RANAU: Pelari tiba-tiba hilang di balapan ketika acara sukan tahunan sekolah di sini pada Khamis lalu membuatkan para hadirin menanti penuh debaran.
Ibu bapa dan hadirin yang menyaksikan acara sukan tahunan Sekolah Kebangsaan (SK) Libang di Komples Sukan Ranau itu terhibur kerana rupa-rupanya pelari tiba-tiba hilang itu tidak hilang sebenarnya.
Namun mereka hanya tidak kelihatan akibat kehadiran kabus yang tebal.
Seorang bapa kepada salah seorang peserta larian merakam detik unik tersebut dan memuat naik video rakaman di Facebook.
Video tersebut kemudiannya tular dan mendapat perhatian ramai warga siber.
Menurut Adzlan Jeffery,44, dia bersama ibu bapa lain yang menonton pertandingan larian dari astaka tidak dapat melihat peserta di balapan selepas mereka memulakan larian.
Suasana balapan yang samar-samar.
Hanya kedengaran suara penonton yang menyebut ‘mana orangnya’ kerana semua peserta acara 4X100 meter itu tidak kelihatan akibat ditutupi kabus.
Anak Adzlan yang berusia 12 tahun bersama tiga rakan pasukan muncul sebagai juara menerusi acara yang dipertandingkan tersebut.
“Saya lebih merasa ‘kejadian’ itu sebagai lucu kerana keberadaan peserta tidak kelihatan.
“Menariknya semua penonton menunggu dengan debaran siapakah pelari yang akan muncul dahulu dari sebalik kabus berkenaan,”kata Adzlan.
Difahamkan, kedudukan Kompleks Sukan Ranau yang terletak di kawasan tanah tingggi menyebabkan kompleks sering diselimuti kabus tebal teutama pada waktu pagi dan selepas hujan.