Baru-baru ini, premis makanan nasi ayam claypot “Halal” di Sri Petaling, Kuala Lumpur telah menjadi tular di media sosial yang menunjukkan ramai pelanggan yang beratur untuk hidangan itu. Gerai itu terletak di dalam restoran Cina dan dikendalikan oleh pasangan Melayu yang fasih berbahasa Cina.
Gerai mereka sudah lama berada di situ tetapi baru-baru ini timbul syak dan was-was apabila pasangan itu kelihatan menggunakan Rice Wine (wain beras) di dalam masakan mereka.
Resipi asal nasi ayam Claypot memang didatangkan dengan wain masakan tetapi untuk memenuhi keperluan pelanggan Muslim, bahan mengandungi alkohol tersebut perlu dibuang kerana dalam Islam hukumnya adalah Haram.
Jadi, Nasi Ayam Claypot “Halal” dengan wain beras adalah tidaklah bersesuaian mengikut peraturan yang ditetapkan menurut istilah Halal yang ditetapkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Video tular berkenaan telah menimbulkan banyak perdebatan di kalangan pelanggan beragama Islam terutama mereka yang pernah mengunjungi gerai tersebut suatu ketika dahulu. Tidak mengambil masa lama untuk JAKIM memberi maklum balas dan penjelasan terhadap perkara tersebut.
Dalam hantaran di Facebook pada 10 September, JAKIM mengesahkan mereka tidak pernah mengeluarkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) kepada premis makanan di Sri Petaling yang dimaksudkan.
JAKIM turut menasihatkan pengguna Islam lain supaya peka dan berhati-hati serta membuat semakan terlebih dahulu ketika memilih tempat makanan yang dicurigai status Halalnya.
JAKIM bagaimanapun tidak menyebut nama premis nasi ayam claypot yang tular itu tetapi telah mengarahkan mereka untuk menghentikan operasi.
Jika anda berasa bimbang atau resah tentang status Halal sesuatu premis makanan, sebaiknya kunjungi tempat makan yang memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang telah diperakui oleh JAKIM.
Anda boleh membuat semakan produk dan premis makanan HALAL di sini.
Roti canai seperti nasi lemak dan teh tarik adalah hidangan kegemaran ramai yang mewakili rakyat Malaysia.
Roti canai mudah didapati di mana-mana yang menjadi hidangan wajib sarapan pagi, namun tidak kurang boleh dinikmati pada waktu malam, yang perlu dilengkapkan dengan minuman teh tarik.
Sekadar Gambar Hiasan / Kuali
Namun apa yang mengejutkan ramai, hidangan roti canai baru-baru ini mengharumkan nama Malaysia setelah dinobatkan sebagai roti terbaik di dunia.
Makanan itu dinobatkan sebagai roti terbaik oleh laman web TasteAtlas, yang berpangkalan di Sofia, Bulgaria.
Menurut carta yang dikongsikan, roti canai bukan sahaja berjaya mengalahkan India yang popular dengan roti naan, tetapi berjaya mengalahkan negara Eropah yang terkenal dalam penghasilan pastri terbaik dunia.
Sebelum ini, roti canai juga pernah dinobatkan sebagai makanan jalanan terbaik di dunia pada tahun lalu.
Untuk makluman, laman TasteAtlas sering mengumpulkan resipi asli, ulasan pengkritik makanan dan artikel penyelidikan tentang bahan dan hidangan popular dari seluruh dunia.
Tidak dinafikan roti canai memang makanan paling sedap di dunia.
Pasangan pengantin baharu dari Miri ini pada mulanya hanya ingin memberi lambaian kepada rombongan Yang di-Pertuan Agong dalam Kembara Kenali Borneo yang melalui di sebatang jalan berhampiran rumah mereka.
Namun, tidak menyangka mendapat berkat restu Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong apabila kenderaan yang membawa Baginda, tiba-tiba berhenti mencemar duli untuk sama-sama meraikan perkahwinan mereka walaupun hanya sebentar.
Video dan gambar perkahwinan pasangan pengantin baharu berkenaan yang dirakam di Kampung Angus Bekenu di Miri, Sarawak menjadi tular setelah dimuat naik pemiliknya di media sosial.
Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong bukan sahaja singgah sebentar untuk bersalaman dan bergambar bersama pasangan pengantin dan para tetamu majlis yang teruja, tetapi sempat menyempurnakan istiadat merenjis buat kedua mempelai.
Sebelum berangkat meninggalkan majlis perkahwinan berkenaan, Seri Paduka Baginda turut memberikan hadiah perkahwinan buat pasangan pengantin baharu berupa wang tunai RM1,000.
Tiada yang lebih istimewa bagi pasangan pengantin baharu bertuah ini apabila Agong dan Permaisuri, Ketua Negara Malaysia berkenan meraikan hari bahagia mereka.
Peluang yang mungkin datang hanya sekali seumur hidup dan memori yang kekal buat selama-lamanya dalam ingatan, untuk diceritakan kepada anak cucu pasangan suami isteri ini kelak.
Tahniah, Selamat Pengantin Baharu dan Terima Kasih Tuanku.
Bintang Hollywood terkenal dengan watak Marvel “Captain America” Chris Evans menamatkan zaman bujang pada usia 42 tahun dengan pelakon Portugis Alba Baptista, 26 tahun dalam satu majlis perkahwinan tertutup dan sederhana di rumah mereka di Boston pada 9 September lalu, lapor PEOPLE Magazine.
Majlis perkahwinan mengejut dalam upacara sederhana itu disaksikan dengan kehadiran ahli keluarga terdekat dan rakan-rakan rapat.
Gambar XUAN
Media itu melaporkan perkahwinan Chris dan Alba dirahsiakan dengan sangat berhati-hati, malah tetamu dikehendaki menandatangani perjanjian kerahsiaan dan perlu menyerahkan telefon bimbit masing-masing.
Antara bintang Marvel yang dijemput untuk menghadiri majlis perkahwinan tertutup berkenaan termasuk Robert Downey Jr., Chris Hemsworth, dan Jeremy Renner.
Gambar XUAN
Hubungan Chris Evans dan Alba Baptista didedahkan pada November 2022. Ketika itu, media hiburan melaporkan pasangan ini telah menjalinkan hubungan secara rahsia selama lebih dari setahun.
Chris Evans/Instagram
Sumber rapat memberitahu media bahawa pasangan itu dilamun cinta dan saling menyayangi antara satu sama lain, dengan keluarga masing-masing, terutamanya ibu bapa Chris Evans amat menyukai menantu mereka, Alba Baptista.
Selamat Pengantin Baru, Captain America dan isteri.
Pada pandangan masyarakat umum terutamanya di Asia, tugas menjaga rumah tangga dan segala hal di rumah adalah tanggungjawab seorang isteri.
Namun, seiring perubahan zaman mengikut arus permodenan, tugas menguruskan rumah tangga tidak lagi mengira gender yang terletak kepada tanggungjawab golongan wanita sahaja.
Seperti seorang suami dari Singapura bernama Vince yang memilih untuk menjadi ‘househusband’ dan kini berjaya menjaga keluarganya dengan baik.
Gambar mStar
Vince berkongsi kisah dan pengalamannya yang memilih untuk mengambil alih tugas seorang isteri dan suri rumah sejak beliau berhenti kerja pada tahun 2012.
Sepanjang tempoh berhenti kerja itu, Vince berkata isterinya merupakan seorang yang penyabar dan cukup kuat kerana berjaya menguruskan dua perniagaan sekali gus.
Namun begitu, isterinya tidak pernah sesekali cuai dalam menguruskan rumah tangga dan melupakan tugasnya sebagai seorang isteri yang menjaga keperluan suami serta anak-anak.
Gambar mStar
Selepas 11 tahun tidak bekerja, Vince kini gembira dengan tugasnya sebagai suri rumah yang dapat menghabiskan banyak masa berharga bersama anak-anak.
Menurut Vince, hasrat dan keputusan yang dilakukan itu untuk melihat anak-anaknya membesar di depan mata dan mahu bersama mereka sepanjang masa adalah tepat.
Kerana mereka kini lebih rapat dengan bapa, yang bukan sekadar berdampingan pada hujung minggu sahaja.
Gambar mStar
Selama 11 tahun menjadi suri rumah, Vince ada berkongsi pengalaman dan keistimewaan apabila seorang suami menguruskan rumah tangga, seperti dia kini mahir mengejutkan anak-anak dan memahami mereka, seronok belajar pelbagai jenis masakan daripada rancangan televisyen, belajar hiasan dalaman untuk mendekorasi rumah, dan menikmati pengurusan masa untuk melakukan pelbagai perkara lain.
Kata Vince, memiliki keluarga adalah suatu perkara penting yang perlu dihargai dan disyukuri.
Tambah Vince, dalam situasi di mana suami menjaga urusan rumah tangga apabila mengambil alih tugas isteri, sikap saling memahami adalah sangat penting kerana kedua-duanya saling memerlukan demi keharmonian sesebuah keluarga.
Menerusi Kembara Kenali Borneo yang bermula di Tawau, Sabah pada 3 September lalu, ia telah meninggalkan pelbagai kenangan terindah buat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Paling manis apabila rakyat Sabah yang julung kali dapat melihat Agong mereka secara dekat, begitu teruja untuk menyambut kunjungan tiba baginda berdua yang berjiwa rakyat.
Ramai yang sanggup menunggu lama di bawah sinaran terik matahari dan hujan lebat semata-mata untuk bersua muka, bersalaman dan bergambar dengan Agong dan Raja Permaisuri serta putera dan puteri mereka.
Sehingga menyebabkan pengawal pengiring Seri Paduka tidak senang duduk untuk bekerja keras dan sentiasa peka dalam memastikan keselamatan Yang di-Pertuan Agong sekeluarga terjamin.
Paling ketara apabila pasukan pengawal pengiring Seri Paduka begitu cekap dan pantas bertindak untuk mendapatkan Agong apabila baginda hampir terjatuh ketika berkenan menyantuni rakyat dengan mencuba tarian tradisional Magunatip oleh suku kaum Murut.
Ketika sedang teruja dan seronok menari dengan tarian buluh itu dalam satu persembahan ketika menghadiri Majlis Santapan Malam Kerajaan Negeri Sabah di SICC, Kota Kinabalu, Agong dilihat telah berlari ke tepi dan hampir terjatuh.
Menyebabkan dua orang pengawal peribadi Seri Paduka Baginda dengan pantas meluru naik ke atas pentas untuk menyelamatkannya.
Agong kemudiannya tersenyum sambil menunjukkan baginda baik-baik sahaja selepas diapit para penari yang membantunya dan dibawa turun dengan selamat oleh pengawal pengiringnya.
Rata-rata warganet terhibur melihat Seri Paduka Baginda yang begitu ‘sporting’ menyantuni rakyat, sambil memuji kecekapan dan tindakan pantas pengawal pengiring diraja dalam memastikan keselamatan baginda sentiasa terjamin.
Kembara Kenali Borneo menelusuri Lebuhraya Pan Borneo telah berakhir di Sabah pada hari kelima (7 September) dan kini Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berada di Sarawak dalam lawatan menyantuni rakyat Borneo yang akan berakhir di Telok Melano pada 13 September.
Orang ramai dinasihatkan untuk tidak melepaskan ikan baung ekor merah sesuka hati ke dalam sungai dan tasik kerana kehadirannya mampu menggugat ekosistem akuatik di Malaysia.
Sebaliknya, mereka digalakkan untuk mengeluarkan ikan tersebut dari kawasan perairan air tawar dengan serta-merta apabila terserempak atau berjaya memburunya.
Pengarah Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Glami Lemi, Dr Siti Norita Mohamad menyarankan agar pemancing di Malaysia membantu mengeluarkan ikan baung ekor merah dari perairan sungai negara.
Difahamkan, tindakan ini dapat menyelamatkan ikan-ikan asli tempatan, sekali gus menyelamatkan ekosistem sungai dan tasik negara.
Usaha itu penting kerana diet ikan baung ekor merah ialah 50 peratus terdiri daripada ikan asli tempatan dan udang galah, jelas Siti Norita kepada Astro Awani.
“Apabila perut ikan ini dibelah, terdapat ikan tempatan di dalam perutnya. Memang kami galakkan pemancing untuk memancing dan keluarkan ikan ini … jangan lepaskan ke dalam sungai,” katanya.
Tambahnya, sungai-sungai di Perak dan Selangor antara lokasi yang menghadapi masalah kehadiran ikan baung ekor merah ini secara serius.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sembilan, Doreen Wee Siew Leen menjelaskan pihaknya dan IPP Glami Lemi turut mengadakan program bagi memburu spesies ikan tersebut di Sungai Triang.
“Di Sungai Triang memang tidak serius seperti di Selangor tetapi kami ada jumpa dua ekor ikan ini menggunakan tajur dan menjala, walaupun saiz kecil dan seberat tiga kilogram, apabila buat pembedahan ada telur, itu yang kami bimbang,” jelas Doreen.
Ini bukan kali pertama orang awam terutamanya pemancing diingatkan mengenai ikan baung ekor merah berkenaan dengan mudarat kewujudannya menceroboh ke dalam sungai-sungai di Malaysia.
Sebelum ini, ikan baung ekor merah dikatakan bakal memusnahkan spesies ikan sungai tempatan yang berada di sepanjang sungai di Pahang, lapor Berita Harian.
Spesies baung ekor merah atau nama saintifiknya Hemibagrus wyckioides juga dikenali sebagai ‘baung Mekong’ atau ‘redtail catfish’ atau ‘serigala merah’ berasal dari Sungai Mekong di Vietnam, mula dikesan di Pahang sejak lima tahun lalu.
Spesies invasif ini telah dilaporkan berada di ekosistem perairan air tawar Malaysia sejak itu.
Ikan ini berkemungkinan dibawa masuk secara haram dan tidak melalui pihak berkuasa kerana ia mungkin diseludup masuk melalui anak benih oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Jabatan Perikanan tidak pernah mengeluarkan permit untuk membawa masuk ikan ini kerana ia termasuk dalam kategori ikan asing terlarang yang tertakluk di bawah Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Import bagi Ikan) 1990 dan Pindaan 2011.
Ikan ini mampu membesar dan berukuran sehingga 130 cm dengan berat maksimum mencecah 80 kilogram.
Baung Ekor Merah merupakan spesies ikan air tawar jenis ikan keli yang terbesar di Asia serta paling agresif di dunia, yang bersifat pemangsa dan akan memakan segala jenis ikan dan udang tempatan apabila berada di dalam ekosistem mereka.
Langkah kawalan dan larangan melepaskan spesies ikan ini ke dalam perairan sungai adalah tertakluk di bawah Kaedah-Kaedah Perikanan Sungai setiap negeri, dan tindakan undang-undang boleh diambil ke atas pihak-pihak yang sengaja atau cuai melepaskan ikan tersebut ke perairan umum.
RABAT: Gempa bumi kuat dengan magnitud 7.0 melanda Maghribi lewat Jumaat 8 September, memusnahkan bangunan dan menyebabkan penduduk bergegas keluar dari kediaman masing-masing untuk menyelamatkan diri.
Sekurang-kurangnya 820 orang maut, manakala 392 yang lain cedera setakat ini, menurut Kementerian Dalam Negeri Maghribi.
Gempa bumi kuat M6.9 berlaku di Morocco pada 6:11 pagi, 9 September 2023, berpusat di 31.1° Utara dan 8.3° Barat dengan kedalaman 10 km. 65km Barat Daya dari Marrakesh,Morocco.Tiada ancaman tsunami kepada Malaysia.#gempabumiMETMalaysia#mygempa.met.gov.my pic.twitter.com/te50UDy3Bo
Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), pusat gempa dikesan 71km barat daya dari Marrakesh pada kedalaman 18.5km.
“Gempa bumi melanda ketika saya sedang menonton televisyen.
“Tingkap terbuka dan tertutup sendiri. Saya berasa takut dan berlari keluar dari rumah,” Aziz Aishi, seorang penduduk di ibu kota Rabat, memberitahu Agensi Anadolu.
Kematian akibat gempa bumi berlaku di pelbagai wilayah, termasuk Al Haouz dan Marrakesh, serta bandar Ouarzazate, Azilal, Chichaoua dan Taroudant, menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.
Gempa bumi itu adalah gegaran paling kuat yang melanda negara Afrika Utara itu sejak abad lalu, menurut Institut Geofizik Kebangsaan Maghribi.
Media tempatan melaporkan beberapa bangunan, termasuk tembok merah terkenal yang mengelilingi bandar lama dan tersenarai antara Warisan Dunia UNESCO, rosak.
HONG KONG: Hong Kong dibadai hujan yang direkodkan sebagai paling lebat dalam tempoh hampir 140 tahun pada 8 September, dengan 2 maut dan sekurang-kurang 83 mangsa cedera, manakala jalan serta sejumlah stesen kereta api bawah tanah ditenggelami air banjir menyebabkan sekolah, pejabat dan bursa saham terpaksa ditutup.
Pada masa sama, bandar Shenzhen yang dihuni lebih 17.7 juta penduduk di selatan China turut dilanda hujan paling lebat sejak rekod meteorologi bermula pada 1952, sehingga mencetuskan keadaan huru-hara.
Gambar Reuters
Topografi Hong Kong dengan jalan raya dan bangunan yang dibina di lereng bukit yang curam – menjadikan bandar itu terdedah kepada banjir dan tanah runtuh akibat hujan musim panas yang lebat dan semakin meningkat dari semasa ke semasa.
Hujan lebat ini disebabkan oleh sisa Taufan Haikui dan Taufan Super Saola, namun adegan yang dirakam menunjukkan kerosakan pada skala yang tidak pernah dilihat oleh wilayah itu dalam beberapa dekad kebelakangan.
Gambar Reuters
Hujan lebat membasahi Hong Kong sejak 7 September dan menjelang tengah malam, balai cerap cuaca bandar ini merekodkan taburan hujan 158.1 milimeter (mm) sejam di ibu pejabatnya – angka tertinggi sejak rekod dimulakan pada 1884. Biro cuaca Hong Kong turut mengeluarkan amaran hujan ribut pada tahap tertinggi berwarna ‘hitam’.
Susulan itu, pihak berkuasa mengeluarkan amaran banjir kilat, manakala agensi perkhidmatan kecemasan melancarkan operasi menyelamat di beberapa kawasan.
“Penduduk tinggal di kawasan berhampiran sungai harus berwaspada dengan keadaan cuaca dan berpindah sekiranya rumah mereka dinaiki air,” menurut pihak balai cerap.
Gambar Reuters
Ia turut memberi amaran mengenai kemungkinan akan berlaku tanah runtuh, sekali gus menasihati orang ramai dan pengguna jalan raya supaya menjauhi cerun curam atau tembok penahan.
Pada pagi 8 September, sebilangan teksi dilihat meredah jalan raya yang dinaiki air, dengan membawa penumpang yang mahu ke tempat kerja. Bagaimanapun, beberapa kenderaan telah terkandas di dalam banjir.
Gambar Reuters
Di Pulau Lantau, air sungai melimpah menyaksikan jalan raya ditenggelami banjir.
Pihak berkuasa menutup sekolah atas faktor keselamatan, manakala perkhidmatan kargo di sempadan dihentikan sementara.
Perkhidmatan kereta api di Hong Kong turut terjejas apabila sejumlah stesen dinaiki air, termasuk di stesen Wong Tai Sin di Kowloon.
1. Hong Kong was struck by record-breaking rainfall last night (Sep 7), leading to widespread flooding in various districts.
The recorded hourly rainfall, totaling 158mm, is the highest in over 139 years.
Tingkat bawah pusat membeli-belah berhampiran dipenuhi air ketika perabot terapung di permukaan. Pengendali pengangkutan awam MTR Corp. berkata ia menggantung sebahagian daripada Laluan Kwun Tong kerana banjir di stesen itu.
Pemimpin bandar itu John Lee memberitahu jabatan kerajaan untuk bertindak balas dengan berusaha habis-habisan untuk menangani banjir “teruk” di kebanyakan bahagian hab kewangan.
Kekurangan amaran awal yang berbeza dengan pendekatan Taufan Super Saola, apabila ketua setiausaha bandar itu mengadakan sidang akhbar yang diapit oleh ketua jabatan untuk menangani potensi risiko.
Hong Kong was hit by widespread flooding on Friday as record-breaking rain paralysed the city. The Observatory recorded the highest one-hour rainfall since records began in 1884. Full story: https://t.co/xgbtoreVGtpic.twitter.com/ag0wuo65Rc
Di kampung Stanley di sebelah selatan pulau Hong Kong, limpahan air telah memecahkan jalan dengan mendedahkan kabel bawah tanah. Sebuah bas mini yang rosak telah ditinggalkan di tengah-tengah jalan tepi laut, dikelilingi oleh serpihan.
Banjir telah membentuk saliran di pantai berhampiran dengan membawa pasir ke laut. Manakala, sebahagian lereng bukit telah runtuh di jalan menuju ke Tai Tam.
Terdapat tujuh kejadian tanah runtuh direkodkan setakat 8 pagi 8 September, dengan enam daripadanya berlaku di pulau itu.
Gambar Reuters
Hujan dijangka reda secara beransur-ansur petang ini, kata jurucakap balai cerap, sambil menambah tiada jadual waktu untuk amaran hitam hujan ribut ditarik balik.
Sebelum hujan lebat membadai, bandar itu masih belum pulih daripada Taufan Super Saola, yang memaksa Hong Kong ditutup pada hari Jumaat dan Sabtu minggu lalu. Ribut itu, yang paling kuat melanda Hong Kong sejak Mangkhut pada 2018, menumbangkan pokok dan menyekat jalan.
Ia hanya kali keenam dalam tempoh empat dekad yang lalu apabila balai cerap menaikkan amaran ribut tertingginya.
Gambar Reuters
Ribut adalah contoh terkini cuaca ekstrem akibat perubahan iklim yang dialami di seluruh dunia pada musim panas tahun ini.
Pada penghujung Julai dan Ogos lalu, berpuluh-puluh orang maut di kawasan utara China termasuk Beijing akibat banjir ekoran taufan yang melanda.
Fenomena air pasang merah (red tide bloom) susulan ledakan alga spesies ‘Noctiluca Scintillans’ yang melanda perairan Teluk Bahang sehingga Sungai Pinang di Balik Pulau, Pulau Pinang sejak 28 Ogos lalu telah menunjukkan trend penurunan.
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Pulau Pinang, Zarina Zainuddin walaupun bagaimanapun berkata, kandungan oksigen terlarut di perairan berkenaan didapati masih rendah.
“Setakat ini, sebanyak empat siri pensampelan telah diambil dan hasil keputusan ujian makmal mendapati berlaku trend penurunan di kawasan berkenaan.
“Daripada segi visual pula, warna merah didapati sudah tidak ada namun saya dimaklumkan, kandungan oksigen air masih lagi rendah.
“Satu lagi sampel air akan diambil pada Jumaat ini (8 September) dan kita akan buat perbandingan untuk lihat bagaimana keputusannya nanti,” katanya kepada Kosmo!
Menurutnya, masyarakat sedia maklum bahawa alga terbabit bukan toksin malah sumber ikan di perairan ini selamat untuk dimakan.
Fenomena itu dilaporkan telah menyebabkan kerugian antara RM200,000 hingga RM500,000 susulan kematian hampir 15 tan ternakan ikan sangkar sejak insiden itu berlaku pada 26 Ogos lalu, namun fenomena itu dilapor kian berkurangan melanda perairan berkenaan menerusi pemantauan yang dijalankan.
Terdahulu, Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) menasihati orang ramai agar tidak makan hidupan laut berupa kerang-kerangan susulan fenomena ‘air pasang merah’ di perairan Teluk Bahang sehingga Sungai Pinang di Balik Pulau.
Ketua Cawangan Standard Perkhidmatan Makmal Bahagian Biosekuriti Perikanan DOF, Roslan Abu Hasan, berkata hidupan berupa ikan di perairan yang dilanda fenomena ledakan alga spesies ‘Noctiluca Scintillans’ itu selamat dimakan.
Katanya, tidak seperti ikan yang bahagian insang lazim tidak dimakan manusia, kerang-kerangan adalah sebaliknya apabila keseluruhan bahagiannya dimakan sekali gus.
“Kematian ikan di kawasan itu adalah disebabkan persaingan merebut oksigen ekoran kepadatan sel fitoplankton yang tinggi, mengakibatkan ikan sukar bernafas lalu mati, namun dari segi racun (toksin) ia tiada, justeru ikan selamat untuk dimakan.
“Tetapi kalau memakan kerang-kerangan, itu bahaya sebab bila makan kerang kita makan keseluruhannya (termasuk insang), tetapi kalau ikan kita tidak makan insang,” katanya kepada Berita Harian.
Berdasarkan rekod, ‘Noctiluca Scintillans’ pernah menyebabkan ledakan sehingga air laut menjadi merah jambu dan ikan dalam sangkar mati di perairan Kuala Gula, Perak pada 2016.