Bintang Hollywood terkenal dengan watak Marvel “Captain America” Chris Evans menamatkan zaman bujang pada usia 42 tahun dengan pelakon Portugis Alba Baptista, 26 tahun dalam satu majlis perkahwinan tertutup dan sederhana di rumah mereka di Boston pada 9 September lalu, lapor PEOPLE Magazine.
Majlis perkahwinan mengejut dalam upacara sederhana itu disaksikan dengan kehadiran ahli keluarga terdekat dan rakan-rakan rapat.
Media itu melaporkan perkahwinan Chris dan Alba dirahsiakan dengan sangat berhati-hati, malah tetamu dikehendaki menandatangani perjanjian kerahsiaan dan perlu menyerahkan telefon bimbit masing-masing.
Antara bintang Marvel yang dijemput untuk menghadiri majlis perkahwinan tertutup berkenaan termasuk Robert Downey Jr., Chris Hemsworth, dan Jeremy Renner.
Hubungan Chris Evans dan Alba Baptista didedahkan pada November 2022. Ketika itu, media hiburan melaporkan pasangan ini telah menjalinkan hubungan secara rahsia selama lebih dari setahun.
Sumber rapat memberitahu media bahawa pasangan itu dilamun cinta dan saling menyayangi antara satu sama lain, dengan keluarga masing-masing, terutamanya ibu bapa Chris Evans amat menyukai menantu mereka, Alba Baptista.
Selamat Pengantin Baru, Captain America dan isteri.