Setiap orang berhak mendapat akses pendidikan dan pada masa yang sama tugas sebagai pendidik bukanlah mudah.
Seorang pesara yang dahulunya pensyarah universiti telah mengambil keputusan untuk terus mendidik anak bangsa secara percuma.
Lee, yang bersara pada 2014 memulakan perjalanannya untuk menyumbang kembali kepada masyarakat pada 2016 dengan menyediakan bengkel bahasa Inggeris percuma kepada pelajar sekolah rendah di kawasan luar bandar.
Lee yang telah melawat lebih 100 sekolah dengan matlamatnya untuk menggalakkan pelajar bertutur dalam bahasa Inggeris dan memudahkan anak-anak murid itu mendapat pendedahan kepada bahasa universal berkenaan.
Bekas pensyarah ini menggunakan kaedah yang mudah tetapi berkesan dalam memastikan setiap pelajar memahami bengkelnya.
Selepas bersara, beliau boleh berhenti bekerja tetapi itu bukan idea yang difikirkannya.
“Saya mempunyai pengetahuan untuk mengajar, jadi saya mahu menggunakan peluang yang ada dengan sepenuhnya,” kata Lee kepada Sin Chew Daily.
Rancangannya tidak bermula dengan mudah. Apabila Lee memulakan usahanya, banyak sekolah teragak-agak untuk menerimanya kerana mereka menganggapnya mungkin satu penipuan kerana perjanjiannya kedengaran terlalu bagus untuk menjadi kenyataan. Dedikasinya yang berterusan telah meyakinkan orang ramai di semua sekolah yang akhirnya membenarkannya mengendalikan bengkel bahasa Inggeris secara percuma, yang biasanya berlangsung selama 2 hari.
Memandangkan bengkelnya benar-benar percuma, wang pastinya bukan sesuatu yang Lee inginkan tetapi beliau hanya mempunyai satu permintaan.
“Saya hanya meminta tempat penginapan selagi saya bekerja di sekolah itu.”
Tidak langsung menerima wang, sebaliknya Lee menyumbang secara kewangan kepada sekolah-sekolah yang dilawatinya dengan harapan mereka dapat menaik taraf kemudahan tersebut.
Sebagai seorang guru, Lee hanya mempunyai satu hasrat dan pastinya ia adalah satu kepuasan yang besar apabila beliau mendapat apa yang diinginkan daripada bengkel yang dijalankan.
“Sungguh menggembirakan hati saya apabila melihat pelajar membuka diri dan bersedia untuk mencuba bercakap dalam bahasa Inggeris selepas bengkel.”
Dedikasi Lee untuk mengajar para pelajar benar-benar mengagumkan, dan berbanding bersenang-senang berehat menikmati hari persaraannya, bekas pensyarah ini terus menyumbang khidmat bakti kepada masyarakat dengan memanfaatkan pengetahuan yang dimilikinya. Selamat maju jaya.