28.2 C
Kuala Lumpur
Tuesday, July 22, 2025
Utama Blog Laman 43

Lelaki warga asing pukul, samun pekerja bank berjaya ditahan di Kota Kinabalu

0

Seorang pekerja wanita sebuah bank berdepan detik cemas apabila dipukul sebelum disamun seorang lelaki warga asing dalam kejadian berhampiran sebuah hotel di Jalan Gaya, Kota Kinabalu pada Jumaat, 16 Februari lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, mangsa yang berusia 50 tahun dilaporkan mengalami kecederaan di kepala akibat dipukul menggunakan kayu.

Sabah Sin Chew Daily / Facebook

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris, berkata kejadian berlaku ketika wanita terbabit sedang berjalan kaki menuju ke tempat kerjanya.

Bagaimanapun, katanya, mangsa tiba-tiba didatangi seorang lelaki dan dipukul menggunakan kayu dari arah belakang.

“Mangsa cuba mempertahankan diri, namun suspek memukulnya beberapa kali.

“Suspek kemudian menarik beg tangan wanita itu sebelum melarikan diri,” katanya dalam kenyataan media.

Terdahulu, tular klip video di media sosial memaparkan seorang wanita dipukul sebelum beg duit mangsa dilarikan seorang lelaki.

Sabah Sin Chew Daily / Facebook

Kalsom berkata, mangsa yang cedera di kepala dan badan mengalami kerugian kira-kira RM5,000 termasuk kehilangan telefon pintar dan wang tunai.

Katanya, kejadian sempat dirakam sistem kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan suspek lelaki warga asing berusia 29 tahun berjaya ditahan pada jam 2.30 pagi, 18 Februari.

“Suspek yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ditahan di Kampung Pondo, Pulau Gaya.

“Suspek positif dadah jenis metaphetamine dan ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sabah Sin Chew Daily / Facebook

Sementara itu, Kalsom menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati pada setiap masa dan berwaspada dengan setiap pergerakan terutamanya pada waktu malam.

“Ini kerana ia dipercayai memberi kesempatan kepada penjenayah untuk mengambil peluang di atas kelemahan mangsa.

“Elakkan juga ke tempat atau ke kawasan yang sunyi secara berseorangan bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku,” saran Kalsom.

Pencipta kandungan Taiwan dihukum 2 tahun penjara selepas palsukan penculikan di Kemboja

0

Seorang pencipta kandungan dari Taiwan mendakwa dia melawat asrama mangsa penipuan pekerjaan di Kemboja, di mana dia kemudian “diculik” oleh pengawal, sebelum muncul semula pada keesokan harinya melalui satu lagi video siaran langsung dengan berkata dia melarikan diri daripada cengkaman penculik berbahaya.

Yang mana terbukti ia adalah cerita palsu semata-mata.

The Cambodia China Times / Facebook

“Saya diseksa, dikenakan renjatan elektrik dan mereka mengambil semua wang saya,” dakwanya sambil menampakkan rambutnya yang telah separuh dicukur dan pakaiannya yang koyak.

Dia kemudiannya ditangkap bersama seorang lagi lelaki Taiwan oleh polis Kemboja kerana memfitnah, dan disahkan bahawa penculikan dan serangan itu hanyalah satu rekaan atau lakonan. Dia mengaku telah “menulis dan mengarah” ceritanya, dan mementaskannya secara keseluruhan.

The Cambodia China Times melaporkan kedua-dua pencipta kandungan itu didapati bersalah dan akan menghabiskan kehidupan mereka yang seterusnya di dalam penjara selama 2 tahun.

Gambar Mirror Media

Polis Kemboja turut menemui topeng, pakaian seragam tentera, pistol palsu, darah palsu dan beberapa jenis peralatan lain bersama pencipta kandungan itu, yang dipercayai telah digunakan untuk “penggambaran” penculikan dan lakonan serangannya.

Pada sidang akhbar, lelaki itu mengambil kesempatan untuk melutut dan memohon maaf kepada rakyat Kemboja atas kesilapan mereka, tetapi polis segera menarik mereka kembali berdiri.

“Tidak, Kemboja tidak menakutkan!” katanya.

Mengetahui bahawa nasibnya sudah ditentukan, dia juga mengambil peluang dan masa itu untuk menjelaskan bahawa Kemboja tidak seperti anggapan ramai iaitu berbahaya dan menakutkan.

Gambar Mirror Media

“Kemboja adalah sebuah negara yang indah dan baik untuk pelancongan. Tiada penipuan, pengedaran dadah atau penculikan di sini. Saya memohon maaf untuk video saya. Ia sama sekali cerita palsu.”

Kedua-dua warga Taiwan itu juga perlu membayar denda KHR 4 juta (kira-kira RM4,700) atas jenayah mereka.

Dalam satu kenyataan, polis Kemboja juga berkata mereka memandang serius isu ini dengan tidak akan berkompromi atau memberi kelonggaran.

“Jika kami memaafkan mereka, ia memberi peluang kepada orang lain untuk datang dan mencipta cerita palsu tentang negara ini dan pihak berkuasa,” kata polis Kemboja.

The Cambodia China Times / Facebook

Kedua-dua pencipta kandungan itu melawat Kemboja semata-mata untuk mengadakan lakonan mereka demi meraih perhatian dan menjadi sensasi.

Sentiasa ada sebab dan akibat untuk sesuatu yang salah. Semoga ia menjadi iktibar dan peringatan buat pencipta kandungan lain untuk lebih berhati-hati dengan perkara yang mereka ingin kongsikan dan cuba untuk raih.

Penghantar makanan sengaja bakar kereta polis bantuan untuk raih trafik tinggi TikTok hadapi 2 pertuduhan

0

Baru-baru ini, seorang penghantar makanan telah membakar sebuah kereta peronda polis bantuan di Mutiara Damansara. Dia kemudian menyiarkan video kelakuannya itu di TikTok, sambil merakam mukanya di hadapan kereta yang sedang terbakar sambil memberi tanda ‘peace’.

Lelaki berusia 26 tahun itu kini telah ditahan dan didakwa di mahkamah atas dua pertuduhan kerana melakukan khianat dengan api dengan membakar Proton Preve putih milik polis bantuan Prasarana dan menconteng dinding stesen pada 15 Februari lalu.

Gambar PDRM

Bagaimanapun, tertuduh Mohamad Hasif Syazani Zulkifle mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya secara berasingan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Dr Syahliza Warnoh dan Majistret Farah Azura Mohd Saad.

Mengikut pertuduhan di Mahkamah Sesyen, Mohamad Hasif didakwa melakukan khianat api dengan membakar Proton Preve putih milik polis bantuan Prasarana di Stesen MRT Mutiara Damansara, pada jam 1.17 pagi 15 Februari.

@MALAYSIAVIRALLL/X

Dia didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Di Mahkamah Majistret pula, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan menconteng dinding di stesen terbabit pada jam 1.10 pagi hari yang sama.

Kesalahan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara antara setahun hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Anis Hakimah Ibrahim dan Noor Khairun Nisa Noor Harun masing-masing mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 dan RM5,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin.

Gambar Harian Metro

Mereka turut memohon syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu saksi pendakwaan dan melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan.

Peguam tertuduh, Kailash Sharma pula memohon jaminan paling minimum apabila menegaskan anak guamnya tiada risiko untuk melarikan diri dan rekod jenayah.

Tertuduh kemudian dibenarkan diikat jamin RM9,500 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan syarat tambahan seperti dicadangkan pendakwaan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 21 Mac.

Sebelum ini, dilaporkan polis menahan lelaki terbabit di Flora Damansara kerana disyaki membakar kereta polis bantuan.

Gambar PDRM

Lelaki itu ditahan sepasukan anggota polis selepas dikesan memuat naik video berdurasi lima saat mengenai kejadian kebakaran itu dalam aplikasi TikTok atas akaun miliknya.

Polis turut merampas tukul besi dan botol air yang disyaki digunakan bagi mengisi petrol untuk digunakan dalam kebakaran itu, selain mendapati lelaki itu positif dadah jenis morfin hasil ujian saringan air kencing.

Siasatan motif kejadian termasuk kemungkinan suspek ingin mencari jumlah trafik tinggi untuk akaun TikTok miliknya.

Asap mercun punca bapa artis diserang asma lalu meninggal dunia

0

Asap mercun punca asma menyerang. Selepas beberapa hari bertarung nyawa, bapa kepada artis tempatan Nick dan Stella Chung, akhirnya meninggal dunia.

Facebook

Nick Chung menerusi Facebooknya berkongsikan hal yang menimpa bapanya pada Tahun Baharu Cina yang lalu.

Selepas menikmati makan malam bersama, Nick Chung sekeluarga menyaksikan pertunjukan mercun.

Menurut Nick Chung, bapanya itu amat menggemari pertunjukan mercun. Namun saat menggembirakan itu bertukar tragedi sebaik sahaja bapanya terhidu asap mercun.

Bapa Nick Chung diserang asma serta-merta. Dia mengalami sesak nafas, wajahnya berubah kebiruan, kaku dan sejuk. Mereka sekeluarga bergegas mengejarkan si bapa ke hospital.

Setibanya di hospital, doktor melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) [rujuk PRPM] sebanyak dua kali untuk menyelamatkan bapa mereka.

Apabila jantung bapa Nick Chung berhenti berdenyut, doktor melakukan CPR. Jantungnya berdenyut, namun berhenti semula. Doktor melakukan CPR kali kedua sebelum jantungnya berdenyut kembali.

Facebook

Selepas itu, bapa Nick Chung koma.

Sudah takdir. Selepas beberapa hari bertarung nyawa, bapa Nick Chung, Thong Chung Kiang Hwa akhirnya menghembuskan nafas terakhir pada 17 Februari lalu.

Nick Chung berkongsikan berita kematian bapanya itu di Facebooknya. Ramai kenalan, peminat serta rakan artis mengucapkan takziah atas atas kehilangan itu.

“Perkara yang sangat saya takutkan sejak kecil, yang selalu membuatkan saya termimpi-mimpi, akhirnya terjadi. Saya harap itu hanya mimpi buruk.

“Terima kasih kepada rakan-rakan dan saudara-mara yang datang menziarahi kami semalam. Mereka sangat ikhlas.” Tulis Nick Chung.

Dalam pada itu, Nick Chung yang turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa lebih menyayangi ibu bapa serta menghargai mereka yang ada di sekeliling.

Facebook

“Terima kasih untuk semua yang ayah sudah lakukan untuk saya. Saya akan sentiasa mengingatinya dan bersyukur. Saya pasti akan menjadi anak ayah pada kelahiran seterusnya!

“Saya rindukan ayah.

“Ayah, kami sayangkan ayah.

“Jumpa ayah di syurga nanti.” ujar Nick Chung.

“Walaupun kita berat rasa hati untuk melepaskan, namun kita perlu berpisah.

“Ayah, selamat jalan.” Tulis Stella Chung yang turut berkongsi khabar duka itu di Facebooknya.

Facebook

“Ayahlah penguat semangat kami. Kasih sayang ayah akan tetap bersama kami selamanya.

“Walaupun ayah telah meninggalkan kami, semangat ayah akan terus bersama kami, memimpin kami menuju masa depan.

“Ayah, kami sayangkan ayah.

“Kami akan menjaga ibu, jangan bimbang,” Tulis Stella.

Stella menyifatkan bapanya yang berusia 80 tahun itu seorang yang baik hati, suka tersenyum dan ringan tulang.

Kami mengucapkan takziah kepada Nick dan Stella Chung atas kehilangan bapa tersayang mereka.

Lelaki berpaut belakang treler di lebuh raya dikesan

0

KULAI: Polis giat mengesan seorang lelaki yang berpaut pada belakang treler yang sedang bergerak di lebuh raya pada 16 Februari lalu.

BH Online

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tan Seng Lee berkata kejadian itu disedari pihaknya pada 12 tengah hari Jumaat selepas video tular di media sosial.

Menurut Seng Lee, siasatan dilakukan mendapati kejadian itu berlaku di Kilometer 35 Lebuhraya Link Kedua menghala ke Senai pada 10 pagi Khamis.

“Ketika kejadian, pemandu lori Scania dari Kangkar, Pulai menghala ke kawasan Perindustrian Senai mungkin tidak menyedari terdapat lelaki berpaut di belakang kenderaan dipandunya.

“Pemandu terbabit didakwa hanya menyedari perkara itu setelah rakannya menghantar video viral berkenaan.

“Pemandu lori berumur 36 tahun telah hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kulai bagi siasatan lanjut pihak polis,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Senge Lee meminta mana-mana saksi yang mempunyai maklumat berkaitan lelaki berkenaan untuk tampil memberikan maklumat di IPD Kulai atau menghubungi Pegawai Penyiasat di talian 0167573507.

Kes disiasat di bawah Seksyen 47 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 336 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, video berdurasi 16 saat menunjukkan seorang lelaki yang berpakaian gelap dengan beg di belakang badan, berdiri dan berpaut di belakang treler yagn sedang bergerak laju.

Dipercayai, video tersebut dirakam oleh pemandu lori lain yang turut melalui jalan yang sama.

Baling mercun ke arah penari tarian singa di Sandakan, pemilik kedai mohon maaf selesai cara baik

0

Sebuah video menjadi tular baru-baru ini apabila memaparkan penari tarian singa telah dilempar mercun sewaktu mereka membuat persembahan di depan lot kedai di Sandakan, Sabah.

Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Polis Abdul Fuad Abdul Malek berkata, kejadian itu berlaku pada malam Isnin 12 Februari lalu.

Facebook

Bagaimanapun beliau berkata, pemilik kedai sudah meminta maaf kepada penari tarian singa terbabit dan kata damai telah dicapai.

“Kami menerima laporan mengenai kejadian ini, namun kedua belah pihak telah menyelesaikan perkara itu sendiri,” katanya sambil menambah tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.

Facebook

Dalam video tular tersebut, kelihatan seorang wanita dan lelaki membaling mercun dibakar ke arah penari singa yang sedang melakukan persembahan Tahun Baru Cina.

Difahamkan dua penari telah berlari menyelamatkan diri apabila mercun mula meletup-letup di kaki mereka, yang telah meninggalkan hanya seorang pemain yang membawa kepala singa.

Facebook

Kelihatan seorang sahaja yang sedang melompat-lompat sambil masih mencuba menghabiskan persembahan tarian singanya.

Namun akhirnya, penari memegang kepala singa itu juga terpaksa beredar disebabkan letupan mercun berkenaan telah mendatangkan bahaya kepadanya.

Lebih 100 laman web China menyamar sebagai saluran berita tempatan di 30 negara: Laporan Citizen Lab

0

Sekurang-kurangnya 123 laman web China menyamar sebagai saluran berita tempatan di 30 negara untuk menyebarkan maklumat palsu pro-Beijing, menurut laporan Citizen Lab, badan pemerhati digital di Universiti Toronto Kanada.

“Kempen ini adalah contoh operasi perluasan pengaruh yang melayani dua kepentingan kewangan dan politik, dan sejajar dengan agenda politik Beijing,” Alberto Fittarelli, penyelidik kanan di Citizen Lab, menulis dalam laporannya pada 7 Februari.

Fittarelli menamakan kempen itu “Paperwall,” yang ditakrifkannya sebagai “rangkaian laman web tanpa nama yang besar dan berkembang pesat, yang menyamar sebagai saluran berita tempatan.” Amerika Syarikat, Korea Selatan, Jepun, Rusia, United Kingdom, Perancis, Brazil, Turki dan Itali adalah antara 30 negara yang didakwa menjadi sasaran kempen itu.

Logo China Global Television Network (CGTN) Eropah di Chiswick Park, barat London (Gambar oleh Tolga Akmen/AFP/Getty Images)

Untuk menyamar sebagai saluran berita tempatan yang sah, laman web Paperwall sering menggunakan rujukan tempatan sebagai sebahagian daripada nama mereka, seperti Eiffel Post dan Provence Daily untuk dua laman web berbahasa Perancis. Nama laman web lain termasuk British FT yang menyasarkan UK, Sendai Shimbum dan Fujiyama Times untuk Jepun, Daegu Journal dan Busan Online untuk Korea Selatan serta Roma Journal dan Napoli Money untuk Itali.

Laman web tunggal yang menyasarkan penonton Amerika Syarikat adalah UpdateNews.Info, nama domain yang didaftarkan pada Julai 2019 dan laman web Paperwall pertama yang didaftarkan, menurut laporan itu.

Penyelidik Citizen Lab berkata kesan kempen itu “setakat ini boleh diabaikan”, memandangkan “trafik minimum” ke arah laman web dan kekurangan penghuraian media sosial atau liputan media arus perdana yang boleh dilihat.

Walau bagaimanapun, laporan itu memberi amaran bahawa kempen itu tidak boleh dianggap tidak mendatangkan berbahaya kerana ia boleh “akhirnya membayar dividen yang besar apabila salah satu daripada serpihan itu akhirnya diambil dan disahkan oleh akhbar arus perdana atau tokoh politik.”

Kandungan

Laman web Paperwall juga “menerbitkan semula kandungan secara berkala, kata demi kata, daripada sumber dalam talian yang sah di negara sasaran” untuk menjadikan laman web mereka kelihatan sah, menurut laporan itu. Sebagai contoh, laporan itu termasuk tangkap skrin laman web Eiffel Post yang menerbitkan semula artikel daripada akhbar harian Perancis Le Parisien.

Laman web ini juga memaparkan siaran semula kata demi kata kandungan daripada media kerajaan China, seperti China Global Television Network, cabang global penyiar negara China Central Television, menurut laporan itu.

Menurut Fittarelli, sebahagian besar kandungan laman web ini berasal dari Times Newswire.

“Kami menemui bukti Times Newswire kerap menyemai kandungan politik pro-Beijing, termasuk serangan ad hominem, dengan menyembunyikannya dalam sejumlah besar kandungan komersial yang kelihatan tidak berbahaya,” nyata laporan itu.

Times Newswire dan perkhidmatan berita lain yang dipanggil World Newswire didapati berada di tengah-tengah operasi di bawah pengaruh berkaitan China yang dipanggil “HaiEnergy,” yang dilaporkan pada 2023 oleh firma keselamatan siber Mandiant. Menggunakan perkhidmatan saluran berita dan pengaruh berbayar, HaiEnergy mengedarkan kandungannya ke subdomain saluran berita yang sah berpangkalan di Amerika Syarikat sebagai “siaran akhbar”, dengan berkesan mempromosikan propaganda Parti Komunis China (PKC) melalui saluran media Amerika Syarikat.

“Begitu juga dengan apa yang dinyatakan oleh Mandiant untuk kempen HaiEnergy, pada masa ini kami tidak boleh mengaitkan Times Newswire kepada pengendali yang sama seperti Paperwall,” kata laporan itu.

Bagaimanapun, menurut laporan itu, Citizen Lab meneliti alamat IP domain Times Newswire dan Paperwall, dan mereka kembali ke Tencent, sebuah syarikat teknologi China yang berpangkalan di bandar Shenzhen di selatan China.

Laporan itu mengenal pasti pakar virologi Hong Kong Yan Limeng sebagai contoh mangsa yang telah menghadapi serangan sasaran yang berasal dari laman web Paperwall.

“Serangan ke atasnya oleh PAPERWALL tidak berasas, bertujuan mensasarkan reputasi peribadi dan profesionalnya, dan tanpa nama sepenuhnya,” kata laporan itu.

Laman web Paperwall juga mempromosikan teori konspirasi, seperti dakwaan bahawa Amerika Syarikat menjalankan eksperimen biologi ke atas penduduk tempatan di negara Asia Tenggara, menurut laporan itu.

Firma Perhubungan Awam

Kempen itu dikaitkan dengan Shenzhen Haimaiyunxiang Media Co. Ltd., juga dikenali sebagai Haimai, sebuah firma perhubungan awam dan pemasaran yang berpangkalan di Shenzhen, China, menurut laporan itu. Anggapan yang berdasarkan analisis laporan mengenai pautan infrastruktur digital antara syarikat dan tapak Paperwall.

“Oleh itu, ini merupakan penemuan berat, membuktikan bahawa kedua-dua domain PAPERWALL telah disediakan oleh pengendali yang sama dengan aset Haimai,” kata laporan itu.

Haimai mengiklankan di laman webnya penjualan perkhidmatan penempatan promosi di pelbagai negara dan bahasa, menurut laporan itu.

“Peranan dan penonjolan firma swasta dalam mencipta dan mengurus operasi mempengaruhi kebanyakan berita,” kata laporan itu, sambil menambah bahawa “China—sebelum ini terdedah kerana menggunakan kategori proksi ini dalam operasi pengaruh besar, termasuk HaiEnergy yang dinyatakan—kini semakin meningkat untuk mendapat manfaat daripada model operasi ini, yang mengekalkan tabir nipis yang boleh dinafikan, sambil memastikan penyebaran mesej politik secara meluas.

“Adalah selamat untuk mengandaikan bahawa PAPERWALL tidak akan menjadi contoh terakhir perkongsian antara sektor swasta dan kerajaan dalam konteks operasi berpengaruh China,” laporan itu berkata.

Prabowo isytihar menang pusingan pertama Pilpres 2024

0

JAKARTA: Bekas jeneral tentera, Prabowo Subianto isytihar menang pusingan pertama Pilpres 2024 selepas mendahului dua pesaing lain.

Kosmo

Keputusan tersebut diperoleh melalui kiraan pantas yang membolehkan Prabowo mengetuai kuasa ekonomi terbesar di Asia Tenggara itu.

Menteri Pertahanan berusia 72 tahun itu menyifatkan kemenangannya sebagai “Kemenangan bagi seluruh Indonesia.”

Bagaimanapun keputusan tersebut belum diisytiharkan oleh pegawai pilihan raya, tambahan pula dua orang bekas pegawai kerajaan yang turut bertanding tidak mengaku kalah.

Berdasarkan kiraan tidak rasmi oleh agensi pengundian Indonesia, Prabowo memiliki 57 hingga 59 peratus undi, dengan lebih 80 peratus undi dikira di tempat-tempat pengundian yang telah dijadikan sebagai sampel.

Kiraan pantas adalah berdasarkan undi sebenar di beberapa pusat pengundian di seluruh Indonesia. Kaedah ini telah memberikan gambaran tepat bagi empat pilihan raya terdahulu sejak 2004.

“Kemenangan ini adalah kemenangan untuk semua rakyat Indonesia,” kata Prabowo dalam ucapannya yang disiarkan di TV kebangsaan.

Dalam ucapan itu juga, Prabowo mengingatkan penyokongnya agar tidak sombong, bangga dan terlalu gembira. Sebaliknya harus terus merendah diri.

Demi mengelakkan pusingan tambahan menentang dua pesaing lain, Prabowo perlukan lebih daripada 50 peratus undi dan sekurang-kurangnya 20 peratus di setiap wilayah negara itu.

Dalam pada itu, pengganti Widodo akan mewarisi ekonomi yang berkembang pesat dan projek infrastruktur yang berprofil tinggi.

Ini termasuklah pemindahan ibu negara dari kawasan yang sesak di Jakarta ke pulau Borneo yang masih mempunyai banyak ruang untuk membangun. Proses ini melibatkan perbelanjaan lebih daripada $30 bilion.

Pilihan raya ini juga membawa risiko tinggi bagi Amerika Syarikat dan China.

Hal ini dikatakan demikian kerana Indonesia mempunyai pasaran domestik yang besar, sumber semula jadi dan pengaruh diplomatik dengan negara-jiran Asia Tenggara.

Selain itu, beberapa pemerhati luah rasa bimbang jika nilai-nilai demokratik sedang merosot kerana hubungan Widodo dengan bekas diktator dan kehadiran anak lelakinya dalam senarai calon.

Pihak pengurusan undian berdepan dengan cabaran kerana perlu mengutip undi dari 17,000 pulau yang didiami 270 juta orang.

Kertas undi dan kotak undi diangkut dengan menggunakan bot, motosikal, kuda dan di beberapa kawasan terpencil, mereka perlu berjalan kaki.

Selain pemilihan presiden, lebih kurang 20,000 jawatan parlimen peringkat kebangsaan, negeri dan daerah dipertandingkan.

Lebih kurang 10,000 orang daripada 18 parti politik berbeza berharap untuk memperoleh mana-mana daripada 580 kerusi parlimen kebangsaan.

“Saya harap Indonesia boleh maju lebih baik, dan saya harap saya undi orang yang betul,” kata Indra Nurohim, pelajar sekolah menengah berusia 17 tahun yang baru kali pertama mengundi.

Mengenali calon presiden tertua, Prabowo adalah seorang bekas jeneral leftenan yang berkahwin dengan salah seorang anak perempuan Suharto.

AP

Ketika itu, Prabowo juga merupakan panglima yang lama berkhidmat dalam pasukan khas tentera yang dipanggil Kopassus.

Prabowo dipecat dengan cara tidak hormat pada tahun 1998 selepas pasukan Kopassus menculik dan menyeksa penentang politik Suharto.

Pada tahun tersebut, sebanyak 22 orang aktivis telah diculik dan 13 masih hilang. Keluarga mangsa terus menuntut keadilan namun tidak berhasil.

Beberapa orang anak buah Prabowo telah diadili dan disabitkan kesalahan manakala Prabowo sendiri tidak pernah dibawa ke mahkamah dan menafikan sebarang kaitan.

Disebabkan sejarah perkhidmatan Prabowo dahulu, semasa tempoh berkempen Pilpres 2024, aktivis hak asasi manusia menolak kata-kata Prabowo.

Namun Prabowo tidak mengendahkannya, malah dia dengan gembira berjanji untuk mencipta hampir 20 juta pekerjaan dalam penggal pertamanya.

Siswazah miliki dua ijazah gagal dapatkan kerja bergaji minimum

0

Siswazah miliki dua ijazah dan mahir tiga bahasa luah rasa kecewa selepas gagal dalam temuduga bagi jawatan bergaji minimum.

Daily Mail UK

Lohanny Santos,26, dari Brooklyn memuat naik videonya di TikTok dalam keadaan menangis sambil memegang beberapa set resume.

Menurut Santos, dia berusaha mencari pekerjaan dengan berjumpa sendiri beberapa bakal majikan namun setakat ini usahanya belum membuahkan hasil.

“Sejujurnya, ia agak memalukan kerana saya memohon pekerjaan bergaji minimum namun ada antara mereka yang “kami tidak mengambil pekerja” […] Bukan ini yang saya jangkakan,” kata Santos.

Santos merupakan siswazah kelahiran Universiti Pace yang memiliki dua ijazah menerusi bidang komunikasi dan lakonan. Dia juga mahir tiga bahasa.

Namun kelebihan itu seolah tidak bermakna apabila Santos gagal mendapatkan tempat biarpun bagi pekerjaan bergaji minimum iaitu $16 sejam di New York.

“Ini menyedihkan,” kata Santos sambil menyapu air matanya.

Santos turut meluahkan impiannya untuk menjadi pempengaruh TikTok. Namun sedar bahawa dia perlukan pekerjaan sebenar demi sesuap nasi.

“Saya akan terus berusaha,” kata Santos.

Daily Mail UK

Santos berkata, dia pergi ke beberapa buah kedai kopi sambil menghulurkan resumenya sama seperti yang pernah dilakukannya ketika mencari pekerjaan pada usia 16 tahun.

Dalam pencarian itu, Santos diterima bekerja di sebuah kedai kopi. Namun pekerjaan itu memerlukannya menjalani latihan tanpa bayaran selama 18 jam.

Data daripada Jabatan Buruh Negeri New York menunjukkan kadar pengangguran di New York sedang meningkat susulan Covid-19.

Data pada Disember 2023 menunjukkan kadar pengangguran di seluruh negeri New York ialah 4.5 peratus.

Ini bermaksud, bukan Santos sahaja yang menghadapi masalah dalam mencari pekerjaan di New York ketika ini.

Video Santos meraih 3.3 juta suka di TikTok. Menerusi ruang komen, ramai yang memberikan kata-kata semangat kepada Santos.

“Jangan pernah berasa malu. Anda sepatutnya berbangga kerana berjaya mengetepikan ego dan jadi realistik,” kata salah seorang pengikutnya.

“Inilah cara yang tepat untuk mencari pekerjaan sebelum mencarinya di internet. Tiada apa yang perlu dimalukan kerana ia memberikan anda pengalaman yang mahal,” kata pengikut lain.

Daily Mail UK

Namun terdapat juga segelintir warga siber yang tidak bersimpati dengan keadaan Santos.

“Mungkin jika anda tidak belajar komunikasi dan lakonan, anda tidak akan melalui pengalaman ini,” kata seseorang.

Ada juga warga siber yang mendakwa apa yang dilakukan Santos ini hanyalah semata-mata content untuk media sosialnya.

Ada juga warga siber yang berpendapat bahawa pada masa kini, majikan tidak hanya melihat pada pencapaian akademik namun mencari pekerja yang berpengalaman.

Santos mempertahankan dirinya ketika berhadapan dengan komen-komen yang tidak membangun.

Dengan penuh rendah diri Santos berkata, “Sejak berusia 16 tahun saya bekerja dengan gaji minimum. Saya tidak memilih sebarang pekerjaan atau peluang. Saya hanya manusia biasa yang fikir dengan pergi ke kolej dan mendapat ijazah akan menjamin masa depan yang cerah.”

Mahir berbahasa Inggeris sebagai bahasa kedua selepas bahasa Portugis menjadikan Santos orang pertama daripada kalangan keluarga yang berjaya ke menara gading.

Ujar Santos, dia tidak kesal belajar dalam bidang komunikasi dan lakonan kerana itu adalah minatnya.

“Kita hanya hidup sekali dan kita boleh terus mengejar impian kita dan lakukan apa sahaja untuk mencapai impian tersebut.

“Sebahagian diri saya seolah, Saya akan teruskan dan capai impian saya. Saya hanya perlu lakukannya,” tambah Santos.

Pempengaruh yang mempunyai sejumlah 180,000 pengikut daripada TikTok dan Instagram itu sering berkongsi tentang kehidupannya di Bandar New York.

Impian Santos untuk menjadi seorang pempengaruh TikTok hanya selangkah lagi apabila dia dijemput menghadiri majlis Sally Hansen, BLKDNM dan Forbes.

Santos turut menepis anggapan buruk segelintir pengikut terhadap dirinya berkaitan isu gagal temuduga tersebut.

Kata Santos, “Inilah kehidupan sebenar saya. Saya tidak bergurau di sini. Saya sebenarnya mencari kerja.”

Usaha keras siswazah miliki dua ijazah ini akhirnya membuahkan hasil apabila dia dipelawa untuk bekerjasama dengan sebuah syarikat pil pencegah kehamilan.

Daily Mail UK

“Saya baru menandatangani perjanjian pertama dengan Julie. Anda tidak tahu betapa bermaknanya ia pada saya,” kata Santos.

The Body Shop tutup separuh operasi di UK

0

Masalah kewangan yang dihadapi oleh The Body Shop bakal merisikokan 2,000 pekerjaan dan 200 buah cawangan di United Kingdom.

The Business Times

Empat cawangan di London turut terkesan dengan sewa dan belanja lain yang tinggi. Sementara kedai-kedai dan laman web yang tidak terjejas akan beroperasi seperti biasa semasa proses penyusunan semula berlangsung.

Difahamkan, cawangan global The Body Shop seperti di Timur Tengah, Asia, Afrika dan seluruh Eropah tidak terjejas dengan penutupan ini.

Antara cawangan yang bakal ditutup adalah:

  1. Ashford Town Centre, Kent.
  2. Bristol Queens Road, Bristol.
  3. Canary Wharf, London.
  4. Cheapside, London.
  5. Nuneaton, Warwickshire.
  6. Surrey Quays, London.
  7. Oxford Street-Bond Street, London.

The Body Shop ditubuhkan pada 1976 oleh aktivis hak haiwan, Anita Roddick, dengan sebuah kedai kecil di Brighton, di pantai selatan England. Kedai kecil itu menjadi popular kerana menjual produk kosmetik dan kebersihan yang tidak diuji ke atas haiwan.

Namun, sejak diambil alih oleh firma ekuiti swasta Aurelius pada November 2023, The Body Shop mengalami masalah kewangan kerana dikatakan gagal membayar sejumlah bekas pekerja.

Aurelius membeli The Body Shop pada harga £207 juta tahun lepas daripada syarikat kecantikan terbesar Brazil, Natura.

Menurut Aurelius, prestasi rangkaian ini sepanjang musim perayaan lebih teruk daripada anggaran terburuk mereka, menyebabkan mereka mendapatkan khidmat penasihat.

Menurut penasihat FRP Advisory (yang dilantik oleh Aurelius), tindakan itu terpaksa diambil bagi menyelamatkan masa depan syarikat kosmetik dan penjagaan kulit yang terkenal dengan produk-produk semula jadi tersebut.

“Penurunan bilangan kedai bererti tumpuan semula ke atas produk, saluran penjualan dalam talian dan strategi borong jenama,” kata FRP.

BBC

Dalam pada itu, dikatakan jumlah pekerja di pejabat pusat di London akan dikurangkan kira-kira 40 peratus.

Program Duta The Body Shop yang membenarkan wakil untuk menjual produk syarikat secara terus kepada pelanggan, juga akan ditutup, kata FRP.

Syarikat kosmetik itu juga mengumumkan bahawa rangkaian jualan langsung asal, The Body Shop at Home yang telah beroperasi selama 30 tahun juga akan ditutup.

McKinsey & Co.BLOOMBERG mengatakan The Body Shop menghadapi saingan yang semakin meningkat daripada pesaing yang lebih baik dengan menumpukan pada pengguna muda secara dalam talian.