KUANTAN: Kesemua mangsa kejadian tanah runtuh di Batu 54, Blue Valley, Cameron Highlands disahkan warga Myanmar, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Cameron Highlands.
Kelima-lima mereka ialah Shing Lan Har, 56; Shing Aung, 39; Om Myue, 38; Haphey, 36, dan Thang Moung, 25 tahun.

“Ibu Pejabat Polis Daerah Cameron Highlands menerima laporan pada 2.10 pagi Jumaat, 26 Januari dan bergegas ke lokasi bagi pemeriksaan serta mengkoordinasi operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Pemeriksaan mendapati tempat kejadian telah terputus hubungan dan memerlukan kenderaan pacuan empat roda untuk ke lokasi,” menurut jawatankuasa itu dalam satu kenyataan kepada Bernama.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Datuk Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata pihaknya telah menggerakkan Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) dan unit anjing pengesan (K9) ke lokasi kejadian.

Selain itu, turut digerakkan ialah bantuan pasukan khas dari Perak, Selangor dan Kuala Lumpur.
“Kesemua mangsa dipercayai mendiami sebuah rumah yang telah dihempap dalam tanah runtuh itu, dengan seorang daripadanya dikatakan wanita,” katanya.

Wan Mohammad Zaidi berkata dua daripada mangsa ditemukan meninggal dunia, namun setakat ini identiti mangsa masih belum diketahui.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan pihaknya juga menerima laporan kes tanah runtuh di Ulu Sungai Palas, Cameron Highlands pada 9.33 malam tadi, namun tidak melibatkan kemalangan jiwa atau kemusnahan harta benda.