KUALA LUMPUR – Mantan Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang juga Ketua Menteri paling lama di Sarawak Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud meninggal dunia di Kuala Lumpur pada jam 4.28 pagi Rabu, 21 Februari.
Allahyarham Tun Taib Mahmud, yang berkhidmat sebagai Ketua Menteri Sarawak selama 33 tahun, menghembuskan nafas terakhir di Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL) pada usia 87 tahun.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Kesenian Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah mengesahkan pemergian Allahyarham pada awal pagi 21 Februari.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadilah Yusof turut mengesahkan dengan berkata jenazah Allahyarham akan diuruskan di Masjid Negara, Kuala Lumpur sebelum diterbangkan ke Kuching untuk penghormatan terakhir yang akan diadakan di Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak dan dikebumikan pada petang esok.
Tun Taib Mahmud berkhidmat sebagai Ketua Menteri Sarawak dari 1981 hingga 2014, dan merupakan Ahli Parlimen (MP) kedua paling lama berkhidmat iaitu selama 38 tahun.

Allahyarham adalah Ahli Parlimen Kota Samarahan dari 1970 hingga 2008 dan kemudian dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak ketujuh sejak 10 tahun lalu sehingga 25 Januari 2024.
Ketika menjadi Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham mempamer kualiti sebagai pemimpin rakyat pelbagai kaum dan kepercayaan agama.
Tun Taib Mahmud yang juga dikenali sebagai Bapa Pemodenan Sarawak telah menyatukan rakyat dan mewujudkan kestabilan politik di Sarawak di bawah dasar politik pembangunan dan memainkan peranan penting dalam melaksanakan dasar untuk menjamin masa depan Sarawak sebagai negeri ekonomi moden.
Jenazah Allahyarham akan disemadikan dalam upacara pengebumian negeri di Tanah Perkuburan Demak Jaya pada petang esok, 22 Februari.