Menerusi Kembara Kenali Borneo yang bermula di Tawau, Sabah pada 3 September lalu, ia telah meninggalkan pelbagai kenangan terindah buat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Paling manis apabila rakyat Sabah yang julung kali dapat melihat Agong mereka secara dekat, begitu teruja untuk menyambut kunjungan tiba baginda berdua yang berjiwa rakyat.
Ramai yang sanggup menunggu lama di bawah sinaran terik matahari dan hujan lebat semata-mata untuk bersua muka, bersalaman dan bergambar dengan Agong dan Raja Permaisuri serta putera dan puteri mereka.
Sehingga menyebabkan pengawal pengiring Seri Paduka tidak senang duduk untuk bekerja keras dan sentiasa peka dalam memastikan keselamatan Yang di-Pertuan Agong sekeluarga terjamin.
Paling ketara apabila pasukan pengawal pengiring Seri Paduka begitu cekap dan pantas bertindak untuk mendapatkan Agong apabila baginda hampir terjatuh ketika berkenan menyantuni rakyat dengan mencuba tarian tradisional Magunatip oleh suku kaum Murut.
Ketika sedang teruja dan seronok menari dengan tarian buluh itu dalam satu persembahan ketika menghadiri Majlis Santapan Malam Kerajaan Negeri Sabah di SICC, Kota Kinabalu, Agong dilihat telah berlari ke tepi dan hampir terjatuh.
Menyebabkan dua orang pengawal peribadi Seri Paduka Baginda dengan pantas meluru naik ke atas pentas untuk menyelamatkannya.
Agong kemudiannya tersenyum sambil menunjukkan baginda baik-baik sahaja selepas diapit para penari yang membantunya dan dibawa turun dengan selamat oleh pengawal pengiringnya.
Rata-rata warganet terhibur melihat Seri Paduka Baginda yang begitu ‘sporting’ menyantuni rakyat, sambil memuji kecekapan dan tindakan pantas pengawal pengiring diraja dalam memastikan keselamatan baginda sentiasa terjamin.
“Mahu tak tercabut nyawa bodyguard bila tengok Tuanku lari ke tepi tu..”
“Bodyguard Agong memang betul-betul tak senang duduk sepanjang perjalanan kembara kali ini..”
“Pantas bodyguard Tuanku”
“Kita gelak .. Pengawal pengiring Agong dah macam nak tercabut jantung,” perkongsian @eyenmirlen97 di TikTok dengan komen rakyat jelata.
Kembara Kenali Borneo menelusuri Lebuhraya Pan Borneo telah berakhir di Sabah pada hari kelima (7 September) dan kini Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berada di Sarawak dalam lawatan menyantuni rakyat Borneo yang akan berakhir di Telok Melano pada 13 September.
Tonton video di sini.