Kementerian Kesihatan (KKM) menasihati orang ramai di kawasan yang mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat supaya mengambil langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan ke atas kesihatan mereka.
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, berkata antara langkah boleh diambil adalah mengelak daripada melakukan aktiviti fizikal di luar bangunan, dan memakai pelitup muka sekiranya terpaksa berada di luar.
“Aktiviti fizikal akan meningkatkan kadar pernafasan, sekali gus menyebabkan lebih banyak partikulat terampai memasuki saluran pernafasan. Keadaan itu boleh meningkatkan risiko penyakit akibat jerebu,” katanya dalam satu kenyataan pada 2 Oktober.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya peka dengan perubahan tahap kualiti udara di kawasan masing-masing dengan merujuk laman sesawang rasmi Jabatan Alam Sekitar (JAS).
“KKM akan terus memantau penyakit berkaitan jerebu di klinik sentinel dari semasa ke semasa,” katanya sambil menasihati orang ramai supaya mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan terdekat sekiranya tidak sihat.
Dr Muhammad Radzi berkata, langkah pencegahan lain termasuk menutup tingkap bagi mengurangkan asap jerebu masuk ke dalam rumah atau bangunan, serta mengelakkan aktiviti yang boleh meningkatkan pencemaran udara di dalam rumah atau bangunan, dengan tidak merokok.
Selain itu, beliau berkata, menggunakan pendingin hawa dengan memilih operasi (mod) kitaran udara dalaman ketika memandu kenderaan dan minum air kosong walaupun tidak terasa dahaga sekurang-kurangnya lapan gelas sehari bagi mengekalkan tahap hidrasi badan.
Lima kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada paras tidak sihat.
Setakat jam 6 pagi, Khamis (5 Oktober), Bukit Rambai di Melaka mencatatkan bacaan IPU tidak sihat paling tinggi dengan paras 151.
Menurut laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) kendalian Jabatan Alam Sekitar (JAS), empat kawasan lain yang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat termasuk Tangkak, Johor (102), Bandaraya Melaka (115), Batu Pahat, Johor (117), dan Serian, Sarawak (120).
Sementara itu 53 kawasan mencatatkan bacaan sederhana, manakala 10 yang lain mencatatkan bacaan IPU yang baik.
Bacaan IPU 0 hingga 50 menunjukkan kualiti udara adalah baik, 51-100 sederhana, 101-200 tidak sihat, 201-300 sangat tidak sihat dan melebihi 300 adalah berbahaya.
Bagi Cynthia Sun, dinobatkan sebagai Ratu Cantik NTD adalah sesuatu yang tidak dijangka.
“Saya tidak pernah memakai kasut tumit tinggi untuk sekian lama dalam hidup saya!” kata peguam berusia 24 tahun dari Houston, Texas itu. Sun merupakan seorang peguam bela hak asasi manusia, penyelidik isu sosial, jurucakap Pusat Maklumat Falun Dafa, dan baru berpindah ke New York.
Tertarik dengan misi menghidupkan semula budaya tradisional, Sun menyertai Pertandingan Ratu Cantik Cina Global NTD yang julung kali diadakan dan berjaya mara ke pusingan akhir sebelum akhirnya dinobatkan sebagai pemenang pada 30 September lalu.
Cynthia Sun dinobat sebagai Ratu Cantik NTD pada kemahkotaan Ratu Cantik Cina Global NTD yang berlangsung pada 30 September 2023 di Purchase, New York. (Gambar oleh Samira Bouaou/The Epoch Times)
NTD merujuk kepada singkatan untuk “New Tang Dynasty”, iaitu zaman kegemilangan tamadun Cina purba. Rangkaian itu, media sekutu dengan The Epoch Times, menganjurkan siri pertandingan dalam misinya untuk menyokong budaya tradisional Cina. Oleh yang demikian, pertandingan itu tidak hanya memfokuskan pada kecantikan luaran dan keterampilan, tetapi juga lima nilai yang menonjol dalam budaya tradisional Cina iaitu moral, kebenaran, kesopanan, kesetiaan dan kemurahan hati.
Fokus kepada budaya tradisional itulah yang menarik Cynthia Sun untuk menyertai pertandingan ratu cantik.
“Saya berasa sangat tertarik dengan bahagian misinya, iaitu untuk menghidupkan dan meraikan nilai tradisional sebagai seorang wanita Cina tradisional,” katanya.
Cynthia Sun dinobat sebagai Ratu Cantik NTD pada kemahkotaan Ratu Cantik Cina Global NTD yang berlangsung pada 30 September 2023 di Purchase, New York. (Gambar oleh Samira Bouaou/The Epoch Times)
Jalinan pantas persahabatan dan persaudaraan
Sun menyifatkan pertandingan selama seminggu itu sebagai “sungguh berharga dan bermakna,” bukan sahaja kerana persahabatan mendalam yang terjalin dengan 31 wanita muda lain dari seluruh dunia, tetapi kerana pengalaman itu membuatkan beliau lebih terhubung dengan warisan.
Kelahiran Texas dinobatkan sebagai Ratu Cantik NTD pertama
Cynthia Sun dilahirkan dan dibesarkan di Texas, dan lulusan Universiti Texas—Austin. Beliau pada mulanya merasakan beberapa gadis lain mempunyai lebih banyak pengetahuan dan hubungan dengan warisan Cina mereka, yang lebih sesuai serta bersedia untuk pertandingan itu. Selepas upacara kemahkotaan, beliau menyedari betapa banyak yang perlu dipelajarinya dalam tempoh masa singkat.
“Ia benar-benar menarik perhatian melihat perkembangan diri saya sepanjang minggu ini, betapa lebih erat dengan warisan tradisional Cina dalam diri,” katanya. “Ia adalah satu peluang pembelajaran yang menakjubkan, bukan hanya tentang penyiaran, bukan sahaja tentang apa itu peserta ratu cantik, tetapi bagaimana wanita Cina tradisional yang sepatutnya, dan bagaimana nilai-nilai itu boleh dijelmakan dalam peribadi kita, dan bagaimana ia ditunjukkan dalam tindakan kita terhadap satu sama lain serta mesej apa yang kami semua hantar kepada dunia.”
“Saya benar-benar merasakan kami semua melakukannya sebagai satu pasukan. Saya tidak memenangi mahkota ini untuk diri saya sendiri, ia mewakili perkembangan diri yang telah dilalui oleh semua peserta.”
“Kami memanggil satu sama lain jie-mei, iaitu ‘saudara perempuan’ dalam bahasa Cina, kerana ia benar-benar terasa begitu,” katanya. “Kami telah tinggal bersama, kami telah berlatih bersama, siang dan malam, siang dan malam, dan rasanya semua hati kami bersatu pada malam ini.”
“Esok semua orang akan melakukan perjalanan beribu-ribu batu pulang ke kampung halaman mereka di seluruh dunia, tetapi saya benar-benar merasakan detik yang kita ada sekarang ini sangat istimewa, dan kami akan mengingatinya sepanjang hayat,” katanya.
Cynthia Sun dinobat sebagai Ratu Cantik NTD pada kemahkotaan Ratu Cantik Cina Global NTD yang berlangsung pada 30 September 2023 di Purchase, New York. (Gambar oleh Samira Bouaou/The Epoch Times)
Suara buat mereka yang tidak dapat bersuara
Cynthia Sun bekerja dalam bidang guaman untuk kerajaan, bercakap untuk mereka yang telah dianiaya kerana kepercayaan mereka terhadap komunis China. Sebagai Ratu Cantik NTD, beliau berharap dapat lantang bersuara mewakili mereka yang mempertahan kepercayaan, yang hidup di bawah penindasan.
“Saya telah bertemu dengan begitu ramai orang secara individu yang telah memberitahu saya kisah mereka yang dianiaya kerana kepercayaan mereka,” katanya. “Ia adalah peluang yang bermakna dan menyenangkan untuk berkongsi suara mereka bersama dunia. Bersuara untuk mereka yang tidak bersuara, itulah yang selalu kami katakan.”
“Malam ini, antara 32 peserta terdapat beberapa yang terlepas daripada penganiayaan di China, dan mereka mempunyai perkara yang sangat mendalam dan bermakna untuk dikongsi bersama saya sejak beberapa hari lalu. Dengan hanya sekadar mendengar, ia benar-benar membuatkan saya ingin mengangkat makna ini dan isu hak asasi manusia pada skala yang lebih meluas. Ia adalah isu antarabangsa dan ia adalah isu yang berkaitan dengan setiap individu,” katanya.
China telah menjadi negara komunis kurang daripada satu abad, dan sebelum itu, China mempunyai warisan 5,000 tahun sejarah yang tidak terputus. Ia pernah dipanggil “Tanah Dewa Dewi” dan “Empayar Surgawi,” kerana orang Cina percaya budaya mereka adalah anugerah dari syurga. Walaupun majoritinya etnik Han, China adalah sebuah negara dengan kepelbagaian etnik iaitu 50 etnik minoriti. Kepercayaan secara menyeluruh merentasi kumpulan dan dinasti yang berbeza adalah prinsip utama kehidupan mereka yang seiring dengan syurga, bumi, dan umat manusia.
Tetapi sejak Parti Komunis China (PKC) mengambil alih kuasa pada 1949, ia telah melancarkan banyak kempen ganas untuk menghapuskan budaya dan sejarah tradisional China. Malah pada hari ini, etnik Uyghur Muslim, Kristian, dan pengamal Falun Dafa (juga dikenali sebagai Falun Gong) dianiaya kerana kepercayaan mereka. Penyalahgunaan hak asasi manusia terhadap pengamalnya terdiri daripada fitnah, pemenjaraan sehingga penyeksaan dan penuaian organ hidup secara paksa.
Sebagai peguam bela, Sun wajib meningkatkan kesedaran tentang isu sedemikian, dan akan menggunakan platformnya untuk menjelaskan isu hak asasi manusia, yang kebanyakannya telah lama cuba disembunyikan oleh PKC.
Cynthia Sun dinobat sebagai Ratu Cantik NTD pada kemahkotaan Ratu Cantik Cina Global NTD yang berlangsung pada 30 September 2023 di Purchase, New York. (Gambar oleh Samira Bouaou/The Epoch Times)
Keyakinan
Bagi Cynthia Sun, kecantikan dalaman dan keyakinan berkait secara intrinsik.
“Saya benar-benar percaya jika kita dapat mempamerkan kecantikan dalaman masing-masing, keyakinan diri, landasan diri, dan mengetahui diri kita siapa, jika kita menterjemahkannya dan menyebarkan mesej itu kepada orang lain, saya fikir ramai orang akan dapat membentuk diri mereka dengan lebih baik, dan berpegang teguh kepada nilai budaya, warisan, latar belakang, dan keluarga,” katanya. “Itu akan menjadikan masyarakat yang lebih makmur dan berjaya secara keseluruhannya,” katanya.
Anugerah
Ratu Cantik NTD telah menganugerahkan mahkota phoenix dengan lima batu nilam, hadiah wang tunai AS$10,000, set emas putih 18 karat padanan kalung dan anting-anting Heavenly Phoenix, serta hadiah lain.
Beliau juga akan diberi peluang selama setahun untuk liputan dan promosi media di seluruh dunia merentasi platform media sosial, dan berpeluang untuk menjadi tuan rumah program NTD, berkhidmat sebagai hos majlis untuk acara NTD, mengambil bahagian dalam ucapan global dan peluang mengembara ke seluruh dunia, dan hadir sebagai tetamu kehormat di beberapa acara.
Kontingen Malaysia mendekati sasaran 27 pingat di Sukan Asia Hangzhou 2022 kali ini selepas meraih dua lagi pingat gangsa menerusi terjun dan olahraga pada hari ke-10 pertandingan, pada Selasa, 3 Oktober.
Ratu terjun negara Datuk Pandelela Rinong menambah koleksi pingat meraih gangsa menerusi 10 meter (m) platform wanita, mengulangi pencapaian 13 tahun lalu ketika beliau membuat debut Sukan Asia menerusi gangsa di edisi Guangzhou, China pada 2010.
Pandelela yang tidak bertanding pada temasya Sukan Asia 2018 meraih pungutan mata 280.50 mata selepas lima terjunan.
Seperti dijangka, China mendominasi kedua-dua pingat emas dan perak apabila juara Olimpik, Quan Hongchan memenangi emas dengan 438.20 mata sementara rakan senegaranya, Chen Yuxi meraih perak menerusi 435.65 mata.
Dan tanpa dijangka, kuartet 4x100m wanita negara, yang dibarisi Azreen Nabila Alias, Zaidatul Husniah Zulkifli, Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal dan Shereen Samson Vallabouy, mencipta kejutan apabila meraih gangsa.
Selepas mencatatkan 45.01 saat (s) di kedudukan keempat, namun pembatalan larian pasukan Bahrain yang menamatkan saingan di kedudukan ketiga kerana membuat lepasan baton di luar zon pertukaran, menyaksikan kuartet negara diangkat sebagai pemenang gangsa.
Namun, nasib berbeza dilalui kuartet 4x100m lelaki, yang dibatalkan penyertaan kerana kesalahan pencerobohan lorong.
Gandingan Khairul Hafiz Jantan, Muhammad Arsyad Md Saat, Jonathan Nyepa dan Muhammad Azeem Mohd Fahmi sebelum itu menamatkan saingan di kedudukan kelima dengan catatan 39.19s, yang hanya 0.1s perlahan berbanding rekod kebangsaan.
Secara teknikalnya, Kontinjen Malaysia boleh dikatakan hanya memerlukan sebutir pingat sahaja untuk mencapai sasaran pada temasya kali ini yang bakal menutup tirai pada Ahad, 8 Oktober selepas skuasy telah menjamin sekurang-kurangnya tiga gangsa apabila wakil negara berjaya melayakkan diri ke separuh akhir.
Bagaimanapun, warna pingat dan pengesahan secara rasmi pingat skuasy hanya akan dibuat selepas aksi separuh akhir pada Rabu, 4 Oktober atau final pada Khamis.
Gambar NST
Tiga wakil negara yang akan berjuang dalam separuh akhir adalah pemain perseorangan lelaki Ng Eain Yow, perseorangan wanita S. Sivasangari dan beregu campuran Mohammad Syafiq Kamal-Aifa Azman.
Setakat malam 4 Oktober, Malaysia berada di kedudukan ke-15 selepas meraih tiga emas, empat perak dan 16 gangsa atau sejumlah 23 pingat, manakala dominasi China tidak dapat dicabar selepas kontinjen tuan rumah cemerlang merangkul 161 emas, 90 perak dan 46 gangsa untuk keseluruhan 297 pingat.
Sementara itu di Gimnasium Binjiang, pemain perseorangan lelaki Ng Tze Yong berjaya menyingkirkan Juara Dunia 2021 Loh Kean Yew dari Singapura untuk mara ke pusingan ketiga, manakala Lee Zii Jia pula berjaya menewaskan Juara Dunia 2023, Kunlavut Vitidsarn dari Thailand pada 4 Oktober dengan kemenangan 10-21, 21-19, 21-6 dalam tempoh kurang sejam.
Juara dunia beregu lelaki 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, beregu wanita utama negara Pearly Tan-M. Thinaah, perseorangan wanita Goh Jin Wei serta dua beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie turut akan membuat perhitungan untuk ke suku akhir pada hari yang sama.
Atlet sukan seperti ekuestrian, terjun, memanah, berbasikal lebuh raya (road cycling), kabbadi dan kriket turut akan beraksi pada 4 Oktober.
BANGKOK: Tiga individu disahkan maut selepas seorang remaja lelaki berusia 14 tahun melepaskan tembakan di pusat beli-belah popular, Siam Paragon Mall di Bangkok, Thailand pada 3 Oktober.
Empat dilaporkan mengalami kecederaan akibat tembakan dalam insiden yang berlaku pada 4.20 petang Selasa, 3 Oktober.
Polis Thailand mengesahkan dua individu warganegara China dan seorang warganegara Myanmar maut manakala empat lagi cedera dalam kejadian tembakan berkenaan. Mangsa yang cedera terdiri daripada seorang warga Laos, dan tiga warganegara tempatan.
Media tempatan melaporkan, suspek seorang remaja lelaki berusia 14 tahun telah ditahan sejurus selepas kejadian, susulan insiden tembakan di Bangkok Siam Paragon Mall. Visual dari kamera litar tertutup menunjukkan suspek dipercayai tidak melawan ketika ditahan pihak berkuasa.
Gambar Reuters
Kompleks membeli belah tersebut telah ditutup susulan laporan berlaku serangan bersenjata, dan beberapa individu dilaporkan tercedera akibat serangan tersebut.
Menurut agensi Channel News Asia, rakaman dari video di tempat kejadian menunjukkan kompleks tersebut kosong di bahagian dalam, dan persekitarannya lengang, walaupun kebiasaannya kawasan tersebut sentiasa sesak di sebelah petang.
Gambar Reuters
Beberapa pengguna media sosial turut berkongsikan video bagaimana orang ramai bertindak melarikan diri dari kawasan tersebut, selain ada yang mendakwa mereka terdengar bunyi tembakan.
Video yang dikongsi pengguna laman X, @janejanejuta menunjukkan terdapat pengunjung dan pekerja kompleks tersebut merangkak dan mencari perlindungan di kawasan yang dilihat seperti medan makan, dan terdengar suara seorang lelaki yang mengarahkan kumpulan tersebut duduk.
Sementara itu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut berkongsi detik cemas dengan berkata baginda dan keluarga berada di hotel berhampiran Siam Paragon Mall ketika insiden tembakan itu berlaku.
“Alhamdulillah, kami selamat,” kata Tunku Ismail menerusi muat naik di laman Facebooknya.
Tunku Ismail berkata masih terbayang waktu menenangkan anak-anaknya yang ketakutan dan menangis.
“Kini kami selamat berada di Kedutaan. Saya menghubungi Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan untuk memaklumkan apa yang berlaku. Duta Besar Malaysia turut ada bersama kami,” kata baginda yang memaklumkan mereka telah berangkat pulang ke Johor.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin berjanji akan melaksanakan langkah keselamatan tertinggi bagi memastikan keselamatan pelancong asing susulan insiden tragis tiga individu maut dalam insiden tembakan di Siam Paragon.
Srettha mengarahkan agensi berkaitan, seperti polis, Kementerian Pelancongan, Kementerian Luar, dan Kementerian Kesihatan Awam, untuk menyiasat punca kejadian dan membangunkan langkah-langkah untuk mencegah kejadian berulang pada masa hadapan.
Gambar Reuters
“Mulai sekarang, kerajaan Thailand akan melaksanakan langkah keselamatan tertinggi untuk semua pelancong,” menurut hantarannya di platform X.
Srettha turut melawat lokasi kejadian serta mangsa yang cedera di dua hospital.
Beliau merakamkan ucapan takziah kepada keluarga pelancong China yang cedera atau terbunuh dalam insiden tembakan itu, melalui Duta Besar China ke Thailand, Han Zhiqiang.
Srettha berkata, Han menzahirkan penghargaannya atas tindakan pantas pihak berkuasa Thailand terhadap insiden itu.
Kebimbangan kesan negatif terhadap sektor pelancongan di Thailand telah dibangkitkan selepas insiden di pusat beli-belah itu, kerana negara itu menyasarkan untuk memulihkan industri pelancongannya.
Gambar AFP
Thailand telah memberikan pengecualian visa sementara untuk penginapan 30 hari, bermula 25 September hingga 29 Februari tahun depan.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Pol Jen Torsak Sukvimol berkata, suspek mempunyai sejarah penyakit mental.
“Suspek mendakwa dia telah mendengar suara yang menyuruhnya menembak orang,” katanya.
Sementara itu, sebuah sekolah swasta The Essence yang terletak beberapa meter dari Siam Paragon mengesahkan suspek merupakan seorang daripada pelajarnya.
Pihak sekolah mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan meminta orang ramai menghormati privasi keluarga remaja lelaki berkenaan.
Gambar AFP
Kejadian tembakan besar-besaran jarang berlaku di Thailand; namun, ini adalah serangan senjata api ketiga sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada 2020, seorang anggota tentera menembak dan membunuh 29 orang dan mencederakan 58 lagi dalam kejadian amuk merentasi empat lokasi di sekitar bandar timur laut Nakhon Ratchasima.
Pada 6 Oktober 2022, 36 orang terbunuh dalam serangan senjata api dan pisau di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di wilayah Nong Bua Lamphu.
Anda mungkin pernah melihat grafiti anjing di seluruh Malaysia, atau sesuatu yang serupa, semasa bergegas ke tempat kerja atau menikmati hidangan di warung atau restoran.
Tetapi adakah anda tahu siapa gerangan artis berbakat di sebalik karya seni ikonik ini?
Kenji Chai, satu nama sinonim dalam persada seni di Malaysia dan beliau adalah artis di sebalik anjing grafiti terkenal ini yang dikenali sebagai ‘Chaigo’.
Gambar oleh Kenji Chai
Dengan gaya yang tersendiri dan minat yang tidak terhingga terhadap kerjaya seninya yang unik, artis berusia 41 tahun yang berasal dari Sandakan, Sabah ini sedang mencipta gelombang dalam dunia seni.
Gambar oleh Kenji Chai
Perjalanan artistik Kenji Chai bermula pada tahun 2006 ketika beliau bekerja biasa sembilan hingga lima, tetapi hatinya mendambakan sesuatu yang lebih menarik.
Pada saat-saat jiwa berasa resah dan gelisah inilah Kenji menemui cintanya kepada seni grafiti. Walau bagaimanapun, hanya pada 2013, Kenji membuat keputusan berani untuk meneruskan kerjaya pelukis grafiti secara sepenuh masa.
Gambar oleh Kenji Chai
Dedikasi dan keazamannya yang tidak berbelah bahagi meletakkan asas buat dirinya dengan apa yang akan menjadi kerjaya yang benar-benar luar biasa.
Brisbane, Australia (Gambar oleh Kenji Chai)
Ciptaan tandatangan artis, ‘Chaigo’, telah meninggalkan jejaknya di seluruh dunia.
Gambar oleh Kenji Chai
Di luar Malaysia, Kenji Chai telah melukis anjing ikonik ini di sepanjang jalan di Hong Kong, Mongolia, Korea Selatan, Jepun, Singapura, New York, Boston, India, Miami, Memphis, China, Itali, Vietnam, Bangkok dan pelbagai lokasi lain di dunia.
Gambar oleh Kenji Chai
Jumlah sebenar anjing ikonik ini di dunia masih menjadi misteri, tetapi Kenji menganggarkan jumlahnya berada di antara 100 dan 300.
‘Chaigo’, gabungan bijak namanya dan perkataan Kantonis untuk ‘anjing’, berfungsi sebagai gambaran perjalanan dalaman artis.
Gambar oleh Kenji Chai
Dibesarkan dalam rumah tangga yang berpecah belah, Kenji Chai terpaksa memupuk kehidupan berdikari dan berdaya tahan sejak zaman kanak-kanak, sama seperti daya tahan gigih anjing liar.
Kenji Chai berkongsi gaya artistik yang tersendiri dalam karyanya telah mendapat inspirasi daripada watak kartun ikonik tahun 80-an seperti Ninja Turtles, Street Fighter, Dragon BallZ dan ThunderCats, katanya kepada SAYS.
Shanghai, China (Gambar oleh Kenji Chai)
Dicirikan oleh palet warna yang berani, anda akan menemui karya seni Kenji Chai di sudut-sudut yang tidak dijangka di seluruh Malaysia, seperti lorong-lorong sempit, tembok bandar, dan juga restoran, semuanya dihiasi dengan tanda ekspresifnya yang bersemangat.
Pulau Pangkor, Perak. (Gambar oleh Kenji Chai)Pulau Pinang. (Gambar oleh Kenji Chai)
Setiap karya yang dihasilkan dengan teliti berjaya menghidupkan bandar atau ruang yang didudukinya, dan ini merupakan kejutan yang menyenangkan untuk ditemui jika anda terserempak dengannya.
Gambar oleh Kenji ChaiGambar oleh Kenji Chai
Pada tahun 2018, karya Kenji Chai mencapai kejayaan yang besar, apabila ia dinobatkan dalam Malaysian Book of Records untuk penghasilan mural tertinggi di Malaysia.
Gambar oleh Kenji Chai
Karya seni yang menjulang tinggi ini, bertajuk “Courage to Dream”, menghiasi dinding bangunan 25 tingkat di tengah-tengah Kuala Lumpur dan mengambil masa kira-kira 21 hari untuk disiapkan.
Gambar oleh Kenji ChaiGambar oleh Kenji Chai
Di antara karya Kenji Chai yang terkenal, dan paling menonjol adalah mural Nando dan KFC.
Gambar oleh Kenji Chai
Projek Nando, yang terletak berhampiran Petaling Street, memegang tempat yang istimewa di hatinya, kerana ia menandakan salah satu projek dinding terbesarnya ketika beliau pertama kali memulakannya.
Gambar oleh Kenji Chai
Peluang untuk mengecat bangunan sebesar itu adalah impian yang menjadi kenyataan, dan Kenji dengan penuh semangat menerima cabaran berkenaan.
Gambar oleh Kenji Chai
Walau bagaimanapun, karya kegemarannya yang mempunyai nilai sentimental ialah mural yang dilukisnya untuk Wisma Sabah, memenuhi impian lama untuk menyumbang karya seni kepada negeri kelahirannya.
Gambar oleh Kenji ChaiGambar oleh Kenji Chai
Kenji Chai berkongsi beliau bernasib baik kerana bekerjasama dengan artis tempatan terkenal lain seperti Red Hong Yi dan Cloakwork, yang kesemuanya berkongsi minat dengan karya grafiti mereka.
Gambar oleh Kenji Chai
Kenji menekankan penting untuk sentiasa bekerjasama dengan seseorang yang bersemangat serta berminat dalam bidang yang mereka lakukan, tanpa mengira usia.
Antara lukisan grafiti yang menarik minatnya, Kenji sangat mengagumi RIME, artis grafiti dari Brooklyn, New York dan berkongsi beliau kagum dengan gaya “clean and flowy” karya artis berkenaan.
Gambar oleh Kenji ChaiGambar oleh Kenji Chai
Apabila ditanya SAYS, apa yang beliau akan lakukan sekiranya tidak menjadi seorang artis, jawapan Kenji Chai tanpa keraguan berkata, “Ia tidak akan berlaku, kerana sepanjang hidup saya, saya meminati seni. Jadi, ia akan sentiasa menjadi seni.”
Gambar oleh Kenji ChaiVaranasi, India. (Gambar oleh Kenji Chai)
Memandang jauh ke masa depan, artis ini membayangkan untuk mengembangkan jenama Chaigo. Dengan kestabilan Studio Kenji Chai, beliau merancang untuk memulakan lebih banyak projek Chaigo dan mengambil bahagian di dalam festival di seluruh dunia untuk mendapatkan inspirasi dan memperkaya pengalamannya.
Gambar oleh Kenji Chai
Apa yang pasti, komitmen Kenji Chai yang tidak berbelah bahagi dalam penghasilan karya telah menjadi pendorong di sebalik kejayaannya yang luar biasa, justeru menjanjikan masa depan yang cemerlang.
Kehidupan yang baik memerlukan beberapa prinsip dan peraturan yang perlu dihormati oleh orang lain. Berikut merupakan 22 peraturan sosial hasil perkongsian Thoughts of Jackstone di Facebook:
1. Jangan memanggil seseorang lebih daripada dua kali secara berterusan. Jika mereka tidak menjawab panggilan anda, anggap mereka mempunyai sesuatu yang penting untuk diselesaikan.
2. Kembalikan wang yang anda telah pinjam sebelum orang yang meminjamkan kepada anda ingat atau memintanya. Ini menunjukkan integriti dan perwatakan anda. Begitu juga dengan payung, pen dan kotak makan tengah hari serta lain-lain.
3. Jangan sekali-kali memesan hidangan mahal pada menu apabila seseorang membelanja anda makan tengah hari atau makan malam.
4. Jangan tanya soalan janggal seperti, “Oh jadi awak belum kahwin lagi?” atau “Awak tak ada anak?” atau “Kenapa awak tak beli rumah?”atau “Kenapa awak tak beli kereta?”. Itu bukan masalah anda.
5. Sentiasa buka pintu untuk orang yang datang di belakang anda. Tidak kira sama ada lelaki atau perempuan, senior atau junior. Anda tidak menjadi kecil dengan melayan seseorang dengan baik di khalayak ramai.
6. Jika anda menaiki teksi dengan rakan dan dia membayarnya, cuba bayar untuknya di lain kali.
7. Menghormati pendapat yang berbeza. Ingat yang 6 itu akan kelihatan 9 kepada seseorang yang berhadapan dengan anda. Selain itu, pendapat kedua mungkin lebih baik untuk sebarang alternatif.
8. Jangan sesekali menyampuk ketika orang bercakap. Benarkan mereka meluahkannya. Dengar kesemuanya dan tapis kesemuanya dengan apa yang mereka perkatakan.
9. Jika anda mengusik seseorang, dan mereka nampaknya tidak sukakannya, hentikannya dan jangan lakukannya lagi. Ia menggalakkan seseorang yang lain untuk melakukan lebih baik dan ini menunjukkan betapa mereka menghargai anda.
10. Ucapkan “Terima Kasih” apabila seseorang membantu anda.
11. Puji secara terbuka. Mengkritik secara peribadi.
12. Hampir tidak ada alasan untuk mengulas berat badan seseorang. Katakan sahaja, “Anda kelihatan hebat.” Jika mereka bercakap tentang ingin menurunkan berat badan, mereka akan melakukannya.
13. Apabila seseorang menunjukkan gambar kepada anda dalam telefon mereka, jangan sesekali jari anda yang meleret ke kiri atau kanan. Anda tidak pernah tahu apa yang ada seterusnya.
14. Jika rakan sekerja memberitahu anda bahawa mereka mempunyai temu janji doktor, jangan tanya untuk tujuan apa, cuma katakan “Saya harap anda baik-baik saja”. Jangan letakkan mereka dalam kedudukan yang tidak selesa kerana perlu memberitahu anda penyakit peribadi mereka. Jika mereka mahu anda tahu, mereka akan berbuat demikian tanpa mendapat tahu dahulu rasa ingin tahu anda.
15. Layan pembersih dengan rasa hormat sama seperti anda menghormati CEO. Tiada siapa yang kagum dengan betapa biadab anda boleh melayan seseorang di bawah anda tetapi orang akan perasan jika anda melayan mereka dengan hormat.
20. Tanggalkan cermin mata hitam jika anda bercakap dengan sesiapa sahaja di jalanan. Ia adalah tanda hormat. Lebih-lebih lagi, hubungan mata adalah sama pentingnya dengan ucapan anda.
21. Jangan sekali-kali bercakap tentang kekayaan anda di hadapan orang miskin. Begitu juga, jangan bercakap tentang anak-anak anda di hadapan orang yang ketandusan idea.
22. Selepas membaca mesej yang baik, cuba ucapkan “Terima Kasih” untuk mesej itu.
Akaun rasmi hotel dalam platform Booking.com telah digunakan untuk menghantar mesej yang mengandungi pautan ke laman web pancingan data kepada semua pelanggan, yang memerlukan pelanggan memberikan nombor kad kredit mereka untuk pengesahan maklumat kad, jika tidak bilik yang ditempah akan dibatalkan dalam masa 24 jam.
Seorang lelaki berkongsi di Facebook memberi amaran kepada orang ramai supaya berhati-hati ketika menggunakan aplikasi Booking.com kerana platform tempahan berkenaan telah digodam oleh scammer yang ingin mencuri data pelanggan.
Menurutnya, pada satu hari tiba-tiba perkhidmatan pelanggan hotel menghantar mesej kepadanya melalui aplikasi Booking.com, mengatakan mereka perlu mengesahkan maklumat kad kreditnya. Kata mereka, mengikut peraturan Booking.com, pengusaha hotel mempunyai hak untuk mengesahkan kad kredit pengguna.
“Saya menyertakan pautan itu iaitu booking.procesz[dot]cloud (saya menulis .com di sini sebagai [dot]com untuk mengelakkan anda daripada menekan pautan ini secara tidak sengaja). Ia juga mempunyai logo Booking.com dan harga bilik hotel saya, dan meminta saya memberikan maklumat kad kredit untuk pengesahan. Jika pengesahan tidak selesai dalam masa 24 jam, bilik yang ditempah akan dibatalkan,” tulis lelaki ini.
“Ia adalah saluran rasmi untuk berkomunikasi dengan perkhidmatan pelanggan hotel di Booking.com, jadi tidak sepatutnya ada masalah. Orang itu juga berulang kali menegaskan bahawa dia hanya mahu mengesahkan kad kredit dan tidak akan mengenakan caj kad kredit saya.
Tambahnya pengesahan kad kredit adalah amalan yang sangat biasa dalam industri hotel. Ini adalah akaun rasmi hotel jadi saya tidak perlu risau tentangnya (untuk membiarkan saya melepaskan rasa syak wasangka).
Dan jika pengesahan kad kredit tidak selesai dalam masa 24 jam, tempahan hotel saya akan dibatalkan yang meletakkan saya di bawah tekanan masa,” tulisnya.
“Tetapi dalam beberapa siri perbualan dan pemerhatian laman web itu, saya dapati banyak perkara yang mencurigakan dan itu terasa seperti **BENDERA MERAH**. Jadi saya memilih untuk tidak terus bercakap dengan ‘pihak hotel’ melalui aplikasi Booking.com. Saya terus menghubungi nombor IDD di luar negara dan menghubungi hotel berkenaan.
Sebaik sahaja kakitangan perkhidmatan pelanggan di talian itu mendengar bahawa saya bercakap tentang menempah bilik di Booking.com dan diminta untuk melakukan pengesahan kad kredit, mereka tidak mahu bercakap dengan saya lagi dan terus memberitahu bahawa ini adalah masalah dengan Booking.com dan tiada kaitan dengan mereka.
Saya menjelaskan bukan Booking.com yang meminta saya untuk pengesahan kad kredit, tetapi akaun rasmi hotel di Booking.com yang menghantar mesej kepada saya. Kakitangan itu masih terus mengatakan itu bukan urusannya, dan agak bimbang lalu mahu memutuskan talian.
Saya bertanya kepadanya adakah ramai pelanggan lain yang menelefon dengan soalan yang sama? Katanya, “Ya”. Saya katakan kepadanya bahawa saya hanya perlukan kakitangan itu untuk membantu saya memastikan bilik yang saya tempah ada dalam rekod hotel mereka dan untuk memastikan bahawa ia tidak akan dibatalkan.
Dia berkata boleh memastikannya dan saya berkata, okey! Saya tidak akan bercakap banyak lagi, tetapi berharap dia memberitahu pengurusan kanan bahawa akaun Booking.com yang mengandungi maklumat hotel itu telah digodam, dan dia berkata “Ya” untuk memberi perhatian kepadanya,” tulisnya lagi.
Sebelum itu, lelaki ini telah menghantar mesej melalui aplikasi berkenaan untuk cuba menghubungi perkhidmatan pelanggan platform Booking.com, tetapi tidak mendapat balasan segera, jadi dia terus menghubungi hotel.
Tetapi selepas bercakap dengan pihak hotel, dia telah mengesahkan bahawa perkara itu sangat serius dan perkhidmatan pelanggan hotel kurang pengetahuan atau latihan dan pengalaman untuk mengendalikannya.
Lelaki ini terus menghubungi talian hotline perkhidmatan pelanggan Booking.com. Selepas mendengar penerangannya, perkhidmatan pelanggan segera menyemak perbualan antara lelaki itu dengan pihak hotel, dan segera memberitahunya bahawa terdapat masalah, dan mengingatkan lelaki ini bahawa pihak hotel tidak berhak untuk meminta maklumat kad kredit atau bank secara langsung.
Pihak mereka kemudian telah berjanji akan melaporkan kejadian berkenaan kepada jabatan berkaitan untuk tindakan segera.
Kemudian pada awal pagi hari yang sama, lelaki ini menerima mesej yang dihantar oleh hotel kepada semua pelanggan, memberitahu bahawa mesej sebelumnya tidak dihantar oleh hotel berkenaan, dan pautan dalam mesej itu adalah laman sesawang palsu oleh scammer untuk pancingan data yang digunakan untuk menipu maklumat kad kredit.
Seterusnya, dia menerima mesej daripada Booking.com, menanyakan bilangan pelanggan yang telah menjadi mangsa penipuan yang telah memberikan maklumat kad kredit mereka, dan pihak hotel menghantar penjelasan dan penerangan yang lebih lengkap mengenai kejadian itu.
Penipuan laman web berkenaan benar-benar sedang berleluasa, dan anda mungkin boleh menjadi mangsa seterusnya sekiranya tidak berhati-hati.
Penipuan ini sebenarnya serupa dengan akaun FB Messenger/Instagram/ Whatsapp saudara atau rakan anda yang digodam dan kemudian digunakan untuk menghantar mesej meminta anda meminjam wang. Prinsip yang sama terpakai. Bagaimanapun, kali ini ia bukan akaun peribadi tetapi akaun perniagaan yang digodam. Selepas akaun hotel pada platform Booking.com digodam, ia menghantar mesej kepada semua pelanggan yang meminta maklumat kad kredit mereka.
Sebab mengapa lelaki ini berasa curiga adalah kerana dia telah menjumpai “bendera merah” berikut:
1. Berkeras untuk melakukan pengesahan kad kredit di laman web/aplikasi Booking.com rasmi, tetapi pautan yang dia berikan kepadanya ialah booking.procesz[dot]cloud, bukan Booking.com (walaupun logo Booking.com dipaparkan)
2. Terfikir bahawa mungkin procesz[dot]cloud ialah perantara kad kredit untuk Booking.com (gateway pembayaran seperti paypal.com), tetapi apabila terus melihat halaman utama laman web procesz[dot]cloud, ia memerlukannya pergi ke Google.com, tiada halaman utamanya sendiri sama sekali. Jadi ia menjadi sangat mencurigakan!
3. Kemudian bertanya kepada perkhidmatan pelanggan hotel sama ada pautan yang diberikan kepadanya adalah milik laman web Booking.com atau laman web hotel? Pada masa ini, perkhidmatan pelanggan hotel pasti tahu bahawa dia sedang curiga apabila melihat laman web itu bukan Booking.com, jadi mereka memberitahu bahawa itu adalah laman web hotel mereka sendiri! Tetapi ini tidak konsisten, dan jika ia adalah laman web hotel, mengapa ia mempunyai logo Booking.com? Pada ketika ini, lelaki ini cukup pasti bahawa terdapat sesuatu yang tidak kena dengan perkhidmatan pelanggan. Kemungkinan besar akaun hotel itu telah digodam dan digunakan untuk menipu pelanggan!
4. Dia kemudian menjalankan carian WHOIS laman web procesz[dot]com untuk menyemak maklumat pendaftaran laman web. Keputusan menunjukkan bahawa laman web ini baru didaftarkan melalui Alibaba Cloud China pada 2 minggu sebelumnya! Ia pastinya merupakan laman web “langgar dan lari” yang baru didaftarkan untuk memperdaya orang ramai yang menggunakan perkhidmatan Booking.com.
Mujur lelaki ini bijak apabila memeriksa beberapa maklumat serta domain yang mencurigakan terlebih dahulu dan ternyata ia dapat mengelakkan dirinya daripada menjadi mangsa scammer yang seterusnya.
Maybank mengumumkan tidak akan melaksanakan bayaran caj tambahan kepada pengguna berkaitan DuitNow QR.
Maybank dalam satu kenyataan pada 28 September memaklumkan tiada caj bagi kegunaan bayaran tersebut buat masa ini.
“Kami ingin memaklumkan Maybank tidak akan melaksanakan sebarang bayaran berkaitan DuitNow QR.
Gambar oleh Malaysiakini
“Ia akan berterusan sehingga dimaklumkan kelak,” tulis kenyataan itu.
Dalam pada itu, Maybank turut memberitahu bahawa semua peniaga akan terus menerima pembayaran DuitNow QR tanpa sebarang caj, seperti yang dilaksanakan sebelum ini.
“Yakinlah bahawa semua peniaga boleh terus menerima pembayaran DuitNow QR tanpa caj. Sebarang perubahan kepada ini akan dimaklumkan lebih awal kepada peniaga,” jelas Maybank dalam kenyataan itu.
Sebelum ini, isu caj pembayaran transaksi melalui kod QR DuitNow yang dikenakan kepada peniaga seperti yang dilaporkan media baru-baru ini telah mencetuskan kekeliruan pelbagai pihak.
@1Rnggt/X
PayNet dalam satu kenyataan sebaliknya menjelaskan, terdapat dua kekeliruan yang berlaku ekoran ia dinyatakan secara tidak tepat dan penjelasan perlu diberikan.
Pertama, mengenai pembayaran yang dibuat pelanggan kepada peniaga, caj yang dikenakan adalah kadar diskaun peniaga (kadar diskaun pedagang – MDR) yang dicaj berdasarkan peratusan nilai transaksi pembayaran.
“Peniaga akan menerima pembayaran yang dibuat oleh pelanggan selepas MDR ditolak.
“Pada masa ini pembayaran melalui kad debit dan kredit dikenakan MDR manakala terdapat penepian MDR pada pembayaran QR.
“Mulai 1 November 2023, penepian MDR untuk pembayaran melalui QR DuitNow akan ditarik balik,” menurut kenyataan itu.
Gambar oleh Astro Awani
Dalam pada itu, bagi isu kedua iaitu caj RM0.50 yang dikenakan, ia melibatkan transaksi sesama QR peribadi, jelas PayNet.
“Caj RM0.50 yang dikenakan bagi setiap transaksi RM5,000 ke atas pula adalah untuk pemindahan ‘peer-to-peer’ (rakan setara) daripada QR peribadi kepada QR peribadi yang lain dan bukan kepada peniaga.
“Ini sama sekali tidak berkaitan dengan pembayaran QR kepada peniaga seperti yang disebut dalam perkara pertama dan dalam keadaan apa pun, kedua-dua caj tidak akan dikenakan untuk transaksi yang sama,” maklum PayNet.
Setiap orang berhak mendapat akses pendidikan dan pada masa yang sama tugas sebagai pendidik bukanlah mudah.
Seorang pesara yang dahulunya pensyarah universiti telah mengambil keputusan untuk terus mendidik anak bangsa secara percuma.
Lee, yang bersara pada 2014 memulakan perjalanannya untuk menyumbang kembali kepada masyarakat pada 2016 dengan menyediakan bengkel bahasa Inggeris percuma kepada pelajar sekolah rendah di kawasan luar bandar.
Gambar Sin Chew Daily
Lee yang telah melawat lebih 100 sekolah dengan matlamatnya untuk menggalakkan pelajar bertutur dalam bahasa Inggeris dan memudahkan anak-anak murid itu mendapat pendedahan kepada bahasa universal berkenaan.
Bekas pensyarah ini menggunakan kaedah yang mudah tetapi berkesan dalam memastikan setiap pelajar memahami bengkelnya.
Selepas bersara, beliau boleh berhenti bekerja tetapi itu bukan idea yang difikirkannya.
“Saya mempunyai pengetahuan untuk mengajar, jadi saya mahu menggunakan peluang yang ada dengan sepenuhnya,” kata Lee kepada Sin Chew Daily.
Gambar Sin Chew Daily
Rancangannya tidak bermula dengan mudah. Apabila Lee memulakan usahanya, banyak sekolah teragak-agak untuk menerimanya kerana mereka menganggapnya mungkin satu penipuan kerana perjanjiannya kedengaran terlalu bagus untuk menjadi kenyataan. Dedikasinya yang berterusan telah meyakinkan orang ramai di semua sekolah yang akhirnya membenarkannya mengendalikan bengkel bahasa Inggeris secara percuma, yang biasanya berlangsung selama 2 hari.
Memandangkan bengkelnya benar-benar percuma, wang pastinya bukan sesuatu yang Lee inginkan tetapi beliau hanya mempunyai satu permintaan.
“Saya hanya meminta tempat penginapan selagi saya bekerja di sekolah itu.”
Tidak langsung menerima wang, sebaliknya Lee menyumbang secara kewangan kepada sekolah-sekolah yang dilawatinya dengan harapan mereka dapat menaik taraf kemudahan tersebut.
Gambar Sin Chew Daily
Sebagai seorang guru, Lee hanya mempunyai satu hasrat dan pastinya ia adalah satu kepuasan yang besar apabila beliau mendapat apa yang diinginkan daripada bengkel yang dijalankan.
“Sungguh menggembirakan hati saya apabila melihat pelajar membuka diri dan bersedia untuk mencuba bercakap dalam bahasa Inggeris selepas bengkel.”
Dedikasi Lee untuk mengajar para pelajar benar-benar mengagumkan, dan berbanding bersenang-senang berehat menikmati hari persaraannya, bekas pensyarah ini terus menyumbang khidmat bakti kepada masyarakat dengan memanfaatkan pengetahuan yang dimilikinya. Selamat maju jaya.
Untuk membantu anaknya menurunkan berat badan, seorang wanita mencipta kaedah bijaksana untuk membuatkan anak lelakinya rajin bersenam.
Satu video berdurasi 24 saat tular yang dimuat naik ke TikTok pada 18 September oleh pengguna @farhinjeffry memaparkan seorang budak lelaki termengah-mengah berjoging di sepanjang kaki lima di satu lokasi di Perak.
Semasa dia bergelut untuk menyelesaikan latihan menguruskan badannya menjadi fit, ibunya dilihat mengekori di belakang dengan motosikal berwarna merah garang sambil memegang rotan di tangan kirinya.
“Semangat dik, hidup ni keras macam rotan yang mak kau bawak tu..,” kapsyen @farhinjeffry dalam video itu.
Klip lucu itu telah mendapat lebih 981,000 tontonan di TikTok, mencuit hati netizen yang menghargai usaha berdedikasi wanita ini dalam memotivasikan anak lelakinya demi menurunkan berat badan.
“Latihan sekolah gaya lama, tetapi budak itu akan berjaya mencapai matlamatnya..”
“Kadangkala anda perlu belajar dengan cara yang sukar untuk mencapai sesuatu. Suatu hari nanti anda pasti akan berterima kasih kepada ibu anda kerana melakukan perkara ini.”