Pasangan YouTuber popular dari United Kingdom, yang sedang dalam pengembaraan merentasi dunia, berhadapan dengan sisi gelap penguatkuasaan undang-undang Malaysia dalam video terbaru mereka yang dimuat naik pada 28 Januari.
Chris dan Marianne Fisher, dari Shropshire dan terkenal dengan saluran YouTube mereka ‘TREAD the globe’, dalam perjalanan turun dari Cameron Highlands menuju ke Ipoh apabila telah ditahan oleh polis trafik di sebuah lokasi di Ipoh, Perak, yang meminta RM100 daripada mereka.
Video interaksi itu dimuat naik di saluran YouTube pasangan berkenaan.
Klip video berdurasi 51 saat itu memaparkan pasangan itu memberhentikan campervan mereka di tepi jalan sebelum seorang anggota polis trafik muncul di tingkap pemandu.
Kedua-dua pihak kedengaran berbalas salam dalam suasana ceria, sebelum anggota polis memberitahu pasangan itu bahawa mereka telah memandu melebihi had laju.
Polis trafik berkenaan kedengaran memberitahu mereka bahawa had laju adalah 60km/j semasa mereka telah memandu pada 70.5km/j.
Marianne, yang kelihatan terkejut, memohon maaf kerana tidak melihat had laju dan bertanya kepada polis mengenai apa langkah seterusnya yang perlu dilakukan oleh mereka.
Polis itu memberitahu dia akan mengeluarkan saman dan mereka perlu membayarnya di balai polis berhampiran, dan Marianne bersetuju.
Bagaimanapun, polis itu kemudian secara beraninya membuat tawaran dengan dua pilihan kepada mereka.
“Saya akan keluarkan saman dan kamu bayar di balai polis. Kalau bayar di balai RM300. Bayar sini sekarang RM100. Boleh kah?,” kedengaran anggota polis itu berkata.
Disebabkan perbezaan jumlah bayaran yang besar, pasangan berkenaan membuat keputusan membayar sebanyak RM100 kepada anggota polis trafik terbabit pada waktu sama di lokasi mereka ditahan.
Chris kemudian dilihat menyerahkan wang RM100 kepadanya dan Marianne bertanya kepada anggota polis itu jika dia perlu memeriksa dokumen perjalanan mereka.
Anggota polis itu menjawab “tidak” dan berlalu pergi, sambil berkata “okay, settle.”
Polis itu dilihat menghubungi rakan sekerjanya untuk memberitahu nombor pendaftaran van itu sebelum beredar dengan wang yang dilipat di tapak tangannya.
Chris, kemudian menceritakan apa yang mereka fikirkan selepas ditahan pihak berkuasa trafik Malaysia dalam video berkenaan.
“Kami duduk di sana memproses apa yang baru berlaku. Adakah kami memandu laju? Mungkin juga..
“Saya rasa jika kami berpeluang membayar tunai dengan kadar lebih rendah dan tidak memandu ke balai polis untuk membayar denda lebih tinggi adalah pilihan yang baik.
“Tetapi adakah kami benar-benar memandu laju? Saya rasa itu hanya satu perkara yang kami tidak akan pernah tahu.”
Video perjalanan pasangan ini di Malaysia kini tular dengan meraih lebih 130,000 tontonan dalam masa kurang 24 jam di YouTube dan lebih 2.5 juta tontonan di platform X susulan insiden ‘bayar saman trafik’ itu.
Pasangan Fishers telah menghabiskan lima tahun terakhir kehidupan mereka dengan mengembara ke seluruh dunia bersama van Fiat Ducato yang mereka namakan Trudy.
Merakam perjalanan mereka melalui saluran YouTube ‘TREAD the globe’, pasangan itu telah menghiburkan jutaan penonton dengan pengembaraan mereka ketika memandu melalui Alaska, Amerika Utara, Eropah, Asia dan kini berada di Asia Tenggara.
Sebagai maklum balas, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri, berkata polis dimaklumkan mengenai video itu pada 4.30 petang 28 Januari dan telah memulakan siasatan.
“Siasatan terperinci sedang dijalankan bagi menyiasat dakwaan terbabit dan pihak kami tidak akan bertoleransi ke atas anggota atau pegawai terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, PDRM akan mengambil tindakan tegas terhadap anggota yang kononnya menawarkan diskaun saman trafik kepada pasangan UK itu ketika mereka ditahan di lokasi kejadian.
Tonton video di bawah: