerajaan, walaupun anda boleh mengandaikan untuk berkata buat diri sendiri bahawa laluan itu menjadi hak milik anda setelah membeli rumah di taman perumahan. 

Sekadar Gambar Hiasan

Apa-apa pun, semua perkara boleh diselesaikan dengan perbincangan secara baik bersama jiran-jiran. Pastikan anda memaklumkan kepada jiran tentang penutupan jalan sekiranya telah merancang untuk mengadakan sebarang majlis. 

Sebagai seorang jiran yang baik, sentiasa utamakan untuk menjaga ketenteraman awam dan parkir semua kenderaan dengan baik bagi menunjukkan sikap bertimbang rasa.

Pilihan Editor: