Pasangan pengantin baharu dari Miri ini pada mulanya hanya ingin memberi lambaian kepada rombongan Yang di-Pertuan Agong dalam Kembara Kenali Borneo yang melalui di sebatang jalan berhampiran rumah mereka.
Namun, tidak menyangka mendapat berkat restu Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong apabila kenderaan yang membawa Baginda, tiba-tiba berhenti mencemar duli untuk sama-sama meraikan perkahwinan mereka walaupun hanya sebentar.
Video dan gambar perkahwinan pasangan pengantin baharu berkenaan yang dirakam di Kampung Angus Bekenu di Miri, Sarawak menjadi tular setelah dimuat naik pemiliknya di media sosial.
Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong bukan sahaja singgah sebentar untuk bersalaman dan bergambar bersama pasangan pengantin dan para tetamu majlis yang teruja, tetapi sempat menyempurnakan istiadat merenjis buat kedua mempelai.
Sebelum berangkat meninggalkan majlis perkahwinan berkenaan, Seri Paduka Baginda turut memberikan hadiah perkahwinan buat pasangan pengantin baharu berupa wang tunai RM1,000.
Tiada yang lebih istimewa bagi pasangan pengantin baharu bertuah ini apabila Agong dan Permaisuri, Ketua Negara Malaysia berkenan meraikan hari bahagia mereka.
Peluang yang mungkin datang hanya sekali seumur hidup dan memori yang kekal buat selama-lamanya dalam ingatan, untuk diceritakan kepada anak cucu pasangan suami isteri ini kelak.
Tahniah, Selamat Pengantin Baharu dan Terima Kasih Tuanku.