Baru-baru ini, premis makanan nasi ayam claypot “Halal” di Sri Petaling, Kuala Lumpur telah menjadi tular di media sosial yang menunjukkan ramai pelanggan yang beratur untuk hidangan itu. Gerai itu terletak di dalam restoran Cina dan dikendalikan oleh pasangan Melayu yang fasih berbahasa Cina.
Gerai mereka sudah lama berada di situ tetapi baru-baru ini timbul syak dan was-was apabila pasangan itu kelihatan menggunakan Rice Wine (wain beras) di dalam masakan mereka.
Resipi asal nasi ayam Claypot memang didatangkan dengan wain masakan tetapi untuk memenuhi keperluan pelanggan Muslim, bahan mengandungi alkohol tersebut perlu dibuang kerana dalam Islam hukumnya adalah Haram.
Jadi, Nasi Ayam Claypot “Halal” dengan wain beras adalah tidaklah bersesuaian mengikut peraturan yang ditetapkan menurut istilah Halal yang ditetapkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Video tular berkenaan telah menimbulkan banyak perdebatan di kalangan pelanggan beragama Islam terutama mereka yang pernah mengunjungi gerai tersebut suatu ketika dahulu. Tidak mengambil masa lama untuk JAKIM memberi maklum balas dan penjelasan terhadap perkara tersebut.
Dalam hantaran di Facebook pada 10 September, JAKIM mengesahkan mereka tidak pernah mengeluarkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) kepada premis makanan di Sri Petaling yang dimaksudkan.
JAKIM turut menasihatkan pengguna Islam lain supaya peka dan berhati-hati serta membuat semakan terlebih dahulu ketika memilih tempat makanan yang dicurigai status Halalnya.
JAKIM bagaimanapun tidak menyebut nama premis nasi ayam claypot yang tular itu tetapi telah mengarahkan mereka untuk menghentikan operasi.
Jika anda berasa bimbang atau resah tentang status Halal sesuatu premis makanan, sebaiknya kunjungi tempat makan yang memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang telah diperakui oleh JAKIM.
Anda boleh membuat semakan produk dan premis makanan HALAL di sini.