Asap mercun punca asma menyerang. Selepas beberapa hari bertarung nyawa, bapa kepada artis tempatan Nick dan Stella Chung, akhirnya meninggal dunia.
Nick Chung menerusi Facebooknya berkongsikan hal yang menimpa bapanya pada Tahun Baharu Cina yang lalu.
Selepas menikmati makan malam bersama, Nick Chung sekeluarga menyaksikan pertunjukan mercun.
Menurut Nick Chung, bapanya itu amat menggemari pertunjukan mercun. Namun saat menggembirakan itu bertukar tragedi sebaik sahaja bapanya terhidu asap mercun.
Bapa Nick Chung diserang asma serta-merta. Dia mengalami sesak nafas, wajahnya berubah kebiruan, kaku dan sejuk. Mereka sekeluarga bergegas mengejarkan si bapa ke hospital.
Setibanya di hospital, doktor melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) [rujuk PRPM] sebanyak dua kali untuk menyelamatkan bapa mereka.
Apabila jantung bapa Nick Chung berhenti berdenyut, doktor melakukan CPR. Jantungnya berdenyut, namun berhenti semula. Doktor melakukan CPR kali kedua sebelum jantungnya berdenyut kembali.
Selepas itu, bapa Nick Chung koma.
Sudah takdir. Selepas beberapa hari bertarung nyawa, bapa Nick Chung, Thong Chung Kiang Hwa akhirnya menghembuskan nafas terakhir pada 17 Februari lalu.
Nick Chung berkongsikan berita kematian bapanya itu di Facebooknya. Ramai kenalan, peminat serta rakan artis mengucapkan takziah atas atas kehilangan itu.
“Perkara yang sangat saya takutkan sejak kecil, yang selalu membuatkan saya termimpi-mimpi, akhirnya terjadi. Saya harap itu hanya mimpi buruk.
“Terima kasih kepada rakan-rakan dan saudara-mara yang datang menziarahi kami semalam. Mereka sangat ikhlas.” Tulis Nick Chung.
Dalam pada itu, Nick Chung yang turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa lebih menyayangi ibu bapa serta menghargai mereka yang ada di sekeliling.
“Terima kasih untuk semua yang ayah sudah lakukan untuk saya. Saya akan sentiasa mengingatinya dan bersyukur. Saya pasti akan menjadi anak ayah pada kelahiran seterusnya!
“Saya rindukan ayah.
“Ayah, kami sayangkan ayah.
“Jumpa ayah di syurga nanti.” ujar Nick Chung.
“Walaupun kita berat rasa hati untuk melepaskan, namun kita perlu berpisah.
“Ayah, selamat jalan.” Tulis Stella Chung yang turut berkongsi khabar duka itu di Facebooknya.
“Ayahlah penguat semangat kami. Kasih sayang ayah akan tetap bersama kami selamanya.
“Walaupun ayah telah meninggalkan kami, semangat ayah akan terus bersama kami, memimpin kami menuju masa depan.
“Ayah, kami sayangkan ayah.
“Kami akan menjaga ibu, jangan bimbang,” Tulis Stella.
Stella menyifatkan bapanya yang berusia 80 tahun itu seorang yang baik hati, suka tersenyum dan ringan tulang.
Kami mengucapkan takziah kepada Nick dan Stella Chung atas kehilangan bapa tersayang mereka.